Jurulatih Montenegro, Branko Brnovic berpendapat masalah peribadi yang dialami Wayne Rooney mungkin penyebab utama penyerang England dan Manchester United itu dilayangkan kad kad merah. Rooney diperintah keluar padang oleh pengadil Jerman, Wolfgang Stark selepas dia melakukan kekasaran ke atas Miodrag Dzudovic semasa kempen Kelayakan Euro 2012 di Podgorica. Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan ini sekaligus layak ke pusingan akhir yang akan diadakan di Ukraine dan Poland tahun hadapan. Brnovic ternyata hairan dengan tindakan pengurus England, Fabio Capello yang tetap menurunkan Rooney dalam kesebelasan utama biarpun sebelumnya ayah pemain itu ditahan polis kerana terlibat dengan perjudian haram.
Menurut Brnovic, adalah sukar bagi seseorang pemain menumpukan perhatian ketika berhadapan dengan situasi seperti ini dan beliau pada mulanya menjangkakan Rooney tidak akan diturunkan. "Masalah Rooney serius dan mungkin dia sengaja melakukannya (menerima kad merah)", kata Brnovic. Sementara itu, laporan pengadil perlawanan mungkin sedikit sebanyak membantu Rooney dari menerima hukuman lebih berat dari UEFA. Sikap Rooney yang langsung tidak membantah ketika diperintah keluar padang akan dimasukkan Stark dalam laporannya kepada UEFA. "Kekasaran yang dilakukan Rooney memang wajar dilayangkan kad merah. Anda semua melihatnya termasuk dari reaksi Rooney sendiri. Dia menerima keputusan saya tanpa bantahan dan terus meninggalkan padang. Saya akan memasukkan sikap Rooney itu dalam laporan perlawanan namun usaha saya cuma setakat itu. Selepas itu terpulang kepada UEFA untuk memutuskan hukuman yang bakal dikenakan", kata Stark.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan