Ajax Amsterdam bukan sekadar
sebuah kelab bolasepak, tetapi juga sangat dikenali sebagai `kilang’ yang
berjaya melahirkan bakat-bakat kelas dunia di Eropah. Siapa tidak kenal dengan
nama-nama seperti Clarence Seedorf, Dennis Bergkamp, Patrick Kluivert, Zlatan
Ibrahimovic, Wesley Sneijder, Daley Blind, Jan Vertonghen serta Luis Suarez,
dan kini pemain-pemain mereka terus menjadi buruan kelab-kelab besar sekitar
Eropah.
Sentiasa ada bakat baru yang
menonjol mampu dilahirkan Ajax, meskipun mereka selalunya terpaksa mengalah
dengan melepaskan para pemain terbaik mereka kepada kelab yang lebih besar.
Ketika pemain seperti Frenkie de Jong, Matthijs de Ligt, Hakim Ziyech dan Donny
Van de Beek pergi, akan ada pemain baharu yang mampu menggantikan tempat mereka
di Johan Cryuff Arena.
Ajax seperti tidak pernah kehabisan
pemain berbakat dalam stok simpanan mereka atau lebih tepatnya potensi di Johan
Cryuff Arena tidak pernah `mati’. Lalu muncullah pemain seperti Antony Matheus
dos Santos di sana. Baru berusia 22 tahun, tetapi Antony adalah idola baharu di
kota Amsterdam. Antony punya `skill’ individu yang memukau manakala daya
penyudahnya pula sering tidak terjangka oleh pertahanan lawan.
Kemahiran dalam diri Antony adalah
DNA yang diwarisi dari kebanyakkan pemain handalan Brazil...Pele, Garrincha,
Zico, Socrates, Romario, Ronaldo, Kaka, Ronaldinho dan Neymar adalah di
antaranya. Ketika Neymar masih berada di kasta teratas bolasepak dunia, potensi
yang dmiliki Antony pula mula menarik perhatian kelab-kelab besar Eropah, dan
Ajax sekali lagi berdepan kemungkinan kehilangan pemain terbaik mereka.
Dalam Radar United
Potensi Antony mula tersebar
luas di sekitar Eropah, malah sebelum itupun beliau sudah meluahkan keinginannya
untuk beraksi di Sepanyol atau di England. Wujud potensi besar untuk Antony
menyertai United selepas kehadiran Erik Ten Hag selaku pengendali di Old
Trafford. Dan sejak bulan Jun bermulalah `rumour’ demi `rumour’ tentang minat
United terhadap pemenang pingat emas sukan Olimpik Tokyo ini.
Ajax yang sudah pun kehilangan
pemain-pemain terbaik mereka musim ini tentu sahaja mahukan Antony terus kekal
beraksi bersama mereka. Jadi bukan satu tugas yang mudah untuk memujuk Ajax
melepaskan seorang lagi pemain berbakat mereka ke pasukan lain. Bagaimanapun akhirnya
Ajax terpaksa akur, bukan sahaja dengan kuasa wang yang dimiliki United tetapi
juga keinginan Antony untuk berhijrah.
£85 juta, itulah wang yang
terpaksa dibayar United bagi membawa keluar Antony dari Johan Cryuff Arena. Jumlah
ini bukan sahaja meletakkan beliau sebagai `manusia kedua termahal’ dalam
sejarah di Old Trafford, tetapi juga pemain termahal yang pernah dijual Ajax.
Kini Erik Ten Hag sudahpun memiliki pemain hadapan yang beliau dambakan, jadi tunggu
dan lihat adakah Antony mampu memberikan impak kepada jentera hadapan United.
Dari
Sao Paolo Ke Amsterdam
Brazil memang sangat dikenali
bukan sahaja kerana kegilaan bolasepaknya, tetapi kemampuan mereka melahirkan
pemain-pemain kelas dunia. Sentiasa ada pemain-pemain muda berbakat besar lahir
dari negara samba tersebut yang mencuri tumpuan warga bolasepak dunia. Di bandar
Osasco, lahirlah seorang lagi pemain muda berbakat besar bernama Antony Matheus
dos Santos hasil dari produk keluaran akademi bolasepak Sao Paolo.
Bermula dengan debut untuk
skuad senior pada November 2018, Antony melakukan 32 penampilan bersama Sao
Paolo dalam saingan liga, menjaringkan empat gol dan mencipta enam bantuan gol.
Untuk pemain yang memiliki potensi besar seperti beliau, akan sentiasa ada mata
yang memandang dengan penuh minat. Penampilan cemerlang beliau bersama pemenang
tiga kali Copa Libertadores itu akhirnya menarik minat Ajax untuk membawa
Antony beraksi di Eropah.
Pada Februari 2020, bermulalah
episod baharu dalam karier beliau dan menerusi dana sebanyak £18.2 juta yang
dibelanjakan Ajax, Antony melengkapkan perpindahan beliau ke Johan Cryuff
Arena. Pada 13 September 2020, Antony menjaringkan gol pertamanya di sebalik
kemenangan (1-0) Ajax ke atas Sparta Rotterdam dalam saingan liga. Di pentas
Eropah pula, gol pertama Antony hadir ketika Ajax membenam Midtjylland (2-1)
dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada 3 November 2020.
Penampilan menentang Borussia
Dortmund di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada 3 November 2021 antara
penampilan terbaik Antony bersama Ajax musim lalu. Beliau adalah arkitek di
sebalik kemenangan (3-1) Ajax di Signal Iduna Park menerusi penglibatan beliau
dalam ketiga-tiga gol tersebut. Kemenangan itu turut mengesahkan kemaraan Ajax
ke pusingan kalah mati meskipun saingan peringkat kumpulan masih berbaki dua
perlawanan.
Apa
yang Antony Mampu Tawarkan?
Dua tahun lalu, Ten Hag menyedari
potensi besar Antony untuk muncul sebagai prospek masa depan Ajax. Atas sebab
itulah mengapa beliau melakukan perjudian dengan menandatangani Antony dari Sao
Paolo pada harga £18.2 juta, keputusan yang dikritik keras legenda Belanda,
Marco Van Basten. Perjudian Ten Hag berbaloi, apabila dalam tempoh dua musim di
Johan Cryuff Arena, Antony menjaringkan 25 gol dan mencipta 21 bantuan gol dari
85 penampilan dalam semua peringkat kejohanan.
Sebagai `winger’, beliau bukanlah
seorang pemain sayap yang `ortodoks’ tetapi penjaring gol dan pencipta peluang
yang dinamik. Meskipun dianugerahkan dengan `skill’ kawalan bola yang bagus,
Antony sebenarnya lebih kerap melakukan hantaran ke atas berbanding melakukan
`dribble’. Menurut catatan Smarterscout, Antony diberikan skala 64 dari 99
dalam tugas melakukan hantaran berbanding 34 daripada 99 (dribble).
Dalam melakukan kerja-kerja
defensif pula, Antony diberikan skala 73 daripada 99, sekaligus menunjukkan
beliau juga memiliki intensiti bertahan yang bagus ketika diperlukan. Untuk
itu, Smarterscout memberikan beliau volume yang tinggi dalam melakukan `ball
recoveries’ dan `intercept’ (83 daripada 99). Sepanjang musim lalu beliau
sukses melakukan 22 `tackle’ dari 44 percubaan, manakala dalam melakukan `duel’
pula, Antony diberikan skala 51.2.
Di bawah kendalian Ten Hag,
Ajax bermain dengan pendekatan ‘possession football’, mengawal permainan dan
sentiasa memberikan tekanan kepada lawan, faktor penyumbang mengapa Antony
muncul antara pemain penting selama lebih dua musim kariernya di Johan Cryuff
Arena. Bagaimanapun tetap ada keraguan tentang kemampuan Antony beradaptasi
dengan tempo dan intensiti Liga Perdana, jadi untuk itu lihat statistik beliau
di Liga Juara-Juara Eropah.
Dalam saingan Liga Juara-Juara
Eropah musim lalu, Antony muncul pemain ketiga paling banyak melakukan
`progressive dribble’ selepas Lionel Messi dan Kingsley Coman. Dari tujuh
penampilan beliau, Antony melepaskan 26 percubaan di mana sepuluh daripadanya
adalah percubaan `on target’, menjaringkan 2 gol (1.79 expected goal), mencipta
empat `assist’ dan melepaskan 325 hantaran (di mana peratus ketepatan
hantarannya mencapai angka 82%).
Penutup
Pada usia yang baru mencecah
angka 22 tahun, ada keraguan yang bukan sedikit bila bercakap tentang kemampuan
beliau beradaptasi dalam liga yang dianggap paling sukar di dunia. Adakah
Antony mampu menangani segala tekanan atau adakah beliau akan menjadi seorang
lagi pemain Brazil yang gagal di Old Trafford? Tanda harga £85 juta bakal
menjadi beban yang berat untuk ditanggung Antony. Ada harapan yang tinggi, ada
sasaran yang perlu dicapai dan ada misi yang perlu beliau sempurnakan.
Latar belakang ketika masa
kecilnya menjadikan Antony individu yang kuat dan tabah. Liga Perdana adalah
cabaran baharu dan besar bagi beliau, tetapi perjalanan hidupnya sebelum sampai
ke tahap ini juga sangat sukar dan mencabar. Favela, kejiranan setinggan di
mana beliau dibesarkan merupakan antara kawasan termiskin dan berbahaya di
Brazil. Kematian, kartel dadah dan gangsterisme merupakan pemandangan biasa di
sini, hinggakan ia digelar sebagai `Inferninho’ atau neraka kecil.
Manchester City, Liverpool atau
Chelsea mungkin tidak akan melaburkan wang sebanyak £85 juta untuk seorang
pemain seperti Antony. Bagaimanapun dari sudut pandang Ten Hag, Antony ialah
type pemain yang sangat diperlukan beliau. Jadi berapa pun harga yang
diletakkan Ajax, United perlu membayarnya. Ketika ini United perlukan keseimbangan
di kedua-dua sisi sayap mereka. Semoga dengan adanya Antony, mereka mampu
terbang lebih tinggi. “Bienvenido Antony”…Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan