08 Disember 2011

TERIMA DENGAN HATI TERBUKA


Tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara musim ini memang sesuatu yang cukup mengecewakan tambahan pula bila mengingatkan kembali status Manchester United sebagai finalis musim lalu.  Walaupun dibelenggu kekecewaan, Sir Alex Ferguson menganggap keputusan seperti ini adalah salah satu keunikan yang ada pada Liga Juara-Juara.  Kekalahan 1-2 kepada FC Basel awal pagi tadi meletakkan United di tangga ketiga Kumpulan C dan bakal bersaing di kancah Europa League, saingan yang dianggap sebagai kelas dua di peringkat Eropah.  United yang hanya perlu mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri dalam perlawanan ini untuk layak ke pusingan kalah mati sebaliknya ketinggalan seawal minit ke-9 hasil jaringan Marco Streller.  Biarpun berterusan mengasak untuk mencari gol penyamaan, taktik bertahan yang diamalkan Basel menyukarkan Nani dan Wayne Rooney yang diturunkan sebagai penggempur utama untuk menembusi gawang lawan.  Memburukkan lagi keadaan, kapten pasukan Nemanja Vidic terpaksa diusung keluar padang akibat kecederaan lutut di penghujung babak pertama perlawanan.  Kedudukan United tambah parah di separuh masa kedua selepas tuan rumah menggandakan kedudukan mereka menerusi jaringan Alexander Frei diminit ke-84.  Biarpun Phil Jones berjaya merapatkan kedudukan di minit ke-89 ianya sudah terlambat buat United untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata.  Mengulas keputusan yang dicapai pasukannya pagi tadi, Ferguson jelas kecewa namun mahukan anak-anak buahnya menjadikan kekalahan ini sebagai motivasi.  "Pasukan muda kami tentunya kecewa dengan kekalahan ini, tapi mereka harus bangkit selepas ini.  Keputusan yang kami capai sejak beberapa tahun kebelakangan ini begitu luarbiasa.  Kami kalah di dalam kejohanan terbaik di dunia, ia kejohanan yang cukup luarbiasa.  Saya belum pernah merasai saingan Europa League bersama United dan ia bukanlah pencapaian yang baik.  Ini adalah hadiah buat kami kerana gagal layak ke pusingan seterusnya", kata Ferguson.  Glory Glory Manchester United!!!

07 Disember 2011

PREVIEW: FC BASEL lwn MANCHESTER UTD



Manchester United membawa misi berganda ketika kunjungan mereka ke St Jakob Park dalam kempen Liga Juara-Juara mereka awal pagi nanti.  Bukan saja perlu menang atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dalam perlawanan ini untuk layak ke peringkat 16 pasukan, ketibaan United di Basel juga berbekalkan misi mempertaruhkan imej kelab-kelab England di peringat Eropah.  Hanya Arsenal berjaya mengesahkan tempat lebih awal ke pusingan seterusnya manakala Chelsea terpaksa bergelut hingga ke perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk mengesahkan kemaraan mereka.  Nasib United dan jiran mereka, Manchester City pula bakal ditentukan pada perlawanan terakhir kumpulan masing-masing awal pagi nanti.  Sedar tanggungjawab besar yang dipikul mereka sebagai juara Liga Perdana Inggeris, United perlu mengutip sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan menentang FC Basel nanti atau mereka bakal menjadi juara Inggeris pertama yang gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dalam tempoh satu dekad.  Kali terakhir United gagal mara ke peringkat kalah mati dengan status sebagai juara Liga Perdana Inggeris ialah pada musim 1994/95.  Selepas kegagalan itu, mereka muncul sebagai juara di liga domestik sebanyak sembilan kali dan tidak pernah gagal melepasi peringkat kumpulan saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu.  Juara liga-liga utama Eropah yang lain sudah pun lolos ke pusingan seterusnya dengan Barcelona mewakili La Liga dan AC Milan pula mengibarkan bendera Serie A.  Keputusan seri akan menempatkan United di tangga kedua Kumpulan C (jika Benfica menang ke atas Otelul Galati) dan mengakibatkan mereka bakal diundi bertemu gergasi Eropah di pusingan kalah mati nanti, namun keputusan itu adalah lebih baik berbanding mereka tersingkir lebih awal.  Untuk itu, Sir Alex Ferguson perlu merangka strategi dengan tepat untuk memerangkap Basel yang berjaya mengikat United 3-3 di Old Trafford dalam pusingan pertama.  Basel juga memiliki skuad yang lebih segar tanpa sebarang penggantungan atau krisis kecederaan pemain manakala United pula kehilangan khidmat Michael Carrick (penggantungan) dan Javier Hernandez (cedera).  Danny Welbeck yang tampil pada perlawanan liga hujung minggu lalu dijangka bakal diletakkan bersama Wayne Rooney sebagai penggempur utama awal pagi nanti. Glory Glory Manchester United!!

Barisan Kemungkinan:  

David de Gea, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Chris Smalling, Phil Jones, Darren Fletcher, Ashley Young, Nani, Wayne Rooney & Danny Welbeck

05 Disember 2011

KOMEN JONES TENTANG GOL PERTAMA KARIERNYA


Gol jaringan Phil Jones di Villa Park kelmarin bukan saja menghadiahkan tiga mata berharga buat United malah jaringan itu juga adalah gol pertama Jones sepanjang kariernya.  "Saya gembira dengan jaringan itu kerana sebelumnya beberapa staf dan rakan-rakan sepasukan sempat bergurau dengan mengatakan bila agaknya saya akan menjaringkan gol", kata Jones.  Menurut Jones, gol sendiri yang dijaringkannya ketika United bertemu Benfica di Liga Juara-Juara Eropah bukanlah sesuatu yang ideal untuk memulakan musim bersama kelab barunya namun kini dia gembira selepas berjaya membantu United meraih tiga mata penuh di Villa Park. Jones yang dibeli dari Blackburn Rovers  mengatakan dia tidak mempunyai sebarang masalah bermain di mana-mana posisi bersama United dan terbukti ketika menentang Villa, Ferguson meletakkan pemain muda itu di bahagian tengah bersama Michael Carrick. "Saya masih muda dan perkara seperti ini tidak menjadi masalah. Saya melihatnya sebagai satu proses pembelajaran dan saya mahu menikmatinya bersama United". Glory Glory manchester United!!!

DERBY MANCHESTER DI PUSINGAN KETIGA PIALA FA


Undian pusingan ketiga Piala FA bakal menemukan dua pasukan Manchester pada 7 Januari nanti dengan Manchester City bakal menjadi tuan rumah perlawanan tersebut.  Musim lepas, kedua-dua pasukan bertemu di peringkat separuh akhir dan City berjaya menyingkirkan United melalui gol tunggal Yaya Toure.  Mereka akhirnya menamatkan kemarau kejuaraan selama 33 tahun selepas muncul  juara kejohanan kalah mati tertua di dunia itu apabila menewaskan Stoke City di perlawanan akhir.  Musim ini kedua-dua pasukan berjiran itu sudah dua kali bertemu iaitu di perlawanan merebut Perisai Komuniti (United menang 3-2) dan perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford (City menang 6-1).  Sementara itu, juara Piala FA 2010, Chelsea akan bertemu lawan mereka diperlawanan akhir musim tersebut, Portsmouth manakala satu lagi kelab Liga Perdana, Arsenal akan berdepan lawan yang tidak boleh dipandang mudah, Leeds United.  Berikut adalah undian peringkat ketiga Piala FA 2011/12.

Reading - Stevenage
West Bromwich - Cardiff City
Peterborough - Sunderland
Watford - Bradford
Chelsea - Portsmouth
Gilingham - Stoke City
Liverpool - Southend/Oldham
Sheffield United - Salisbury/Grimsby
Everton - Tamworth
Newcastle - Blackburn
Chelmsford/Macclesfield - Bolton
Barnsley - Swansea
Sindon - Wigan
Fleetwood/Yeovil - Blackpool
Dervy - Crystal Palace
Arsenal - Leeds
Norwich - Burnley
Birmingham - Wolves
Fulham - Charlton
Brighton - Wrexham
Coventry - Southampton
Hull - Ipswich
MK Dons - QPR
Sheffield Wednesday - West Ham
Tottenham - Cheltenham
Bristol Rovers - Aston Villa
Doncaster - Sutton/Notts County
Crawley - Bristol City
Dag & Red - Walsall/Millwall
Manchester City - Manchester United
Nottingham Forest - Liecester
Middlesbrough - Shrewsbury

03 Disember 2011

PREVIEW: ASTON VILLA lwn MANCHESTER UTD



Meskipun prestasi terkini Manchester United agak menggusar penyokong-penyokong mereka, Aston Villa tetap berwaspada dengan ancaman yang bakal dihadirkan anak-anak buah Sir Alex Ferguson itu.  United yang mencatat keputusan seri 1-1 menentang Newcastle United di gelanggang sendiri hujung minggu lalu menerima tamparan hebat apabila disingkirkan pula Crystal Palace di peringkat suku akhir Piala Carling di Old Trafford.  Villa memang patut memasang angan-angan untuk mengejutkan United awal pagi nanti mengambilkira rekod pertemuan kedua-dua pasukan di Villa Park pada tiga musim terakhir apabila mereka berjaya mengekang United dari membawa pulang tiga mata penuh.  Tiga pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan di Villa Park berakhir dengan keputusan seri dan Villa mungkin boleh berharap ketumpulan jentera serangan United sejak akhir-akhir ini bakal dimanfaatkan mereka.  Dalam enam perlawanan terakhir, United hanya menjaringkan nisbah satu jaringan pada setiap perlawanan manakala penjaring terbanyak United, Wayne Rooney pula mengalami kemarau jaringan dalam lapan perlawanan.  Selepas tewas kepada Manchester City, United mencatat empat kemenangan berturut-turut namun rentak kemenangan United tersentak selepas mereka di paksa berkongsi mata dengan Newcastle United di Old Trafford Sabtu lalu.  Empat perlawanan terakhir Villa/United sering menyaksikan tuan rumah unggul mendahului jaringan namun akhirnya terpaksa berkongsi mata hasil jaringan lewat United.  Ramai yang meramalkan mana-mana pasukan yang berjaya menjaringkan gol awal dalam perlwanan ini bakal keluar sebagai pemenang.  Faktor kecergasan mungkin menjadi masalah buat United selepas mereka diheret bermain sehingga masa tambahan dalam kempen Piala Carling pertengahan minggu lalu.  Kehadiran Ashley Young dalam skuad United yang menyarung jersi Villa musim lalu bakal digunakan sepenuhnya oleh Sir Alex Ferguson untuk mencari titik kelemahan  tuan rumah. Apapun, The Red Devils harus segera melupakan kekecewaan mereka dalam dua perlwanan terakhir untuk kembali mencatat kemenangan bagi memberi tekanan kepada pendahulu ketika ini, Manchester City.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan:

David de Gea, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Phil Jones, Nani, Darren Fletcher, Michael Carrick, Ryan Giggs, Wayne Rooney & Javier Hernandez

02 Disember 2011

JUAL HIGUAIN...BELI ROONEY


Gonzalo Higuain
Gergasi Sepanyol, Real Madrid diberitakan bakal menawarkan penyerang mereka Gonzalo Higuain kepada Chelsea.  Presiden Real, Florentino Perez dikatakan bersetuju melepaskan Higuain kepada Chelsea dengan nilai 40 juta Pound bagi mengumpul dana membawa Wayne Rooney keluar dari United.  Perez ghairah memburu tandatangan penyerang antarabangsa England itu dan beliau dikatakan akan menawarkan sebanyak 60 juta Pound kepada United bagi merealisasikan hasratnya membawa Rooney ke Bernabeu.

01 Disember 2011

FERGIE MINTA MAAF KEPADA PENYOKONG



Sir Alex Ferguson mengakui dia kehilangan kata-kata selepas menyaksikan pasukannya tersingkir dari saingan separuh akhir Piala Carling kepada Crystal Palace awal pagi tadi.  Sebaik tamat perlawanan, Ferguson pantas memohon maaf kepada penyokong-penyokong United di Old Trafford atas kegagalan anak-anak buahnya mara ke peringkat separuh akhir.  Jaringan Glenn Murray dibabak pertama masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang tempoh 90 minit permainan memastikan Palace menempah tempat ke separuh akhir dan bakal berdepan Cardiff City.  Pelawat berjaya mendahului melalui jaringan cantik Darren Ambrose dari jarak jauh diminit ke-66 namun Federico Macheda berjaya menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil sepakan penalti.  Glenn Murray muncul wira pelawat apabila menjaringkan gol kemenangan diminit ke-98 masa tambahan dan biarpun diasak hebat, Palace akhirnya berjaya mempertahankan kedudukan mereka hingga tamat 120 minit permainan.  Ferguson yang menurunkan hampir keseluruhan pemain-pemain mudanya dalam perlawanan itu mengakui begitu kecewa dengan persembahan yang dipamerkan skuadnya. "Secara jujurnya, saya tidak tahu di mana untuk memulakannya.  Saya meminta maaf kepada penyokong kerana ini bukanlah prestasi Manchester United.  Saya sangat kecewa", kata Ferguson.  Disebalik kekecewaan itu, Ferguson tetap merakamkan penghargaan buat Palace dan berharap anak-anak buah Dougie Freedman berjaya mara ke perlawanan akhir.  Glory Glory Manchester United!!!