Maghribi muncul kesebelasan
yang penuh dengan kejutan sepanjang kempen pusingan akhir Piala Dunia 2022 yang
lalu. Dalam saingan peringkat kumpulan, mereka muncul juara Kumpulan F,
sekaligus memadam ramalan awal yang meletakkan Belgium dan Croatia sebagai
calon paling berpotensi mara ke pusingan kalah mati. Di pusingan 16 pasukan,
ngauman skuad Singa Atlas itu sekali lagi bergema, kali ini menerusi kejayaan
mereka menyingkirkan Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti.
Pablo Sarabia, Juan Soler dan
Sergio Busquets gagal menyempurnakan sepakan penalti kerana ketangkasan Yassine
Bounou, tetapi sebelum bekas penjaga gol Sevilla itu diangkat sebagai wira,
Maghribi sepatutnya berterima kasih atas penampilan cemerlang yang dipamerkan Sofyan
Amrabat di bahagian tengah. Penampilan energetik Amrabat berjaya meneutralkan setiap
pergerakan yang cuba diatur Pedri, Gavi atau Busquets, jadi tidak hairanlah
mengapa sepanjang perlawanan, Sepanyol cuma mampu melepaskan satu percubaan `on
target’.
Amrabat adalah mimpi buruk
Sepanyol dalam perlawanan itu dan watak penting di sebalik kejayaan Maghribi
mara ke peringkat suku akhir buat pertama kali dalam sejarah penyertaan mereka
di Piala Dunia. Amrabat juga menjadi tembok kukuh yang melindungi benteng
pertahanan Maghribi dari asakan Sepanyol, dan sepanjang perlawanan beliau
melakukan empat `tackle’, satu `clearance’ dan memenangi kesemua `duel’ dengan
pemain lawan. Perjalanan epik Maghribi tersekat di peringkat separuh akhir,
tetapi penampilan impresif Amrabat membuka mata kelab-kelab besar Eropah.
Siapakah Dia?
Sepertimana kebanyakkan rakan
beliau dalam skuad kebangsaan Maghribi, Amrabat merupakan imigran yang lahir
dan membesar di Belanda. Beliau menyertai akademi Utrecht pada 2007 dan tiga
tahun kemudian namanya tersenarai dalam skuad U15 Belanda. Bagaimanapun pada
2013, beliau menyertai skuad U17 Maghribi dan beraksi di pentas Piala Dunia
U17. Aksi persahabatan menentang Tunisia pada 28 Mac 2017 merupakan penampilan
pertama Amrabat untuk skuad senior Singa Atlas dan sejak itu beliau sudah
melakukan dua penampilan di pentas Piala Dunia.
Akademi Utrecht banyak
membentuk gaya dan karakter permainan Amrabat. Gaya permainan beliau yang lebih
fizikal dan keras menyaksikan Amrabat sering diberikan tugas untuk berperanan
sebagai pemain tengah bertahan, melakukan sedikit kerja-kerja kotor menerusi
`tackle’ dan `duel’ yang dilakukannya terhadap pemain lawan. Selepas lapan
tahun beraksi di peringkat remaja, Amrabat akhirnya diserap ke skuad senior
Utrecht kendalian Erik Ten Hag pada 2014. Sepanjang tiga musim, beliau
melakukan 54 penampilan, menjaringkan 10 gol dan mencipta 10 bantuan gol untuk
Utrecht dalam semua peringkat kejohanan.
Pada musim panas 2017, Amrabat
menyertai Feyenoord Rotterdam, dan di De Kuip beliau berjaya memenangi satu kejuaraan
Piala KNVB dan dua kali menjulang trofi Perisai Johan Cryuff. Keputusan beliau
menyertai Club Brugge selepas hanya semusim di kota Rotterdam menyebabkan
karier Amrabat mula berantakan. Potensi besarnya di Belanda mula meredup di
bumi Belgium, yang akhirnya menyaksikan beliau dipinjamkan ke kelab Serie A,
Hellas Verona pada Ogos 2019. Setahun selepas itu beliau menyertai Fiorentina
secara tetap pada musim panas 2020.
Berevolusi
Ten Hag menandatangani Amrabat
bukan disebab faktor beliau pernah bekerjasama dengan pemain itu semasa di
Utrecht, tetapi Ten Hag melihat pemain antarabangsa Maghribi itu sudah
berevolusi bukan sahaja dari segi pengalaman, tetapi fizikal dan kemampuannya ketika
beraksi di atas padang. Dengan ketinggian 1.85m dan postur tubuh yang tegap,
Amrabat umpama pelindung kepada rakan di benteng pertahanan ketika beraksi bersama
skuad kebangsaan mahupun kelab. Tipikal pemain tengah bertahan seperti inilah
yang tidak dimiliki United dalam tempoh beberapa musim terakhir sebelum
kedatangan Casemiro.
Bagi penyokong United, kejayaan
kelab menandatangani pemain tengah bertahan seperti Amrabat merupakan satu
langkah yang sangat penting, kerana mereka melihat benteng pertahanan United
sangat terdedah dengan serangan lawan pada empat aksi awal liga mereka. Atau
lebih tepatnya, Amrabat adalah kunci penyelesaian kepada isu kurangnya sokongan
kepada Casemiro di `defensive third’. Sepertimana Casemiro, Amrabat juga sangat
dikenali kerana reputasinya yang tiada kompromi ketika melakukan duel dengan
pemain lawan.
Di Qatar, Amrabat berjaya merebut bola dari penguasaan lawan sebanyak 57 kali, sekaligus muncul pemain paling banyak melakukan aksi tersebut sepanjang kempen Piala Dunia yang lalu. Di Fiorentina, peranan Amrabat bagaimanapun sedikit berbeza berbanding ketika beliau menyarung jersi skuad kebangsaan. Vincenzo Italiano tahu tentang kemampuan Amrabat dalam melakukan hantaran, jadi beliau sering mengarahkan pemain itu terlibat dalam setiap sirkulasi bola. Secara purata, Fiorentina mencatatkan 56.4% penguasaan bola per perlawanan, catatan kedua tertinggi selepas Napoli di Serie A.
Dalam tempoh 12 bulan terakhir,
Amrabat melepaskan purata 9.6 hantaran progresif dalam setiap perlawanan dengan
ketepatan hantaran (progresif) yang dilakukannya mencapai angka 98%. Penampilan
Amrabat di peringkat kelab sangat kontras dengan apa yang beliau mainkan untuk
Maghribi di Piala Dunia lalu. Statistik 56.4% penguasaan bola per perlawanan
yang dilakukan Fiorentina menunjukkan bagaimana kecenderungan mereka untuk
menguasai bola. Manakala catatan peratus penguasaan Maghribi pada kempen Piala
Dunia mereka pula sekadar 37.8%.
Pendekatan permainan Fiorentina
yang lebih ofensif membolehkan Amrabat lebih banyak menguasai bola dan
menggunakan kemahirannya dalam melakukan hantaran. Jadi tidak hairanlah mengapa
beliau mampu merakamkan ketepatan hantaran sebanyak 89.3% per perlawanan. Untuk
rekod, hanya ada empat pemain tengah di Serie A yang memiliki catatan lebih
baik berbanding beliau. Secara keseluruhan dalam saingan liga musim lalu,
beliau melepaskan 131 hantaran jauh (7.4 hantaran per perlawanan) sekaligus
muncul pemain tengah paling banyak melakukan hantaran tersebut.
Peratus ketepatan hantaran jauh
yang dilakukannya pula ialah sebanyak 79.4%, iaitu catatan kedua tertinggi
selepas Stanislav Lobotka (Napoli). Selepas melihat statistik ini, apa yang
boleh kita simpulkan ialah Amrabat bukan sekadar tipikal `ball-winning
midfielder’ tetapi beliau juga mampu berperanan sebagai `deep-lying playmaker’
untuk Fiorentina. Bersama United, Amrabat bukanlah pesaing Casemiro, tetapi
`pendamping’ yang ideal untuk pemain antarabangsa Brazil itu menerusi peranan
yang bakal beliau mainkan sebagai `pemain nombor 6’.
Pilihan Ideal?
Musim lalu Christian Eriksen,
Scott McTominay dan Fred pernah diberikan tugas sebagai `deep-lying midfielder’
ketika Casemiro tersisih dari skuad, tetapi tiada seorang pun antara mereka
yang mampu berperanan sebagai `volante’ dengan berkesan. Jadi bagaimana dengan
Amrabat? Ten Hag sering bercakap tentang bagaimana beliau mahu United bermain,
iaitu melakukan intensiti `pressing’ yang tinggi dan kemudiannya `playing out
from the back’. Tetapi untuk melakukannya, beliau perlukan seorang pemain yang
mampu melakukan proses transisi dengan berkesan.
Secara keseluruhannya, United
melancarkan 102 serangan secara `direct’ musim lalu, jumlah tertinggi
berbanding mana-mana pasukan di Liga Perdana dan berhasil menjaringkan sembilan
gol dari situasi tersebut. Amrabat diketahui memiliki kualiti dan julat
hantaran jarak pertengahan dan jauh yang bagus. Setidak-tidaknya itu yang sudah
beliau tunjukkan di Serie A. Jadi Ten Hag percaya bahawa beliau sudah memiliki
pemain yang ideal, bukan sahaja untuk memperkuatkan jentera tengah United
tetapi juga pemain yang mampu melakukan proses transisi dengan berkesan.
Penutup
Amrabat terpaksa menunggu lebih
70 hari sebelum perpindahannya ke Old Trafford dimuktamadkan, sekaligus muncul
lelaki pertama dari Maghribi yang beraksi untuk United. Dalam tempoh itu, beliau
dikatakan menolak tawaran lumayan yang datang dari Arab Saudi dan kelab sekitar
Eropah. Bagi Amrabat, beliau sudah bertekad…jika mahu berpindah destinasinya hanyalah
satu, iaitu Old Trafford. Bukan mudah untuk menanti sesuatu yang belum pasti, tetapi
untuk United beliau sanggup menunggu dan terus menunggu. Sepertimana kata
Fabrizio Romano, dengan apa yang telah beliau lakukan, Amrabat layak mendapat
pujian dan penghormatan dari penyokong United. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan