Sir Alex Ferguson menegaskan Manchester United akan mula memandang serius terhadap kempen Piala FA mereka musim ini dan tidak lagi mahu mengulangi kesilapan musim lalu selepas disingkir Leeds United. Esok, United bakal menerima kunjungan seteru tradisi mereka, Liverpool di pusingan ketiga kejuaraan kalah mati tertua di dunia itu. Musim lalu Ferguson menyaksikan pasukan dari Liga Kejuaraan, Leeds United menyingkirkan mereka di pusingan ketiga dan bagi mengelakkan perkara sama berulang, Fergie tidak teragak-agak bakal menurunkan skuad terkuatnya esok. "Ini adalah trofi yang penting dan kami mahu memenanginya musim ini", kata Ferguson. "Kami tidak pernah memenanginya sejak tahun 2004 ataupun melangkah ke perlawanan akhir sejak tewas kepada Chelsea pada tahun 2007. Kami benar-benar ingin kembali semula ke Wembley dan memenangi piala ini". Ferguson menegaskan tiada belas kasihan terhadap Liverpool yang dibimbing rakan baiknya, Roy Hodgson dan berharap United akan menambahkan lagi derita seteru tradisi mereka itu selepas skuad The Reds dimalukan oleh Blackburn Rovers Khamis lalu. Perlawanan ini juga mungkin menjadi peluang terakhir buat Hodgson menyelamatkan kariernya di Anfield selepas rentetan keputusan buruk yang dialami oleh skuad bimbingannya dalam saingan Liga Perdana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan