Hanya kerana sebutir Lasimac,
nama Andre Onana lenyap dari peta bolasepak dunia selama setahun. Ketiadaan
Onana bermula dari Februari 2021 jelas satu kehilangan besar buat Ajax
Amsterdam kerana beliau merupakan penjaga gol terbaik mereka yang selama bertahun-tahun
sudah membuktikan nilainya bersama kelab. Imej bersih beliau selama ini musnah
dalam sekelip mata, tetapi Onana perlu akur bahawa beliau tidak akan terlibat
dalam sebarang aktiviti bolasepak selepas rayuan pengurangan tempoh
penggantungannya ditolak Mahkamah Timbang Tara Sukan.
12 bulan selepas beliau
menjalani penggantungan, Onana kembali ke pangkuan Ajax, namun situasinya sudah
jauh berubah. Posisi yang ditinggalkan Onana diisi Remko Pasveer, penjaga gol
veteran yang beraksi dengan cukup cemerlang mengawal gawang Ajax sepanjang
ketiadaannya. Pada Mei 2022, Onana akhirnya pergi meninggalkan Ajax sebagai
agen bebas sekaligus menamatkan ikatan selama enam tahun beliau bersama gergasi
Belanda itu. Bagaimanapun dengan rekod doping beliau, tidak banyak kelab yang
berminat mendapatkan khidmatnya.
Dari Eredivisie Ke Serie A
Ketika Onana bergelut mencari
kelab baharu, Inter Milan pula sedar potensi besar yang dimiliki beliau sebagai
pengganti jangka panjang kepada Samir Handanovic. Pada 1 Julai 2022,
kesepakatan berjaya dicapai dan Onana akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai
pemain Inter dengan durasi kontrak selama lima tahun. Di Itali, negara di mana
pizza dicipta, Onana menemui kembali jati dirinya. Sokongan tidak berbelah
bahagi dari keluarga dan ultras La Beneamata menyaksikan Onana kembali menemui
prestasi serta potensi terbaiknya.
Pada saingan Liga Juara-Juara
musim lalu, beliau merakamkan lapan `clean sheet’ dari 13 penampilan yang
menyaksikan Inter berjaya mara ke pentas `final’. Beberapa penyelamatan hebat yang
dilakukan Onana di Istanbul bagaimanapun gagal menghalang Manchester City dari
menjulang kejuaraan sulung Liga Juara-Juara mereka. Begitupun, penampilan
gemilang Onana berjaya mencuri perhatian Pep Guardiola. “Onana adalah penjaga
gol yang luar biasa. Dia melakukan `build up’ dan berada di posisi pemain
tengah bertahan. Dia betul-betul menyusahkan kami”, kata Guardiola selepas
tamat perlawanan.
Kata-kata yang dilontarkan
Guardiola bukan satu pujian biasa, tetapi penghargaan luarbiasa dari seorang
individu yang mempelopori konsep seorang `ball playing goalkeeper’ dalam sistem
bolasepak moden. Di Barcelona, beliau menggunakan Victor Valdes sebagai
`revolusioner’ dan kini pengaruh tersebut dapat anda lihat dalam hampir kesemua
pasukan yang beraksi di Liga Perdana. Lihat bagaimana peranan yang dimainkan
David Raya untuk Brentford, Ederson Morais untuk City, Alisson Becker untuk
Liverpool atau Nick Pope untuk Newcastle.
`Libero’ Di Pintu Gol
Perkembangan teknologi yang
semakin pesat menjadikan dunia bergerak dengan sangat pantas, dan bolasepak
juga tidak terlepas dari arus modenisasi. Bolasepak moden menyaksikan ramai
pemain mampu beraksi lebih dari satu posisi dengan gaya permainan berbeza.
Mereka-mereka inilah yang sering menjadi buruan kelab-kelab besar serata dunia,
dan salah seorangnya ialah Onana. Beliau merupakan penjaga gol moden, atau
antara contoh terdekat seorang libero yang beraksi di bawah gawang sepertimana
yang disebut Guardiola.
United sepatutnya sudah lama membawa
seorang `ball playing goalkeeper’ ke dalam skuad mereka, dan kehadiran Onana adalah
pelengkap kepada aspirasi Ten Hag yang mahu menjadikan United kesebelasan dominan
dalam hal penguasaan bola. Tidak dinafikan bahawa De Gea merupakan seorang
`shot stopper’ terbaik pernah dunia saksikan, tetapi Onana adalah tipikal
penjaga gol moden yang mungkin paling ekstrim ketika ini. Kekuatan Onana ialah
kemampuan beliau mengawal zonnya dengan baik menerusi kedua-dua belah kakinya,
serta julat hantaran-hantaran yang dilakukannya pula lebih luas.
Musim lalu, ketepatan hantaran
yang dilakukan beliau mencapai angka 93.8%, manakala purata hantaran yang
dilakukan Onana dalam setiap perlawanan pula adalah 28.8. Kedatangan Onana ke
Old Trafford bukan tentang pertemuan semulanya dengan Ten Hag semata-mata,
tetapi beliau dibawa kerana falsafah bolasepak yang dianut warga Belanda itu. `Possession
based football’ merupakan elemen terpenting dalam bolasepak moden, dan angin
perubahan itulah yang cuba dibawa Ten Hag pada musim pertamanya di Old Trafford.
Bagaimanapun asas kepada pendekatan
ini memerlukan seorang `ball playing goalkeeper’ berada dalam skuad, dan inilah
antara titik kelemahan United musim lalu. Keberadaan penjaga gol moden seperti
Onana memberikan kelebihan dari segi `numerical’ di bahagian pertahanan United,
manakala kemampuan beliau dalam melakukan hantaran pula membolehkan mereka membina
gerakan dari bawah. Untuk mana-mana pasukan yang memiliki penjaga gol seperti
ini, ia membolehkan mereka lebih dominan dalam penguasaan bola dan secara
teorinya boleh melakukan gerakan-gerakan ofensif dengan lebih berkesan.
Serie A, Liga Juara-Juara dan
Piala Dunia
Anda boleh bercakap tentang
pentingnya peranan seorang `ball playing goalkeeper’ dalam dunia bolasepak
moden, tetapi tugas hakiki seorang penjaga gol tetap bergantung kepada ketangkasan
sepasang tangan mereka dalam menafikan percubaan lawan. Dalam saingan Serie A
musim lalu, statistik menunjukkan peratus penyelamatan yang dilakukan Onana ialah
sebanyak 71.8%. Angka ini mungkin agak jauh jika dibandingkan dengan catatan yang
dilakukan Ivan Provedel (77.2%), tetapi untuk seorang penjaga gol yang cuma melakukan
24 penampilan dalam saingan liga, apa yang dilakukan Onana adalah sangat mengagumkan.
Dalam saingan Liga Juara-Juara
pula beliau melakukan purata 7.8 penyelamatan per perlawanan, angka tertinggi
berbanding mana-mana penjaga gol yang beraksi dalam kejohanan tersebut. Pada
aksi pusingan akhir Piala Dunia menentang Switzerland di Qatar pula, Onana melakukan
26 sentuhan bola di luar petak penaltinya, yang juga merupakan catatan
tertinggi dilakukan oleh seorang penjaga gol dalam sejarah Piala Dunia. Secara
keseluruhannya, beliau melakukan 46 sentuhan dalam perlawanan itu, namun kritikan
Rigobert Song, menyebabkan Onana meninggalkan kem skuad kebangsaan dan bersara
dari bolasepak antarabangsa.
Penutup
`Ball playing goalkeeper’
adalah pilihan yang sangat popular dalam arus bolasepak moden kerana kebolehan
`ball on their feet’ yang dimiliki menjadi nilai tambah kepada kemampuan `shot
stopping capabilities’ mereka. Bolasepak moden tidak lagi dimainkan dengan
seorang penjaga gol melakukan hantaran-hantaran jarak jauh ketika lawan
memberikan tekanan. Seorang penjaga gol moden perlu membuat banyak hantaran
pendek di `backline’, menggerakkan aliran bola dari belakang atau membantu
perubahan transisi dari bertahan kepada menyerang.
Bolasepak sedang melalui fasa
modenisasi, dan United juga perlu berevolusi dari meletakkan seorang penjaga
gol tradisional di gawang mereka kepada penjaga gol moden. Ten Hag mahukan
United bermain dengan `build from the back’ dan untuk melakukannya mereka perlu
menandatangani seorang `ball playing goalkeeper’ seperti Onana. Johan Cryuff
pernah berkata, “Dalam pasukan saya, penjaga gol adalah penyerang pertama, dan
penyerang adalah pertahanan pertama”. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan