17 Mei 2023

PHIL JONES...SEBUAH KISAH LEGENDA YANG HILANG

 


Pada musim panas 2011, Phil Jones antara empat pemain yang direkrut oleh Sir Alex Ferguson selain David De Gea, Ashley Young dan Frederick Vessel. Jones yang baru berusia 19 tahun ketika itu direkrut Fergie dari Blackburn Rovers, dan dilabel antara bakat muda paling berpotensi untuk menyerlah di England. Malah Fergie sendiri pernah meramalkan bahawa suatu hari nanti Jones bakal memainkan peranan penting bukan sahaja untuk United tetapi juga skuad kebangsaan England.

 

Penampilan pertama Jones bersama skuad `The Red Devils’ berlaku pada aksi pembukaan musim baharu merebut trofi Perisai Komuniti menentang Manchester City. Penampilan pertama yang berakhir dengan cukup manis buat Jones apabila United berjaya menewaskan City (3-2) dalam perlawanan itu. Penampilan Jones pada tanggal 7 Ogos 2011 di Wembley itu bukan semata-mata tentang medal pertama yang dimenangi beliau sebagai pemain, tetapi `versatility’ beliau di atas padang.

 

Ketika tempoh permainan sudah berlangsung selama 48 minit, Jones akhirnya diberikan kesempatan bermain. Peluang melakukan penampilan pertama di Wembley dalam perlawanan besar seperti ini tentunya menjadi impian buat mana-mana pemain muda seperti Jones. Tetapi ini juga bukanlah satu tugas yang mudah untuk beliau menggantikan tempat Michael Carrick, dan terpaksa pula berdepan dengan trio pemain tengah lawan yang dibarisi Yaya Toure, James Milner serta Nigel de Jong.

 

Tanpa rasa gugup dan gentar, Jones memainkan peranannya dengan sangat berkesan di bahagian tengah bersama Anderson. Setiap kali bola menghampiri zon pertahanan United, Jones sentiasa ada untuk cuba memenangi setiap perebutan bola membabitkan beliau dengan Yaya atau Milner. Kemuncak kepada kerja kerasnya, Jones akhirnya berada di atas podium Wembley, dikalungkan medal kejuaraan pertamanya dan menerima pujian dari Fergie hasil dari penampilan cemerlangnya selama 42 minit.

 

Jangkaan Yang Tersasar

 

Jones antara pemain serba boleh yang ada dalam skuad United ketika itu, bukan sahaja mampu beraksi di benteng pertahanan, tetapi juga sebagai pemain tengah bertahan ataupun bek sayap. Aksi menentang Bolton Wanderers di Stadium Reebok pada 10 September 2011 menjadi saksi betapa versatilnya Jones menerusi catatan dua bantuan gol yang dilakukannya. Dan sehingga 2013, karier Jones bersama United berjalan dengan cukup lancar.

 

Ketika itu, Fergie mengatakan bahawa Jones bakal muncul pemain hebat yang pernah United miliki. “Jones dari apa yang anda lihat sekarang, boleh menjadi pemain hebat yang pernah dimiliki kelab. Pada usia 21 tahun, dia akan menjadi pemain yang fenomenal, kerana dia juga boleh bermain di mana-mana posisi”, kata Fergie dalam wawancaranya dengan Sports Joe pada 2013. Bagaimanapun Fergie tetap manusia biasa, kadangkala jangkaan dan ramalan beliau tidak semestinya tepat dan jauh meleset.

 

Sembilan tahun selepas itu, harapan Fergie tidak pernah kesampaian manakala jangkaan beliau terhadap potensi Jones meleset sama sekali. David Moyes yang menggantikan tempat Fergie tidak mampu menjadikan Jones pemain yang hebat. Begitu juga Louis Van Gaal, Jose Mourinho, Ole Gunnar Solskjaer dan kini Erik Ten Hag. Mereka kesemuanya tidak mampu menggilap semula potensi Jones yang telah hilang, dan harapan Fergie lenyap gara-gara masalah kecederaan dialami pemain itu.

 

Bukan masalah prestasi atau disiplin, tetapi kecederaan adalah penyebab utama hilangnya potensi besar yang dimiliki Jones sebagai pemain. Lebih malang, beliau terpaksa berdepan masalah kecederaan yang bervariasi sepanjang kariernya bersama United. Sebutkan bahagian tubuh beliau yang mana tidak pernah ditimpa kecederaan? Dari kecederaan lutut, pergelangan kaki, hamstring, jari, belakang, pinggang, bahu hinggalah didiagnosis dengan masalah gegaran otak.

 

Semakin Dilupakan

 

Dalam tempoh empat musim terakhir, Jones cuma melakukan 13 penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan, di mana kali terakhir anda melihat kelibatnya di atas padang ialah pada 2 Mei 2022 ketika aksi liga menentang Brentford. Musim 2020/21 Jones tidak pernah sekalipun menyentuh bola manakala sepanjang musim lalu, beliau cuma melakukan lima penampilan untuk United, satu dalam saingan Piala FA dan empat dalam saingan liga.

 

Gol terakhir dari Jones pula hadir pada aksi menentang Tranmere Rovers dalam saingan Piala FA pada 26 Januari 2020. Selepas itu apa yang berlaku? Jones hilang lagi dari radar dan kembali ke bilik rawatan akibat dari kecederaan kaki yang dialaminya. Beliau akhirnya kembali bermain ketika United ketika berdepan Wolverhampton Wanderers dalam saingan liga pada 3 Januari 2022. Dan ini juga merupakan penampilan pertama Jones dalam tempoh dua tahun.

 

Sepanjang kariernya bersama United, Jones muncul pemain paling banyak diketepikan akibat kecederaan (230 kali), jumlah yang sebenarnya jauh mengatasi penampilan keseluruhan beliau di Liga Perdana (204 penampilan). Secara keseluruhannya selama sebelas musim beliau bersama United pula, Jones menghabiskan tempoh kira-kira 1,387 hari memulihkan kecederaan beliau. Jadi tidak hairanlah sekiranya ada di kalangan anda lupa akan kewujudan Jones dalam kem United.

 

Penutup

 

Phil Jones dan David De Gea antara `cebisan’ pemain yang tinggal hasil dari pembelian dilakukan kelab ketika era Sir Alex Ferguson sebagai pengurus. Bagaimanapun berbanding Jones yang sudah lama terpinggir, De Gea pula masih kekal di posisinya selaku pilihan nombor satu bagi mengawal pintu gol United. Jones kini sudah memasuki tahun kedua belas kariernya bersama kelab, tempoh yang menyaksikan kariernya lebih banyak di warnai dengan masalah kecederaan.

 

Penampilan Jones ketika United berdepan Wolverhampton Wanderers pada Januari tahun lalu adalah `wajah’ sebenar beliau. Meskipun United tewas, Jones muncul pemain paling menonjol. Beliau memenangi tujuh daripada lapan perebutan bola, melakukan tujuh `ball recoveries’ (jumlah terbanyak berbanding pemain United yang lain), tiga `block’, dua `intercept’ dan dua `clearance’. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau diberikan tepukan gemuruh oleh para `Stretford Enders’ sebaik tamat perlawanan.

 

Jika tidak dibelit dengan masalah kecederaan, Jones mungkin mampu meletakkan dirinya sebagai `jelmaan Duncan Edwards’ sepertimana jangkaan Sir Bobby Charlton dulu. Atau setidak-tidaknya memiliki persona seperti Fernando Hierro atau Franco Baresi sepertimana harapan Fabio Capello. Dengan hanya 269 penampilan untuk United sejak 2011, satu keajaiban sebenarnya untuk melihat Jones masih kekal bersama kelab hingga ke hari ini.

 

Kelmarin, kelab akhirnya memutuskan ikatan selama 12 tahun bersama Jones, pemain yang sejak 2018 meraih pendapatan sebanyak £28.5 juta hanya dengan menyaksikan permainan United dari bangku penonton. Musim depan tiada lagi kelibat Jones dalam kem United, tiada lagi sosok pemain yang sangat terkenal dengan gaya permainan kerasnya serta kecenderungan melakukan `tackle’ secara melulu hingga terlupa bahawa tubuhnya sangat `rapuh’.

 

Satu medal kejuaraan liga, satu medal kejuaraan Piala FA, dua kali menjulang trofi Perisai Komuniti dan berada di pentas Eropah ketika United menjulang kejuaraan Liga Europa, tetap satu pencapaian yang sebenarnya wajar dicemburui bagi seorang pemain yang cuma melakukan 229 penampilan sepanjang tempoh dua belas musim bersama United. Jones bukanlah definisi sebuah `kegagalan’ tetapi beliau adalah sebuah kisah tentang `legenda yang hilang’. Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan