Berita menggemparkan Nemanja Vidic akan berhijrah dari Old Trafford kembali bertiup kencang selepas The Daily Mail melaporkan bahawa Sir Alex Ferguson sedang menimbang kemungkinan menjual kapten United itu kepada Real Madrid. Jose Mourinho terus-terusan menggoda Ferguson dengan tawaran lumayan bagi mendapatkan Vidic demi meruntuhkan penguasaan Barcelona di La Liga dan juga Eropah. Bagaimanapun Ferguson diberitakan enggan melepaskan Vidic semasa musim perpindahan dibuka Januari ini tetapi sebaliknya si kapten bakal dijual pada musim panas nanti. Khabar angin bertiup kencang mengatakan bahawa Ferguson sudah mula meragui komitmen Vidic bersama United dan menganggap pertahanan Serbia itu tidak menunjukkan kesungguhan 100% setiap kali diturunkan. Kemungkinan khabar angin ini ada benarnya jika mengambilkira prestasi yang dipamerkan Vidic setakat ini tambahan pula dengan reputasi Ferguson sebelum ini yang tidak ragu-ragu melepaskan pemain bintangnya jika beliau mendapati mereka gagal memberikan komitmen secara total kepada pasukan. Vidic pernah dikaitkan akan berhijrah ke Sepanyol musim panas lalu atas desakan isterinya namun menafikan khabar angin tersebut dan berjanji dia akan terus komited bersama United. Setakat ini Vidic hanya membuat tiga penampilan bersama United selepas direhatkan sejak 16 Ogos lalu kerana masalah kecederaan awal musim. Selepas pulih Vidic tampil membantu Serbia dalam kempen Euro 2012 sebelum kembali semula ke Old Trafford dan disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika United menentang Otelul Galati dalam kempen Eropah mereka di Bucharest 19 Oktober lalu. Kontrak Vidic yang hanya berbaki dua tahun lagi bakal menjadi pertimbangan utama Ferguson disamping munculnya pertahanan muda dalam skuad seperti Chris Smalling, Phil Jones dan Jonny Evans menambahkan lagi kemungkinan Vidic akan melangkah keluar. Glory Glory Manchester United!!!
10 November 2011
02 November 2011
PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn OTELUL GALATI
Rio Ferdinand akan kembali semula dalam kesebelasan utama Manchester United bagi menghadapi kunjungan Otelul Galati dalam perlawanan keempat Kumpulan C, Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok. Sir Alex Ferguson mengesahkan Ferdinand akan memperkuatkan benteng United selepas mereka kehilangan khidmat Nemanja Vidic yang digantung kerana layangan kad merah. Ferdinand tidak diturunkan ketika United menang ke atas Everton di Goodison Park hujung minggu lalu. Ramai beranggapan keputusan meletakkan Ferdinand di bangku simpanan semasa aksi liga minggu lalu sebagai hukuman di atas kekalahan besar United kepada seteru setempat mereka, Manchester City. Bagaimanapun keputusan Ferguson menurunkan kembali Ferdinand dalam kesebelasan utamanya memberi gambaran bahawa khidmat tonggak pertahanan berpengalaman itu tetap ditagih dalam usaha memburu kemenangan di gelanggang sendiri.
United ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan C, dengan lima mata ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Benfica. United meraih kemenangan penting di Bucharest, 19 Oktober lalu hasil dua penalti Wayne Rooney sekaligus memintas kedudukan FC Basel di tangga kedua namun perlu berhati-hati dengan kebangkitan Galati dalam tiga perlawanan terakhir mereka. Galati bangkit mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan domestik mereka selepas tewas 0-2 kepada United. United pastinya tidak mahu mengulangi memori berkongsi mata dengan FC Basel di Old Trafford biarpun pada satu ketika mendahului lawan dengan kelebihan dua gol. Selain Vidic, United akan kehilangan khidmat Chris Smalling, Ashley Young dan Tom Cleverley dalam perlawanan ini kerana kecederaan namun Rafael da Silva disahkan cergas untuk diletakkan dalam senarai pemain. Sementara itu, jurulatih Galati, Dorinel Munteanu tetap beranggapan, United adalah pasukan pilihan dalam perlawanan ini biarpun agak bergelut ketika pertemuan pertama di Bucharest. Bekas pemain antarabangsa Romania itu berjanji barisannya akan bermain tanpa rasa takut biarpun menyedari Old Trafford bakal dibanjiri puluhan ribu penyokong United. Glory Glory Manchester United!
Barisan kemungkinan United:
Anders Lindegaard, Rafael da Silva, Phil Jones, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Antonio Valencia, Michael Carrick, Anderson, Nani, Wayne Rooney & Javier Hernandez
30 Oktober 2011
UNITED KETEPI IGAUAN BURUK
Gol tunggal Javier Hernandez mengembalikan semula Manchester United ke landasan kemenangan selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Everton di Goodison Park semalam. Sir Alex Ferguson menurunkan Wayne Rooney dan Hernandez sebagai penggempur namun sekali lagi melakukan formasi pelik apabila beliau meletakkan Danny Welbeck di bahagian sayap. United jelas menguasai babak awal perlawanan sambil memaksa benteng tuan rumah yang diketuai ketua pasukan, Phil Jagielka bekerja keras mematahkan serangan pelawat. Kebuntuan jaringan gol akhirnya terlerai apabila Hernandez memanfaatkan umpanan silang Patrice Evra diminit ke-19 untuk menewaskan Tim Howard di gawang. Tuan rumah cuba bangkit selepas itu untuk mencari gol penyamaan dan hampir menyamakan kedudukan melalui tendangan bebas Leighton Baines diminit ke-40, namun palang gol menjadi penghalang dan kedudukan kekal 1-0 hingga babak pertama perlawanan berakhir.
Di babak kedua, kem United tersentak apabila Tom Cleverley yang baru kembali merasai aksi saingan liga selepas diketepikan sejak 10 September lalu terpaksa dikeluarkan kerana masalah hamstring dan digantikan dengan Nani. Diminit ke-62, United hampir menggandakan jaringan namun percubaan Danny Welbeck yang menerima hantaran Hernandez berjaya diselamatkan Howard. Tidak lama selepas itu, Ferguson membawa keluar Hernandez dan memasukkan Dimitar Berbatov yang yang diturunkan ketika United menang ke atas Aldershot dalam saingan Piala Liga sebagai penggempur bersama Rooney. Tuan rumah mencipta beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan melalui Seamus Coleman, Louis Saha dan Jack Rodwell namun benteng United yang diketuai Nemanja Vidic cekal bertahan hingga babak terakhir perlawanan. Ferguson yang turut menyaksikan perlawanan Everton dan Chelsea dalam saingan Piala Liga sudah menjangkakan dari awal pasukannya akan menempuh kesukaran di gelanggang lawan. "Ini bukanlah perlawanan yang mudah. Saya menyaksikan perlawanan mereka kelmarin dan mereka beraksi sebagai satu pasukan dan memberi tekanan kepada kami sepanjang perlawanan", kata Ferguson. Sementara itu, David Moyes mengatakan keputusannya menurunkan skuad terkuat ketika berdepan Chelsea dalam saingan Piala Liga sedikit menjejaskan kekuatan pasukannya dalam perlawanan ini. Everton kehilangan khidmat Royston Drenthe yang menerima kad merah disamping kehilangan sentuhan Phil Neville dan Tim Cahill yang mengalami kecederaan. Kemenangan ini juga mengekalkan United di tangga kedua liga dengan 23 mata, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Manchester City. Glory Glory Manchester United!!!
29 Oktober 2011
PREVIEW: EVERTON lwn MANCHESTER UTD
Manchester United bertandang ke Goodison Park berbekalkan misi bangkit dari igauan buruk tewas 1-6 kepada Manchester City, Ahad lalu. Bintang tengah United, Park Ji-Sung bingkas mempertahankan kredebiliti rakan-raka sepasukannya biarpun terpaksa menelan hakikat itu adalah kekalahan terburuk United di gelanggang sendiri sejak 1926. Berbekalkan keyakinan United mampu bangkit dari kekalahan itu, Ji-Sung yakin rakan-rakan sepasukannya akan menampilkan karekter sebenar mereka dalam perlawanan ini nanti. Skuad bimbingan Sir Alex Ferguson perlu membuktikan bahawa mereka sudah melupakan kekecewaan itu dengan menampilkan aksi terbaik mereka, namun beraksi di Goodison Park bukanlah satu tugas yang mudah. Buktinya musim lepas United selesa mendahului tuan rumah 3-1, namun The Toffees bangkit menyamakan kedudukan hasil gol lewat Tim Cahill dan Mikel Arteta. Tumpuan utama Sir Alex Ferguson dalam perlawanan ini ialah bagaimana dia mahu membina semula semangat para pemainnya bangkit dari kekalahan memalukan itu. Apa yang melegakan Ferguson ialah melihat kembalinya kapten pasukan, Nemanja Vidic yang beraksi selama 90 minit mengetuai barisan United mengenepikan cabaran Aldershot Town dalam saingan Piala Liga Rabu lalu. Selain itu, Ferguson juga sudah boleh menagih kembali khidmat Tom Cleverley di barisan tengah selepas kehilangan khidmat bintang muda itu sejak 10 September lalu kerana kecederaan. Cleverley diturunkan di EBB Stadium Rabu lalu dan Ferguson jelas berpuashati dengan prestasi yang dipamerkannya biarpun dia hanya bermain selama 60 minit. Selain gusar dengan mentaliti pemainnya, Ferguson juga harus berwaspada dengan ancaman sebenar di atas padang yang bakal dijelmakan bekas pemain United sendiri seperti Louis Saha, Phil Neville dan Tim Howard. Saha sudah menemui semula sentuhan jaringannya apabila menyumbang dua gol dalam dua perlawanan terakhir mereka. Neville jika diturunkan David Moyes, pasti akan berhabisan mengekang asakan penggempur United selain Howard yang biasanya akan mempamerkan aksi terbaiknya setiap kali berdepan United. Rekod sepuluh pertemuan kedua-dua pasukan sejak 2007 memihak United apabila merakamkan 6 kemenangan, 3 kali seri dan kalah sekali. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Chris Smalling, Phil Jones, Park Ji-Sung, Tom Cleverley, Michael Carrick, Nani, Wayne Rooney & Javier Hernandez
26 Oktober 2011
PIALA LIGA: UNITED MARA KE SUKU AKHIR
Manchester United bangkit dari kekalahan kepada Manchester City dalam saingan liga untuk menempah tempat kepusingan suku akhir Piala Liga (Carling Cup) selepas berjaya menundukkan kelab yang beraksi di Liga 2, Aldershot Town sebentar tadi. Ferguson tidak menurunkan walau seorang pemain pun dari skuad yang tewas kepada City, Ahad lalu di EBB Stadium sebaliknya memilih barisan keduanya pada perlawanan ini. Ben Amos dipilih mengisi posisi David de Gea, manakala Nemanja Vidic, Fabio da Silva, Phil Jones dan Ezekiel Fryers mengisi posisi di benteng pertahanan. Park Ji-Sung, Tom Cleverley, Antonio Valencia dan Mame Biram Diouf di bahagian tengah manakala Michael Owen dan Dimitar Berbatov sebagai penggempur. Meskipun sekadar menurunkan skuad kedua, United mendominasi perlawanan di hadapan kira-kira 7 ribu penyokong tuan rumah dan berjaya mendahului melalui jaringan Berbatov diminit ke-15. Michael Owen menggandakan jaringan buat United diminit ke-41 dan Antonio Valencia menutup sisa-sisa peluang tuan rumah menerusi gol ketiga diminit ke-48. Selepas unggul dengan tiga gol di hadapan, Ferguson membuat tiga pertukaran di separuh masa kedua apabila mengeluarkan Fryers, Cleverley dan Diouf dan memberi kesempatan buat Paul Pogba, Michael Keane dan Ravel Morrison merasai aksi perlawanan. Perlawanan ini juga menyaksikan kemunculan semula Tom Cleverley dalam kesebelasan permulaan United selepas diketepikan sejak 10 September kerana kecederaan. Glory Glory Manchester United!!!
25 Oktober 2011
PREVIEW PIALA LIGA: ALDERSHOT lwn MAN UTD
![]() |
| Recreation Ground |
Selepas diaibkan Manchester City 1-6 di gelanggang sendiri, Ahad lalu, skuad kendalian Sir Alex Ferguson akan bertandang ke Recreation Ground dengan misi mengubati kekecewaan tersebut. United akan berdepan Aldershot Town, kelab dari Liga Kejuaraan 2 di gelanggang lawan dalam perlawanan pusingan ke-4 Piala Liga (Carling Cup) awal pagi nanti. Tiada rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan pernah dicatatkan sebelum ini dan meskipun lawan sekadar menduduki tangga ke-15 liga divisyen 4, United pastinya sedar mereka tidak boleh memandang ringan cabaran lawan. Dalam saingan kalah mati seperti ini, kejutan kerap dilakukan oleh kelab-kelab kerdil ke atas pasukan elit, tambahan pula mereka bakal beraksi di hadapan kira-kira 7 ribu penyokong sendiri. Kelab yang dibimbing bekas penyerang Wimbledon, Dean Holdsworth itu pastinya mahu menambah luka United manakala Sir Alex Ferguson pula akan menjadikan perlawanan ini sebagai motivasi untuk pemain-pemainnya bangkit dari kekalahan ngeri Ahad lalu. Rekod Aldershot dalam lima perlawanan terakhir mereka di gelanggang sendiri sedikit membimbangkan penyokong-penyokong mereka. Mereka tewas tiga dari lima perlawanan di gelanggang sendiri, menang sekali ke atas Rochdale dan mencatat keputusan seri dengan AFC Wimbledon. Tuan rumah akan bergantung sepenuhnya kepada ketajaman penyerang mereka Michael Rankine dan Danny Hylton untuk memburu gol. Di pihak United pula, Ferguson akan merehatkan David de Gea dan menggunakan Anders Lindegaard di gawang sambil mengharapkan pengalaman Nemanja Vidic memimpin pemain-pemain muda dibenteng pertahanan. Fabio da Silva, Phil Jones dan Ezekiel Fryers dijangka akan merasai aksi bersama Vidic di benteng pertahanan manakala Paul Pogba, Park Ji-Sung, Antonio Valencia dan Michael Carrick bakal menjana jentera tengah United. Penyerang veteran, Michael Owen yang sudah mengumpul dua gol dalam kejohanan ini akan digandingkan bersama Dimitar Berbatov sebagai penggempur utama. Glory Glory Manchester United!!!
24 Oktober 2011
MALAM JAHANAM DI OLD TRAFFORD
Apa sebenarnya yang telah berlaku ke atas skuad Red Devils malam tadi sehingga begitu mudah dijinakkan Manchester City di gelanggang keramat mereka sendiri, Old Trafford. Sir Alex Ferguson mengakui, dia begitu kecewa dengan keputusan di akhir perlawanan yang menyaksikan United tunduk 1-6 kepada jiran mereka itu, rekod terburuk United di Theatre of Dream ketika menentang City sejak 1926. United ketinggalan di babak pertama hasil jaringan Mario Balotelli dan terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Jonny Evans dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Mark Clattenburg. Balotelli menggandakan jaringan buat City diminit ke-60 dan sembilan minit kemudian giliran Sergio Aguero pula meletakkan City selesa mendahului dengan tiga gol.
Walaupun Darren Fletcher berjaya merapatkan kedudukan diminit ke-81, Edin Dzeko merakamkan hatrik untuk melengkapkan malam derita buat skuad kendalian Sir Alex Ferguson itu. "Ini adalah hari terburuk buat kami bahkan ketika saya masih bermain, saya tidak pernah mengalami kekalahan 1-6", kata Ferguson. Menurut Ferguson, layangan kad merah yang diterima Evans menjadi detik penentu kejatuhan mereka dalam perlawanan itu. Meskipun kekurangan seorang pemain, Ferguson berpendapat pasukannya harus bermain secara terbuka bagi mencari gol penyamaan sambil bergantung kepada pengalaman Rio Ferdinand dan Patrice Evra di benteng dalam menyerap asakan lawan. "Ketika kami kekurangan seorang pemain, kami masih terus menyerang dan bermain secara terbuka. Ini sebenarnya sungguh gila dan bolasepak sememangnya gila". Kekalahan ini juga menyaksikan rekod kemenangan 19 perlawanan berturut-turut United di Old Trafford berakhir. United kini ketinggalan lima mata di belakang City namun bernasib baik tidak dipintas Chelsea yang berada di tangga ketiga. Skuad kendalian Andre Villas-Boas itu tewas 0-1 kepada Queens Park Rangers dalam satu lagi perlawanan. Glory Glory Manchester United!!!
Langgan:
Catatan (Atom)









