02 Mei 2010

FERGUSON RAGU-RAGU TURUNKAN ROONEY

http://i.dailymail.co.uk/i/pix/2009/05/07/article-0-04A96AE5000005DC-74_468x427.jpg
Penyerang Manchester United, Wayne Rooney mengakui bahawa beliau sudah cukup cergas untuk turun membantu pasukannya mengharungi baki saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. Walau bagaimanapun Sir Alex Ferguson masih belum mengambil keputusan sama ada mahu menurunkan Rooney di Stadium of Light malam ini. United akan berhadapan tugas mencabar apabila berhadapan dengan Sunderland yang dipimpin bekas bintang mereka di Old Trafford, Steve Bruce. Khidmat Rooney memang diperlukan Ferguson bagi menambah sengat di barisan serangan namun pengurus United itu pastinya tidak mahu menggadaikan peluang Rooney beraksi di Piala Dunia nanti memandangkan penyerangnya itu baru pulih dari kecederaan. "Kami berharap Rooney boleh menyertai kami semasa sesi latihan dan ada kemungkinan Rio Ferdinand juga bakal menyertai kami", kata Ferguson. Selepas direhatkan dalam beberapa perlawanan terakhir United, situasi Rooney dilihat semakin bertambah baik dan penyerang antarabangsa England itu tampak sudah bersedia membantu United dalam baki dua perlawanan terakhir musim ini.

United tidak boleh melakukan sebarang kesilapan dalam kunjungan mereka ke Stadium of Light malam ini dan perlu meraih mata maksimum jika mahu menafikan peluang Chelsea meraih kejuaraan liga. United kini ketinggalan hanya satu mata dibelakang skuad The Blues dan perlu mengerah segala kemampuan mereka untuk menewaskan Sunderland yang berjaya mengikat mereka di Old Trafford, Ogos tahun lalu. Kelibat Darren Bent yang merupakan penjaring terbanyak skuad The Black Cats perlu diawasi kerana bekas penyerang Tottenham Hotspurs itu mampu menghadirkan ancaman terhadap benteng United, tambahan pula Bent juga dalam misi mengintai tempat ke dalam skuad England ke Piala Dunia. Dalam satu lagi perlawanan, Liverpool akan menanti kunjungan Chelsea di Anfield, dan perlawanan ini akan menentukan peluang United mempertahankan trofli Liga Perdana Inggeris buat musim keempat berturut-turut. Ferguson yakin seteru tradisi mereka, Liverpool akan bermain habis-habisan ketika melayan kunjungan pendahulu itu. Walau bagaimanapun faktor keletihan selepas bermain selama 120 minit dalam perlawanan separuh akhir Liga Europa menentang Athletico Madrid mungkin memberi kelebihan kepada Chelsea dalam perlawanan ini.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van der Sar, Patrice Evra, Gary Neville, Jonny Evans, Nemanja Vidic, Luis Antonio Valencia, Nani, Michael Carrick, Darren Fletcher, Ryan Giggs & Dimitar Berbatov

26 April 2010

ROONEY DIPILIH SEBAGAI PEMAIN TERBAIK TAHUNAN

http://d.yimg.com/a/p/ap/20100425/capt.a76321fa46704411b3c6bdb66de2003c-a76321fa46704411b3c6bdb66de2003c-0.jpg
Wayne Rooney telah dipilih sebagai pemain terbaik tahunan Liga Perdana Inggeris (PFA) bagi musim 2009/2010 manakala pemain tengah Aston Villa, James Milner dipilih sebagai pemain muda terbaik. Dalam pengumuman yang dibuat semalam, Rooney menewaskan saingan terdekatnya iaitu Cecs Fabregas (Arsenal), Didier Drogba (Chelsea) dan Carlos Tevez (Manchester City). Pemilihan Rooney musim ini mengukuhkan cengkaman United ke atas anugerah itu selepas Ryan Giggs memenanginya pada tahun lalu manakala Cristiano Ronaldo menang dua tahun berturut-turut sebelumnya. Rooney yang menjaringkan 34 gol musim ini turut dicalonkan sebagai pemain muda terbaik tetapi anugerah itu akhirnya diberikan kepada Milner. Selain Milner dan Rooney, dua calon lain untuk anugerah itu ialah Fabregas dan penjaga gol Birmingham, Joe Hart.

25 April 2010

SPURS TERUS KEMPUNAN DI OLD TRAFFORD

Ryan Giggs of Manchester United scores the opening goal from a  penalty kick
Manchester United terus melebarkan penguasaan sejarah pertemuan dengan Tottenham Hotspurs di Old Trafford selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas skuad bimbingan Harry Redknapp itu. Sejak tahun 1989, Spurs tidak pernah menang dalam 18 edisi pertemuan mereka di Old Trafford dan kekalahan semalam merencatkan usaha mereka menempah tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan. United sekali lagi membuktikan mereka memang pakar menjaringkan gol di penghujung perlawanan apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh sepuluh minit terakhir. Kemenangan ini juga membolehkan United merampas kembali kedudukan teratas liga dari Chelsea, namun kedudukan bakal berubah jika skuad The Blues berjaya menewaskan Stoke City di Stamford Bridge malam ini. Walaupun mendominasi perlawanan, skuad The Red Devils yang turun tanpa Wayne Rooney sukar menembusi benteng pelawat dan peluang terbaik United hanya hadir diminit ke 30 tetapi tendangan jarak dekat Dimitar Berbatov berjaya dihalang Ledley King. Pelawat juga dilihat buntu apabila gerakan-gerakan yang dilancarkan melalui Gareth Bale dan Jermain Defoe mudah dipatahkan Jonny Evans dan Nemanja Vidic.
Nani of Manchester United scores his team's second goal past  Hueurelho Gomes of Tottenham Hotspur
Di separuh masa kedua, United terus cuba menekan kubu lawan tetapi mereka sekali lagi terlepas peluang terbaik untuk menjaringkan gol. Darren Fletcher gagal menyudahkan bola tandukan Berbatov walaupun hanya berhadapan dengan Huerelho Gomes dihadapan gawang. Limabelas minit babak kedua bermula, United dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Ryan Giggs selepas Benoit Assou-Ekotto mengasari Patrice Evra di dalam petak penalti. Kelebihan United sebaliknya hanya bertahan selama sepuluh minit apabila Spurs berjaya mengikat kedudukan selepas Ledley King berjaya menanduk masuk bola sepakan sudut. Dengan tempoh permainan berbaki sepuluh minit, kedua-dua pasukan dilihat bakal berkongsi mata tetapi Nani muncul pemusnah menerusi gol menarik diminit ke 80. Pemain antarabangsa Portugal itu bijak melambungkan bola hasil hantaran Federico Macheda untuk meletakkan United kembali di depan. United sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas Nani yang berjaya melepasi halangan Michael Dawson dikasari Wilson Palacios dan Giggs berjaya menyempurkannya untuk mengesahkan tiga amata berharga buat United. Kemenangan ke atas pasukan paling cemerlang ketika ini jelas menggembirakan Sir Alex Ferguson dan pengurus United itu yakin tekanan kini beralih kepada Chelsea yang perlu menang pertemuan mereka dengan Stoke City malam ini.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Arsenal (0) - Manchester City (0)
West Ham (3) - Wigan Athletic (2)
Bolton Wanderers (2) - Portsmouth (2)
Hull City (0) - Sunderland (1)
Wolverhampton (1) - Blackburn Rovers (1)

24 April 2010

FERGIE BERI PELUANG KEPADA PEMAIN MUDA

http://i.dailymail.co.uk/i/pix/2009/11/26/article-0-075CC9AA000005DC-300_468x377.jpg
Sir Alex Ferguson diberitakan bakal memberikan kesempatan kepada beberapa pemain dari skuad simpanan United untuk menghadapi Tottenham Hotspurs dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford malam ini. Ferguson tertarik dengan persembahan beberapa pemain muda dari skuad simpanan yang muncul juara Liga Simpanan baru-baru ini. United ketika ini hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga Chelsea dan perlawanan ini dilihat amat penting buat skuad Red Devils dalam misi mereka melakar sejarah mempertahankan trofi Liga Perdana buat musim keempat musim berturut-turut. Walaupun langkah Ferguson dilihat bertentangan dengan usaha United mengejar kejuaraan liga tetapi warga Scotland itu sebenarnya tidak dapat menyembunyikan keghairahan melihat bakat-bakat besar milik pemain muda dari skuad simpanannya. Ferguson merasakan kesempatan wajar diberikan kepada anak-anak didik Ole Gunnar Solskjaer merasai hangatnya saingan Liga Perdana Inggeris.

"Beberapa pemain telah bermain dengan cukup baik ketika mereka mengalahkan skuad simpanan Liverpool. Empat pemain pertahanan kami bermain dengan cemerlang dan satu atau dua pemain semakin berkembang. Gabriel Obertan menjaringkan gol yang luar biasa", ujar Ferguson. "Saya mungkin akan memberikan kesempatan kepada tiga atau empat pemain dari skuad simpanan dan mereka akan bersiap untuk perlawanan pada hari Sabtu", tambah Ferguson lagi. Perlawanan malam ini amat penting buat kedua-dua pasukan kerana Spurs juga perlukan keputusan positif dalam usaha mereka layak kesaingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan. United harus berhati-hati dengan cabaran yang bakal diberikan oleh anak-anak buat Harry Redknapp yang berada dalam prestasi terbaik mereka ketika ini selepas berjaya membenam cabaran Arsenal dan Chelsea di White Hart Lane. Kemenangan ke atas Manchester City minggu lalu pastinya akan memberikan suntikan semangat buat United dalam perlawanan ini tambahan pula Spurs tidak pernah menang di Old Trafford dalam 17 perlawanan mereka.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van der Sar, Patrice Evra, Jonny Evans, Nemanja Vidic, Gary Neville, Luis Antonio Valencia, Nani, Darren Fletcher, Michael Carrick, Dimitar Berbatov & Wayne Rooney

21 April 2010

FLETCHER: SCHOLES LAGENDA UNITED

Happy as ever!!! by tashaNR7.
Tonggak tengah Manchester United, Darren Fletcher menganggap Paul Scholes bukan sekadar pemain biasa tetapi lagenda yang harus dicontohi pemain-pemain lain. Musim ini ramai pihak meramalkan Scholes akan menggantung butnya kerana faktor umur yang kian meningkat tetapi sebaliknya pemain kelahiran akademi remaja Manchester United itu telah ditawarkan lanjutan kontrak hingga tahun 2011. Sehari selepas itu Scholes merakamkan gol ke 149 sepanjang kariernya bersama United dan juga merupakan gol penting yang menghidupkan semula peluang United memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Sabtu lalu Scholes menjawab pertanyaan ramai pihak mengapa Sir Alex Ferguson masih menagih khidmatnya apabila menjaringkan gol kemenangan United ke atas seteru setempat mereka, Manchester City di Eastlands. "Adalah tidak munasabah jika anda menyarankan agar kontrak Scholes tidak dilanjutkan. Jika anda menyaksikan perlawanan Sabtu lalu, dia adalah pemain terbaik di tengah padang", kata Fletcher. "Sebelum dia menjaringkan gol kemenangan itu, dia telah mengawal tempo permainan seperti yang dikehendakinya. Dia memang menjadi inspirasi kepada pasukan", tambah Fletcher lagi.

Fletcher mengakui bahawa penampilan Scholes ketika ini jauh berbeza dari zaman kemuncaknya, namun perkara itu tidak menghalangnya dari menjadi contoh kepada pemain lain. Bagi Fletcher, pemain senior seperti Scholes adalah lagenda buat pasukan dan wajar dicontohi pemain-pemain muda lain. "Semua pemain mahukan agar dia kekal di Old Trafford musim depan. Pemain-pemain seperti Scholes, Giggs dan Neville perlu kekal kerana mereka akan menjadi inspirasi bagi kami semua. Dia adalah lagenda serta contoh terbaik dan saya rasa tidak akan melihat individu lain seperti Paul Scholes", kata Fletcher. Sehingga kini, United masih belum memiliki pemain yang mampu menggantikan Scholes. Pemain muda Brazil, Anderson yang selama ini digambarkan sebagai pengganti Scholes masih belum mampu menandingi bekas pemain antarabangsa England itu. Seperti Ryan Giggs, Scholes juga antara pemain yang telah menjaringkan lebih dari seratus gol buat United. Ternyata pengalaman dan kemampuan pemain yang sudah berusia 35 tahun amat diperlukan United dalam situasi genting ketika ini. Gol kemenangan jaringan Scholes di Eastlands telah memberi nafas baru kepada misi United mempertahankan trofi Liga Perdana Inggeris untuk musim keempat berturut-turut.

17 April 2010

SCHOLES MUNCUL WIRA

Carlos Tevez of Manchester City screens the ball from Jonny Evans  of Manchester United
Manchester City sekali lagi terpaksa menelan kepahitan dan menerima kekalahan menerusi jaringan minit akhir perlawanan kepada jiran mereka Manchester United. September tahun lalu, Michael Owen muncul pemusnah kepada skuad bergelar The Citizens itu menerusi jaringan kemenangan diminit akhir masa tambahan. Malam tadi, giliran Paul Scholes pula muncul pemusnah, juga menerusi jaringan minit akhir masa tambahan. Wayne Rooney kembali menyertai kesebelasan utama United selepas pulih dari kecederaan namun kelibat penyerang England itu mendapat layanan `istimewa' dari Vincent Kompany yang ditugaskan merantai pergerakannya. Sir Alex Ferguson melakukan tindakan mengejut dengan memilih Darron Gibson berbanding Michael Carrick di bahagian tengah serta merehatkan Rio Ferdinand yang mengalami kecederaan dan menurunkan Jonny Evans di benteng pertahanan. Evans menjalankan tugasnya dengan cemerlang apabila berjaya merantai pergerakan Carlos Tevez yang berada dalam prestasi terbaiknya ketika ini dan telah menjaringkan tujuh gol dari empat perlawanan. Kedua-dua pasukan yang memerlukan kemenangan bermain dengan berhati-hati tetapi United memperolehi beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol terutamanya di separuh masa pertama. Diminit ke 41, Wayne Rooney sepatutnya sudah meletakkan United di depan tetapi rembatannya tersasar dari gawang biarpun hanya berdepan dengan Shay Given. Tiga minit kemudian United sekali lagi menguji gawang tuan rumah melalui Ryan Giggs tetapi, kuisan bintang veteran itu yang menerima hantaran lintang Antonio Valencia berjaya diselamatkan Given.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20100417/capt.9677c9779aaa49e2893b99105700b9fe-9677c9779aaa49e2893b99105700b9fe-0.jpg
Sir Alex Ferguson melakukan perubahan taktikal diseparuh masa kedua dengan memasukkan Nani dan memberi peluang buat Giggs berada lebih kehadapan. Perubahan ini menyaksikan United berjaya meningkatkan tempo serangan mereka tetapi tetap gagal menembusi gawang tuan rumah. Diminit ke 73, rayuan City untuk mendapatkan penalti selepas Gareth Barry dijatuhkan Gary Neville tidak diendahkan pengadil perlawanan. Dimitar Berbatov yang masuk menggantikan Rooney turut memperolehi peluang tetapi tandukannya diminit ke 78 tidak menepati sasaran. Lima minit selepas itu, dalam situasi kelam kabut di hadapan gawang United, City mencipta peluang menjaringkan gol tetapi gagal disempurnakan Kompany dan Kolo Toure. Ketika masa tambahan selama tiga minit yang diberikan pegawai pertandingan berbaki 18 saat, Scholes muncul wira United apabila berjaya menanduk masuk bola hantaran Patrice Evra dari sebelah kiri. Gol penting itu adalah jaringan ke 149 Scholes sepanjang kariernya bersama United dan hadir ketika skuad The Red Devils memerlukan kemenangan bagi menghidupkan semula peluang mereka menjulang kejuaraan liga. Kemenangan ini menyaksikan United hanya dipisahkan satu mata dari pendahulu Chelsea yang tewas 1-2 kepada Tottenham Hotspurs dan menjadikan perlumbaan merebut trofi Liga Perdana kembali terbuka. Sementara itu Ferguson memuji penampilan bintang-bintang veterannya seperti Neville, Giggs dan Scholes dalam perlawanan penting ini. "Mereka melalui begitu banyak perlawanan derby selama bertahun-tahun. Mereka adalah tonggak bagi kami, selain penampilan, pengalaman mereka juga banyak membantu pemain-pemain lain. Tidak pernah menyerah merupakan sebahagian ciri penting yang dimiliki pasukan ini", kata Ferguson.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Birmingham City (0) - Hull City (0)
Blackburn (2) - Everton (3)
Fulham (0) - Wolverhampton Wanderers (0)
Stoke City (1) - Bolton Wanderers (2)
Sunderland (2) - Burnley (1)
Tottenham Hotspurs (2) - Chelsea (1)

DERBY PENTING MANCHESTER

http://i335.photobucket.com/albums/m478/ToRn_United/CityvsManchester2008.png
Pertembungan Manchester City dan Manchester United malam ini di Eastlands merupakan perlawanan penting buat jiran setempat itu ketika musim Liga Perdana Inggeris semakin hampir ke penghujung. City yang menanti kunjungan United sedang ghairah memburu tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan manakala United pula masih berharap mereka mampu memadamkan hasrat Chelsea menjulang kejuaraa Liga Perdana musim ini. United tiada pilihan lain kecuali mencatat kemenangan ke atas jiran mereka itu jika mahu terus menyaingi Chelsea dalam perebutan kejuaraan liga. Ketika ini United ketinggalan empat mata di belakang skuad The Blues itu dengan baki empat perlawanan untuk diharungi. United terselamat dari jatuh ke tangga ketiga liga selepas Arsenal tewas kepada Tottenham Hotspur dan berharap skuad bimbingan Harry Redknapp mampu melakukan aksi yang sama ketika menanti kunjungan Chelsea di White Hart Lane awal pagi esok. United menewaskan City yang ketika itu dibimbing Mark Hughes dalam perlawanan pertama, September tahun lalu hasil jaringan lewat kontroversi Michael Owen. Walau bagaimanapun City kini di bawah bimbingan pelatih Itali, Roberto Mancini dan mereka sedang menikmati prestasi terbaik apabila mencatat empat kemenangan berturut-turut.

City menjaringkan sebelas gol dalam dua perlawanan terakhir mereka dengan membelasah Burnley 6-1 di gelanggang lawan dan Birmigham 5-1 di Eastlands. Benteng United juga kini perlu lebih berwaspada dengan ketajaman yang dipamerkan bekas bintang mereka di Old Trafford, Carlos Tevez yang meledak tujuh gol dalam empat perlawanan. Sir Alex Ferguson kini boleh menarik nafas lega berikutan pengesahan bahawa penggempur berbisanya, Wayne Rooney boleh diturunkan malam ini. Ketiadaan Rooney menyaksikan barisan penyerang United yang diketuai Dimitar Berbatov beraksi hambar ketika mereka terikat 0-0 dengan Blackburn Rovers di Ewood Park, Ahad lalu. Malah Mancini juga berharap agar Rooney dapat diturunkan malam ini. "Adalah lebih baik jika Rooney dapat diturunkan. Dia adalah pemain yang fantastik dan telah melalui musim yang hebat. Tentu sahaja dia pemain yang berbahaya tetapi United mempunyai ramai pemain yang hebat", ujar Mancini. "Kami pernah mengalahkan mereka di gelanggang kami dan akan melakukannya sekali lagi. Cukup bagus jika kedua-dua pasukan diperkuatkan pemain terbaik masing-masing
dan pasukan yang menang nanti adalah pasukan terbaik", tambah Mancini lagi.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van der Sar, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Gary Neville, Luis Antonio Valencia, Darren Fletcher, Michael Carrick, Park Ji-Sung, Nani & Wayne Rooney