Setahun yang lalu, dunia
bolasepak cemas seketika melihat Christian Eriksen tiba-tiba rebah ketika
beraksi di atas padang. Selama 43 minit, pertembungan antara Denmark dan
Finland di kejohanan Euro 2020 itu berlangsung seperti biasa, hinggalah tiba
detiknya bila Eriksen secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Seluruh
khalayak di Stadium Parken, Copenhagen terpaku seketika, manakala Simon Kjaer
pula cuba semampu mungkin memberikan bantuan kecemasan awal kepada Eriksen.
Situasinya ketika itu sangat
kritikal kerana menurut Morten Boesen yang juga merupakan doktor skuad
kebangsaan Denmark, Eriksen sebenarnya sudah `hilang’ selama lima minit. “Dia
telah `pergi’, tetapi mujurlah bantuan pernafasan menerusi kaedah `cardiopulmonary
resuscitation’ (CPR) berhasil menyelamatkan nyawanya”, kata Boesen. Eriksen
bukanlah mangsa pertama yang mengalami serangan jatung ketika sedang beraksi,
kerana Marc Vivien-Foe, Miklos Feher dan Antonio Puerta turut senasib.
Kembali
Ke Liga Perdana
Berbanding dengan Vivien-Foe,
Feher dan Puerta yang tewas dalam perjuangan mereka untuk hidup, Eriksen pula lebih
bernasib baik. Masalah jantung turut menyebabkan Fabrice Muamba dan Abdelhaq
Nouri terpaksa bersara awal, tetapi Eriksen tanpa diduga kembali beraksi di
atas padang. Meskipun kontraknya bersama Inter Milan ditamatkan kerana
peraturan Serie A yang melarang pemain yang diimplan dengan alat `cardioverter-defibrillator’
dari beraksi, Eriksen memilih kembali semula ke England.
Tujuh bulan selepas insiden di Stadium
Parken, Brentford menawarkan tempat untuk beliau beraksi dalam skuad mereka
menerusi ikatan kontrak selama enam bulan. Dan ini juga bermakna, Eriksen
kembali semula mewarnai kancah saingan Liga Perdana dalam tempoh dua tahun
selepas beliau meninggalkan Tottenham Hotspurs pada Januari 2020. Kembalinya
Eriksen beraksi di atas padang boleh dianggap antara kisah `comeback’ terbesar
dalam sejarah bolasepak.
Debut beliau untuk Brentford
berlaku pada 26 Januari 2020 dalam aksi Liga Perdana menentang Newcastle
United. Malangnya penampilan pertama Eriksen di Liga Perdana selepas dua tahun
diwarnai dengan kekalahan Brentford dalam perlawanan itu. Impak kehadiran
Eriksen dalam kesebelasan `The Bees’ akhirnya terlihat pada aksi menentang
Norwich City di gelanggang lawan pada 5 Mac 2022. Apa yang dilakukan Eriksen
sepanjang 90 minit aksinya di Carrow Road benar-benar mengagumkan.
Dalam perlawanan tersebut,
Eriksen muncul pemain paling banyak melakukan hantaran, melakukan sentuhan dan juga
hantaran ke zon `final third’ lawan. Peratus ketepatan hantaran yang
dilakukannya pula mencapai angka 83%, jumlah tertinggi berbanding mana-mana
pemain Brentford yang beraksi dalam perlawanan itu. Setengah musim bersama
Brentford, Eriksen melakukan penampilan sebanyak 11 kali di Liga Perdana,
menjaringkan satu gol dan mencipta empat bantuan gol.
Rekrut
Kedua
Selepas berjaya mendapatkan
khidmat Tyrell Malacia, United mengorak langkah lagi apabila kelab mengumumkan
secara rasmi kejayaan mereka menandatangani Eriksen. Proses mendapatkan
tandatangan Eriksen di dokumen kontrak juga tidaklah terlalu rumit memandangkan
beliau merupakan agen bebas. Jadi Fabrizio Romano juga tidak perlu menunggu
terlalu lama untuk mengucapkan “Here we go” kepada perpindahan Eriksen ke Old
Trafford.
Keyakinan Erik Ten Hag terhadap
kemampuan serta kualiti Eriksen diterjemahkan kelab menerusi tawaran kontrak
selama tiga tahun. Penampilan beliau bersama Brentford antara indikasi mengapa
Ten Hag mahukan Eriksen berada dalam skuad United musim depan. Jika diambilkira
penampilan setengah musimnya bersama Brentford, Eriksen berada di kedudukan
ketiga selaku pemain paling banyak mencipta peluang jaringan gol di belakang
Kevin De Bruyne dan Martin Odegaard.
Posisi pemain tengah menyerang
bukanlah terlalu kritikal untuk diisi oleh United kerana kelab sudahpun
memiliki pemain sekaliber Bruno Fernandes. Bagaimanapun peluang mendapatkan
seorang pemain tengah berkualiti seperti Eriksen secara percuma tidak mampu dilepaskan
begitu sahaja. Fleksibiliti yang ada dalam diri Eriksen menerusi kebolehannya
untuk bergerak di sisi sayap juga memungkinkan Ten Hag menggunakan formasi
4-2-3-1, atau sebagai pemain tengah dalam formasi 4-3-3.
`Danish
Dynamite’
United dan para pemain yang
berasal dari Denmark bukanlah asing. Jesper Olsen muncul pemain pertama dari negara
selatan Scandinavia itu yang ditandatangani United dalam sejarah kelab.
Kemudian muncul Johnny Sivebaek, Peter Schmeichel, Mads Timm, Anders Lindegaard
dan kini Eriksen. Schmeichel merupakan legenda kelab tetapi Eriksen adalah nama
yang tidak dapat dipisahkan dari skuad kebangsaan Denmark sejak usia remaja
lagi.
Di peringkat remaja, Eriksen
sudah bermain untuk semua peringkat umur, manakala bersama skuad senior pula
beliau sudah merakamkan 115 penampilan setakat ini. Tidak mustahil, pada usia
beliau sekarang, Eriksen berpeluang meleburkan rekod Schmeichel selaku pemain
paling banyak melakukan penampilan untuk skuad kebangsaan (129 caps).
Sebagaimana peranannya yang anda lihat di peringkat kelab, begitu jugalah
pentingnya Eriksen dalam menggerakkan jentera tengah skuad `Danish Dynamite’.
Beliau adalah figura atau pemain
penting di bahagian tengah yang menghidupkan corak permainan Denmark. Ketika
bola berada di kakinya, Eriksen adalah sosok yang akan mengatur bila waktu paling
sesuai untuk melakukan serangan atau melakukan `delay’ dalam permainan. Jangan
lupakan juga fakta bahawa Eriksen merupakan `specialist’ dalam situasi bola
mati. Lima kali dinobatkan selaku pemain
terbaik negaranya bukti betapa besarnya pengaruh Eriksen untuk bolasepak
Denmark.
Penutup
United sudah melepaskan empat
pemain tengah mereka (Jesse Lingard, Juan Mata, Nemanja Matic dan Paul Pogba),
jadi kedatangan pemain tengah berpengalaman seperti Eriksen ke Old Trafford
memang sangat-sangat dialukan. Sepanjang kariernya di Liga Perdana, Eriksen
sudah berkali-kali melakukan penampilan di Old Trafford, tetapi dengan seragam
merah musim depan tentulah momen yang sangat luar biasa, bukan sahaja untuk
beliau tetapi juga penyokong-penyokong United.
Eriksen bukanlah seperti Pogba,
juga sangat kontras jika mahu dibandingkan dengan penampilan Lingard. Anda
tidak akan pernah melihat perubahan fesyen rambutnya setiap minggu, juga beliau
tidak pernah peduli dengan jumlah pengikutnya di media sosial. Bagi Eriksen,
beliau cuma mahu bermain dan menikmati keindahan bolasepak. Dan kerana
bolasepaklah beliau bangkit, meskipun setahun yang lalu tidak ramai pihak
percaya bahawa Eriksen mampu kembali beraksi di atas padang.
Sangat menakjubkan bagi seorang
pemain yang sudah berada di ambang kematian tetapi kemudiannya bangkit kembali untuk
beraksi di pentas kompetitif. Meskipun bolasepak hampir sahaja meragut
nyawanya, tetapi Eriksen juga tahu bahawa bolasepak adalah `nyawanya’. Eriksen
tidak peduli dengan kondisi jantungnya, kerana yang beliau pedulikan cumalah
bermain bolasepak dan menjadikannya permainan indah untuk ditonton. “Selamat
Datang Christian Eriksen”…Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan