Sejak berjaya mengemudi
Manchester United meraih kejuaraan ke 19 trofi Liga Perdana Inggeris (musim
2010-11) sekaligus memadamkan rekod yang dipegang bersama Liverpool, Sir Alex
Ferguson kini dianggap pengurus paling berjaya dan lagenda hidup Manchester
United. Selain kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga, United juga
merupakan kelab pertama England yang berjaya memenangi tiga kejuaraan
berturut-turut ( 2006-07, 2007-08 & 2008-09) sejak trofi itu ditukar
nama pada tahun 1992, namun Ferguson menegaskan buruan United tidak akan
berhenti malah mensasarkan lebih banyak kejuaraan di masa hadapan.
Pengendali berbangsa Scotland itu akan hanya berasa puas jika United dapat
melepasi semua pencapaian Liverpool dan dengan barisan pemain yang dimilikinya
beliau percaya United mampu mengulangi lagi kejayaan ini di musim-musim
seterusnya. Walau bagaimanapun kejayaan yang dikecapi United selama ini
bukanlah sesuatu yang mudah buat Ferguson semasa awal ketibaannya di Old
Trafford. Sejak kejayaan era Sir Matt Busby dan skuad Busby Babes, ramai
pengurus datang silih berganti. Dari era Frank O' Farrel, Tommy Docherty, Dave
Sexton hinggalah Ron Atkinson namun semuanya gagal memenangi hati pihak
pengurusan mahupun penyokong. Pada tahun 1986 Ron Atkinson dipecat gara-gara
gagal membawa sebarang trofi ke Old Trafford walaupun United ketika itu
menduduki tempat ke 4 liga. Atkinson kemudiannya digantikan oleh Ferguson,
bekas pengendali Aberdeen dalam liga Scotland itu gagal memenangi hati
penyokong apabila United tewas dalam perlawanan pertama di bawah kendaliannya
kepada Oxford Town.
Pada tahun 1990 desakan agar
Ferguson dipecat semakin kuat dan ketika perlawanan separuh akhir Piala FA
menentang Nottingham Forest ramai yang menjangka inilah perlawanan terakhir
buat Ferguson namun gol Mark Robins berjaya membawa United ke pentas final. Diperlawanan akhir United berjaya menewaskan Crystal Palace dan
inilah gelaran pertama sejak Ferguson mengambilalih jawatan pengurus dari
Atkinson. Ferguson terselamat buat seketika namun kekalahan diseparuh akhir
Piala Liga kepada Sheffield Wednesday pada tahun 1991 kembali menguatkan
desakan agar Ferguson dipecat. Segala tekanan ditepis dengan pantas oleh
Ferguson apabila selepas itu beliau membawa United memenangi kejuaraan Cup Winners Cup dengan menewaskan Barcelona di perlawanan akhir.
Terima kasih atas jaringan tunggal Mark Hughes. Akhirnya ramai pengkritiknya
mula membuka mata dan mengakui bahawa Ferguson punya sentuhan ajaib namun
memerlukan masa untuk membawa lebih banyak trofi kealmari kejuaraan di Old
Trafford. Musim 1992/93 ketika Liga Inggeris bertukar nama kepada Liga Perdana,
Ferguson membawa United menjuarai trofi itu buat pertama kali dalam tempoh 25
tahun sejak kali terakhir United memenanginya pada tahun 1967. Sejak itu,
Ferguson terus mendapat kepercayaan dari pihak pengurusan dan penyokong. Tanpa
tekanan, Ferguson terus sukses menerajui United ditambah dengan kehadiran
pemain-pemain muda dari class of 1992 seperti Paul Scholes, Ryan Giggs,
David Beckham dan adik beradik Neville menjadikan United semakin digeruni.
Mengimbas detik awal ketibaannya
di Old Trafford, Ferguson tidak menyangka beliau mampu menyamai pencapaian
sepanjang masa Liverpool dengan 18 gelaran liga. Ketika Ferguson baru tiba,
United hanya memenangi trofi liga sebanyak 7 kali dan pastinya beliau tidak
pernah terfikir tentang kemampuannya untuk membawa United memenangi 12
kejuaraan sekaligus mengatasi pencapaian skuad dari Anfield itu. Bukan hanya
kejuaraan liga, Ferguson telah membawa United memenangi trofi Liga Juara
sebanyak 2 kali, 5 Piala FA, 3 Piala Liga, 10 Piala Community Shield,
1 Piala Cup Winners, 1 Piala UEFA, 1 Piala Antarabenua dan 1
Kejuaraan Kelab Dunia. Terbukti pengendali yang hampir dipecat itu rupa-rupanya
mempunyai sentuhan ajaib sehingga mampu menghadiahkan 26 kejuaraan buat United
sejak ketibaanya pada tahun 1986. Dan kini Ferguson pastinya juga tidak pernah
menyangka bahawa beliau adalah raja di Old Trafford. Ketika ditanya bilakah
beliau akan bersara, Ferguson pantas menjawab bahawa beliau tidak pernah
terfikir untuk bersara dan selagi kesihatannya masih baik beliau ingin terus
melatih United. Ferguson turut membayangkan masa depan yang cerah
buat skuad United memandangkan barisan yang dimilikinya kini rata-rata adalah
pemain muda. Selepas persaraan Gary Neville, Paul Scholes, Edwin van der Sar
serta penjualan beberapa pemain senior ke kelab lain (John O'Shea dan Wes Brown
ke Sunderland), skuad United bagi musim 2011-12 bertunjangkan pemain-pemain
muda. Ferguson bertindak berani mengeluarkan keseluruhan 36 juta Pound
untuk membawa masuk penjaga gol muda Sepanyol, David de Gea dari Atletico
Madrid bagi menggantikan Edwin van der Sar dan pertahanan skuad bawah 21 tahun
England, Phil Jones dari Blackburn Rovers. Di samping itu, Ferguson
turut memperkuatkan skuad United bagi musim 2011-12 selepas berjaya
menandatangani pemain tengah England, Ashley Young dari Aston Villa dengan
nilai 22 juta Pound. Purata umur skuad United (musim 2011-12) adalah 24
tahun dan dengan prestasi mantap yang dipamerkan seorang lain pemain muda
United, Tom Cleverley (pemain ini dilabel sebagai pengganti Scholes) bersama
Anderson menjana bahagian tengah, maka tidak hairanlah mengapa Ferguson
melupakan terus hasratnya memancing perancang Belanda dan Inter Milan, Wesley
Sneijder semasa pintu perpindahan musim panas 2011.
Musim 2011/12 bolehlah dikatakan
sebagai musim paling menyakitkan buat Sir Alex, pemain-pemainnya dan seluruh
penyokong-penyokong The Red Devils. United menamatkan musim ini tanpa
sebarang kejuaraan utama selain tersingkir di peringkat kumpulan saingan Liga
Juara-Juara. Paling menyakitkan tentunya kegagalan saat akhir barisan kendalian
Sir Alex dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Liga Perdana. Akibat
kegagalan mengekalkan momentum di penghujung musim, United akhirnya terpaksa
akur melepaskan trofi liga itu kepada jiran mereka, Manchester City menerusi
perbezaan jaringan gol. Kegagalan perlu ditelan walaupun pahit, tetapi dalam
masa yang sama ia perlu dilupakan segera bagi memberikan fokus untuk menghadapi
saingan musim baru. Musim panas 2012, Sir Alex memberikan berita gembira buat
penyokong-penyokong United apabila beliau berjaya menandatangani playmaker berpengaruh Borussia Dortmund, Shinji Kagawa. Meskipun
gagal mendapatkan khidmat Eden Hazard yang memilih Chelsea, kehadiran Kagawa
dilihat penyokong-penyokong mampu memberikan impak di bahagian tengah United
selepas dia begitu cemerlang sepanjang dua musim beraksi di Signal Iduna Park.
Kecenderungan Sir Alex mendapatkan pemain-pemain muda diteruskan apabila beliau
menandatangani Nick Powell dari Crewe Alexandra. Persiapan musim panas United mencapai
kemuncaknya apabila Sir Alex berjaya menandatangani penyerang berbisa Arsenal,
Robin Van Persie. Keterujaan penyokong-penyokong United tentang berita kejayaan
mendapatkan khidmat Van Persie tercetus di seluruh dunia.
Penyokong-penyokong teruja tetapi tidak kepada pesaing-pesaing United yang
jelas begitu bimbang dengan kehadiran penjaring terbanyak musim 2011/12 itu.
Kebimbangan pesaing-pesaing United jelas berasas apabila Van Persie muncul
antara pemain United paling menyerlah musim ini (2012/13) meskipun ini
merupakan musim pertamanya di Old Trafford selepas lapan tahun beraksi untuk
Arsenal. Kehadiran Van Persie menghadirkan dimensi baru kepada bahagian hadapan
dan akhirnya United berjaya merampas kembali kejuaraan liga dari tangan
Manchester City. Kegagalan di peringkat Eropah selepas disingkir Real Madrid
pada pusingan kalah mati (16 pasukan) berjaya ditebus dengan memenangi trofi
liga buat kali ke-20. Menyedari ini adalah detik terbaik untuknya berundur, Sir
Alex akhirnya mengumumkan persaraannya pada 16 Mei 2013 selepas berkhidmat
selama 27 tahun sebagai pengendali Manchester United. Berita yang diumumkan
oleh laman sesawang rasmi United (manutd.com) mengejutkan ramai pihak terutama
penyokong-penyokong setia The Red Devils. Perlawanan menentang Swansea City pada 12
Mei 2012 merupakan perlawanan terakhir Sir Alex di Old Trafford. Di akhir
perlawanan, Nemanja Vidic selaku kapten pasukan dan Patrice Evra memberikan
penghormatan kepada Sir Alex menjulang trofi liga bagi menghargai jasanya dan
juga sebagai salam perpisahan kepada lagenda itu. Perlawanan menentang West
Bromwich Albion (pada 19 Mei 2012) merupakan perlawanan ke-1,500 Sir Alex dan
sebaik Mike Oliver meniupkan wisel penamatnya, maka berakhirlah legasi 26 tahun
lagenda itu sebagai pengurus Manchester United. Selama bersama United, Sir Alex
sudah menghadiahkan 38 trofi kejuaraan sejak beliau menggantikan tempat Ron
Atkinson pada 1986.
glory2 man united...
BalasPadam