Pada 12 November 1881, satu
perlawanan persahabatan antara Newton Heath dan St. Mark’s berlangsung. Perlawanan
yang dimenangi Newton Heath itu merupakan pertembungan `Manchester Derby’ yang pertama
dari ratusan siri `Manchester Derby’ yang berlangsung selepas itu. Sejak 1881 Manchester
United dan Manchester City sudah bertemu sebanyak 148 kali (dalam saingan
liga). Dari jumlah tersebut, United memiliki catatan lebih unggul berbanding
jiran mereka itu menerusi 39 kemenangan yang dilakar mereka, 31 seri dan 23
kali tewas.
Pada fasa-fasa awal, konflik
antara kedua-dua kelab berpangkalan di kota Manchester ini tidaklah sepanas
sekarang. Bahkan pada 1906 empat pemain City (Jimmy Bannister, Herbert Burgess,
Billy Meredith dan Sandy Turnbull) menyertai United secara serentak. Bagaimanapun
seiring dengan berjalannya waktu, suhu `Manchester Derby’ semakin memanas. Pada
1945 Selepas Sir Matt Busby dilantik sebagai pengurus, beliau membina semula
United dari sisa runtuhan `Manchester Blitz’ menerusi sekumpulan pemain berbakat
yang pernah disaksikan.
Bangkit
Dari Abu
Kota Manchester kembali bergema
menerusi kebangkitan semula United dan bolasepak memberikan keceriaan kepada
warganya, hinggakan mereka terlupa sejenak bahawa hanya lima tahun sebelum itu kota
Manchester dibantai dengan teruk oleh angkatan udara Adolf Hitler. Enam tahun
selepas ketibaan Sir Matt, United menjulang trofi kejuaraan liga buat kali
ketiga dalam sejarah kelab. Kejuaraan liga dijulang lagi pada musim 1955/56 dan
1956/57 sebelum `Tragedi Munich’ yang mengorbankan lapan pemain United
meruntuhkan kembali hegemoni `The Red Devils’.
Sir Matt seolah-olah memang
dilahirkan untuk mencipta kebangkitan. Selepas terselamat dari `Tragedi Munich’,
beliau membina kembali `Busby Babes’ versi kedua. Tujuh tahun selepas `Tragedi
Munich’, United kembali merajai bolasepak Inggeris menerusi kejayaan mereka menjulang
kejuaraan liga pada musim 1964/65 dan kemudiannya pada musim 1966/67. Kemuncak
pencapaian United di era Sir Matt berlaku di Wembley menerusi kejayaan mereka
menundukkan Benfica di pentas final Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara)
pada 1968.
Di sebelah timur kota, City
memandang dengan penuh rasa cemburu melihat trofi demi trofi di bawa masuk
jiran mereka itu ke Old Trafford. Meskipun City berjaya menjulang kejuaraan
liga pada musim 1967/68, ianya tidaklah sebanding dengan apa yang dilakar
United di Eropah. Lumrah kehidupan kerana kita tidak selalunya berada di atas.
Selepas persaraan Sir Matt, penguasaan United mula pudar, manakala bagi
penyokong-penyokong mereka pula dunia tidak lagi seindah sepertimana
sebelumnya. Meskipun begitu, ia tidak pernah menyejukkan suhu `Manchester
Derby’.
Terhumban
Ke Divisyen 2
Pada Disember 1970, George Best
mematahkan kaki Glyn Pardoe, manakala setahun selepas itu beliau bertekak pula dengan
Francis Lee tentang siapa yang lebih banyak melakukan simulasi dalam aksi
`Manchester Derby’ musim tersebut. Pada
musim 1973/74, Mike Doyle (City) dan Lou Macari (United) enggan beredar dari
padang meskipun kedua-duanya dilayangkan kad merah hingga memaksa pengadil
menghentikan perlawanan. Dan paling menarik tentunya aksi `Manchester Derby’
yang berlangsung pada 27 April 1974.
Musim 1973/74 adalah musim yang
tidak mahu diingati oleh mana-mana penyokong United, kerana pada penghujung
musim inilah United tersingkir ke Divisyen 2 Liga Inggeris. Gol menggunakan
tumit yang dilakukan Dennis Law pada aksi `Manchester Derby’ membuatkan United
terhumban dari liga utama bolasepak Inggeris. Jaringan ini antara jaringan yang
sangat terkenal dalam sejarah panjang `Manchester Derby’, kerana ia dilakukan
oleh Law, salah seorang dari trio `Holy Trinity’ yang tugunya berdiri megah di
Old Trafford.
Adakah Law menangisi gol
jaringannya hingga membuatkan United tersingkir ke Divisyen 2? Jawapannya
tidak, kerana Law tidak pernah meratapi penyingkiran United, tetapi gol itu
adalah catatan terakhir Law sebagai pemain professional sebelum beliau akhirnya
mengumumkan persaraan sebaik tamat pusingan akhir Piala Dunia `74 di Jerman Barat.
Masa-masa kelam United berlangsung dalam tempoh yang agak lama, dari dekad 70an
hinggalah 80an, meskipun dalam tempoh tersebut mereka masih mampu menjulang
empat kejuaraan Piala FA.
Kuasa
Besar
Sepanjang dua dekad,
`Manchester Derby’ cumalah pelengkap jadual, hinggalah Sir Alex Ferguson muncul
dan menjadikan kota Manchester sebagai pusat kuasa bolasepak Inggeris semula. Bermula
dengan kejayaan menjulang Piala FA pada final edisi 1990, Fergie mula membina
empayarnya sendiri. Kebimbangan tentang adakah Fergie akan senasib dengan Wilf
McGuiness, Frank O’Farrell, Tommy Docherty, Dave Sexton dan Ron Atkinson lenyap
bila beliau berjaya mengemudi kelab menjulang semula trofi kejuaraan liga yang
sudah 26 tahun tidak mereka menangi.
`Di sebelah sana’, City kembali
memendam rasa, kerana mereka sedar bahawa di tangan Fergie, United sudah berada
dalam kasta yang berbeza. Bayangkan, hanya dalam tempoh satu dekad (1990-2000),
United berjaya menjulang enam kejuaraan liga, tiga Piala FA, satu Piala Liga,
empat Perisai Komuniti dan satu Liga Juara-Juara. Jika mahu mencabar United dan
mengubah warna kota Manchester dari merah kepada biru, City bukan saja perlukan
komposisi skuad yang bagus, sokongan teknikal oleh pakar-pakar di belakang
tabir tetapi juga kewangan yang kukuh.
Penyokong-penyokong City mula
mendambakan agar revolusi yang dilakukan Roman Abramovich di Stamford Bridge merebak
ke timur Manchester. Cuma persoalannya `billionaire’ mana yang sanggup
melaburkan wang untuk kelab seperti City? Akhirnya impian mereka menjadi
kenyataan pada Ogos 2008, apabila konglomerat dari UAE yang diketuai Sheikh
Mansour Al Nahyan mengambilalih kelab. Bermulalah revolusi baharu di timur
Manchester, dan bermula jugalah ambisi City untuk muncul kuasa baharu di kota
Manchester.
Manchester
Berwarna Biru
Sejak 2008 City bukan lagi City
yang dulu, kerana menerusi kekuatan kewangan yang dimiliki pemilik mereka, City
mula berbelanja besar. Langkah pertama, mereka memecah rekod perpindahan
Britain dengan menandatangani Robinho dari Real Madrid. Pada awal dekad
millennium, anda mungkin tidak pernah terfikir pemain-pemain seperti Gareth
Barry, Roque Santa Cruz, Kolo Touré, Emmanuel Adebayor, Carlos Tevez, Joleon
Lescott, Mario Balotelli atau Sergio Aguero akan menyertai City. Tetapi selepas
2008 inilah realiti sebenarnya.
Secara perlahan-lahan kompas
tumpuan kini beralih dari barat daya ke timur Manchester. Imbuhan dari
pelaburan besar yang dilakukan pemilik kelab menyaksikan City akhirnya
menjulang kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 42 tahun. Musim 2011/12
boleh dianggap musim yang cukup `spectacular’ buat City, bukan sahaja kerana
kejayaan mereka menjulang trofi Liga Perdana buat pertama kali dalam tempoh 42
tahun, tetapi juga kerana kejayaan mereka menundukkan United menerusi kemenangan
besar (6-1) di Old Trafford.
Fergie berjaya meletakkan
United kembali ke podium kejuaraan Liga Perdana pada musim terakhirnya bersama
kelab, tetapi sedarkah anda bahawa sejak itu United tidak pernah menamatkan
saingan liga di kedudukan lebih tinggi di atas City. Dominasi City juga
menyaksikan dalam tempoh sembilan musim terakhir, mereka sudah memenangi lima
kejuaraan liga. Jadi jangan salahkan `The Cityzens’ jika mereka mula mendabik
dada dengan mengatakan bahawa mereka adalah `penguasa’ sebenar di kota
Manchester.
City bukan sekadar
membelanjakan wang mereka untuk mendapatkan pemain terbaik, tetapi juga
mendapatkan `tangan-tangan terbaik’ bagi mengendalikan skuad utama mereka. Sepanjang
era Roberto Mancini, Manuel Pellegrini dan kini Pep Guardiola sebagai pengurus,
City sudah mengumpul koleksi 17 kejuaraan domestik dalam tempoh 12 tahun. Kolaborasi
antara Guardiola, Txiki Begiristain dan Ferran Sorriano pula menjadikan City
kini bukan sahaja kelab yang semakin dicemburui, tetapi pengurusan mereka juga
wajar dicontohi.
Penutup
Peristiwa terusirnya United
dari beraksi di Maine Road, terjahan George Best yang menyebabkan kaki Glyn
Pardoe patah, jaringan menerusi tumit Dennis Law yang menghumban United ke
Divisyen 2, dendam Roy Keane yang menghantar Alf Inge Haaland ke alam
persaraan, jaringan `anti graviti’ Wayne Rooney yang ikonik, komentar Fergie
yang melabelkan City sebagai `jiran yang bising’ hinggalah kekalahan besar 1-6
United di Old Trafford, antara momen menarik yang tidak akan pernah luput dari
ingatan bila anda bercakap tentang `Manchester Derby’.
Jika dahulunya City sentiasa
memandang pencapaian United dengan penuh rasa cemburu, tetapi kini adalah sebaliknya.
Mereka sudah jauh meninggalkan United, mereka sudah menjadi kelab yang besar,
mereka adalah kuasa baharu bolasepak Inggeris dan mengalahkan mereka akan
menjadi satu pencapaian yang besar buat mana-mana pasukan termasuk United. `Manchester
Derby’ kini bukan lagi sekadar tentang pertarungan antara United dan City,
tetapi ia tentang kuasa, kemasyhuran dan maruah. Glory Glory Manchester
United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan