Gol tunggal Javier Hernandez mengembalikan semula Manchester United ke landasan kemenangan selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Everton di Goodison Park semalam. Sir Alex Ferguson menurunkan Wayne Rooney dan Hernandez sebagai penggempur namun sekali lagi melakukan formasi pelik apabila beliau meletakkan Danny Welbeck di bahagian sayap. United jelas menguasai babak awal perlawanan sambil memaksa benteng tuan rumah yang diketuai ketua pasukan, Phil Jagielka bekerja keras mematahkan serangan pelawat. Kebuntuan jaringan gol akhirnya terlerai apabila Hernandez memanfaatkan umpanan silang Patrice Evra diminit ke-19 untuk menewaskan Tim Howard di gawang. Tuan rumah cuba bangkit selepas itu untuk mencari gol penyamaan dan hampir menyamakan kedudukan melalui tendangan bebas Leighton Baines diminit ke-40, namun palang gol menjadi penghalang dan kedudukan kekal 1-0 hingga babak pertama perlawanan berakhir.
Di babak kedua, kem United tersentak apabila Tom Cleverley yang baru kembali merasai aksi saingan liga selepas diketepikan sejak 10 September lalu terpaksa dikeluarkan kerana masalah hamstring dan digantikan dengan Nani. Diminit ke-62, United hampir menggandakan jaringan namun percubaan Danny Welbeck yang menerima hantaran Hernandez berjaya diselamatkan Howard. Tidak lama selepas itu, Ferguson membawa keluar Hernandez dan memasukkan Dimitar Berbatov yang yang diturunkan ketika United menang ke atas Aldershot dalam saingan Piala Liga sebagai penggempur bersama Rooney. Tuan rumah mencipta beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan melalui Seamus Coleman, Louis Saha dan Jack Rodwell namun benteng United yang diketuai Nemanja Vidic cekal bertahan hingga babak terakhir perlawanan. Ferguson yang turut menyaksikan perlawanan Everton dan Chelsea dalam saingan Piala Liga sudah menjangkakan dari awal pasukannya akan menempuh kesukaran di gelanggang lawan. "Ini bukanlah perlawanan yang mudah. Saya menyaksikan perlawanan mereka kelmarin dan mereka beraksi sebagai satu pasukan dan memberi tekanan kepada kami sepanjang perlawanan", kata Ferguson. Sementara itu, David Moyes mengatakan keputusannya menurunkan skuad terkuat ketika berdepan Chelsea dalam saingan Piala Liga sedikit menjejaskan kekuatan pasukannya dalam perlawanan ini. Everton kehilangan khidmat Royston Drenthe yang menerima kad merah disamping kehilangan sentuhan Phil Neville dan Tim Cahill yang mengalami kecederaan. Kemenangan ini juga mengekalkan United di tangga kedua liga dengan 23 mata, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Manchester City. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan