Sir Alex Ferguson memang sangat
terkenal bukan sahaja kerana sentuhan emasnya yang berjaya membawa Manchester
United menjulang pelbagai kejuaraan sepanjang tempoh 27 tahun karier
pengurusannya di Old Trafford, tetapi beliau juga sangat terkenal kerana
kemampuannya menjadikan pemain yang pada awalnya `tidak punya apa-apa’ kepada
bintang bolasepak dunia. Dari era barisan `Class of 92’ hinggalah ke era
keemasan Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney, sentiasa ada bintang yang berjaya
dilahirkan Fergie sebagai tonggak United.
Umpama mata helang yang tajam
memerhati, begitu jugalah dengan kemampuan Fergie mengenalpasti potensi besar
dalam diri seseorang pemain untuk beliau bentuk menjadi bintang besar suatu
hari nanti. Bagaimanapun untuk seorang pemain yang bernama Erik Djemba Djemba,
Fergie terpaksa mengakui bahawa ini adalah satu pelaburan yang gagal. Ketika
usia Roy Keane sudah memasuki angka 32 tahun, Fergie melihat terdapat keperluan
untuk beliau mendapatkan seorang pemain tengah sebagai pengganti jangka panjang
Keano.
Kejutan dan Kegagalan
Pada musim panas 2003, Fergie
mengejutkan penyokong-penyokong United apabila beliau menandatangani Erik
Djemba Djemba dari kelab Ligue 1, Nantes. Dengan nilai £3.5 juta yang
dibelanjakan kelab ke atas Djemba Djemba, Fergie berharap kehadiran pemain yang
berjaya membantu Cameroon menjulang Piala Negara-Negara Afrika pada 2002 itu
mampu menjadi pelapis kepada Keano di jentera tengah United. Menurut Fergie,
Djemba Djemba merupakan pemain tengah yang memiliki elemen kepantasan, agresif
dan dinamik dalam permainannya.
Tatkala Cristiano Ronaldo cuma
memperlukan penampilan pertama untuk memukau khalayak penyokong United, nasib
sebaliknya pula menimpa Djemba Djemba. Pemain yang diharapkan Fergie mampu
menggantikan posisi Keano suatu hari nanti sebaliknya bergelut dalam usahanya
merebut tempat dalam kesebelasan utama. Sepanjang tempoh dua tahun keberadaan
Djemba Djemba di Old Trafford, beliau cuma mampu melakukan 20 penampilan di
Liga Perdana. Berapa pula gol yang berjaya dijaringkannya dalam tempoh
tersebut? Jawapannya…tiada.
Sepertimana Kleberson, David
Bellion dan Dong Fangzhuo, Djemba Djemba juga merupakan pelaburan gagal yang dilakukan
Fergie dalam usaha beliau memperkuatkan skuadnya bagi menghadapi musim 2003/04.
Tetapi situasi Djemba Djemba lebih parah kerana namanya sering dijadikan bahan
jenaka oleh penyokong-penyokong United. Malah Gary Neville dalam satu wawancara
beliau bersama ESPN pernah menyebut secara simbolik tentang kegagalan United di
pertengahan era 2000an sebagai `tahun Djemba Djemba’.
Jalan Keluar
Kehadiran Darren Fletcher
menyaksikan karier Djemba Djemba bersama United semakin terancam, dan pada 2005
beliau akhirnya menyertai Aston Villa. Meskipun dilabel sebagai `pelaburan yang
gagal’, Djemba Djemba mengatakan bahawa menyertai United merupakan impian sejak
bertahun-tahun yang akhirnya menjadi kenyataan. “Jika saya boleh mengulanginya
lagi, saya ingin menyertai United. Tetapi bukan pada 2003, kerana ketika itu
mereka memiliki Keane, Scholes, Butt dan (Phil) Neville. Saya berdepan
kesukaran bersaing dengan mereka”, kata Djemba Djemba.
Usaha beliau menghidupkan
kembali kariernya di England menerusi perpindahan ke Villa Park berdepan
kegagalan. Dan sama situasinya seperti di Old Trafford, Djemba Djemba cuma
melakukan 11 penampilan untuk Villa. Selepas meninggalkan Burnley pada 2007,
Djemba Djemba bermain di liga Qatar, Denmark, Israel, Serbia, Scotland, India,
Indonesia dan terakhir di Perancis. Pada 2021, Djemba Djemba akhirnya
mengumumkan persaraan sebagai pemain selepas hampir enam tahun beliau tidak
beraksi dalam mana-mana perlawanan kompetitif.
Penutup
Bukan mudah untuk mana-mana
pemain menggantikan Roy Keane. Bukan sekadar memakai `armband’, Keano adalah
pemimpin, penggerak dan figura yang menghidupkan jentera tengah United selama
bertahun-tahun. Bagi seorang pemain yang baru berusia 22 tahun pada 2003, satu
beban yang sangat berat untuk Djemba Djemba memenuhi ekspektasi yang diletakkan
di bahu beliau sebagai `pengganti jangka panjang Keano’. Akhirnya mungkin juga beliau
terpaksa mengakui bahawa menyertai United merupakan satu kesilapan yang
dilakukan beliau dalam kariernya.
Sepanjang 39 penampilan
keseluruhan Djemba Djemba dalam semua peringkat kejohanan Untuk United, beliau cuma
mampu menjaringkan dua gol. Satu gol dihasilkannya ketika United membelasah
Panathinaikos dalam saingan Liga Juara-Juara dan satu lagi menerusi voli ke
gawang Leeds United dalam saingan Piala Liga. Selebihnya, Djemba Djemba cumalah
sejarah yang tidak pernah ingin diingati oleh penyokong-penyokong United. Gelaran
`King Eric’ yang diberikan penyokong United kepada beliau bukan kerana
kehebatannya, tetapi lebih berbentuk sarkastik.
Begitupun, Djemba Djemba tidak pernah menyesal menyertai United. Pada 2013 dalam satu wawancara bersama The Guardian, beliau berkata, “Saya tidak pernah menyesal tentang apa yang pernah berlaku dalam karier saya. Ia adalah tentang bolasepak dan Tuhan yang menentukannya. Saya gembira bermain untuk United, gembira memenangi piala bersama mereka dan gembira dengan cara mereka melayan saya. Wira saya ialah Eric Cantona dan apabila saya pulang ke Cameroon, mereka memanggil saya King Eric”. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan