06 Februari 2012

ROONEY: KAMI TIDAK MUDAH MENGALAH


Wayne Rooney mengakui pasukannya memperolehi pengajaran berharga hasil kebangkitan hebat mereka mengikat Chelsea di gelanggang lawan selepas ketinggalan 0-3 malam tadi.  Rooney pantas menegaskan United bukanlah pasukan yang mudah menyerah kalah biarpun pada satu ketika ketinggalan dengan jurang gol yang besar.  United ketinggalan diminit ke-36 selepas Jonny Evans tertampan bola ke gawang sendiri dan Juan Mata kemudiannya meletakkan Chelsea selesa di depan melalui voli cantik diminit ke-46.  Tuan rumah dilihat bakal mengulangi rekod jaringan besar Manchester City ke atas United apabila empat minit kemudian David de Gea sekali lagi tertewas melalui tandukan David Luiz.  United bagaimanapun bangkit mengejar dari belakang selepas mereka dihadiahkan dua sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Rooney diminit ke-58 dan 69.  Javier Hernandez kemudiannya memadamkan hasrat Chelsea untuk mengutip tiga mata di gelanggang sendiri apabila berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan hasil hantaran Ryan Giggs di minit ke-84.  Sekalipun agak kecewa selepas menyaksikan pasukannya kehilangan dua mata, Rooney melaungkan amaran kepada Manchester City bahawa kebangkitan hebat pasukannya dalam perlawanan ini menandakan bahawa United tidak sekali-kali berhenti mengejar dan memberi tekanan kepada pendahulu liga itu.  "Kami kehilangan dua mata, tetapi selepas ketinggalan tiga gol, semua pemain Manchester City yang menyaksikan perlawanan ini harus waspada.  Banyak pasukan akan mengalah selepas ketinggalan dengan tiga gol tetapi kami tidak sekali-kali akan menundukkan kepala kami", kata Rooney.

Sementara itu, Sir Alex Ferguson mengakui beliau kurang berpuashati biarpun pasukannya berjaya mencuri satu mata di gelanggang keramat Chelsea itu.  Biarpun dihadiahkan dua sepakan penalti oleh Howard Webb, Ferguson sebaliknya menegaskan Webb sepatutnya memberikan empat sepakan penalti kepada pasukannya.  Walaupun Andre Villas-Boas mempertikaikan keputusan Webb memberikan sepakan penalti kedua kepada United, Ferguson berpendapat keputusan pengadil berpengalaman itu adalah tepat. Ferguson juga berpendapat Gary Cahill sepatutnya dilayangkan kad merah selepas dia menjatuhkan Danny Welbeck di babak pertama.  "Kami mendapat dua sepakan penalti di babak kedua dan itu memang sudah sepatutnya, namun saya fikir kami sebenarnya layak mendapatkan empat penalti.  Gary Cahill sepatutnya dilayangkan kad merah tetapi saya tidak menyalahkan Howard Webb.  Saya hairan, penjaga garisan yang memberikan sepakan penalti di Old Trafford dua tahun lalu sebaliknya tidak melihat kekasaran yang dilakukan Cahill dari jarak 45 ela.  Ashley Young juga dikasari tetapi dia juga tidak memberikan penalti kepada kami", kata Ferguson.  Meskipun mengakui agak terkilan melihat pasukannya kehilangan dua mata, namun Ferguson tetap menghargai usaha keras anak-anak buahnya terutama selepas mereka ketinggalan 0-3.  "Bukan mudah untuk bangkit seperti tadi selepas ketinggalan dengan tiga gol, saya melihat kualiti pasukan kami jauh lebih baik".  Glory Glory Manchester United!

13 Januari 2012

GIBBO MENUJU KE GOODISON PARK


Everton berharap mereka boleh memperkenalkan Darron Gibson sebagai pemain baru mereka sebelum perlawanan hujung minggu ini.  Manchester United diberitakan telah bersetuju melepaskan seorang lagi pemain mereka menyertai skuad The Toffees itu dengan yuran perpindahan sebanyak 2 juta Pound.  Selepas bersetuju dengan terma dan syarat perpindahan, Gibson dikatakan akan ditawarkan kontrak selama empat tahun dan gaji sebanyak 40 ribu Pound seminggu.  Gibson, 24 tahun akan menjadi pemain keempat United yang berhijrah ke Goodison Park dalam tempoh tujuh tahun selepas Phil Neville, Louis Saha dan Tim Howard.  David Moyes yang sudah sekian lama berminat mendapatkan tandatangan Gibson berharap, pemain yang dibentuk dari akademi Manchester United itu boleh menampung kekosongan yang ditinggalkan Mikel Arteta yang dipancing Arsenal musim panas lalu.  Moyes juga berharap dia boleh menggunakan khidmat Gibson ketika pasukannya berkunjung ke Villa Park hujung minggu ini.

BAYERN MUNICH BURU BERBATOV


Masa depan Dimitar Berbatov bersama Manchester United masih menjadi tandatanya meskipun bekas penyerang antarabangsa Bulgaria itu membuktikan dia masih lagi antara penyerang berbisa United ketika ini.  Selepas sekian lama diletakkan di bangku simpanan, Berbatov membuktikan ketajamannya apabila merakam hatrik ketika United menewaskan Wigan Athletic 26 Disember lalu dan menyumbangkan dua gol ketika United tewas kepada Blackburn Rovers lima hari kemudian.  United pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan melepaskan Berbatov kepada mana-mana pasukan pada jendela perpindahan musim sejuk namun itu tidak mematahkan selera beberapa pasukan yang cuba mendapatkan khidmatnya.  Selepas Bayern Leverkusen yang juga merupakan bekas kelab Berbatov, kini giliran Bayern Munich pula menaruh minat tinggi untuk cuba membawa Berbatov kembali mewarnai saingan Bundesliga.  Menurut Inside Futbol, Munich mahukan penyerang baru untuk menggantikan Ivica Olic yang dikatakan akan berhijrah Januari ini atau selewat-lewatnya pada musim panas nanti.  Gergasi Bundesliga itu sedang memantau perkembangan hubungan Berbatov bersama United, namun mereka perlu sedar usaha mendapatkan khidmat bekas penyerang Leverkusen dan Tottenham itu bukan mudah selepas dia dijanjikan sambungan kontrak baru untuk kekal di Old Trafford sekurang-kurangnya selama dua tahun lagi.  Satu-satunya perkara yang boleh menggoda Berbatov untuk meninggalkan Old Trafford ialah tawaran tempat dalam kesebelasan utama Munich berbanding apa yang dinikmatinya ketika ini bersama United.  Glory Glory Manchester United!!!

12 Januari 2012

CR7 DISARAN KEMBALI SEMULA KE UNITED


Mungkinkah layanan buruk yang diterima Cristiano Ronaldo dari penyokong-penyokong Real Madrid akan menyebabkan bintang antarabangsa Portugal itu kembali semula ke Old Trafford?  Selepas gagal membantu Real menewaskan Barcelona dalam pertembungan El Clasico Disember lalu, Ronaldo nampaknya terus menjadi mangsa ejekan penyokong-penyokong di Santiago Bernabeu.  Terbaru, meskipun berjaya membantu Los Blancos menewaskan Granada 5-1 dalam perlawanan liga minggu lalu, penyokong-penyokong Real bertindak dengan bersiul dan mengejek Ronaldo selepas dia menjaringkan gol kelima pasukannya.  Ronaldo yang kelihatan kecewa dilihat tidak merayakan jaringannya, mungkin sebagai satu isyarat bahawa dia semakin kurang selesa untuk terus berada di kota Madrid. Melihatkan hubungan yang semakin tegang antara bekas bintang Manchester United itu dan penyokong-penyokong Real, salah seorang sahabat baik Ronaldo mencadangkan agar dia kembali semula ke Old Trafford, tempat di mana penyokong-penyokong sentiasa meletakkannya di tempat yang tinggi.  "Dia (Ronaldo) begitu sedih meninggalkan stadium selepas perlawanan El Clasico.  Dia jelas kecewa kerana penyokong-penyokong di Bernabeu sering meletakkan kesalahan ke atas dirinya setiap kali Real tewas kepada Barcelona", kata sahabat Ronaldo itu kepada media Sepanyol, AS.  Berbanding layanan yang diterima semasa dia masih bersama United, Ronaldo sering diberitahu sahabat baiknya itu bahawa sekalipun dia bukan lagi pemain The Red Devils, namanya masih dinyanyikan oleh penyokong-penyokong United setiap kali perlawanan hujung minggu di Old Trafford sedang hal yang serupa tidak berlaku di La Castellana.  Glory Glory Manchester United!!!

11 Januari 2012

UNITED KERAH 6 RIBU PENYOKONG KE ANFIELD


Manchester United dijangka mengerahkan lebih 6,000 penyokong mereka ke Anfield penghujung bulan ini selepas skuad The Red Devils itu diundi bertemu musuh tradisi mereka, Liverpool pada perlawanan pusingan keempat Piala FA kelmarin.  Kunjungan United ke Anfield 28 Januari nanti dijangka panas berikutan isu perkauman membabitkan Patrice Evra dan Luis Suarez hingga menyebabkan penyerang Liverpool itu dikenakan hukuman penggantungan lapan perlawanan oleh FA England.  United menerima berita gembira selepas pihak penganjur dikatakan akan meletakkan penyokong-penyokong setia Red Devils di barisan bawah Anfield Road yang boleh memuatkan lebih kurang 6,400 penonton.  Petugas-petugas keselamatan tambahan juga akan diletakkan di kawasan yang menempatkan para penyokong United bagi mengelakkan sebarang kemungkinan buruk berlaku.  Pertembungan ini bakal menarik perhatian ramai selepas insiden membabitkan Evra dan Suarez pada saingan liga antara kedua-dua pasukan 15 Oktober lalu.  Glory Glory Manchester United!!!

10 Januari 2012

SCHOLES SUNTIK SEMANGAT BUAT UNITED


Pertahanan Manchester United, Chris Smalling menganggap kepulangan semula Paul Scholes ke dalam pasukan bakal memberikan suntikan semangat kepada barisan The Red Devils dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.  Scholes hujung minggu lalu mengejutkan dunia bolasepak terutamanya di England apabila muncul di bangku simpanan United dalam saingan Piala FA.   Pemain tengah veteran yang mengumumkan persaraan pada 31 Mei tahun lalu disenaraikan sebagai pemain gantian dan sempat bermain selama 30 minit ketika pertemuan pusingan ketiga Piala FA menentang Manchester City di Eastlands Ahad lalu.  Ini merupakan penampilan pertama Scholes dalam perlawanan kompetitif sejak kali terakhir beraksi untuk United dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona musim lalu.  "Kehadiran semula Paul (Scholes) memberikan kami semangat tambahan.  Saya kecewa ketika dia mengumumkan persaraannya akhir musim lalu", kata Smalling. Bagi Smalling, Scholes masih mampu menyumbang sesuatu buat pasukan dan bekas pemain pertahanan Fulham itu mengakui dia memang berharap suatu hari nanti Scholes akan kembali dari persaraannya dan menyertai semula kelab.  Kini harapan Smalling akhirnya menjadi kenyataan apabila Scholes bersetuju menyahut panggilan Sir Alex Ferguson untuk kembali menyertai United.  "Suasana di bilik persalinan berbeza ketika anda memiliki pemain berkaliber seperti Paul Scholes.   Perkara ini memberi semangat kepada pemain muda seperti saya", kata Smalling lagi.  Sementara itu, Wayne Rooney mendedahkan pemain-pemain United tidak mengetahui Scholes telah keluar dari persaraan hinggalah kelibat veteran itu dilihat di bilik persalinan sebelum perlawanan City-United Ahad lalu.  Walaupun Scholes sudah berlatih bersama pasukan sejak beberapa minggu lalu, ramai yang menganggap pemain veteran itu sekadar ingin melepaskan rindunya terhadap dunia bolasepak.  "Sesungguhnya ia adalah satu kejutan apabila melihat kelibatnya di bilik persalinan.  Semua orang tahu betapa hebatnya dia dan kehadirannya memberikan kami semangat", kata Rooney. Glory Glory Manchester United!!!

09 Januari 2012

KEYAKINAN KEMBALI MEMUNCAK


Kejayaan Manchester United melakar kemenangan ke atas jiran mereka yang juga juara bertahan Piala FA, Manchester City di pusingan ketiga malam tadi kembali melonjakkan semangat skuad The Red Devils.  Sebelum pertemuan kedua-dua pasukan, ramai pemerhati menganggap ini bukanlah masa yang sesuai untuk Sir Alex Ferguson dan barisannya berkunjung ke Eastlands, gelanggang yang menyaksikan City begitu kebal dengan rekod tanpa kalah mereka di gelanggang sendiri musim ini.  Tewas dua perlawanan berturut-turut dalam saingan liga, skuad mewah City dijangka memberikan jiran mereka itu kekalahan ketiga mereka, sesuatu yang tidak pernah berlaku ke atas United dalam tempoh 11 tahun.  Bagaimanapun Wayne Rooney mengejutkan penyokong-penyokong tuan rumah apabila dia membuka tirai jaringan di minit ke-10 melalui tandukan hasil hantaran Antonio Valencia.  Dua minit kemudian, City dikejutkan apabila kapten mereka, Vincent Kompany dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Chris Foy kerana kesalahan terjahan menggunakan kedua-dua kaki.  Segala-galanya tanpak mudah buat United apabila Danny Welbeck menjaringkan gol kedua diminit ke-30 sebelum Rooney melebarkan penguasaan United hasil sepakan penalti sepuluh minit kemudian.  

City cuba menghidupkan sisa-sisa peluang  mempertahankan trofi yang mereka menangi musim lalu melalui kebangkitan di separuh masa kedua namun jaringan Sergio Aguero diminit ke-48 dan Alexandar Kolarov diminit ke-64 gagal menghalang United dari melangkah ke pusingan keempat.  Rooney menganggap kemenangan di Eastlands penting dan bakal memberikan suntikan moral buat United dalam usaha mereka mengejar City selaku pendahulu liga ketika ini. "Kemenangan ini akan memberikan hasil yang positif buat seluruh pasukan kerana kami bakal berhadapan dengan mereka sekali lagi di sini.  Selepas mendahului 3-0, tekanan ke atas kami berkurangan dan City kemudiannya menjaringkan dua gol.  Pasukan bermain dengan baik, kami bertahan dengan sempurna dan tetap fokus melakukan serangan balas.  Syukurlah kami berjaya", kata Rooney.  Kemenangan United ke atas City malam tadi turut diwarnai dengan kembalinya Paul Scholes dari persaraan.  Scholes yang menyambut permintaan Ferguson bulan lalu supaya dia kembali memperkuatkan barisan tengah United disenaraikan dalam skuad dan masuk menggantikan Nani diminit ke-59.  Sementara itu, Ferguson menilai bahawa kad merah yang diterima Kompany adalah wajar walaupun terjahan yang dilakukan kapten City itu tidak mencederakan Nani.  Menurut Ferguson, Nani mungkin mendapat kecederaan yang serius jika terjahan bahaya menggunakan kedua-dua belah kaki yang dilakukan Kompany tepat ke sasaran.  "Itu adalah terjahan menggunakan dua kaki.  Saya fikir dia memang wajar dilayangkan kad merah.  Saya pernah menyaksikan dia melakukan terjahan seperti itu namun mungkin ketika itu pengadil tidak melihatnya.  Nani mungkin menghadapi masalah besar jika terjahan itu tepat mengenainya", kata Ferguson.  Sementara itu, pengurus City, Roberto Mancini akan mengemukakan rayuan berhubung kad merah yang diterima kaptennya itu.  Glory Glory Manchester United!!!