Aksi Liga Perdana minggu
keempat bakal menyaksikan pertembungan menarik membabitkan Manchester United
dan Arsenal. Aksi yang bakal dilangsungkan di Stadium Emirates itu boleh
dikategorikan sebagai perlawanan terbesar di Liga Perdana pada minggu ini. Meskipun
dilabel sebagai `perlawanan besar’ minggu ini, `perang’ antara United dan
Arsenal tidak lagi sehebat ketika era kemuncak perseteruan mereka terutamanya di
penghujung dekad 90an atau ketika awal era millenium. Hakikatnya api
perseteruan itu sebenarnya sudah lama malap.
Tiada siapa boleh melupakan
aura pertembungan antara United dan Arsenal ketika itu. Percakaran antara Roy
Keane dan Patrick Vieira serta perang psikologi antara Sir Alex Ferguson dan
Arsene Wenger antara elemen yang menjadi penyebab mengapa pertarungan antara
United dan Arsenal di atas padang sentiasa dinanti dengan penuh teruja. Jadi
tidak hairanlah mengapa hingga sekarang, kita masih sentiasa menyebut dan
sentiasa mengimbas kembali puncak perseteruan itu kerana ia adalah simbol
kepada masa lalu yang indah.
Seteru
Menurut Steve McClaren, Fergie
merupakan seorang individu yang suka akan cabaran dan tentangan. Jadi di Liga
Perdana ketika itu, beliau perlukan seorang `musuh’ yang boleh diajak berlawan,
berkonfrontasi dan bertegang urat leher di tepi padang. Kenny Dalglish dan
Kevin Keegan pernah cuba menganggu dominasi Fergie tetapi kegarangan mereka
cuma berlangsung semusim. `King’ Kenny pernah memecah dominasi United apabila
beliau berjaya mengemudi Blackburn Rovers menjulang kejuaraan liga pada musim
1994/95.
Manakala Keegan pula mampu
membuatkan Fergie berpeluh sebelum United akhirnya berjaya memintas Newcastle
untuk menjulang kejuaraan liga pada musim 1996/97. Bagaimanapun kehadiran
Wenger di Highbury pada 1996 benar-benar membuatkan keharmonian Fergie terusik.
Pada musim pertama beliau di Liga Perdana, Wenger berjaya mengemudi Arsenal
menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Satu pencapaian yang sangat
mengagumkan buat seorang pengurus yang datang dari liga bolasepak Jepun.
Apa yang Fergie fikirkan ketika
itu? Sudah pasti beliau tahu bahawa kini sudah ada individu yang mampu
merosakkan dominasi United di England. Kebimbangan Fergie akhirnya menjadi
kenyataan, apabila pada musim kedua Wenger di Highbury (1997/98), beliau berjaya
mengemudi Arsenal menjulang kejuaraan `double’ menerusi kejayaan menjulang
trofi Liga Perdana dan Piala FA. Ego Fergie bukan sahaja tercalar, tetapi
kebangkitan Arsenal di tangan Wenger juga sebenarnya membuatkan beliau lebih
bermotivasi.
Apa hasilnya? Pada musim
berikutnya (1998/99), Fergie membawa United ke dimensi berbeza menerusi
kejayaan mereka menjulang kejuaraan `treble’. Dalam tempoh 24 tahun, tiada
mana-mana kelab England yang berjaya menyamai pencapaian ini sehinggalah
Manchester City melakukannya pada musim lalu. Begitupun, Arsenal di tangan
Wenger masih sentiasa menjadi lawan yang sangat sukar untuk dihadapi United
hinggakan pertembungan membabitkan kedua-dua pasukan sering diwarnai dengan
insiden-insiden panas.
Api Sengketa
`Battle of Old Trafford’ dan `Battle
of the Buffet’ antara insiden yang tidak boleh terlepas dari topik perbualan
jika anda mahu mengenang kembali perseteruan membabitkan United dan Arsenal di
era Fergie/Wenger. Permusuhan antara United dan Arsenal turut menyebabkan David
Beckham terkena tempiasnya. Pada 15 Februari 2003, United dan Arsenal
bertembung di pusingan kelima Piala FA yang berlangsung di Old Trafford.
Sepertimana aksi-aksi sebelumnya, pertembungan ini turut diwarnai dengan
percakaran antara pemain di atas padang.
Suhu panas ini akhirnya turut
terbawa-bawa hingga ke bilik persalinan dan ketika inilah insiden `boot’
terbang berlaku hingga menyebabkan kening Beckham berdarah. Kemarahan Fergie
terhadap ketumpulan barisan hadapannya dalam menyudahkan peluang diterjemahkan
beliau menerusi satu rembatan padu pada `boot’ pemain yang kemudiannya melayang
hingga mengenai kening Beckham. Keesokkan harinya imej Beckham dengan kening
bertampal tular di dada akhbar hingga menutup kisah tentang kekalahan 0-2
United kepada seteru mereka itu.
Insiden di bilik persalinan ini
satu petanda awal bahawa karier Beckham di Old Trafford bakal berakhir. Di
penghujung musim, Arsenal berjaya menjulang kejuaraan Piala FA, manakala
Beckham pula menamatkan karier sebelas tahunnya bersama kelab dengan menyertai
Real Madrid. Meskipun disingkir dari kempen Piala FA, menutup tirai musim
2002/03 dengan kejayaan merampas semula kejuaraan liga dari tangan Arsenal
tetap satu pencapaian yang boleh dibanggakan Fergie. Bagaimanapun Arsenal pada
musim berikutnya tampil lebih menggerunkan.
Di sebalik kegagalan Arsenal
mempertahankan kejuaraan liga mereka (musim 2002/03), Wenger membentuk skuad
`The Gunners’ yang lebih solid bagi menghadapi musim baharu. Berbekalkan
tonggak sedia ada dan tujuh pemain baharu yang dibawa masuk, Arsenal melakar
sejarah baharu bolasepak Inggeris apabila mereka menamatkan saingan liga musim
2003/04 tanpa disentuh sebarang kekalahan. Menjuarai liga dengan status
`invincibles’ adalah gambaran betapa menakutkan skuad Arsenal yang dibentuk
Wenger ketika itu.
Liga Perdana sejak dulu memang
diakui sebagai liga paling sukar didunia dan memenanginya tanpa disentuh
sebarang kekalahan adalah satu pencapaian yang diluar jangkauan akal fikiran. Selepas
lebih setahun beraksi tanpa kalah, Arsenal akhirnya terpaksa akur bahawa
catatan epik tersebut akhirnya menujuk ke titik penamat. Ironinya, rentetan catatan
49 perlawanan tanpa kalah Arsenal lebur ditangan United pada 24 Oktober 2004.
Di akhir perlawanan ketika pemain kedua-dua pasukan berada di terowong,
tercetuslah insiden `Battle of the Buffet’ yang sangat terkenal itu.
Kian Malap
Sejak 2004, Arsenal tidak lagi
dianggap sebagai pencabar kejuaraan, tambahan pula munculnya empayar baharu di
barat kota London tercetus dari kuasa wang yang dimiliki Roman Abramovich serta
kemunculan Manchester City sebagai kuasa baharu pada 2009. Manakala generasi
emas Arsenal seperti Thierry Henry, Patrick Vieira, Marc Overmars, Robert
Pires, Dennis Bergkamp, Frederik Ljungberg, Martin Keown, Emmanuel Petit dan
Tony Adams satu persatu meninggalkan Highbury. Begitupun United di bawah kendalian
Fergie masih mampu memenangi lima lagi kejuaraan liga sehingga 2013.
Insiden `Battle of the Buffet’
boleh dianggap sebagai kemuncak kepada perseteruan membabitkan United dan Arsenal.
Selepas itu api sengketa itu mula meredup sedikit demi sedikit dek kemunculan
Chelsea dan kemudiannya Manchester City sebagai kuasa baharu bolasepak
Inggeris. Apa yang berlaku selepas empayar Abramovich dibina ialah Fergie tidak
lagi memandang Arsenal sebagai pencabar United dalam perebutan kejuaraan liga.
Manakala Wenger pula bukan lagi seteru yang boleh memeningkan kepalanya.
Penutup
Momen perseteruan antara `The
Red Devils’ dan `The Gunners’ di penghujung dekad 90an dan awal era millennium adalah
momen terindah untuk dikenang, baik oleh penyokong United mahupun Arsenal. Pada
Ahad nanti, United dan Arsenal akan bertembung sekali lagi. Tetapi gejolak
adrenalin sudah lama menurun, rasa kemarahan sudah mereda dan keterujaan tidak
lagi memuncak seperti ketika era Keano dan Vieira mengetuai pasukan. Di masa
lalu, Fergie dan Wenger merupakan `mastermind’ yang menggerakkan api permusuhan
antara kedua-dua pasukan.
Manakala Keano dan Vieira pula
adalah watak antagonis dan protagonis yang menjadikan pertembungan dua kelab
ini sentiasa panas, mendebarkan dan adrenalinnya meresap ke seluruh tubuh. Bagaimanapun
pertembungan antara United dan Arsenal pada Ahad nanti tetap satu pertembungan
yang penting. Meskipun api sengketa sudah malap terlalu lama, tetapi itu bukan
bermakna pertembungan terkini United dan Arsenal sudah tidak lagi menarik untuk
disaksikan. Nikmati sahaja perlawanan ini kerana api yang sudah lama malap itu
tidak akan menghilangkan kehangatan aksi ini. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan