Secara keseluruhannya,
Manchester United merekrut lima pemain baharu dan seorang pemain pinjaman pada
jendela perpindahan musim panas ini. Dari kelima-lima rekrut baharu ini, ada
seorang pemain yang dibawa ke Old Trafford secara percuma. Beliau yang saya
maksudkan tentu sahaja Christian Eriksen. United memang gagal mendapatkan
khidmat Frenkie de Jong, tetapi Eriksen juga bukanlah pemain tengah
sembarangan. Meskipun datang secara percuma, Eriksen merupakan perekrutan
penting yang dilakukan United musim ini.
Pada usia beliau yang sudah
mencecah angka 30 tahun, Eriksen juga merupakan pemain yang sangat
berpengalaman menerusi 115 penampilannya bersama skuad kebangsaan Denmark di
pentas antarabangsa. Di peringkat kelab pula, beliau pernah beraksi untuk Ajax
Amsterdam, Tottenham Hotspurs, Inter Milan, Brentford dan kini United.
Bagaimanapun tetap ada keraguan bila bercakap tentang kemampuan Eriksen,
terutamanya selepas insiden di Stadium Parken pada 12 Jun 2021 yang menyaksikan
beliau `mati’ selama lima minit.
Keputusan United merekrut
Eriksen pernah dikritik keras Danny Murphy, bekas pemain yang pernah beraksi
untuk Liverpool, Tottenham Hotspurs serta Fulham dan kini bertugas sebagai
pundit. Menurut Murphy, United tidak perlukan seorang lagi pemain kreatif di
bahagian tengah mereka. “Saya tidak faham kenapa Ten Hag mahu menggandingkan
Bruno dan Eriksen bersama. Percayalah langkah ini akan membuatkan prestasi
United lebih teruk berbanding musim lalu. United dah ada banyak pemain kreatif,
jadi mereka sebenarnya tak perlukan Eriksen”, kata Murphy.
Peranan
Penting
Bahagian tengah antara sektor
yang menjadi fokus utama Ten Hag untuk beliau perkuatkan, jadi atas sebab
itulah mengapa seorang `midfielder’ seperti Eriksen dibawa masuk. Selepas
bertahun-tahun diterapkan dengan pendekatan permainan serang balas pantas oleh
Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solakjaer, Ten Hag pula mahukan sesuatu yang
baharu dalam skema permainan United. Bolasepak proaktif menerusi pendekatan
penguasaan bola, `pressing’ dan hantaran-hantaran pendek adalah `tanda dagang’
yang sudah sebati dalam diri Ten Hag.
Eriksen merupakan tipikal
pemain tengah yang gemar bergerak di belakang penyerang. Ironinya untuk peranan
sebagai `pemain nombor 10’ tersebut, United sudah pun memiliki Bruno Fernandes.
Jadi bagaimana Ten Hag memadankan dua pemain tengah yang memiliki peranan
hampir sama dalam kesebelasan United? Setakat ini, Eriksen diturunkan selama 90
minit dalam empat dari enam aksi United di peringkat liga. Paling menonjol
tentunya penampilan beliau ketika United berdepan Arsenal di Old Trafford pada
4 September lalu.
Menurut catatan statistik yang
dikeluarkan Squawka, Eriksen muncul pemain United paling banyak menyentuh bola
(56 sentuhan), melakukan hantaran di zon `final third’ lawan (16 hantaran),
melakukan hantaran ke dalam kotak penalti (4 hantaran) serta mencipta peluang
jaringan gol (3 peluang). Kemuncak aksi Eriksen dalam perlawanan tersebut, lahirlah
`assist’ pertama beliau musim ini yang berjaya disempurnakan Marcus Rashford
untuk gol ketiga United. Jadi tidak hairanlah mengapa selepas tamat aksi,
beliau dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Dalam kem United pula setakat
ini dari enam penampilan liga, Eriksen muncul pemain tengah paling banyak
melakukan percubaan (15), percubaan tepat (5), hantaran (323), hantaran tepat (239)
serta peratus hantaran tepat tertinggi (74%) berbanding Bruno Fernandes, Fred
dan Scott McTominay. Jadi kepada mereka-mereka yang sebelumnya agak skeptikal
dengan kemampuan dan peranan yang bakal dimainkan Eriksen selaku penggerak
jentera tengah United musim ini, anda patut lihat semula komentar Ten Hag
selepas tamat aksi United dan Arsenal.
“Kami meletakkan dia sedikit ke
bawah. Pada asasnya ia seperti peranan pemain `nombor 6’ atau `8’. Dia
diberikan kebebasan dan ruang untuk bergerak di mana dia sepatutnya berada. Dia
melakukan banyak kerja, melihat pergerakan rakan sepasukan, melakukan hantaran
dan menyerang untuk mencipta peluang atau menjaringkan gol. Adakalanya dia juga
akan diarahkan untuk bertahan. Dia pemain yang penting, jadi jika berlaku kesilapan
kecil yang dilakukannya, ia akan bertukar menjadi bencana buat seluruh
pasukan”, kata Ten Hag.
Menggantikan
Peranan Pogba
Frenkie de Jong adalah prioriti
tetapi Eriksen pula merupakan alternatif yang sangat berbaloi untuk
ditandatangani, tambahan pula dengan status beliau sebagai agen bebas ketika
itu. Ada keraguan bila melihat aksi pertamanya dalam saingan liga musim ini
ketika berdepan Brighton & Hove Albion, tetapi untuk berlaku adil anda juga
patut melihat `role’ yang dimainkan beliau dalam perlawanan itu. Eriksen merupakan
`type’ pemain yang gemar memegang bola berbanding mengejarnya.
Jadi peranan sebagai `false
nine’ yang diberikan kepada beliau ketika berdepan Brighton adalah satu
eksperimen yang gagal dari Ten Hag. Dua penampilan awal liga adalah bencana
buat Eriksen tetapi aksi menentang Arsenal adalah jawapan sebenar mengapa
United sepatutnya sudah lama mendapatkan seorang `midfielder’ berpengaruh
seperti beliau. Dalam transisi bertahan ke menyerang, Ten Hag menerapkan
strategi serang balas pantas yang berjaya `dihadam’ dengan cukup baik oleh
Eriksen.
Sepanjang perlawanan, Eriksen
sering terlibat dalam perebutan atau sentiasa berada berdekatan dengan
mana-mana rakan sepasukan yang berjaya merampas bola dari penguasaan pemain
lawan. Atas sebab itulah anda dapat melihat United kerap melakukan
hantaran-hantaran pantas terus ke arah Jadon Sancho, Marcus Rashford atau
Antony. Kemuncaknya seperti yang dapat anda lihat ialah penglibatan Eriksen
menerusi gol kedua dan ketiga United yang dihasilkan Marcus Rashford.
Penutup
Sembilan tahun lalu, Eriksen
tiba di White Hart Lane dari kota Amsterdam bersama enam lagi pemain baharu
yang ditandatangani Tottenham Hotspurs hasil dari dana yang dibelanjakan mereka
menerusi penjualan Gareth Bale ke Real Madrid. Tiada keraguan kerana berbanding
Paulinho, Naser Chadli, Etienne Capoue, Roberto Soldado, Vlad Chiriches dan
Erik Lamela, Eriksen merupakan pelaburan paling berbaloi yang dilakukan Spurs
ketika itu.
Selama enam setengah musim bersama
Spurs, Eriksen melakukan lebih 300 penampilan untuk skuad `The Lilywhites’
dalam semua peringkat kejohanan, menjaringkan 69 gol, terlibat dalam 158 gol
dan mencipta 89 bantuan gol untuk rakan sepasukannya. Tapi malangnya, statistik
tersebut tetap tidak mampu membantu Spurs menjulang sebarang kejuaraan. Sepanjang
tempoh itu jugalah beliau beberapa kali menolak godaan untuk menyertai kelab
lebih besar dan kekal bertahan di utara kota London.
Insiden serangan jantung di
Stadium Parken rupa-rupanya tidak pernah membuatkan Eriksen terfikir untuk
berhenti dari bermain bolasepak. Eriksen kembali ke England semula, bermula di
Brentford beliau kemudiannya menyertai United secara percuma. Perpindahannya ke
Old Trafford ditenggelami keriuhan kedatangan Tyrell Malacia, Lisandro
Martinez, Casemiro dan Antony…tetapi siapa mampu menyangkal bahawa Eriksen
adalah pembelian bijak yang dilakukan kelab musim ini.
Selepas tamat aksi menentang
Arsenal, Paul Merson melabelkan Eriksen sebagai `pembeza’ antara pasukan yang
menang dan kalah. Kerana menurut Merson, Arsenal tidak mampu menewaskan United
kerana mereka tidak memiliki pemain seperti Eriksen. Eriksen datang ke Old
Trafford dengan `tanda harga £0’. Tetapi harga percuma itu tidak pernah
mengurangkan sedikitpun `kegeniusan’ seorang lelaki bernama Christian Eriksen
ini. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan