Tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara musim ini memang sesuatu yang cukup mengecewakan tambahan pula bila mengingatkan kembali status Manchester United sebagai finalis musim lalu. Walaupun dibelenggu kekecewaan, Sir Alex Ferguson menganggap keputusan seperti ini adalah salah satu keunikan yang ada pada Liga Juara-Juara. Kekalahan 1-2 kepada FC Basel awal pagi tadi meletakkan United di tangga ketiga Kumpulan C dan bakal bersaing di kancah Europa League, saingan yang dianggap sebagai kelas dua di peringkat Eropah. United yang hanya perlu mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri dalam perlawanan ini untuk layak ke pusingan kalah mati sebaliknya ketinggalan seawal minit ke-9 hasil jaringan Marco Streller. Biarpun berterusan mengasak untuk mencari gol penyamaan, taktik bertahan yang diamalkan Basel menyukarkan Nani dan Wayne Rooney yang diturunkan sebagai penggempur utama untuk menembusi gawang lawan. Memburukkan lagi keadaan, kapten pasukan Nemanja Vidic terpaksa diusung keluar padang akibat kecederaan lutut di penghujung babak pertama perlawanan. Kedudukan United tambah parah di separuh masa kedua selepas tuan rumah menggandakan kedudukan mereka menerusi jaringan Alexander Frei diminit ke-84. Biarpun Phil Jones berjaya merapatkan kedudukan di minit ke-89 ianya sudah terlambat buat United untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata. Mengulas keputusan yang dicapai pasukannya pagi tadi, Ferguson jelas kecewa namun mahukan anak-anak buahnya menjadikan kekalahan ini sebagai motivasi. "Pasukan muda kami tentunya kecewa dengan kekalahan ini, tapi mereka harus bangkit selepas ini. Keputusan yang kami capai sejak beberapa tahun kebelakangan ini begitu luarbiasa. Kami kalah di dalam kejohanan terbaik di dunia, ia kejohanan yang cukup luarbiasa. Saya belum pernah merasai saingan Europa League bersama United dan ia bukanlah pencapaian yang baik. Ini adalah hadiah buat kami kerana gagal layak ke pusingan seterusnya", kata Ferguson. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan