23 Mei 2009

Tiada Ruang Buat Hull City

http://static.guim.co.uk/sys-images/Football/Pix/pictures/2008/05/09/SirAlexFergusonGettyCliveMason2.jpg
Manchester United bertekad mencatatkan kemenangan ke atas Hull City pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris malam esok. United akan bertandang ke Stadium Kingston dan sebarang keputusan tidak akan menjejaskan kedudukan mereka sebagai juara liga namun Hull City amat memerlukan kemenangan untuk kekal bersaing dalam Liga Perdana musim depan. Skuad The Tigers itu tiada pilihan lain selain mengutip tiga mata penuh namun perlu berhadapan tugas getir menewaskan United yang minggu lalu telah mengesahkan kejuaraan Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut. Bagi Sir Alex Ferguson, perlawanan malam ini merupakan medan pemanas badan terbaik buat pemainnya sebelum menghadapi final Liga Juara Juara 28 Mei ini. Meskipun begitu, Ferguson tetap akan merehatkan sebilangan besar pemain bintangnya untuk menghadapi Barca nanti dan Rio Ferdinand yang baru pulih dari kecederaan akan diturunkan Ferguson bagi mengembalikan semula sentuhannya sebelum final Liga Juara Juara. Glory Glory Manchester United!!!

22 Mei 2009

Evra Sedia Pertembungan Dengan Messi

http://actualgamessports.files.wordpress.com/2008/12/patrice_evra_28746t.jpg
Pertahanan kiri Manchester United, Patrice Evra sudah bersedia menyekat Lionel Messi dalam pertembungan final Liga Juara-Juara 28 Mei ini. Pertembungan antara Evra dan sayap kanan Barcelona itu pasti tidak dapat dielakkan namun pertahanan antarabangsa Perancis itu menegaskan tugas menyekat Messi bukan sesuatu yang mudah. Walau bagaimanapun tiada latihan khas baginya untuk menghadapi pertembungan itu memandangkan setiap hari beliau perlu berhadapan dengan Wayne Rooney, Dimitar Berbatov, Carlos Tevez dan Cristiano Ronaldo dalam sesi latihan United. Itu sudah memadai baginya sebagai persediaan apabila berhadapan dengan pemain licik seperti Messi. Messi merupakan pemain penting Barcelona dan untuk itu, Evra mahu memastikan bintang sayap kelab Catalan itu gagal memberikan aksi terbaiknya dalam perlawanan akhir nanti.

19 Mei 2009

Vidic Terbaik Di United

http://blog.ecr.co.za/sports/wp-content/uploads/2008/04/nemanja.jpg
Nemanja Vidic dipilih sebagai pemain terbaik Manchester United musim ini. Pemilihan pertahanan tengah berasal dari Serbia itu hasil undian rakan-rakan sepasukan dan penyokong United. Prestasi hebat Vidic bersama gandingannya Rio Ferdinand dibenteng pertahanan dilihat sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada prestasi konsisten United musim ini. Sabtu lalu United telah dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris buat musim ketiga berturut-turut dan kini dalam usaha muncul pasukan pertama mempertahankan trofi Liga Juara-Juara sejak kejohanan itu bertukar nama. Vidic tidak menyangka dirinya dipilih sebagai pemain terbaik United pada pemilihan itu dan mengakui ia merupakan suntikan semangat terbaik buatnya dalam rangka persiapan menghadapi Barcelona pada final Liga Juara-Juara 28 Mei ini. Ini juga merupakan penghargaan individu pertama diterima Vidic sepanjang kariernya dan pertahanan kental itu nyata gembira atas penghargaan yang diberikan oleh rakan-rakan sepasukan dan penyokong setia United.
Nemanja Vidic Picture
Vidic yang dibeli United dari kelab gergasi Rusia, Spartak Moscow nyata menikmati hari-hari hebatnya di Old Trafford dan sentiasa mempamerkan peningkatan prestasi setiap musim. Gandingannya bersama Rio Ferdinand sering dilabel sebagai yang terbaik didunia dan terjahan-terjahan kerasnya sering menjadi igauan ngeri buat penggempur lawan. Terbaru, Inter Milan yang baru memenangi kejuaraan Scudetto melahirkan minat untuk membawa Vidic ke San Siro dan akan membuat tawaran rasmi kepada United selepas final Liga Juara-Juara. Bagaimanapun niat Inter itu mungkin tidak tercapai berikutan Vidic awal-awal lagi telah menyuarakan komitmen tidak berbelah bahagi kepada United dan jelas gembira dengan kehidupannya di Old Trafford. Ferguson pula pastinya tidak akan melepaskan bintang pertahannya itu dengan mudah sekalipun Inter menawarkan yuran perpindahan lumayan buat memikat Vidic.

17 Mei 2009

Ronaldo Tunjang Kekuatan United

http://www.independent.co.uk/multimedia/archive/00034/Andrei_Arshavin_34133t.jpg
Andrei Arshavin

Bintang Arsenal berasal dari Rusia, Andrei Arshavin menyatakan kekuatan United terletak kepada prestasi hebat Cristiano Ronaldo. Arshavin yang berpindah ke Arsenal dari juara Rusia, Zenit St Petersburgh Januari lalu mendedahkan tanpa kelibat Ronaldo prestasi United akan menurun dan lawan boleh mengambil kesempatan itu untuk menewaskan skuad Red Devils. Bagi playmaker Arsenal itu, Ronaldo memainkan peranan besar atas prestasi konsisten United musim ini sehingga mampu mempertahankan trofi Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut selain menempah tempat di final Liga Juara-Juara. Bagaimanapun baginya United tetap pasukan yang sukar ditewaskan walaupun Ronaldo tidak berada dalam kesebelasan utama memandangkan Red Devils memiliki keseimbangan di setiap posisi. Benteng pertahanan United disifatkannya sebagai yang terbaik di dunia, bahagian tengah kerap membekalkan hantaran-hantaran berkualiti buat penyerang manakala barisan penggempur hampir mencapai tahap sempurna dengan adanya Ronaldo, Wayne Rooney, dan Dimitar Berbatov. Inilah faktor yang membuatkan United tetap sukar ditewaskan biarpun tanpa kelibat Ronaldo.

SIR ALEX FERGUSON

Sejak berjaya mengemudi Manchester United meraih kejuaraan ke 19 trofi Liga Perdana Inggeris (musim 2010-11) sekaligus memadamkan rekod yang dipegang bersama Liverpool, Sir Alex Ferguson kini dianggap pengurus paling berjaya dan lagenda hidup Manchester United. Selain kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga, United juga merupakan kelab pertama England yang berjaya memenangi tiga kejuaraan berturut-turut ( 2006-07, 2007-08 & 2008-09) sejak trofi itu ditukar nama pada tahun 1992, namun Ferguson menegaskan buruan United tidak akan berhenti malah mensasarkan lebih banyak kejuaraan di masa hadapan. Pengendali berbangsa Scotland itu akan hanya berasa puas jika United dapat melepasi semua pencapaian Liverpool dan dengan barisan pemain yang dimilikinya beliau percaya United mampu mengulangi lagi kejayaan ini di musim-musim seterusnya. Walau bagaimanapun kejayaan yang dikecapi United selama ini bukanlah sesuatu yang mudah buat Ferguson semasa awal ketibaannya di Old Trafford. Sejak kejayaan era Sir Matt Busby dan skuad Busby Babes, ramai pengurus datang silih berganti. Dari era Frank O' Farrel, Tommy Docherty, Dave Sexton hinggalah Ron Atkinson namun semuanya gagal memenangi hati pihak pengurusan mahupun penyokong. Pada tahun 1986 Ron Atkinson dipecat gara-gara gagal membawa sebarang trofi ke Old Trafford walaupun United ketika itu menduduki tempat ke 4 liga. Atkinson kemudiannya digantikan oleh Ferguson, bekas pengendali Aberdeen dalam liga Scotland itu gagal memenangi hati penyokong apabila United tewas dalam perlawanan pertama di bawah kendaliannya kepada Oxford Town.

Pada tahun 1990 desakan agar Ferguson dipecat semakin kuat dan ketika perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Nottingham Forest ramai yang menjangka inilah perlawanan terakhir buat Ferguson namun gol Mark Robins berjaya membawa United ke pentas final. Diperlawanan akhir United berjaya menewaskan Crystal Palace dan inilah gelaran pertama sejak Ferguson mengambilalih jawatan pengurus dari Atkinson. Ferguson terselamat buat seketika namun kekalahan diseparuh akhir Piala Liga kepada Sheffield Wednesday pada tahun 1991 kembali menguatkan desakan agar Ferguson dipecat. Segala tekanan ditepis dengan pantas oleh Ferguson apabila selepas itu beliau membawa United memenangi kejuaraan Cup Winners Cup dengan menewaskan Barcelona di perlawanan akhir. Terima kasih atas jaringan tunggal Mark Hughes. Akhirnya ramai pengkritiknya mula membuka mata dan mengakui bahawa Ferguson punya sentuhan ajaib namun memerlukan masa untuk membawa lebih banyak trofi kealmari kejuaraan di Old Trafford. Musim 1992/93 ketika Liga Inggeris bertukar nama kepada Liga Perdana, Ferguson membawa United menjuarai trofi itu buat pertama kali dalam tempoh 25 tahun sejak kali terakhir United memenanginya pada tahun 1967. Sejak itu, Ferguson terus mendapat kepercayaan dari pihak pengurusan dan penyokong. Tanpa tekanan, Ferguson terus sukses menerajui United ditambah dengan kehadiran pemain-pemain muda dari class of 1992 seperti Paul Scholes, Ryan Giggs, David Beckham dan adik beradik Neville menjadikan United semakin digeruni.

Mengimbas detik awal ketibaannya di Old Trafford, Ferguson tidak menyangka beliau mampu menyamai pencapaian sepanjang masa Liverpool dengan 18 gelaran liga. Ketika Ferguson baru tiba, United hanya memenangi trofi liga sebanyak 7 kali dan pastinya beliau tidak pernah terfikir tentang kemampuannya untuk membawa United memenangi 12 kejuaraan sekaligus mengatasi pencapaian skuad dari Anfield itu. Bukan hanya kejuaraan liga, Ferguson telah membawa United memenangi trofi Liga Juara sebanyak 2 kali, 5 Piala FA, 3 Piala Liga, 10 Piala Community Shield, 1 Piala Cup Winners, 1 Piala UEFA, 1 Piala Antarabenua dan 1 Kejuaraan Kelab Dunia. Terbukti pengendali yang hampir dipecat itu rupa-rupanya mempunyai sentuhan ajaib sehingga mampu menghadiahkan 26 kejuaraan buat United sejak ketibaanya pada tahun 1986. Dan kini Ferguson pastinya juga tidak pernah menyangka bahawa beliau adalah raja di Old Trafford. Ketika ditanya bilakah beliau akan bersara, Ferguson pantas menjawab bahawa beliau tidak pernah terfikir untuk bersara dan selagi kesihatannya masih baik beliau ingin terus melatih United.  Ferguson turut membayangkan masa depan yang cerah buat skuad United memandangkan barisan yang dimilikinya kini rata-rata adalah pemain muda. Selepas persaraan Gary Neville, Paul Scholes, Edwin van der Sar serta penjualan beberapa pemain senior ke kelab lain (John O'Shea dan Wes Brown ke Sunderland), skuad United bagi musim 2011-12 bertunjangkan pemain-pemain muda.  Ferguson bertindak berani mengeluarkan keseluruhan 36 juta Pound untuk membawa masuk penjaga gol muda Sepanyol, David de Gea dari Atletico Madrid bagi menggantikan Edwin van der Sar dan pertahanan skuad bawah 21 tahun England, Phil Jones dari Blackburn Rovers.   Di samping itu, Ferguson turut memperkuatkan skuad United bagi musim 2011-12 selepas berjaya menandatangani pemain tengah England, Ashley Young dari Aston Villa dengan nilai 22 juta Pound.  Purata umur skuad United (musim 2011-12) adalah 24 tahun dan dengan prestasi mantap yang dipamerkan seorang lain pemain muda United, Tom Cleverley (pemain ini dilabel sebagai pengganti Scholes) bersama Anderson menjana bahagian tengah, maka tidak hairanlah mengapa Ferguson melupakan terus hasratnya memancing perancang Belanda dan Inter Milan, Wesley Sneijder  semasa pintu perpindahan musim panas 2011.  

Musim 2011/12 bolehlah dikatakan sebagai musim paling menyakitkan buat Sir Alex, pemain-pemainnya dan seluruh penyokong-penyokong The Red Devils. United menamatkan musim ini tanpa sebarang kejuaraan utama selain tersingkir di peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara. Paling menyakitkan tentunya kegagalan saat akhir barisan kendalian Sir Alex dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Liga Perdana. Akibat kegagalan mengekalkan momentum di penghujung musim, United akhirnya terpaksa akur melepaskan trofi liga itu kepada jiran mereka, Manchester City menerusi perbezaan jaringan gol. Kegagalan perlu ditelan walaupun pahit, tetapi dalam masa yang sama ia perlu dilupakan segera bagi memberikan fokus untuk menghadapi saingan musim baru. Musim panas 2012, Sir Alex memberikan berita gembira buat penyokong-penyokong United apabila beliau berjaya menandatangani playmaker berpengaruh Borussia Dortmund, Shinji Kagawa. Meskipun gagal mendapatkan khidmat Eden Hazard yang memilih Chelsea, kehadiran Kagawa dilihat penyokong-penyokong mampu memberikan impak di bahagian tengah United selepas dia begitu cemerlang sepanjang dua musim beraksi di Signal Iduna Park. Kecenderungan Sir Alex mendapatkan pemain-pemain muda diteruskan apabila beliau menandatangani Nick Powell dari Crewe Alexandra. Persiapan musim panas United mencapai kemuncaknya apabila Sir Alex berjaya menandatangani penyerang berbisa Arsenal, Robin Van Persie. Keterujaan penyokong-penyokong United tentang berita kejayaan  mendapatkan khidmat Van Persie tercetus di seluruh dunia. Penyokong-penyokong teruja tetapi tidak kepada pesaing-pesaing United yang jelas begitu bimbang dengan kehadiran penjaring terbanyak musim 2011/12 itu. Kebimbangan pesaing-pesaing United jelas berasas apabila Van Persie muncul antara pemain United paling menyerlah musim ini (2012/13) meskipun ini merupakan musim pertamanya di Old Trafford selepas lapan tahun beraksi untuk Arsenal. Kehadiran Van Persie menghadirkan dimensi baru kepada bahagian hadapan dan akhirnya United berjaya merampas kembali kejuaraan liga dari tangan Manchester City. Kegagalan di peringkat Eropah selepas disingkir Real Madrid pada pusingan kalah mati (16 pasukan) berjaya ditebus dengan memenangi trofi liga buat kali ke-20. Menyedari ini adalah detik terbaik untuknya berundur, Sir Alex akhirnya mengumumkan persaraannya pada 16 Mei 2013 selepas berkhidmat selama 27 tahun sebagai pengendali Manchester United. Berita yang diumumkan oleh laman sesawang rasmi United (manutd.com) mengejutkan ramai pihak terutama penyokong-penyokong setia The Red Devils. Perlawanan menentang Swansea City pada 12 Mei 2012 merupakan perlawanan terakhir Sir Alex di Old Trafford. Di akhir perlawanan, Nemanja Vidic selaku kapten pasukan dan Patrice Evra memberikan penghormatan kepada Sir Alex menjulang trofi liga bagi menghargai jasanya dan juga sebagai salam perpisahan kepada lagenda itu. Perlawanan menentang West Bromwich Albion (pada 19 Mei 2012) merupakan perlawanan ke-1,500 Sir Alex dan sebaik Mike Oliver meniupkan wisel penamatnya, maka berakhirlah legasi 26 tahun lagenda itu sebagai pengurus Manchester United. Selama bersama United, Sir Alex sudah menghadiahkan 38 trofi kejuaraan sejak beliau menggantikan tempat Ron Atkinson pada 1986.

Gelaran Ke 18 Buat United

Gary Neville the captain of Manchester United lifts the Barclays Premier League trophy
Manchester United memastikan trofi Liga Perdana kekal di Old Trafford buat musim ketiga berturut-turut. Keputusan seri 0-0 menentang Arsenal membolehkan United meraih satu mata berharga dan apa juga keputusan yang diraih Liverpool selepas ini tidak membawa apa-apa erti buat skuad kendalian Rafael Benitez itu. Kejuaraan ini juga membolehkan United menyamai pencapaian Liverpool dengan memenangi trofi Liga Perdana sebanyak 18 kali manakala bagi Sir Alex Ferguson, trofi ini merupakan kejuaraan ke 11 sepanjang karier 22 tahunnya di Old Trafford. Di awal separuh masa pertama United banyak menguasai permainan dengan peluang terbaik hadir di minit ke 12 namun tandukan Wayne Rooney yang menerima hantaran lintang Cristiano Ronaldo tersasar kesebelah kanan gawang. Arsenal juga memperolehi peluang terbaik di minit ke 15 namun tandukan Robin Van Persie yang menerima hantaran Andrei Arshavin melambung tinggi melepasi palang.
Samir Nasri of Arsenal competes for the ball with Ryan Giggs of Manchester United
Diseparuh masa kedua Arsenal lebih banyak memberi tekanan namun jentera serangan Gunners gagal menembusi benteng kebal United yang diterajui Nemanja Vidic. United gigih mempertahankan kedudukan sehingga wisel penamat ditiup sekaligus menutup terus sisa-sisa peluang Liverpool untuk melakukan kejutan saat akhir. Dengan baki satu perlawanan lagi, United kini mengutip 87 mata, 7 mata mengatasi pencabar terdekat Liverpool dan skuad The Reds itu tidak lagi mampu mengejar biarpun masih memiliki dua perlawanan dalam tangan. United juga kini menjadi satu-satunya pasukan yang memenangi kejuaraan Liga Perdana tiga musim berturut-turut sejak trofi itu ditukar nama pada tahun 1992. Glory Glory Manchester United!!!