Berita menggemparkan Nemanja Vidic akan berhijrah dari Old Trafford kembali bertiup kencang selepas The Daily Mail melaporkan bahawa Sir Alex Ferguson sedang menimbang kemungkinan menjual kapten United itu kepada Real Madrid. Jose Mourinho terus-terusan menggoda Ferguson dengan tawaran lumayan bagi mendapatkan Vidic demi meruntuhkan penguasaan Barcelona di La Liga dan juga Eropah. Bagaimanapun Ferguson diberitakan enggan melepaskan Vidic semasa musim perpindahan dibuka Januari ini tetapi sebaliknya si kapten bakal dijual pada musim panas nanti. Khabar angin bertiup kencang mengatakan bahawa Ferguson sudah mula meragui komitmen Vidic bersama United dan menganggap pertahanan Serbia itu tidak menunjukkan kesungguhan 100% setiap kali diturunkan. Kemungkinan khabar angin ini ada benarnya jika mengambilkira prestasi yang dipamerkan Vidic setakat ini tambahan pula dengan reputasi Ferguson sebelum ini yang tidak ragu-ragu melepaskan pemain bintangnya jika beliau mendapati mereka gagal memberikan komitmen secara total kepada pasukan. Vidic pernah dikaitkan akan berhijrah ke Sepanyol musim panas lalu atas desakan isterinya namun menafikan khabar angin tersebut dan berjanji dia akan terus komited bersama United. Setakat ini Vidic hanya membuat tiga penampilan bersama United selepas direhatkan sejak 16 Ogos lalu kerana masalah kecederaan awal musim. Selepas pulih Vidic tampil membantu Serbia dalam kempen Euro 2012 sebelum kembali semula ke Old Trafford dan disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika United menentang Otelul Galati dalam kempen Eropah mereka di Bucharest 19 Oktober lalu. Kontrak Vidic yang hanya berbaki dua tahun lagi bakal menjadi pertimbangan utama Ferguson disamping munculnya pertahanan muda dalam skuad seperti Chris Smalling, Phil Jones dan Jonny Evans menambahkan lagi kemungkinan Vidic akan melangkah keluar. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan