07 Disember 2011

PREVIEW: FC BASEL lwn MANCHESTER UTD



Manchester United membawa misi berganda ketika kunjungan mereka ke St Jakob Park dalam kempen Liga Juara-Juara mereka awal pagi nanti.  Bukan saja perlu menang atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dalam perlawanan ini untuk layak ke peringkat 16 pasukan, ketibaan United di Basel juga berbekalkan misi mempertaruhkan imej kelab-kelab England di peringat Eropah.  Hanya Arsenal berjaya mengesahkan tempat lebih awal ke pusingan seterusnya manakala Chelsea terpaksa bergelut hingga ke perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk mengesahkan kemaraan mereka.  Nasib United dan jiran mereka, Manchester City pula bakal ditentukan pada perlawanan terakhir kumpulan masing-masing awal pagi nanti.  Sedar tanggungjawab besar yang dipikul mereka sebagai juara Liga Perdana Inggeris, United perlu mengutip sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan menentang FC Basel nanti atau mereka bakal menjadi juara Inggeris pertama yang gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dalam tempoh satu dekad.  Kali terakhir United gagal mara ke peringkat kalah mati dengan status sebagai juara Liga Perdana Inggeris ialah pada musim 1994/95.  Selepas kegagalan itu, mereka muncul sebagai juara di liga domestik sebanyak sembilan kali dan tidak pernah gagal melepasi peringkat kumpulan saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu.  Juara liga-liga utama Eropah yang lain sudah pun lolos ke pusingan seterusnya dengan Barcelona mewakili La Liga dan AC Milan pula mengibarkan bendera Serie A.  Keputusan seri akan menempatkan United di tangga kedua Kumpulan C (jika Benfica menang ke atas Otelul Galati) dan mengakibatkan mereka bakal diundi bertemu gergasi Eropah di pusingan kalah mati nanti, namun keputusan itu adalah lebih baik berbanding mereka tersingkir lebih awal.  Untuk itu, Sir Alex Ferguson perlu merangka strategi dengan tepat untuk memerangkap Basel yang berjaya mengikat United 3-3 di Old Trafford dalam pusingan pertama.  Basel juga memiliki skuad yang lebih segar tanpa sebarang penggantungan atau krisis kecederaan pemain manakala United pula kehilangan khidmat Michael Carrick (penggantungan) dan Javier Hernandez (cedera).  Danny Welbeck yang tampil pada perlawanan liga hujung minggu lalu dijangka bakal diletakkan bersama Wayne Rooney sebagai penggempur utama awal pagi nanti. Glory Glory Manchester United!!

Barisan Kemungkinan:  

David de Gea, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Chris Smalling, Phil Jones, Darren Fletcher, Ashley Young, Nani, Wayne Rooney & Danny Welbeck

Tiada ulasan:

Catat Ulasan