Wayne Rooney mengakui pasukannya memperolehi pengajaran berharga hasil kebangkitan hebat mereka mengikat Chelsea di gelanggang lawan selepas ketinggalan 0-3 malam tadi. Rooney pantas menegaskan United bukanlah pasukan yang mudah menyerah kalah biarpun pada satu ketika ketinggalan dengan jurang gol yang besar. United ketinggalan diminit ke-36 selepas Jonny Evans tertampan bola ke gawang sendiri dan Juan Mata kemudiannya meletakkan Chelsea selesa di depan melalui voli cantik diminit ke-46. Tuan rumah dilihat bakal mengulangi rekod jaringan besar Manchester City ke atas United apabila empat minit kemudian David de Gea sekali lagi tertewas melalui tandukan David Luiz. United bagaimanapun bangkit mengejar dari belakang selepas mereka dihadiahkan dua sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Rooney diminit ke-58 dan 69. Javier Hernandez kemudiannya memadamkan hasrat Chelsea untuk mengutip tiga mata di gelanggang sendiri apabila berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan hasil hantaran Ryan Giggs di minit ke-84. Sekalipun agak kecewa selepas menyaksikan pasukannya kehilangan dua mata, Rooney melaungkan amaran kepada Manchester City bahawa kebangkitan hebat pasukannya dalam perlawanan ini menandakan bahawa United tidak sekali-kali berhenti mengejar dan memberi tekanan kepada pendahulu liga itu. "Kami kehilangan dua mata, tetapi selepas ketinggalan tiga gol, semua pemain Manchester City yang menyaksikan perlawanan ini harus waspada. Banyak pasukan akan mengalah selepas ketinggalan dengan tiga gol tetapi kami tidak sekali-kali akan menundukkan kepala kami", kata Rooney.
Sementara itu, Sir Alex Ferguson mengakui beliau kurang berpuashati biarpun pasukannya berjaya mencuri satu mata di gelanggang keramat Chelsea itu. Biarpun dihadiahkan dua sepakan penalti oleh Howard Webb, Ferguson sebaliknya menegaskan Webb sepatutnya memberikan empat sepakan penalti kepada pasukannya. Walaupun Andre Villas-Boas mempertikaikan keputusan Webb memberikan sepakan penalti kedua kepada United, Ferguson berpendapat keputusan pengadil berpengalaman itu adalah tepat. Ferguson juga berpendapat Gary Cahill sepatutnya dilayangkan kad merah selepas dia menjatuhkan Danny Welbeck di babak pertama. "Kami mendapat dua sepakan penalti di babak kedua dan itu memang sudah sepatutnya, namun saya fikir kami sebenarnya layak mendapatkan empat penalti. Gary Cahill sepatutnya dilayangkan kad merah tetapi saya tidak menyalahkan Howard Webb. Saya hairan, penjaga garisan yang memberikan sepakan penalti di Old Trafford dua tahun lalu sebaliknya tidak melihat kekasaran yang dilakukan Cahill dari jarak 45 ela. Ashley Young juga dikasari tetapi dia juga tidak memberikan penalti kepada kami", kata Ferguson. Meskipun mengakui agak terkilan melihat pasukannya kehilangan dua mata, namun Ferguson tetap menghargai usaha keras anak-anak buahnya terutama selepas mereka ketinggalan 0-3. "Bukan mudah untuk bangkit seperti tadi selepas ketinggalan dengan tiga gol, saya melihat kualiti pasukan kami jauh lebih baik". Glory Glory Manchester United!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan