21 Julai 2023

ANDRE ONANA...REVOLUSIONER DI POSISI NOMBOR SATU UNITED

 


Hanya kerana sebutir Lasimac, nama Andre Onana lenyap dari peta bolasepak dunia selama setahun. Ketiadaan Onana bermula dari Februari 2021 jelas satu kehilangan besar buat Ajax Amsterdam kerana beliau merupakan penjaga gol terbaik mereka yang selama bertahun-tahun sudah membuktikan nilainya bersama kelab. Imej bersih beliau selama ini musnah dalam sekelip mata, tetapi Onana perlu akur bahawa beliau tidak akan terlibat dalam sebarang aktiviti bolasepak selepas rayuan pengurangan tempoh penggantungannya ditolak Mahkamah Timbang Tara Sukan.

 

12 bulan selepas beliau menjalani penggantungan, Onana kembali ke pangkuan Ajax, namun situasinya sudah jauh berubah. Posisi yang ditinggalkan Onana diisi Remko Pasveer, penjaga gol veteran yang beraksi dengan cukup cemerlang mengawal gawang Ajax sepanjang ketiadaannya. Pada Mei 2022, Onana akhirnya pergi meninggalkan Ajax sebagai agen bebas sekaligus menamatkan ikatan selama enam tahun beliau bersama gergasi Belanda itu. Bagaimanapun dengan rekod doping beliau, tidak banyak kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya.

 

Dari Eredivisie Ke Serie A

 

Ketika Onana bergelut mencari kelab baharu, Inter Milan pula sedar potensi besar yang dimiliki beliau sebagai pengganti jangka panjang kepada Samir Handanovic. Pada 1 Julai 2022, kesepakatan berjaya dicapai dan Onana akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai pemain Inter dengan durasi kontrak selama lima tahun. Di Itali, negara di mana pizza dicipta, Onana menemui kembali jati dirinya. Sokongan tidak berbelah bahagi dari keluarga dan ultras La Beneamata menyaksikan Onana kembali menemui prestasi serta potensi terbaiknya.

 

Pada saingan Liga Juara-Juara musim lalu, beliau merakamkan lapan `clean sheet’ dari 13 penampilan yang menyaksikan Inter berjaya mara ke pentas `final’. Beberapa penyelamatan hebat yang dilakukan Onana di Istanbul bagaimanapun gagal menghalang Manchester City dari menjulang kejuaraan sulung Liga Juara-Juara mereka. Begitupun, penampilan gemilang Onana berjaya mencuri perhatian Pep Guardiola. “Onana adalah penjaga gol yang luar biasa. Dia melakukan `build up’ dan berada di posisi pemain tengah bertahan. Dia betul-betul menyusahkan kami”, kata Guardiola selepas tamat perlawanan.

 

Kata-kata yang dilontarkan Guardiola bukan satu pujian biasa, tetapi penghargaan luarbiasa dari seorang individu yang mempelopori konsep seorang `ball playing goalkeeper’ dalam sistem bolasepak moden. Di Barcelona, beliau menggunakan Victor Valdes sebagai `revolusioner’ dan kini pengaruh tersebut dapat anda lihat dalam hampir kesemua pasukan yang beraksi di Liga Perdana. Lihat bagaimana peranan yang dimainkan David Raya untuk Brentford, Ederson Morais untuk City, Alisson Becker untuk Liverpool atau Nick Pope untuk Newcastle.

 

`Libero’ Di Pintu Gol

 

Perkembangan teknologi yang semakin pesat menjadikan dunia bergerak dengan sangat pantas, dan bolasepak juga tidak terlepas dari arus modenisasi. Bolasepak moden menyaksikan ramai pemain mampu beraksi lebih dari satu posisi dengan gaya permainan berbeza. Mereka-mereka inilah yang sering menjadi buruan kelab-kelab besar serata dunia, dan salah seorangnya ialah Onana. Beliau merupakan penjaga gol moden, atau antara contoh terdekat seorang libero yang beraksi di bawah gawang sepertimana yang disebut Guardiola. 

 

United sepatutnya sudah lama membawa seorang `ball playing goalkeeper’ ke dalam skuad mereka, dan kehadiran Onana adalah pelengkap kepada aspirasi Ten Hag yang mahu menjadikan United kesebelasan dominan dalam hal penguasaan bola. Tidak dinafikan bahawa De Gea merupakan seorang `shot stopper’ terbaik pernah dunia saksikan, tetapi Onana adalah tipikal penjaga gol moden yang mungkin paling ekstrim ketika ini. Kekuatan Onana ialah kemampuan beliau mengawal zonnya dengan baik menerusi kedua-dua belah kakinya, serta julat hantaran-hantaran yang dilakukannya pula lebih luas.

 

Musim lalu, ketepatan hantaran yang dilakukan beliau mencapai angka 93.8%, manakala purata hantaran yang dilakukan Onana dalam setiap perlawanan pula adalah 28.8. Kedatangan Onana ke Old Trafford bukan tentang pertemuan semulanya dengan Ten Hag semata-mata, tetapi beliau dibawa kerana falsafah bolasepak yang dianut warga Belanda itu. `Possession based football’ merupakan elemen terpenting dalam bolasepak moden, dan angin perubahan itulah yang cuba dibawa Ten Hag pada musim pertamanya di Old Trafford.

 

Bagaimanapun asas kepada pendekatan ini memerlukan seorang `ball playing goalkeeper’ berada dalam skuad, dan inilah antara titik kelemahan United musim lalu. Keberadaan penjaga gol moden seperti Onana memberikan kelebihan dari segi `numerical’ di bahagian pertahanan United, manakala kemampuan beliau dalam melakukan hantaran pula membolehkan mereka membina gerakan dari bawah. Untuk mana-mana pasukan yang memiliki penjaga gol seperti ini, ia membolehkan mereka lebih dominan dalam penguasaan bola dan secara teorinya boleh melakukan gerakan-gerakan ofensif dengan lebih berkesan.

 

Serie A, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia

 

Anda boleh bercakap tentang pentingnya peranan seorang `ball playing goalkeeper’ dalam dunia bolasepak moden, tetapi tugas hakiki seorang penjaga gol tetap bergantung kepada ketangkasan sepasang tangan mereka dalam menafikan percubaan lawan. Dalam saingan Serie A musim lalu, statistik menunjukkan peratus penyelamatan yang dilakukan Onana ialah sebanyak 71.8%. Angka ini mungkin agak jauh jika dibandingkan dengan catatan yang dilakukan Ivan Provedel (77.2%), tetapi untuk seorang penjaga gol yang cuma melakukan 24 penampilan dalam saingan liga, apa yang dilakukan Onana adalah sangat mengagumkan.

 

Dalam saingan Liga Juara-Juara pula beliau melakukan purata 7.8 penyelamatan per perlawanan, angka tertinggi berbanding mana-mana penjaga gol yang beraksi dalam kejohanan tersebut. Pada aksi pusingan akhir Piala Dunia menentang Switzerland di Qatar pula, Onana melakukan 26 sentuhan bola di luar petak penaltinya, yang juga merupakan catatan tertinggi dilakukan oleh seorang penjaga gol dalam sejarah Piala Dunia. Secara keseluruhannya, beliau melakukan 46 sentuhan dalam perlawanan itu, namun kritikan Rigobert Song, menyebabkan Onana meninggalkan kem skuad kebangsaan dan bersara dari bolasepak antarabangsa.

 

Penutup

 

`Ball playing goalkeeper’ adalah pilihan yang sangat popular dalam arus bolasepak moden kerana kebolehan `ball on their feet’ yang dimiliki menjadi nilai tambah kepada kemampuan `shot stopping capabilities’ mereka. Bolasepak moden tidak lagi dimainkan dengan seorang penjaga gol melakukan hantaran-hantaran jarak jauh ketika lawan memberikan tekanan. Seorang penjaga gol moden perlu membuat banyak hantaran pendek di `backline’, menggerakkan aliran bola dari belakang atau membantu perubahan transisi dari bertahan kepada menyerang.  

 

Bolasepak sedang melalui fasa modenisasi, dan United juga perlu berevolusi dari meletakkan seorang penjaga gol tradisional di gawang mereka kepada penjaga gol moden. Ten Hag mahukan United bermain dengan `build from the back’ dan untuk melakukannya mereka perlu menandatangani seorang `ball playing goalkeeper’ seperti Onana. Johan Cryuff pernah berkata, “Dalam pasukan saya, penjaga gol adalah penyerang pertama, dan penyerang adalah pertahanan pertama”. Glory Glory Manchester United!!!



16 Julai 2023

LELAKI TERAKHIR DARI ERA FERGIE

 


Selepas 12 tahun bersama, ikatan antara David De Gea dan Manchester United akhirnya terlerai. Minggu lalu, De Gea akhirnya mengucapkan salam perpisahan kepada penyokong-penyokong United. “Saya ingin mengucapkan rasa terima kasih atas rasa cinta yang diberikan sepanjang 12 tahun lalu. Banyak perkara yang kami capai sejak Sir Alex Ferguson membawa saya ke sini. Dengan rasa penuh bangga setiap kali saya menyarung seragam ini, mewakili organisasi dan kelab terbesar di dunia merupakan satu penghormatan yang cuma mampu dicapai oleh segelintir pemain”, kata De Gea menerusi laman Instagram beliau.

 

Pada 30 Jun lalu, kontrak De Gea bersama kelab secara rasminya tamat, dan sejak itu timbul persoalan adakah kita dapat menyaksikan lagi aksi tangkasnya ketika mengawal pintu gol United musim depan. Bercakap tentang De Gea, tentunya agak janggal jika tidak mengaitkan beliau dengan Sir Alex Ferguson, sosok bertanggungjawab yang membawa beliau berhijrah ke England 12 tahun lalu. Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa De Gea merupakan `warisan’ berharga yang ditinggalkan Fergie selepas persaraannya pada 2013.

 

Pada 2011 ketika Fergie merekrut De Gea dari Atletico Madrid, beliau terpaksa bersaing dengan Anders Lindegaard, Tomasz Kuszczak, Ben Amos dan Sam Johnstone dalam perebutan mengisi posisi nombor 1 United. Meskipun De Gea baru berusia 20 tahun ketika itu, Fergie tahu bahawa beliau sudah memiliki seorang penjaga gol yang memiliki bakat istimewa, karakter sempurna, prospek masa depan serta punya potensi besar mengisi kekosongan yang ditinggalkan Edwin Van der Sar. Dan akhirnya posisi nombor satu itu menjadi milik beliau.

 

“Ketika David menyertai kami pada 2011, dia memikul tugas berat menggantikan Edwin Van der Sar yang selama empat tahun menjalankan tugasnya dengan baik. David pula baru berumur 20 tahun ketika itu, tubuhnya kurus manakala kekuatan ototnya belum cukup berkembang untuk berdepan dengan beberapa penyerang Liga Perdana yang sangat kuat dari segi fikzikal. Dalam beberapa bulan pertama, prestasinya tidak konsisten, dan pada satu perlawanan, dia jelas kecewa dengan prestasinya.

 

“Kemudian saya memilih untuk bercakap di hadapan semua pemain. Saya katakan kepada mereka bahawa David adalah contoh terbaik karakter United. Dia datang ke England pada usia remaja, tidak fasih berbahasa Inggeris dan setiap minggu terpaksa berdepan dengan penyerang-penyerang lawan yang memang bertekad untuk menyusahkan hidupnya”, kata Fergie. Apa yang berlaku selepas ucapan itu, prestasi De Gea melonjak, segala tekanan yang membelenggu dirinya terlerai dan beliau akhirnya berjaya keluar dari bayang-bayang Van der Sar.

 

Seriusnya Fergie dalam misi membawa De Gea beraksi di Old Trafford didedahkan beliau dalam buku tulisannya bertajuk `Leading’. “Dari 1500 perlawanan United yang saya kendalikan, cuma tiga kali saya tidak hadir menyaksikan mereka bermain. Pertama, ketika saya menghadiri majlis pengebumian adik saya di Glasgow pada 1998. Kedua, ketika saya menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki saya di Afrika Selatan pada 2000. Dan ketiga, ketika saya memantau aksi De Gea pada 2010”, tulis Fergie dalam buku beliau.

 

545 penampilan yang dilakukan De Gea dalam seragam merah United meletakkan beliau di kedudukan ketujuh selaku pemain paling banyak melakukan penampilan sepanjang sejarah kelab. Juga pemain kedua melakukan penampilan terbanyak selepas Wayne Rooney dalam kategori pemain yang ditandatangani Fergie dari kelab lain. De Gea adalah lambang kepada dua sisi berbeza United, iaitu era sebelum dan selepas ketibaannya di Old Trafford. Sepanjang tempoh 12 tahun sebelum beliau ditandatangani kelab, United menang lapan kejuaraan liga serta empat kali mereka tampil di pentas final Liga Juara-Juara.

 

Apa pula yang berlaku selepas 2011? United menang kejuaraan liga ke-20 dan terakhir mereka, dua tahun selepas ketibaan De Gea di Old Trafford. Tahun-tahun selepas itu, lebih banyak episod kelam untuk dikenang, berbanding kisah gemilang yang lunak untuk dicerita kepada generasi mendatang. Ketika United mengalami fasa-fasa pasang surut mereka, sepasang tangan milik De Gea, masih `angkuh’ dalam melindungi pintu gol United dari bedilan penyerang lawan. Di bawah palang dan tiang pintu gol United, De Gea adalah pahlawan yang tiada tandingan.

 

Pada 2015, Sergio Romero pernah dibawa masuk, sosok penjaga gol kelas dunia dari Argentina yang dicanang mampu menggugat posisi De Gea. Begitu juga Joel Perreira dan Dean Henderson, dua anak muda yang disebut-sebut sebagai baka penjaga gol moden yang mampu membuatkan Jose Mourinho atau Ole Gunnar Solskjaer berpaling dari De Gea. Bagaimanapun De Gea masih kekal di posisi nombor satu United tanpa mampu digugat meskipun United melalui tempoh terburuk dalam sejarah mereka di musim terakhir pengurusan Solskjaer.

 

Musim 2021/22 merupakan kemuncak kepada rasa frustasi kita terhadap prestasi kelab. Ketika itu, segalanya tunggang langgang dan haru biru hinggakan panggilan `S.O.S’ terpaksa dilakukan kepada Ralf Rangnick, bapa kepada falsafah bolasepak `gegenpressing’ demi menyelamatkan air muka pemain dan pihak pengurusan United. Sudah tentu, anak panah kritikan paling tajam ditujukan terus ke arah batang tubuh De Gea, lelaki terakhir di barisan belakang yang dikatakan penyebab utama mengapa pintu gol United bolos 57 kali dalam saingan liga.

 

Tatkala mantan bek termahal dunia beraksi seperti pemain amatur, kritikan tajam yang dilontarkan terus ke wajah De Gea atas prestasi buruk pertahanan United adalah sesuatu yang agak kejam dan tidak adil. Bagaimanapun musim lalu segalanya bertambah baik ketika United memulakan era baharu mereka di bawah pengurusan Erik Ten Hag. Benteng pertahanan yang dinaik taraf menerusi kehadiran Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia, meninggalkan impak kepada persembahan barisan belakang United. Dan De Gea turut menerima tempiasnya.  

 

Kejayaan De Gea memenangi sarung tangan emas buat kali kedua menerusi catatan 17 `clean sheet’ yang dilakukannya musim lalu tetap tidak memadam persoalan tentang sejauh manakah relevannya beliau sebagai pilihan utama di posisi nombor 1. Penampilan beliau untuk United di pentas final Piala FA menguatkan lagi keraguan tentang kemampuan mutakhir De Gea. Kesilapan mudah yang dilakukannya ketika berdepan Brentford pada Ogos tahun lalu, Real Betis pada Mac dan West Ham pada Mei antara contoh terbaik mengapa United perlu mendapatkan penjaga gol baharu.

 

Pada suatu ketika, De Gea adalah `masa depan’ United, tetapi ketika kebanyakkan kelab berlumba-lumba meletakkan seorang `ball playing goalkeeper’ yang menjadi antara asas penting kepada falsafah bolasepak berteraskan penguasaan bola, United perlu segera melupakan masa lalu mereka bersama De Gea. 14 penyelamatan yang dilakukannya ketika berdepan Arsenal pada 2017 akan sentiasa kekal dalam ingatan. Manakala empat kali dinobatkan selaku pemain terbaik tahunan United adalah bukti betapa De Gea antara penjaga gol terbaik sepanjang sejarah kelab.

 

Hanya ada tiga penjaga gol terbaik yang pernah beraksi untuk United di era Fergie, mereka ialah Peter Schmeichel, Edwin Van der Sar dan De Gea. Berbanding Schmeichel dan Van der Sar, De Gea tidak pernah merasai kemahsyuran menjulang trofi Liga Juara-Juara, tetapi beliau merupakan penjaga gol paling banyak melakukan penampilan untuk United dalam sejarah kelab. De Gea adalah cebisan terakhir dari sebuah legasi ditinggalkan Fergie, dan selama 12 tahun, lelaki ini teguh berdiri melindungi pintu gol United.

 

Akhirnya perjalanan selama 12 tahun De Gea bersama United sudah tiba di garis penamat. Lapan kejuaraan yang dimenanginya bersama United, dua kali memenangi anugerah `golden glove’, empat kali dinobatkan selaku pemain terbaik tahunan kelab dan empat kali berada dalam senarai kesebelasan terbaik tahunan Liga Perdana, anda akan sentiasa diingati sebagai antara penjaga gol terbaik yang United pernah ada. Pergilah `Super Dave’, pergi dengan kepala tegak dan pergilah dengan penuh rasa bangga. Glory Glory Manchester United!!!  

06 Julai 2023

LEPASKANLAH DE GEA

 


Pada musim panas 2011, Sir Alex Ferguson meminta agar pihak pengurusan Manchester United menandatangani seorang penjaga gol baharu bagi menggantikan posisi Edwin Van der Sar yang bersara. Tugas mencari pengganti Van der Sar bukanlah mudah, yang selama enam musim menjalankan tugasnya dengan sangat cemerlang sebagai `pemegang kunci pintu gol’ United. Ada beberapa nama ketika itu yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, dan Manuel Neuer serta Maarten Stekelenburg adalah diantaranya.

 

Akhirnya segala spekulasi tentang siapa yang bakal ditugaskan mengawal pintu gol United terjawab, bila kelab menandatangani David De Gea dari Atletico Madrid pada Jun 2011 dengan nilai perpindahan sebanyak £18.9 juta, yang juga merupakan rekod perpindahan Britain untuk seorang penjaga gol. Pada usia 20 tahun ketika itu, De Gea adalah prospek penjaga gol terbaik dunia, sanggup meninggalkan kehidupan remajanya di Sepanyol demi sebuah amanah dan tanggungjawab bagi menggantikan tempat si legenda Van der Sar.

 

Bukan mudah untuk mana-mana pemain remaja dari luar England beradaptasi dengan tempo dan gaya bolasepak Inggeris yang serba keras itu. Dan De Gea juga tidak terkecuali. Gagal berkomunikasi dengan baik bersama rakan sepasukan di benteng pertahanan, gugup dan faktor fizikal beliau antara sebab mengapa De Gea bergelut pada fasa awal kariernya di Old Trafford. Menurut Eric Steele (jurulatih penjaga gol United ketika itu), selain kekurangan pengalaman, postur tubuh beliau yang agak kurus antara sebab mengapa De Gea begitu `rapuh’ ketika di tekan lawan.

 

Jadi apa yang dilakukan Steele setiap minggu ialah membentuk ketahanan De Gea menerusi latihan di gimnasium selama berjam-jam. Manakala dalam tempoh 48 jam sebelum perlawanan pula, barulah beliau menumpukan aspek kemahiran, teknik dan kepantasan. Akhirnya selepas tahap konsentrasi, fizikal, kepantasan, fleksibiliti dan tindakbalasnya semakin baik, De Gea membuktikan kepada para pengkritiknya bahawa beliau bukanlah versi `Massimo Taibi 2.0’, dan selama 12 musim posisi nombor 1 menjadi hak mutlaknya.

 

Transformasi De Gea

 

Pasca persaraan Fergie, United berubah dari kesebelasan yang saban musim diletakkan sebagai calon menjulang kejuaraan liga kepada kesebelasan yang sekadar mensasarkan kelompok empat teratas. Tetapi di sebalik semua itu, satu-satunya fakta yang tidak pernah berubah ialah ketangkasan De Gea sentiasa menjadi penyelamat kepada musim-musim suram United. Sejak 2011, De Gea sudah melakukan 545 penampilan, memastikan gawang United tidak dibolosi sebanyak 190 perlawanan dan memenangi anugerah `golden glove’ sebanyak dua kali.

 

Sejak 2011, De Gea melalui transformasi yang sangat luar biasa sebagai pilihan nombor satu di pintu gol United. Dari seorang penjaga gol yang sering dibelenggu rasa cemas dengan lontaran-lontaran jauh Rory Delap atau ketika beliau menerima asakan keras dari penyerang-penyerang lawan yang berpostur tegap, De Gea menjelma sebagai antara figura yang sangat disayangi oleh para fanatik `The Red Devils’. Dan selama lebih dari satu dekad jugalah, United sangat bergantung kepada ketangkasannya sebagai pelindung dari badai gol yang menghujani gawang mereka.  

 

Mula Dipersoalkan

 

Bagaimanapun kapasiti De Gea sebagai pilihan nombor satu di pintu gol United mula dipersoalkan sejak beberapa musim terakhir. Tidak dinafikan bahawa De Gea sering menyelamatkan United menerusi penyelamatan-penyelamatan hebat yang adakalanya tidak terfikir oleh logik akal fikiran. De Gea merupakan salah seorang `shot stopper’ terbaik pernah disaksikan bukan sahaja di Liga Perdana, tetapi juga di dunia. Bagaimanapun dalam arus bolasepak moden, memiliki seorang `ball playing goal keeper’ adalah tuntutan yang mesti dipenuhi oleh mana-mana pasukan.

 

De Gea tidak pernah berasa selesa ketika bola berada di kakinya, dan kekurangan itulah antara dilema terbesar yang terpaksa dihadapi Erik Ten Hag musim lalu. Fergie, David Moyes, Jose Mourinho atau Ole Gunnar Solskjaer tiada masalah dengan pendekatan tendangan-tendangan gol atau jauh yang dilakukan De Gea, tetapi itu juga bermakna United sangat berisiko menyerahkan penguasaan bola kepada lawan. Dan dalam ideologi bolasepak moden, menyerahkan penguasaan bola kepada lawan adalah antara `dosa’ yang sukar untuk dimaafkan. 

 

Bolasepak berkembang dengan sangat pesat dan peranan seorang `ball playing goal keeper’ merupakan sebahagian elemen yang sangat penting dalam sistem bolasepak moden. Mereka boleh mengelecek dan mengawal bola dengan baik seperti `outfield player’ ketika ada tekanan dari pemain lawan, melakukan hantaran-hantaran pendek dan membina gerakan dari bawah. Falsafah bolasepak moden seperti `gegenpressing’, `tiki-taka’ atau `total football’ memerlukan sesebuah pasukan menguasai bola selama yang mungkin, dan ia perlu bermula dari seorang penjaga gol.

 

Kelemahan De Gea

 

Goyahnya keyakinan De Gea ketika beliau mengawal bola sudah terlihat pada penampilan kedua United dalam saingan liga musim lalu. Lihat bagaimana hantaran yang dilakukannya ke arah Christian Eriksen dipintas Mathias Jensen untuk gol kedua Brentford. Pada aksi kedua pusingan 16 pasukan Liga Europa menentang Real Betis, kelemahan De Gea dalam penguasaan bola sekali lagi terserlah. Hantaran yang dilakukannya terus ke arah Juanmi hampir saja menyebabkan pelawat menjaringkan gol kedua. United menang perlawanan itu tetapi Ten Hag jelas kurang gembira dengan prestasi De Gea.

 

Apa yang berlaku ketika kunjungan United ke St James Park pada April lalu benar-benar menelanjangkan kelemahan beliau. Ketika De Gea melakukan sepakan gol, ada tiga pemain lawan berada berdekatan petak penalti bagi menghalang beliau dari melakukan hantaran. Di St James Park, De Gea bergelut dalam berjuangannya menangani tekanan dan ketika beliau kembali melakukan hantaran-hantaran jauh, Newcastle dengan mudah memenangi kembali penguasaan bola. Menurut Alan Shearer, De Gea tidak selesa dalam penguasaan bola dan Newcastle pula cuma membiarkan beliau menguasai bola kerana tahu itu adalah kelemahan United.

 

Penutup

 

Kita seringkali dibuai dengan sikap sentimental dalam menghargai pemain bertaraf legenda dan setia seperti De Gea, hinggakan membuatkan kita terlupa bahawa prestasi beliau semakin menurun. Rasa hormat yang tinggi kepada beliau menyebabkan kita adakalanya `malu-malu untuk mengatakan bahawa sudah tiba masanya kelab mencari pengganti yang relevan, sesuai dengan ideologi bolasepak moden. Untuk melakukannya kita perlukan sedikit sifat `kejam’ dan Fergie adalah contoh terbaik. Lihat semula kebelakang, bagaimana tindakan `kejam’ yang dilakukan beliau ke atas bekas bintang-bintang kelab.

 

Paul Ince, Andrei Kanchelskis, Jaap Stam, David Beckham, Ruud Van Nisterooy dan Roy Keane antara yang menjadi korban kekejaman Fergie. Bagi beliau tiada mana-mana pemain lebih besar berbanding kelab.  Dan lihat juga apa yang dilakukan Pep Guardiola keatas Joe Hart, Raheem Sterling, Gabriel Jesus, Fernandinho dan Oleksandr Zinchenko. Fergie berani `menendang’ pemain-pemain berpengaruh yang dimilikinya kerana beliau memiliki visi masa depan untuk kelab, elemen yang hilang dalam kem United sejak persaraannya. Visi masa depan juga bererti United perlu mengorbankan De Gea dan beralih kepada penjaga gol yang lebih moden.

 

Selama lebih sedekad, De Gea antara tonggak penting United dan setia kepada kelab, tetapi itu tidak bermakna beliau tidak boleh di `sentuh’. De Gea seperti memang dilahirkan untuk menjaga gawang United, tetapi pada usianya yang sudah mencecah angka 32 tahun, tiba waktunya United menggantikan beliau dengan penjaga gol moden yang sesuai dengan aspirasi dan falsafah bolasepak Ten Hag. Melepaskan De Gea adalah solusi terbaik kepada masa depan kelab dan untuk sebelas musim yang sangat gemilang, terima kasih De Gea. Anda adalah individu, idola, figura, legenda dan pemain yang hebat. Glory Glory Manchester United!!!