15 Januari 2011

ROONEY, VIDIC DAN VAN DER SAR BAKAL PERKUATKAN PASUKAN


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

TOTTENHAM HOTSPURS lwn MANCHESTER UNITED
(White Hart Lane, 16 Januari 2011, jam 11.00 malam)

http://www.soccerjones.com/wp-content/uploads/2010/04/wayne-rooney-man-u2.jpg
Wayne Rooney, Nemanja Vidic dan Edwin Van Der Sar bakal memperkuatkan semula pasukan menjelang pertemuan dengan pencabar gelaran musim ini, Tottenham Hotspurs di White Hart Lane malam esok. Ketiga-tiga mereka tidak diturunkan Ferguson ketika United menewaskan Liverpool dalam dalam saingan pusingan ketiga Piala FA minggu lalu. "Wayne dan Nemanja berlatih dengan baik sepanjang minggu dan mereka seharusnya cergas pada perlawanan hujung minggu ini", ujar Ferguson. Kehadiran ketiga-tiga mereka dilihat begitu penting buat Ferguson memandangkan Spurs diramalkan bakal memberikan ujian getir terhadap barisan United dalam perlawanan ini. Ferguson meramalkan satu perlawanan yang menarik bakal disajikan kedua-dua pasukan memandangkan mereka mempunyai tempoh rehat yang cukup kerana tidak terlibat dengan sebarang perlawanan sepanjang minggu ini. Ferguson turut memuji penampilan Spurs di bawah bimbingan Harry Redknapp sehingga muncul antara pencabar serius perebutan kejuaraan musim ini. United akan berkunjung ke utara London dengan misi meneruskan rekod tanpa kalah mereka sekaligus melebarkan penguasaan di tangga teratas liga.

Sementara itu Redknapp berharap pasukannya mampu menamatkan rekod tanpa kalah United musim ini. Selain mempunyai misi menamatkan rentetan tanpa kalah United, Redknapp juga pastinya tidak mahu membiarkan skuad The Red Devils menjarakkan lagi kedudukan mereka di tangga teratas liga dari pencabar-pencabar lain. "Sebagus manapun mereka, saya fikir mereka tidak cukup bagus untuk menamatkan musim ini dengan rekod tanpa kalah", ujar Redknapp. Spurs ketinggalan lapan mata di belakang United namun skuad Sir Alex Ferguson itu masih memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan. Kekalahan terakhir Spurs di tangan United ialah pada 30 Oktober tahun lalu di Old Trafford dan Redknapp nampaknya sudah melupakan kekecewaan akibat jaringan kontroversi Nani yang menamatkan terus cabaran anak-anak buahnya di gelanggang keramat United itu. "Saya rasa kami sering kurang bertuah ketika menentang mereka sejak beberapa musim terakhir ini terutamanya di Old Trafford". Redknapp turut menambah, "Apa yang berlaku kepada gol kontroversi Nani sudah kami lupakan dan dalam bolasepak, anda haru segera bangkit atau anda akan dihukum".

14 Januari 2011

FERGIE: KAMI MEMPUNYAI KOMBINASI USIA YANG TEPAT


http://www.sportcartoons.co.uk/caricatures/alex_ferguson_portrait.jpg
Sir Alex Ferguson gembira dengan kombinasi umur pemainnya yang mencakupi pelbagai usia. Ferguson jelas gembira dengan pemain senior dan pemain muda yang mampu memikul perananan bersama dalam skuadnya. Ketika ini terdapat banyak kelab yang menghadapi masalah keseimbangan usia dalam pasukan dan salah satunya ialah Chelsea. Pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu dilihat memiliki sebahagian besar pemain berusia melebihi 30 tahun yang sering mengisi kesebelasan utama The Blues. Situasi ini sebaliknya tidak berlaku ke atas United yang berjaya menggabungkan pemain berpengalaman dan muda dalam satu pasukan. "Ini adalah perancangan kami sejak bertahun-tahun untuk memiliki pemain-pemain muda yang mampu menggantikan pemain senior selepas mereka bersara kelak. Kami mempunyai pemain muda dengan pengalaman dan kemampuan untuk menggantikan mereka", ujar Ferguson.

United ketika ini memiliki beberapa pemain berusia penghujung 20 an seperti Nemanja Vidic, Michael Carrick, Patrice Evra, Darren Fletcher dan John O' Shea manakala Ryan Giggs, Wes Brown, Rio Ferdinand, Gary Neville dan Paul Scholes berusia lebih 30 tahun. Bagi memberi kesimbangan dalam pasukan, Fergie ternyata tidak perlu gusar nasib Chelsea akan turut menimpa pasukannya apabila memiliki deretan pemain muda berusia di bawah 24 tahun seperti Nani, Anderson, Gabriel Obertan, Federico Macheda, Javier Hernandez, Chris Smalling, Jonny Evans, Rafael dan Fabio da Silva. Senarai ini tidak termasuk pemain yang dipinjamkan ke pasukan lain seperti Mame Biram Diouf, Danny Welbeck dan Tom Cleverly. "Adalah sangat penting pemain-pemain muda ini dapat berkembang bersama-sama", tambah Ferguson lagi.

08 Januari 2011

PIALA FA: FERGUSON SEDIA TURUNKAN BARISAN TERKUAT


Align Center
Sir Alex Ferguson menegaskan Manchester United akan mula memandang serius terhadap kempen Piala FA mereka musim ini dan tidak lagi mahu mengulangi kesilapan musim lalu selepas disingkir Leeds United. Esok, United bakal menerima kunjungan seteru tradisi mereka, Liverpool di pusingan ketiga kejuaraan kalah mati tertua di dunia itu. Musim lalu Ferguson menyaksikan pasukan dari Liga Kejuaraan, Leeds United menyingkirkan mereka di pusingan ketiga dan bagi mengelakkan perkara sama berulang, Fergie tidak teragak-agak bakal menurunkan skuad terkuatnya esok. "Ini adalah trofi yang penting dan kami mahu memenanginya musim ini", kata Ferguson. "Kami tidak pernah memenanginya sejak tahun 2004 ataupun melangkah ke perlawanan akhir sejak tewas kepada Chelsea pada tahun 2007. Kami benar-benar ingin kembali semula ke Wembley dan memenangi piala ini". Ferguson menegaskan tiada belas kasihan terhadap Liverpool yang dibimbing rakan baiknya, Roy Hodgson dan berharap United akan menambahkan lagi derita seteru tradisi mereka itu selepas skuad The Reds dimalukan oleh Blackburn Rovers Khamis lalu. Perlawanan ini juga mungkin menjadi peluang terakhir buat Hodgson menyelamatkan kariernya di Anfield selepas rentetan keputusan buruk yang dialami oleh skuad bimbingannya dalam saingan Liga Perdana.

05 Januari 2011

NANI KEKALKAN UNITED DI PUNCAK


Manchester United's Portugese midfielder Nani celebrates after scoring the second goal during the English Premier League football match against Stoke City at Old Trafford in Manchester, north-west England on January 4, 2011.

Penyerang Mexico, Javier Hernandez dan bintang Portugal, Nani membantu United mengekalkan kedudukan mereka di tangga teratas liga selepas masing-masing menyumbangkan satu gol buat skuad The Red Devils. United menewaskan Stoke City 2-1 di Old Trafford untuk terus menerajui takhta liga dengan kelebihan tiga mata dari pencabar terdekat Manchester City. Hernandez membuka tirai jaringan di minit ke-27 selepas berjaya memanfaatkan hantaran lintang Nani namun selepas itu barisan depan United gagal menambah jaringan hingga tamat separuh masa pertama. Biarpun mengamalkan corak permainan bertahan, pelawat sempat menguji gawang United yang dikawal Tomasz Kusczak melalui percubaan Matthew Etherington diminit ke 33 dan 41. Stoke menampilkan perwatakan berbeza di separuh masa kedua dan berjaya menjaringkan gol penyamaan hasil tandukan Dean Whitehead diminit ke-50 hasil hantaran lintang Tuncay Sanli.

Pelawat mengamalkan kembali taktik bertahan selepas berjaya menyamakan kedudukan dan memberi ruang semula buat United kembali menyerang. Selepas kerap terlepas peluang menambah jaringan, Nani akhirnya meletakkan United kembali di depan melalui rembatan cantik dari luar kotak penalti diminit ke-62 yang gagal diselamatkan Asmir Begovic. Selepas kembali mendahului, United memperlahankan tempo permainan dan akhirnya kedudukan kekal hingga tamat permainan. Sepanjang 90 minit permainan, United menguasai 65 peratus penguasaan bola dan mencipta 2 peluang keemasan dari 18 percubaan ke arah pintu gol lawan. Sementara itu, Sir Alex Ferguson mengakui dia berhadapan dengan dilema selepas melihat Hernandez meneruskan sentuhan golnya pagi tadi. Ferguson jelas bakal berhadapan dengan masalah memilih samada mahu menurunkan Wayne Rooney yang mengalami kecederaan atau Hernandez selepas ini.

04 Januari 2011

UNITED INGIN TERUS KUKUHKAN CENGKAMAN


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn STOKE CITY
(Old Trafford, 5 Januari 2011, jam 04.00 pagi)

Nemanja Vidic Nemanja Vidic of Manchester United beats Roger Johnson of Birmingham City to the ball during the Barclays Premier League match between Birmingham City and Manchester United at St Andrew's Stadium on December 28, 2010 in Birmingham, England.

Manchester United akan cuba memanfaatkan kelebihan perlawanan dalam tangan yang mereka miliki untuk terus menerajui takhta Liga Perdana Inggeris. Awal pagi esok, anak-anak buah Sir Alex Ferguson akan menyambut kunjungan Stoke City di gelanggang sendiri bagi perlawanan ke 20 mereka musim ini. Walaupun berkongsi mata dengan jiran setempat, Manchester City, United baru bermain 19 perlawanan manakala City (21 perlawanan) dan pasukan tangga ketiga Arsenal (20 perlawanan). Bagi kapten United, Nemanja Vidic pula dia mengakui menikmati pertarungan fizikal setiap kali bertemu skuad bimbingan Tony Pulis itu. Vidic menjelaskan, "Dalam bolasepak Inggeris, anda harus berhadapan dengan penyerang yang tinggi dan tegap serta penyerang bertubuh kecil tapi pantas. Itulah sebabnya liga ini paling kompetitif di dunia. Saya menikmati pertarungan fizikal setiap kali bertemu mereka".

"Keadaan cukup berbeza ketika kami menghadapi Stoke di gelanggang sendiri berbanding kami bermain di gelanggang mereka. Padang di Old Trafford besar menyebabkan kami tidak akan berhadapan dengan corak hantaran jauh dibandingkan jika kami bermain di Stadium Britannia", ujar Vidic. Sementara itu, Sir Alex Ferguson mengecam tuduhan dilemparkan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Stoke City mengamalkan corak permainan fizikal. Ferguson mengatakan, "Ada pihak telah mengkritik gaya permainan fizikal mereka, tetapi mereka telah melakukan tugas mereka dan bermain dengan baik. Saya kagum dengan pencapaian Tony (Pulis) dan caranya berhadapan dengan kritikan yang dilemparkan kepada pasukannya". United akan kehilangan Wayne Rooney, Paul Scholes, John O'Shea dan Luis Antonio Valencia yang masih mengalami kecederaan dalam perlawanan pagi nanti sementara Nani dijangka kembali memperkuatkan pasukan.

02 Januari 2011

FERGUSON PUJI PENAMPILAN ROONEY




Sir Alex Ferguson memuji penampilan penyerang handalannya, Wayne Rooney selepas United berjaya meraih tiga mata penuh ke atas West Bromwich Albion di The Hawthorns malam tadi. West Bromwich Albion muncul satu-satunya pasukan yang berjaya mengikat United di Old Trafford September tahun lalu dan kemenangan ini pastinya memberi kepuasan kepada Ferguson yang menyambut ulangtahun ke 69 pada 31 Disember lalu. Rooney meletakkan United di hadapan seawal minit ke-2 melalui tandukan yang menewaskan Scott Carson namun pelawat berjaya menyamakan kedudukan 12 minit kemudian hasil rembatan cantik James Morrison. Di separuh masa kedua, skuad The Baggies hampir mendahului United selepas dihadiahkan sepakan penalti namun Peter Odemwingie sekadar melihat sepakannya tersasar dari gawang. Javier Hernandez akhirnya memberikan tiga mata penuh buat United apabila berjaya menanduk masuk bola sepakan penjuru Wayne Rooney di minit ke-74 sekaligus mengesahkan kedudukan mereka di tangga teratas liga.

Ferguson menganggap kemenangan ini cukup penting buat United dalam usaha mereka mempertahankan kedudukan di tangga teratas liga namun pengendali berasal dari Scotland itu secara terbuka memuji persembahan Rooney yang menjaringkan gol pembukaan United. “Kami memiliki dua pemain pertahanan tengah yang sangat luar biasa dan Rooney jelas seperti berasal dari planet lain", ujar Ferguson kepada Sky Sports. "Itu sungguh fantastis, prestasinya sangat luarbiasa. Dia membuatkan kami menguasai permainan. Ada tiga pertahanan lawan di sekitarnya manakala penjaga gol pula cuba menutup ruang. Gol yang dijaringkannya sangat luar biasa. Dia sudah mendapat keyakinan diri dan saya senang dengan prestasi Wayne". Ferguson bagaimanapun turut memuji Albion yang bermain dengan corak terbuka dengan meletakkan tiga penyerang di hadapan hingga membuatkan barisan pertahanan United bekerja keras sepanjang permainan. Fergie juga menyifatkan The Baggies di bawah kendalian Roberto de Matteo adalah pasukan yang bagus.

01 Januari 2011

CARRICK: UNITED HARUS PEKA


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

WEST BROMWICH ALBION lwn MANCHESTER UNITED
(The Hawthorns, 1 Januari 2011, jam 08.40 malam)

Manchester United's Bulgarian striker Dimitar Berbatov (L) embraces English midfielder Michael Carrick (R) during the English Premier League football match between Manchester United and Sunderland at Old Trafford in Manchester, north-west England on December 26, 2010.

MANCHESTER, (England): Michael Carrick percaya Manchester United perlu mula belajar untuk sentiasa peka ketika mengharungi setiap perlawanan jika mahu merampas kembali gelaran Liga Perdana musim ini. United mensia-siakan beberapa mata penting apabila membenarkan gol penyamaan kontroversi lewat permainan ketika menentang Birmingham City yang sepatutnya memberikan mereka kemenangan, sekali gus ruang untuk bernafas di persada liga. Ini adalah kali ketiga musim ini, skuad bimbingan Sir Alex Ferguson melepaskan gol selepas 89 minit permainan selain turut membenarkan mereka dibolosi pada penghujung perlawanan ketika menentang Fulham dan Everton. Antara perlawanan lain yang menyaksikan gol pendahuluan mereka dipersiakan adalah ketika menentang West Brom, lawan United selepas ini, apabila mereka berkunjung ke Hawthorns, hari ini.

Carrick mengakui pasukannya mula bimbang jika gagal menamatkan perlawanan dengan kemenangan yang diperlukan bagi merampas kejuaraan pada penghujung musim ini, Mei nanti. Begitupun dia memberi amaran kepada rakan sepasukannya supaya sentiasa peka pada minit-minit akhir permainan untuk mengelak dari berdepan kemungkinan tidak memenangi sebarang takhta sama sekali. “Gol lewat permainan memang sukar untuk diterima, apatah lagi dengan cara kami dibolosi di Birmingham,” kata pemain tengah England itu. “Kami amat kecewa kerana ia sudah beberapa kali berlaku. Tapi, apa yang berlaku sudah berlalu dan kami perlu terus melihat ke depan. “Kami masih berada di kedudukan yang baik secara keseluruhannya. Kami belum tewas dalam perlawanan liga, berada di prestasi terbaik dan tidak sabar meneruskan perlawanan berikutnya.” Bagaimanapun, United akan menempuh 2011 dengan hanya satu kemenangan daripada lapan perlawanan di tempat lawan musim ini.

Bek tengah Rio Ferdinand juga memberi amaran kepada rakan sepasukan supaya berjaga-jaga kerana mereka akan berdepan Arsenal, Chelsea dan Tottenham di tempat lawan dan semua pasukan itu masih berpeluang merebut kejuaraan liga. United mengungguli liga dengan perbezaan jaringan ke atas City dan keadaan itu membuatkan Ferdinand merasakan saingan liga kali ini amat kompetitif sejak sedekad lalu. “Ia terbuka kepada empat atau lima pasukan, tapi kami mahu mengatasi mereka semua,” kata Ferdinand. “Kami patut meraih tiga mata menentang Birmingham untuk kebaikan pasukan, tapi kami mencari laluan sukar,” kata bek tengah England itu. Perkara positif berlaku di St Andrews adalah melihat penyerang Bulgaria, Dimitar Berbatov mempamerkan prestasi memberangsangkan. Pemain itu meledak tiga gol dalam dua perlawanan terakhir untuk mengumpul 14 jaringan musim ini. - AFP