15 Oktober 2011

UNITED KEKAL TANPA KALAH


Manchester United mengekalkan rekod tanpa kalah mereka setakat ini selepas berjaya mengikat seteru tradisi, Liverpool di Anfield sebentar tadi.  Kenny Dalglish mengotakan janjinya menurunkan Steven Gerrard dalam kesebelasan utama namun pendekatan berbeza dilakukan Sir Alex Ferguson dalam perlawanan ini.  Ferguson menurunkan kesebelasan utama `pelik' apabila menggunakan Phil Jones di bahagian tengah sambil meletakkan nama-nama besar seperti Wayne Rooney, Nani, Javier Hernandez, Anderson dan Antonio Valencia di bangku simpanan.  Ferguson turut menggunakan kombinasi Ryan Giggs dan Danny Welbeck sebagai penggempur utama namun pujian patut diberikan kepada David de Gea yang beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan bahaya lawan terutamanya dari Gerrard, Luiz Suarez dan Dirk Kuyt.  Tidak banyak aksi-aksi menarik yang dipamerkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan ini terutamanya diseparuh masa pertama kecuali peluang yang diperolehi Suarez diminit ke-30.  Biarpun berjaya mengelirukan Jonny Evans, percubaan Suarez akhirnya berjaya diselamatkan de Gea.  Kedudukan kekal terikat tanpa jaringan sebaik tamat separuh masa pertama.


Perubahan tempo perlawanan sedikit meningkat diseparuh masa kedua dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun penguasaan bahagian tengah masih didominasi tuan rumah.  Steven Gerrard akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila berjaya merembat masuk bola hasil sepakan percuma diminit ke-67.  Selepas ketinggalan, Ferguson menguatkan bahagian depan dengan mengeluarkan Phil Jones, Ashley Young dan Park Ji-Sung sambil membawa masuk Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Nani.  Langkah Ferguson membawa hasil apabila Hernandez berjaya menyamakan kedudukan diminit ke-81.  Penyerang yang menjadi topik bualan hangat pertengahan minggu ini apabila dia dikatakan menjadi sasaran utama Real Madrid pada jendela perpindahan Januari nanti, menanduk masuk bola hasil sepakan sudut.  Biarpun Dirk Kuyt hampir meletakkan tuan rumah sekali lagi di hadapan di penghujung permainan, United akhirnya berjaya meraih mata pertama mereka di Anfield dalam tempoh 3 tahun sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka kepada lapan perlawanan setakat ini. Glory Glory Manchester United!!!

PREVIEW: LIVERPOOL lwn MANCHESTER UNITED



Pertembungan dua musuh tradisi Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Manchester United semakin hampir namun Sir Alex Ferguson nampaknya masih belum memutuskan barisan terbaik yang akan diturunkan nanti.  Tonggak pertahanan dan juga ketua pasukan, Nemanja Vidic yang diketepikan sejak 13 September lalu kerana kecederaan lutut belum pasti dapat diturunkan malam ini.  Sentuhan Vidic di benteng pertahanan amat ditagih Ferguson memandangkan rekod buruk skuad The Red Devils di Anfield sejak 2008.  Dalam tiga pertemuan terakhir mereka di Anfield, United gagal meraih sebarang mata dan Ferguson pastinya tidak mahu statistik itu terus melebar malam ini.  Biarpun sudah diturunkan Serbia ketika aksi Kelayakan Euro 2012 Selasa lalu, Ferguson nampaknya masih berhati-hati menilai tahap kecergasan kaptennya itu. Segala-galanya perlu dipersiapkan Ferguson untuk pertembungan malam ini, dari aspek kesebelasan utama yang bakal diturunkan, taktikal permainan hinggalah senarai pemain di bilik rawatan yang perlu diteliti untuk memastikan rekod tanpa kalah United setakat ini mampu diteruskan.  Selain Vidic, United juga akan kehilangan khidmat Tom Cleverley dan Chris Smalling namun kedua-duanya mungkin kembali menyertai pasukan ketika pertemuan derby Manchester minggu hadapan.  United hanya keciciran mata ketika mereka diikat 1-1 oleh Stoke City di gelanggang lawan namun mereka perlu memperbaiki aksi jika mahu mengutip tiga mata penuh di Anfield nanti.  United agak goyah dalam tiga perlawanan terakhir di mana mereka mencatat keputusan seri ketika bertemu Stoke City dan biarpun hampir dimalukan FC Basel di Liga Juara-Juara, tetapi gol penyamaan Ashley Young menyelamatkan United dari kekalahan di gelanggang sendiri.  United sekali lagi mempamerkan aksi kurang menyakinkan biarpun mencatat kemenangan 2-0 ke atas kelab yang baru dinaikkan pangkat dari Liga Kejuaraan, Norwich City 2-0 di Old Trafford dua minggu lalu.  Situasi sebaliknya dialami Liverpool apabila mereka mencatat tiga kemenangan berturut-turut ke atas Brighton (saingan Piala Liga), Wolves dan Everton.  Semangat anak-anak buat Kenny Dalglish itu tampak berkobar-kobar bagi meneruskan rekod baik mereka ke atas United di gelanggang sendiri dan pastinya, kemenangan 3-1 ke atas United musim lalu bakal menjadi motivasi tambahan buat mereka. Dalglish juga kemungkinan besar boleh menggunakan khidmat Steven Gerrard sepenuhnya malam ini.  Gendang perang nampaknya sudah dipalu apabila Dalglish mula melancarkan perang psikologi dengan melabelkan perlawanan ini sebagai `tiada sebarang keistimewaan' sementara Rio Ferdinand pula mengatakan bahawa, dia tidak begitu kisah jika United tewas perlawanan malam ini asalkan Liverpool tidak berada di atas mereka ketika saingan liga berakhir Mei nanti. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Phil Jones, Ashley Young, Anderson, Park Ji-Sung, Nani, Wayne Rooney & Danny Welbeck

11 Oktober 2011

GIGGS DIANUGERAHKAN GOLDEN FOOT AWARD 2011


Bintang Manchester United, Ryan Giggs  memenangi anugerah Golden Foot Award 2011 dalam satu majlis yang diadakan di Monte Carlo semalam.  Giggs muncul pemain Great Britain pertama memenangi anugerah itu selepas mengenepikan bekas rakan sepasukannya di United, David Beckham.  Turut dicalon untuk anugerah tersebut ialah Gianluigi Buffon, Didier Drogba, Samuel Eto'o, Iker Casillas, Javier Zanetti dan Carles Puyol.  Giggs menerima undian terbanyak yang dijalankan secara online itu sekaligus menyertai nama-nama besar yang pernah memenangi anugerah tersebut seperti Maradona, Zinedine Zidane dan Alfredo de Stafano.  Atas kejayaan itu, Giggs merakamkan penghargaan kepada pengurus United, Sir Alex Ferguson sambil menyifatkan dirinya beruntung berada di bawah asuhan pengurus berbangsa Scotland itu.  "Saya beruntung kerana berkesempatan bermain bersama-sama pemain-pemain hebat, bermain di bawah pengurus terbaik dan bermain untuk kelab terbaik di dunia", kata Giggs. Glory Glory Manchester United!!!

09 Oktober 2011

ROONEY TAK PATUT DITURUNKAN


Jurulatih Montenegro, Branko Brnovic berpendapat masalah peribadi yang dialami Wayne Rooney mungkin penyebab utama penyerang England dan Manchester United itu dilayangkan kad kad merah.  Rooney diperintah keluar padang oleh pengadil Jerman, Wolfgang Stark selepas dia melakukan kekasaran ke atas Miodrag Dzudovic semasa kempen Kelayakan Euro 2012 di Podgorica.  Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan ini sekaligus layak ke pusingan akhir yang akan diadakan di Ukraine dan Poland tahun hadapan.  Brnovic ternyata hairan dengan tindakan pengurus England, Fabio Capello yang tetap menurunkan Rooney dalam kesebelasan utama biarpun sebelumnya ayah pemain itu ditahan polis kerana terlibat dengan perjudian haram.  

Menurut Brnovic, adalah sukar bagi seseorang pemain menumpukan perhatian ketika berhadapan dengan situasi seperti ini dan beliau pada mulanya menjangkakan Rooney tidak akan diturunkan.  "Masalah Rooney serius dan mungkin dia sengaja melakukannya (menerima kad merah)", kata Brnovic.  Sementara itu, laporan pengadil perlawanan mungkin sedikit sebanyak membantu Rooney dari menerima hukuman lebih berat dari UEFA.  Sikap Rooney yang langsung tidak membantah ketika diperintah keluar padang akan dimasukkan Stark dalam laporannya kepada UEFA.  "Kekasaran yang dilakukan Rooney memang wajar dilayangkan kad merah.  Anda semua melihatnya termasuk dari reaksi Rooney sendiri.  Dia menerima keputusan saya tanpa bantahan dan terus meninggalkan padang.  Saya akan memasukkan sikap Rooney itu dalam laporan perlawanan namun usaha saya cuma setakat itu.  Selepas itu terpulang kepada UEFA untuk memutuskan hukuman yang bakal dikenakan", kata Stark.

06 Oktober 2011

VIDIC BAKAL PERKUATKAN SEMULA PERTAHANAN UNITED



Ada khabar gembira untuk penyokong-penyokong Manchester United menjelang pertembungan dua musuh tradisi dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada 15 Oktober ini.  United akan bertemu Liverpool di Anfield sembilan hari dari sekarang, gelanggang di mana mereka tewas kepada seteru tradisi itu 1-3 musim lalu.  Kunjungan United ke Anfield nanti bakal disuntik moral tambahan apabila tonggak pertahanan dan juga kapten pasukan, Nemanja Vidic bakal memperkuatkan semula `back four' skuad The Red Devils.  Akhbar The Sun melaporkan bahawa Serbia sudah menyenaraikan Vidic untuk kempen Kelayakan Euro 2012 mereka menentang Itali (8 Oktober) dan Slovenia (12 Okt).  Biarpun Vidic dijangka tidak akan diturunkan ketika Serbia melayan kunjungan Itali, khidmat kapten berpengaruh itu akan digunakan ketika mereka menentang Slovenia.  Selepas tersisih akibat kecederaan ketika perlawanan pembukaan liga menentang West Bromwich Albion, 13 September lalu, khidmat Vidic amat ditagih Sir Alex Ferguson tatkala United bakal berdepan cabaran getir di Anfield nanti.  Biarpun barisan pertahanan tengah United yang ditunjangi Phil Jones, Jonny Evans dan Rio Ferdinand silih berganti digunakan Ferguson dalam beberapa perlawanan sebelum ini tampak mantap, namun daya kepimpinan, semangat juang dan pengalaman bintang Serbia itu amat diperlukan United dalam perlawanan besar seperti ini.  Semoga selepas  membantu kempen Kelayakan Euro 2012 Serbia minggu ini, Vidic akan kembali semula ke Carrington dalam kondisi 100% cergas dan bersedia memimpin barisan United menggegar Anfield pula...Glory Glory Manchester United!!! 

02 Oktober 2011

REVIEW: UNITED KEKAL DI TANGGA TERATAS


Manchester United kekal sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris setakat ini selepas berjaya menewaskan Norwich City di Old Trafford semalam.  Kemenangan ini juga menyaksikan United meneruskan rekod kemenangan ke-19 mereka dalam saingan liga di gelanggang sendiri.  United terpaksa bekerja keras sepanjang perlawanan menangani corak permainan defensif dan serang balas yang diamalkan pelawat.  Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama sebelum Anderson berjaya memecah kebuntuan melalui tandukan di minit ke-68.  Gol ini juga merupakan gol kedua pemain tengah Brazil itu musim ini selepas sebelumnya berjaya meledak gawang Tottenham Hotspurs.  Selepas ketinggalan, pelawat kembali membuka permainan dan hampir menjaringkan gol penyamaan melalui pemain tengah mereka, Anthony Pilkington akibat kesilapan Antonio Valencia.  Pilkington bagaimanapun gagal menolak bola masuk biarpun hanya berdepan dengan Anders Lindegaard.  

Tiga minit sebelum masa sebenar tamat, penyerang gantian Danny Welbeck yang menerima hantaran Park Ji-Sung mudah menolak bola masuk menewaskan John Ruddy untuk memastikan tiga mata penuh milik skuad The Red Devils.  Sementara itu Sir Alex Ferguson mengakui, pelawat memberikan masalah kepada pasukannya sepanjang perlawanan biarpun sebelumnya United diramalkan tidak menghadapi masalah menangani cabaran anak-anak buah Paul Lambert.  Menurut Ferguson, permainan defensif yang diterapkan Lambert menyebabkan United sukar menembusi kubu lawan dan memerlukan dua jaringan lewat untuk mengesahkan tiga mata penuh.  "Mereka menumpukan bahagian pertahanan mereka namun apa yang anehnya mereka juga beberapa kali berjaya mencemaskan kubu kami", kata Ferguson.  Ashley Young tidak diturunkan pada perlawanan ini kerana masalah pergelangan kaki dan ketiadaan pemain antarabangsa England itu dilihat menjejaskan gerakan-gerakan United terutamanya dari sebelah kiri.  United terikat 19 mata dengan Manchester City namun terus berada di takhta liga kerana perbezaan jaringan.  Glory Glory Manchester United!!!

01 Oktober 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn NORWICH CITY


Keputusan seri yang dicatatkan Manchester United ketika menentang FC Basel tempohari sedikit mengejutkan tetapi bukanlah satu bencana buat anak-anak buah Sir Alex Ferguson.  Keputusan itu sedikit mencacatkan permulaan hebat United di awal musim, namun rekod kebal United di gelanggang sendiri sejak musim lalu perlu diakui.  Mereka hanya kehilangan 2 mata di gelanggang sendiri sepanjang kempen liga musim lalu dan mencatat rekod 100% dalam tiga perlawanan awal mereka setakat ini ketika menerima kunjungan Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Chelsea di Old Trafford.  Atas faktor itu, pemerhati melihat pertembungan United-Norwich dalam perlawanan ketujuh Liga Perdana Inggeris malam ini bakal meletakkan The Red Devils kembali ke landasan kemenangan.  United tidak kalah dalam 24 perlawanan terakhir mereka malah apa yang lebih menggerunkan setiap pasukan pelawat ialah, fakta bahawa United turut mencatat kemenangan dalam 18 perlawanan terakhir liga mereka di gelanggang sendiri.  Lonjakan moral turut dirasai dalam pasukan ketika ini apabila diberitakan bahawa Wayne Rooney dan Javier Hernandez sudah sedia diturunkan dalam perlawanan malam nanti.  Ferguson telah mengeluarkan kenyataan bahawa kedua-dua penyerangnya itu yang tidak diturunkan ketika bertemu Basel sudah pulih sepenuhnya.  Jika mahu kembali mengutip mata penuh dalam perlawanan ini, United harus menjaringkan gol diseparuh masa pertama lagi.  Menurut Patrice Evra, jika United gagal melakukannya, pasukan seperti Norwich pasti mendapat suntikan moral untuk mempertahankan gawang mereka sekaligus sekurang-kurangnya memaksa United berkongsi mata.  Selain mengutip mata penuh dalam perlawanan ini barisan United juga harus menjadikan rekod bersih mereka dalam 18 perlawanan terakhir liga sebagai suntikan tambahan untuk terus mencatat kemenangan.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

De Gea, Fabio, Jones, Ferdinand, Evra, Nani, Fletcher, Anderson, Young, Rooney & Hernandez