12 Oktober 2022

700...SEBUAH KISAH PERJALANAN YANG PANJANG

 


Sama ada beliau menjaringkan gol atau tidak…mereka-mereka yang membenci atau yang menyukainya akan sentiasa bercakap tentang Cristiano Ronaldo. Aksi menentang Everton dalam saingan liga tempohari, Ronaldo sekali lagi melakar sejarah baharu dalam kariernya. Gol yang dihasilkan Ronaldo ke gawang Everton di minit ke-44 itu bukan sahaja menghadiahkan Manchester United tiga mata berharga, tetapi gol itu merupakan gol ke-700 yang dijaringkan beliau sepanjang kariernya di peringkat kelab.

 

Sudah agak lama Ronaldo tidak menjaringkan gol dalam saingan liga, kerana gol terakhir yang dihasilkannya di Liga Perdana berlaku ketika United berdepan Brentford pada 3 Mei lalu. Atau lebih tepatnya, gol menerusi tendangan penalti itu terhasil pada aksi terakhir United dalam saingan liga musim lalu. Musim ini, Ronaldo gagal menjaringkan sebarang gol dari enam penampilan awal beliau di Liga Perdana, tetapi penantian panjang tersebut `dibayar’ beliau menerusi gol kemenangan dari ledakan kaki kirinya yang menewaskan Jordan Pickford. 

 

Menjaringkan 700 gol di peringkat kelab bukanlah satu kerja yang mudah, satu pencapaian yang sangat istimewa dan dilakukan oleh pemain yang memiliki bakat istimewa. Paling menarik Ronaldo melakukannya ketika beliau masih aktif bermain di pentas bolasepak kompetitif kelas tinggi. Secara keseluruhannya, ini merupakan gol ke 144 yang dijaringkan Ronaldo untuk United. Selain daripada itu untuk mencapai angka 700 tersebut, Ronaldo meledak lima gol ketika bersama Sporting Lisbon, 450 gol untuk Real Madrid dan 101 gol untuk Juventus.

 

Sporting Lisbon

 

Sepertimana yang anda tahu, Ronaldo memulakan karier profesionalnya bersama Sporting Lisbon. Pada usia yang baru mencecah 17 tahun, Ronaldo sudah mampu meletakkan dirinya dalam skuad utama `Leões’. Sepanjang musim 2002/03, Ronaldo melakukan 31 penampilan dalam semua peringkat kejohanan untuk Sporting, menjaringkan lima gol dan mencipta enam bantuan gol. Potensi Ronaldo sebagai `bintang dalam pembikinan’ akhirnya menarik minat Sir Alex Ferguson, dan pada Ogos 2003 beliau akhirnya melengkapkan perpindahannya ke Old Trafford.

 

Real Madrid

 

Sembilan musim di Santiago Bernabeu adalah tempoh yang cukup sensasi buat Ronaldo selepas beliau meninggalkan United pada 2009. Apa tidaknya kerana bersama Real, beliau berjaya memenangi kesemua kejuaraan yang ditawarkan, baik di peringkat domestik mahupun Eropah. Paling sensasi tentulah empat medal kejuaraan Liga Juara-Juara yang berjaya dimenanginya dan empat kali juga beliau dinobatkan selaku pemain terbaik dunia. Bagaimana pula dengan rekod jaringannya?

 

Bersama Real, Ronaldo juga pernah dinobatkan selaku penjaring terbanyak Eropah sebanyak tiga kali. Tiga anugerah kasut emas Eropah yang dimenanginya sudah cukup menggambarkan betapa kejamnya Ronaldo ketika beliau berada di hadapan gawang lawan. Statistik beliau sepanjang kariernya di Santiago Bernabeu memang sangat `mengerikan’, kerana hanya dalam 438 penampilan sahaja, beliau berjaya menjaringkan 450 gol, atau purata lebih 1.02 gol dijaringkannya per perlawanan.

 

Juventus

 

Mungkin sudah puas dengan pencapaian yang dilakar beliau, atau mungkin sudah tiada apa lagi yang perlu dibuktikannya, pada musim panas 2018 Ronaldo akhirnya memutuskan ikatan selama sembilan musim beliau bersama Real. Destinasi Ronaldo seterusnya ialah Itali, negara yang sangat sinonim dengan seni bertahan dalam bolasepak mereka. Mungkin bagi sesetengah pihak keputusan beliau menyertai Juventus agak mengejutkan, tetapi itulah Ronaldo…pemain yang sentiasa mencabar dirinya untuk menjadi `yang terbaik’ di kalangan yang terbaik.  

 

Serie A adalah cabaran baharu dan ketajaman Ronaldo bakal diuji oleh seni bertahan bolasepak Itali. Bagaimanapun, pakar-pakar `Catenaccio’ terbaik Itali tidak pernah menemui cara bagaimana mahu menghentikan Ronaldo dari terus menghasilkan gol. Untuk seorang pemain yang sudah melewati usia 30 tahun, 101 gol selama tiga musim kariernya di Itali satu statistik yang menakjubkan. Pada musim 2020/21, dominasi sembilan musim berturut-turut `Scudetto’ Juventus berakhir, detik yang turut menandakan bahawa Ronaldo harus mengucapkan selamat tinggal kepada kota Turin.

 

Manchester United

 

Penyokong United mana yang tidak gembira bila impian bertahun-tahun mereka yang mahu melihat Ronaldo kembali semula ke pangkuan kelab tercapai. Sejak beliau meninggalkan Old Trafford pada 2009, ada perasaan kuat yang menginginkan agar suatu hari nanti beliau kembali, menyarung jersi United semula dan jika boleh menamatkan kariernya di sini. Kariernya bermula di Sporting Lisbon, tetapi United adalah tempat Ronaldo membina kariernya, mencipta nama dan muncul antara pemain hadapan yang sangat digeruni pertahanan lawan.

 

12 tahun selepas beliau meninggalkan United, Ronaldo akhirnya kembali semula ke Old Trafford. Ada perdebatan bila bercakap tentang `instinct’ pembunuhnya, apatah lagi Ronaldo pada musim lalu sudahpun berusia 36 tahun. Bagaimanapun di sebalik musim paling suram United pasca persaraan Sir Alex Ferguson, Ronaldo masih mampu mencuri tumpuan menerusi 24 gol yang berjaya dihasilkannya. 24 gol yang dijaringkannya bukan sahaja menambah koleksi jaringannya buat United, tetapi turut meletakkan beliau selaku penjaring terbanyak kelab musim lalu.

 

Penutup

 

Musim ini, Ronaldo sudah melakukan sepuluh penampilan untuk United, tujuh dalam saingan liga dan tiga pada saingan peringkat kumpulan Liga Europa. Gol pertama Ronaldo musim ini pula terhasil ketika United berdepan Sheriff Tiraspol dalam saingan Liga Europa menerusi sepakan penalti. Manakala gol kedua dan paling istimewa, tentunya gol ke 700 yang dihasilkan beliau di peringkat kelab ketika berdepan Everton dalam saingan liga tempohari.

 

Gol yang dijaringkan beliau ke gawang Moreirense dalam saingan liga pada 7 Oktober 2002 merupakan gol pertama Ronaldo, dan selepas itu beliau perlukan tempoh selama 20 tahun untuk mencetak 700 gol di peringkat kelab. Menurut catatan dari laman Transfermarkt pula, Sevilla merupakan kelab yang paling kerap menjadi korban ketajaman Ronaldo. Untuk rekod, dari 18 penampilan beliau ketika berdepan Sevilla, Ronaldo berjaya menjaringkan 27 gol.

 

Selaku mesin gol yang sempurna ketika zaman kemuncaknya, Ronaldo tentulah memiliki pelbagai cara untuk menewaskan penjaga gol lawan. Jadi bahagian tubuh mana yang sering digunakan beliau untuk menghasilkan 700 gol tersebut? Menurut perincian yang dikeluarkan BBC, 460 gol dijaringkan Ronaldo dengan menggunakan kaki kanan, 125 gol dihasilkan beliau menggunakan kaki kiri, 113 gol menggunakan kepala, manakala dua gol lagi terhasil dari bahagian lain tubuhnya.

 

Bukan mudah menjaringkan 700 gol, apatah lagi Ronaldo melakukannya di empat pentas berbeza (Primeira Liga, Liga Perdana, La Liga dan Serie A). Jadi tidak hairanlah mengapa Graeme Souness, seorang pundit yang sangat kritis melabelkan Ronaldo sebagai penyerang terbaik dunia. 700 gol bukan sekadar kisah pencapaian seorang pemain bernama Cristiano Ronaldo. Ia kisah perjalanan yang sangat panjang, ia kisah yang luarbiasa dan terhasil dari pemain yang bukan `biasa-biasa’. Glory Glory Manchester United!!!  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan