30 Julai 2022

ANTARA KEINGINAN, CINTA DAN RASA HORMAT

 


Dia pemain yang memukau, dia pemain yang mempesonakan dan perlu juga diakui bahawa dia merupakan yang terbaik pada generasinya. Cristiano Ronaldo dan Manchester United seperti tidak dapat dipisahkan, kerana setiap kali anda (penyokong United) bercakap tentang `superstar’ dari Portugal ini, sentiasa akan ada rasa cinta tersemat terhadap diri beliau. Pada 2009 ketika beliau meninggalkan kelab, kita juga pernah berharap agar suatu hari nanti Ronaldo akan pulang semula ke Old Trafford dan menamatkan kariernya di sini.

 

Musim panas tahun lalu, impian bertahun kita yang mahu menyaksikan kepulangan semula Ronaldo ke pangkuan United tertunai. Meskipun ada pihak yang agak skeptikal tentang kemampuan beliau bermain di pentas Liga Perdana pada usia 36 tahun, pemenang Ballon d’Or lima kali itu sebaliknya membuktikan kepada para pengkritiknya bahawa bisanya belum pudar. Usia hanyalah angka, kerana di sebalik musim paling suram dilalui kelab, Ronaldo tetap berjaya meletakkan dirinya sebagai pemain United paling menonjol.

 

Secara keseluruhannya, Ronaldo meledak 24 gol untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Jika bukan kerana 18 gol yang dihasilkannya dalam saingan liga, United tidak akan beraksi di pentas Liga Europa musim ini. Malah situasinya lebih buruk, kerana mereka juga terkeluar dari kelompok sepuluh teratas dalam carta liga. Bagaimanapun akhir-akhir ini Ronaldo kembali menggemparkan kita, gempar kerana beliau dikatakan mahu meninggalkan United buat kali kedua. Alasannya kerana Ronaldo tidak betah bermain di Liga Europa.

 

Betul Ke `Abang Do’ Nak Pergi?

 

Pada 3 Jun lalu, Ronaldo pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau gembira dengan perlantikan Erik Ten Hag selaku pengendali United, individu yang sebelumnya sukses mengangkat prestasi Ajax Amsterdam di peringkat domestik mahupun Eropah. Bagaimanapun nada Ronaldo berubah hanya sepuluh hari selepas itu, sebaik sahaja Liverpool secara rasmi mengumumkan kejayaan mereka mengikat Darwin Nunez. Bukan hanya Ronaldo, tetapi kebanyakkan penyokong United juga kecewa kerana kelab ketika itu masih gagal merekrut seorang pun pemain baharu.

 

Kejayaan kelab merekrut Tyrell Malacia meredakan sedikit kegelisahan kita, tetapi tidak pada Ronaldo. Perlahannya `maneuver’ United dalam bursa perpindahan musim panas kali ini membuatkan beliau gelisah. Mungkin pada pandangan beliau kelab tidak serius dan memiliki cita-cita besar untuk mengharungi cabaran musim baharu, situasi sama yang sudah Ronaldo lihat berlaku pada musim lalu. Bagi pemain bercita-cita besar seperti beliau, nafsunya juga cukup besar kerana bagi Ronaldo, memenangi Ballon d’Or buat kali keenam bukanlah hal yang mustahil. 

 

Tatkala ramai rakan seangkatannya sudah lama berada di alam persaraan, Ronaldo pula masih bernafsu memburu gol, masih mendambakan untuk menjulang kejuaraan dan masih berambisi mengukir pelbagai rekod peribadi. Untuk melakukannya, beliau perlu bermain untuk kelab yang laparkan kejuaraan, kelab yang serius membangunkan pasukan dan kelab yang bercita-cita besar. Untuk itu, beliau melihat United sudah tidak lagi memiliki ciri-ciri tersebut, jadi apa yang boleh Ronaldo lakukan ialah menawarkan dirinya kepada mana-mana kelab yang mahukan khidmatnya.

 

Tak Laku?

 

Mana-mana kelab pun pasti ingin meletakkan pemain seperti Ronaldo dalam kesebelasan utama mereka. Tetapi itu dulu, ketika beliau berada di kemuncak takhtanya selaku pemain terbaik di planet Bumi. Ronaldo bukan lagi pemain muda, usianya kini sudah pun mencecah angka 37 tahun. Atau ringkasnya, beliau cumalah solusi jangka pendek kepada mana-mana kelab jika mereka mahu mendapatkan khidmatnya. Jika Ronaldo memilih meninggalkan United buat kali kedua, ke manakah haluan yang bakal beliau tuju?

 

Setakat ini tiada mana-mana kelab yang mahukan khidmat beliau. Paris St Germain, Chelsea dan Bayern Munich sudah lama berundur, Liverpool dan Manchester City pula menganggap kedatangan Ronaldo bakal merosakkan struktur gaji kelab, manakala Carlo Ancelotti sudah menegaskan bahawa berita kepulangan pemain itu ke Santiago Bernabeu adalah cerita karut. Misi Jorge Mendes bagaimanapun masih belum berakhir, kerana penting bagi beliau untuk meletakkan Ronaldo dalam sebuah kelab yang mampu menawarkan kepada kliennya itu beraksi di pentas Liga Juara-Juara.

 

Jadi tidak hairanlah mengapa radar Mendes terarah kepada sebuah lagi kelab yang berpangkalan di kota Madrid. Atletico Madrid secara tiba-tiba menjadi destinasi paling berkemungkinan untuk Ronaldo meneruskan misinya beraksi di Liga Juara-Juara. Bagaimanapun `rumour’ tersebut segera ditepis Enrique Cerezo, yang juga merupakan presiden kelab. “Saya tidak tahu siapa yang mengarang cerita tentang Cristiano. Tiada sebarang kemungkinan untuk dia datang ke sini”, kata Cerezo dalam wawancaranya bersama Marca.

 

Benarkah Ronaldo ingin meninggalkan United buat kali kedua? Sukar sebenarnya untuk mengesahkan soalan ini kerana apa-apa sahaja berita tentang beliau pastinya menjadi sensasi di media selain meningkatkan rating mereka. Selepas dihidangkan dengan cerita demi cerita sensasi tentang beliau, Ronaldo akhirnya muncul di Carrington. Kelibat Ronaldo di Carrington satu petanda baik meskipun masa depan beliau bersama kelab masih belum jelas. Adakah beliau masih komited kekal bersama kelab, atau akhirnya akan pergi jua sepertimana yang digembar-gemburkan.

 

Penutup

 

Ronaldo mengumumkan bahawa beliau akan bermain dalam aksi pra musim United ketika mereka berdepan Rayo Vallecano di Old Traffiord. Dalam masa yang sama Ronaldo juga sempat menyelar media yang menyiarkan berita tidak benar tentang beliau. “Mustahil untuk mereka tidak bercakap tentang saya setiap hari. Jika tidak, mereka tidak akan menghasilkan wang. Kamu (media) tahu, jika kamu tidak berbohong maka kamu tidak akan mendapat perhatian. Teruskanlah kerana suatu hari anda akan tahu berita sebenar”, kata Ronaldo.

 

Bagaimanapun berita tentang kembalinya Ronaldo ke Carrington dan komitmennya untuk bermain menentang Rayo Vallecano tetap tidak akan memadam keraguan ramai pihak tentang masa depan beliau bersama kelab. Bagi pemain yang meletakkan sasaran peribadi lebih tinggi seperti Ronaldo, beraksi di pentas Liga Europa merupakan satu mimpi ngeri buat beliau. Hanya dengan beraksi di Liga Juara-Juara, Ronaldo mampu memastikan status beliau selaku penjaring terbanyak sepanjang masa kejohanan tersebut tidak tercabar, hatta oleh Lionel Messi sekalipun.

 

Pada usia beliau yang sudahpun mencecah angka 37 tahun, akan sentiasa timbul perdebatan tentang kesesuaian Ronaldo bermain dalam skema `high pressing’ bolasepak moden. Adakah tubuhnya dan tenaganya masih mampu memenuhi tuntutan Erik Ten Hag yang sangat sinonim dengan kehendak agar setiap pemainnya terlibat dalam melakukan `pressing’ ketika mereka hilang penguasaan bola? Atau adakah Ten Hag sudah memiliki solusi lain untuk beliau sesuaikan dalam strategi permainan United supaya Ronaldo terus kekal relevan di Old Trafford?

 

Bagi penyokong United yang menyanjungi Ronaldo, melihat beliau pergi buat kali kedua tentunya satu momen yang sangat menyakitkan. Kerana nama Cristiano Ronaldo akan sentiasa hidup dalam memori masa lampau yang tidak usang ditelan masa. Ronaldo sudah kembali ke Carrington, tetapi teka-teki tentang masa depan beliau sebenarnya masih belum terjawab. Selagi jendela perpindahan belum ditutup, kemungkinan untuk Ronaldo pergi tetap ada. Sekiranya itu berlaku, pasrahlah dan relakan sahaja `Abang Do’ pergi. Glory Glory Manchester United!!!  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan