Pertembungan dua musuh tradisi Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Manchester United semakin hampir namun Sir Alex Ferguson nampaknya masih belum memutuskan barisan terbaik yang akan diturunkan nanti. Tonggak pertahanan dan juga ketua pasukan, Nemanja Vidic yang diketepikan sejak 13 September lalu kerana kecederaan lutut belum pasti dapat diturunkan malam ini. Sentuhan Vidic di benteng pertahanan amat ditagih Ferguson memandangkan rekod buruk skuad The Red Devils di Anfield sejak 2008. Dalam tiga pertemuan terakhir mereka di Anfield, United gagal meraih sebarang mata dan Ferguson pastinya tidak mahu statistik itu terus melebar malam ini. Biarpun sudah diturunkan Serbia ketika aksi Kelayakan Euro 2012 Selasa lalu, Ferguson nampaknya masih berhati-hati menilai tahap kecergasan kaptennya itu. Segala-galanya perlu dipersiapkan Ferguson untuk pertembungan malam ini, dari aspek kesebelasan utama yang bakal diturunkan, taktikal permainan hinggalah senarai pemain di bilik rawatan yang perlu diteliti untuk memastikan rekod tanpa kalah United setakat ini mampu diteruskan. Selain Vidic, United juga akan kehilangan khidmat Tom Cleverley dan Chris Smalling namun kedua-duanya mungkin kembali menyertai pasukan ketika pertemuan derby Manchester minggu hadapan. United hanya keciciran mata ketika mereka diikat 1-1 oleh Stoke City di gelanggang lawan namun mereka perlu memperbaiki aksi jika mahu mengutip tiga mata penuh di Anfield nanti. United agak goyah dalam tiga perlawanan terakhir di mana mereka mencatat keputusan seri ketika bertemu Stoke City dan biarpun hampir dimalukan FC Basel di Liga Juara-Juara, tetapi gol penyamaan Ashley Young menyelamatkan United dari kekalahan di gelanggang sendiri. United sekali lagi mempamerkan aksi kurang menyakinkan biarpun mencatat kemenangan 2-0 ke atas kelab yang baru dinaikkan pangkat dari Liga Kejuaraan, Norwich City 2-0 di Old Trafford dua minggu lalu. Situasi sebaliknya dialami Liverpool apabila mereka mencatat tiga kemenangan berturut-turut ke atas Brighton (saingan Piala Liga), Wolves dan Everton. Semangat anak-anak buat Kenny Dalglish itu tampak berkobar-kobar bagi meneruskan rekod baik mereka ke atas United di gelanggang sendiri dan pastinya, kemenangan 3-1 ke atas United musim lalu bakal menjadi motivasi tambahan buat mereka. Dalglish juga kemungkinan besar boleh menggunakan khidmat Steven Gerrard sepenuhnya malam ini. Gendang perang nampaknya sudah dipalu apabila Dalglish mula melancarkan perang psikologi dengan melabelkan perlawanan ini sebagai `tiada sebarang keistimewaan' sementara Rio Ferdinand pula mengatakan bahawa, dia tidak begitu kisah jika United tewas perlawanan malam ini asalkan Liverpool tidak berada di atas mereka ketika saingan liga berakhir Mei nanti. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Phil Jones, Ashley Young, Anderson, Park Ji-Sung, Nani, Wayne Rooney & Danny Welbeck
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Phil Jones, Ashley Young, Anderson, Park Ji-Sung, Nani, Wayne Rooney & Danny Welbeck
Tiada ulasan:
Catat Ulasan