Pada musim panas 2011, Sir Alex
Ferguson meminta agar pihak pengurusan Manchester United menandatangani seorang
penjaga gol baharu bagi menggantikan posisi Edwin Van der Sar yang bersara. Tugas
mencari pengganti Van der Sar bukanlah mudah, yang selama enam musim
menjalankan tugasnya dengan sangat cemerlang sebagai `pemegang kunci pintu gol’
United. Ada beberapa nama ketika itu yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old
Trafford, dan Manuel Neuer serta Maarten Stekelenburg adalah diantaranya.
Akhirnya segala spekulasi
tentang siapa yang bakal ditugaskan mengawal pintu gol United terjawab, bila
kelab menandatangani David De Gea dari Atletico Madrid pada Jun 2011 dengan
nilai perpindahan sebanyak £18.9 juta, yang juga merupakan rekod perpindahan
Britain untuk seorang penjaga gol. Pada usia 20 tahun ketika itu, De Gea adalah
prospek penjaga gol terbaik dunia, sanggup meninggalkan kehidupan remajanya di
Sepanyol demi sebuah amanah dan tanggungjawab bagi menggantikan tempat si
legenda Van der Sar.
Bukan mudah untuk mana-mana
pemain remaja dari luar England beradaptasi dengan tempo dan gaya bolasepak
Inggeris yang serba keras itu. Dan De Gea juga tidak terkecuali. Gagal
berkomunikasi dengan baik bersama rakan sepasukan di benteng pertahanan, gugup
dan faktor fizikal beliau antara sebab mengapa De Gea bergelut pada fasa awal
kariernya di Old Trafford. Menurut Eric Steele (jurulatih penjaga gol United
ketika itu), selain kekurangan pengalaman, postur tubuh beliau yang agak kurus
antara sebab mengapa De Gea begitu `rapuh’ ketika di tekan lawan.
Jadi apa yang dilakukan Steele
setiap minggu ialah membentuk ketahanan De Gea menerusi latihan di gimnasium
selama berjam-jam. Manakala dalam tempoh 48 jam sebelum perlawanan pula,
barulah beliau menumpukan aspek kemahiran, teknik dan kepantasan. Akhirnya
selepas tahap konsentrasi, fizikal, kepantasan, fleksibiliti dan tindakbalasnya
semakin baik, De Gea membuktikan kepada para pengkritiknya bahawa beliau bukanlah
versi `Massimo Taibi 2.0’, dan selama 12 musim posisi nombor 1 menjadi hak
mutlaknya.
Transformasi De Gea
Pasca persaraan Fergie, United
berubah dari kesebelasan yang saban musim diletakkan sebagai calon menjulang
kejuaraan liga kepada kesebelasan yang sekadar mensasarkan kelompok empat
teratas. Tetapi di sebalik semua itu, satu-satunya fakta yang tidak pernah
berubah ialah ketangkasan De Gea sentiasa menjadi penyelamat kepada musim-musim
suram United. Sejak 2011, De Gea sudah melakukan 545 penampilan, memastikan
gawang United tidak dibolosi sebanyak 190 perlawanan dan memenangi anugerah
`golden glove’ sebanyak dua kali.
Sejak 2011, De Gea melalui
transformasi yang sangat luar biasa sebagai pilihan nombor satu di pintu gol
United. Dari seorang penjaga gol yang sering dibelenggu rasa cemas dengan lontaran-lontaran
jauh Rory Delap atau ketika beliau menerima asakan keras dari penyerang-penyerang
lawan yang berpostur tegap, De Gea menjelma sebagai antara figura yang sangat
disayangi oleh para fanatik `The Red Devils’. Dan selama lebih dari satu dekad
jugalah, United sangat bergantung kepada ketangkasannya sebagai pelindung dari
badai gol yang menghujani gawang mereka.
Mula Dipersoalkan
Bagaimanapun kapasiti De Gea
sebagai pilihan nombor satu di pintu gol United mula dipersoalkan sejak
beberapa musim terakhir. Tidak dinafikan bahawa De Gea sering menyelamatkan
United menerusi penyelamatan-penyelamatan hebat yang adakalanya tidak terfikir
oleh logik akal fikiran. De Gea merupakan salah seorang `shot stopper’ terbaik
pernah disaksikan bukan sahaja di Liga Perdana, tetapi juga di dunia.
Bagaimanapun dalam arus bolasepak moden, memiliki seorang `ball playing goal
keeper’ adalah tuntutan yang mesti dipenuhi oleh mana-mana pasukan.
De Gea tidak pernah berasa
selesa ketika bola berada di kakinya, dan kekurangan itulah antara dilema terbesar
yang terpaksa dihadapi Erik Ten Hag musim lalu. Fergie, David Moyes, Jose
Mourinho atau Ole Gunnar Solskjaer tiada masalah dengan pendekatan
tendangan-tendangan gol atau jauh yang dilakukan De Gea, tetapi itu juga
bermakna United sangat berisiko menyerahkan penguasaan bola kepada lawan. Dan
dalam ideologi bolasepak moden, menyerahkan penguasaan bola kepada lawan adalah
antara `dosa’ yang sukar untuk dimaafkan.
Bolasepak berkembang dengan sangat
pesat dan peranan seorang `ball playing goal keeper’ merupakan sebahagian
elemen yang sangat penting dalam sistem bolasepak moden. Mereka boleh
mengelecek dan mengawal bola dengan baik seperti `outfield player’ ketika ada
tekanan dari pemain lawan, melakukan hantaran-hantaran pendek dan membina
gerakan dari bawah. Falsafah bolasepak moden seperti `gegenpressing’,
`tiki-taka’ atau `total football’ memerlukan sesebuah pasukan menguasai bola
selama yang mungkin, dan ia perlu bermula dari seorang penjaga gol.
Kelemahan De Gea
Goyahnya keyakinan De Gea
ketika beliau mengawal bola sudah terlihat pada penampilan kedua United dalam
saingan liga musim lalu. Lihat bagaimana hantaran yang dilakukannya ke arah
Christian Eriksen dipintas Mathias Jensen untuk gol kedua Brentford. Pada aksi
kedua pusingan 16 pasukan Liga Europa menentang Real Betis, kelemahan De Gea
dalam penguasaan bola sekali lagi terserlah. Hantaran yang dilakukannya terus
ke arah Juanmi hampir saja menyebabkan pelawat menjaringkan gol kedua. United
menang perlawanan itu tetapi Ten Hag jelas kurang gembira dengan prestasi De
Gea.
Apa yang berlaku ketika
kunjungan United ke St James Park pada April lalu benar-benar menelanjangkan
kelemahan beliau. Ketika De Gea melakukan sepakan gol, ada tiga pemain lawan berada
berdekatan petak penalti bagi menghalang beliau dari melakukan hantaran. Di St
James Park, De Gea bergelut dalam berjuangannya menangani tekanan dan ketika
beliau kembali melakukan hantaran-hantaran jauh, Newcastle dengan mudah
memenangi kembali penguasaan bola. Menurut Alan Shearer, De Gea tidak selesa
dalam penguasaan bola dan Newcastle pula cuma membiarkan beliau menguasai bola
kerana tahu itu adalah kelemahan United.
Penutup
Kita seringkali dibuai dengan
sikap sentimental dalam menghargai pemain bertaraf legenda dan setia seperti De
Gea, hinggakan membuatkan kita terlupa bahawa prestasi beliau semakin menurun.
Rasa hormat yang tinggi kepada beliau menyebabkan kita adakalanya `malu-malu
untuk mengatakan bahawa sudah tiba masanya kelab mencari pengganti yang relevan,
sesuai dengan ideologi bolasepak moden. Untuk melakukannya kita perlukan
sedikit sifat `kejam’ dan Fergie adalah contoh terbaik. Lihat semula
kebelakang, bagaimana tindakan `kejam’ yang dilakukan beliau ke atas bekas bintang-bintang
kelab.
Paul Ince, Andrei Kanchelskis,
Jaap Stam, David Beckham, Ruud Van Nisterooy dan Roy Keane antara yang menjadi
korban kekejaman Fergie. Bagi beliau tiada mana-mana pemain lebih besar
berbanding kelab. Dan lihat juga apa
yang dilakukan Pep Guardiola keatas Joe Hart, Raheem Sterling, Gabriel Jesus, Fernandinho
dan Oleksandr Zinchenko. Fergie berani `menendang’ pemain-pemain berpengaruh
yang dimilikinya kerana beliau memiliki visi masa depan untuk kelab, elemen
yang hilang dalam kem United sejak persaraannya. Visi masa depan juga bererti
United perlu mengorbankan De Gea dan beralih kepada penjaga gol yang lebih
moden.
Selama lebih sedekad, De Gea
antara tonggak penting United dan setia kepada kelab, tetapi itu tidak bermakna
beliau tidak boleh di `sentuh’. De Gea seperti memang dilahirkan untuk menjaga
gawang United, tetapi pada usianya yang sudah mencecah angka 32 tahun, tiba
waktunya United menggantikan beliau dengan penjaga gol moden yang sesuai dengan
aspirasi dan falsafah bolasepak Ten Hag. Melepaskan De Gea adalah solusi
terbaik kepada masa depan kelab dan untuk sebelas musim yang sangat gemilang,
terima kasih De Gea. Anda adalah individu, idola, figura, legenda dan pemain yang
hebat. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan