Selepas 12 tahun bersama, ikatan
antara David De Gea dan Manchester United akhirnya terlerai. Minggu lalu, De
Gea akhirnya mengucapkan salam perpisahan kepada penyokong-penyokong United.
“Saya ingin mengucapkan rasa terima kasih atas rasa cinta yang diberikan
sepanjang 12 tahun lalu. Banyak perkara yang kami capai sejak Sir Alex Ferguson
membawa saya ke sini. Dengan rasa penuh bangga setiap kali saya menyarung
seragam ini, mewakili organisasi dan kelab terbesar di dunia merupakan satu
penghormatan yang cuma mampu dicapai oleh segelintir pemain”, kata De Gea
menerusi laman Instagram beliau.
Pada 30 Jun lalu, kontrak De
Gea bersama kelab secara rasminya tamat, dan sejak itu timbul persoalan adakah
kita dapat menyaksikan lagi aksi tangkasnya ketika mengawal pintu gol United
musim depan. Bercakap tentang De Gea, tentunya agak janggal jika tidak
mengaitkan beliau dengan Sir Alex Ferguson, sosok bertanggungjawab yang membawa
beliau berhijrah ke England 12 tahun lalu. Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan
bahawa De Gea merupakan `warisan’ berharga yang ditinggalkan Fergie selepas
persaraannya pada 2013.
Pada 2011 ketika Fergie
merekrut De Gea dari Atletico Madrid, beliau terpaksa bersaing dengan Anders
Lindegaard, Tomasz Kuszczak, Ben Amos dan Sam Johnstone dalam perebutan mengisi
posisi nombor 1 United. Meskipun De Gea baru berusia 20 tahun ketika itu,
Fergie tahu bahawa beliau sudah memiliki seorang penjaga gol yang memiliki
bakat istimewa, karakter sempurna, prospek masa depan serta punya potensi besar
mengisi kekosongan yang ditinggalkan Edwin Van der Sar. Dan akhirnya posisi
nombor satu itu menjadi milik beliau.
“Ketika David menyertai kami
pada 2011, dia memikul tugas berat menggantikan Edwin Van der Sar yang selama
empat tahun menjalankan tugasnya dengan baik. David pula baru berumur 20 tahun
ketika itu, tubuhnya kurus manakala kekuatan ototnya belum cukup berkembang
untuk berdepan dengan beberapa penyerang Liga Perdana yang sangat kuat dari
segi fikzikal. Dalam beberapa bulan pertama, prestasinya tidak konsisten, dan
pada satu perlawanan, dia jelas kecewa dengan prestasinya.
“Kemudian saya memilih untuk
bercakap di hadapan semua pemain. Saya katakan kepada mereka bahawa David
adalah contoh terbaik karakter United. Dia datang ke England pada usia remaja,
tidak fasih berbahasa Inggeris dan setiap minggu terpaksa berdepan dengan
penyerang-penyerang lawan yang memang bertekad untuk menyusahkan hidupnya”,
kata Fergie. Apa yang berlaku selepas ucapan itu, prestasi De Gea melonjak, segala
tekanan yang membelenggu dirinya terlerai dan beliau akhirnya berjaya keluar
dari bayang-bayang Van der Sar.
Seriusnya Fergie dalam misi
membawa De Gea beraksi di Old Trafford didedahkan beliau dalam buku tulisannya
bertajuk `Leading’. “Dari 1500 perlawanan United yang saya kendalikan, cuma
tiga kali saya tidak hadir menyaksikan mereka bermain. Pertama, ketika saya
menghadiri majlis pengebumian adik saya di Glasgow pada 1998. Kedua, ketika
saya menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki saya di Afrika Selatan pada
2000. Dan ketiga, ketika saya memantau aksi De Gea pada 2010”, tulis Fergie
dalam buku beliau.
545 penampilan yang dilakukan
De Gea dalam seragam merah United meletakkan beliau di kedudukan ketujuh selaku
pemain paling banyak melakukan penampilan sepanjang sejarah kelab. Juga pemain
kedua melakukan penampilan terbanyak selepas Wayne Rooney dalam kategori pemain
yang ditandatangani Fergie dari kelab lain. De Gea adalah lambang kepada dua
sisi berbeza United, iaitu era sebelum dan selepas ketibaannya di Old Trafford.
Sepanjang tempoh 12 tahun sebelum beliau ditandatangani kelab, United menang
lapan kejuaraan liga serta empat kali mereka tampil di pentas final Liga
Juara-Juara.
Apa pula yang berlaku selepas
2011? United menang kejuaraan liga ke-20 dan terakhir mereka, dua tahun selepas
ketibaan De Gea di Old Trafford. Tahun-tahun selepas itu, lebih banyak episod
kelam untuk dikenang, berbanding kisah gemilang yang lunak untuk dicerita
kepada generasi mendatang. Ketika United mengalami fasa-fasa pasang surut
mereka, sepasang tangan milik De Gea, masih `angkuh’ dalam melindungi pintu gol
United dari bedilan penyerang lawan. Di bawah palang dan tiang pintu gol
United, De Gea adalah pahlawan yang tiada tandingan.
Pada 2015, Sergio Romero pernah
dibawa masuk, sosok penjaga gol kelas dunia dari Argentina yang dicanang mampu
menggugat posisi De Gea. Begitu juga Joel Perreira dan Dean Henderson, dua anak
muda yang disebut-sebut sebagai baka penjaga gol moden yang mampu membuatkan
Jose Mourinho atau Ole Gunnar Solskjaer berpaling dari De Gea. Bagaimanapun De
Gea masih kekal di posisi nombor satu United tanpa mampu digugat meskipun
United melalui tempoh terburuk dalam sejarah mereka di musim terakhir
pengurusan Solskjaer.
Musim 2021/22 merupakan kemuncak
kepada rasa frustasi kita terhadap prestasi kelab. Ketika itu, segalanya
tunggang langgang dan haru biru hinggakan panggilan `S.O.S’ terpaksa dilakukan
kepada Ralf Rangnick, bapa kepada falsafah bolasepak `gegenpressing’ demi
menyelamatkan air muka pemain dan pihak pengurusan United. Sudah tentu, anak
panah kritikan paling tajam ditujukan terus ke arah batang tubuh De Gea, lelaki
terakhir di barisan belakang yang dikatakan penyebab utama mengapa pintu gol
United bolos 57 kali dalam saingan liga.
Tatkala mantan bek termahal
dunia beraksi seperti pemain amatur, kritikan tajam yang dilontarkan terus ke
wajah De Gea atas prestasi buruk pertahanan United adalah sesuatu yang agak
kejam dan tidak adil. Bagaimanapun musim lalu segalanya bertambah baik ketika
United memulakan era baharu mereka di bawah pengurusan Erik Ten Hag. Benteng
pertahanan yang dinaik taraf menerusi kehadiran Lisandro Martinez dan Tyrell
Malacia, meninggalkan impak kepada persembahan barisan belakang United. Dan De
Gea turut menerima tempiasnya.
Kejayaan De Gea memenangi
sarung tangan emas buat kali kedua menerusi catatan 17 `clean sheet’ yang
dilakukannya musim lalu tetap tidak memadam persoalan tentang sejauh manakah
relevannya beliau sebagai pilihan utama di posisi nombor 1. Penampilan beliau
untuk United di pentas final Piala FA menguatkan lagi keraguan tentang
kemampuan mutakhir De Gea. Kesilapan mudah yang dilakukannya ketika berdepan
Brentford pada Ogos tahun lalu, Real Betis pada Mac dan West Ham pada Mei
antara contoh terbaik mengapa United perlu mendapatkan penjaga gol baharu.
Pada suatu ketika, De Gea
adalah `masa depan’ United, tetapi ketika kebanyakkan kelab berlumba-lumba
meletakkan seorang `ball playing goalkeeper’ yang menjadi antara asas penting
kepada falsafah bolasepak berteraskan penguasaan bola, United perlu segera
melupakan masa lalu mereka bersama De Gea. 14 penyelamatan yang dilakukannya
ketika berdepan Arsenal pada 2017 akan sentiasa kekal dalam ingatan. Manakala
empat kali dinobatkan selaku pemain terbaik tahunan United adalah bukti betapa
De Gea antara penjaga gol terbaik sepanjang sejarah kelab.
Hanya ada tiga penjaga gol
terbaik yang pernah beraksi untuk United di era Fergie, mereka ialah Peter
Schmeichel, Edwin Van der Sar dan De Gea. Berbanding Schmeichel dan Van der
Sar, De Gea tidak pernah merasai kemahsyuran menjulang trofi Liga Juara-Juara,
tetapi beliau merupakan penjaga gol paling banyak melakukan penampilan untuk
United dalam sejarah kelab. De Gea adalah cebisan terakhir dari sebuah legasi
ditinggalkan Fergie, dan selama 12 tahun, lelaki ini teguh berdiri melindungi
pintu gol United.
Akhirnya perjalanan selama 12 tahun De Gea bersama United sudah tiba di garis penamat. Lapan kejuaraan yang dimenanginya bersama United, dua kali memenangi anugerah `golden glove’, empat kali dinobatkan selaku pemain terbaik tahunan kelab dan empat kali berada dalam senarai kesebelasan terbaik tahunan Liga Perdana, anda akan sentiasa diingati sebagai antara penjaga gol terbaik yang United pernah ada. Pergilah `Super Dave’, pergi dengan kepala tegak dan pergilah dengan penuh rasa bangga. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan