Pemain tengah Manchester United, Darren Fletcher semakin hampir untuk kembali semula kedalam saingan bolasepak kompetetif selepas beliau mengesahkan akan berlatih bersama pasukan kebangsaan Scotland. Fletcher yang terpaksa dipinggirkan kerana masalah radang usus tidak bermain hampir sepuluh bulan, kini sudah sedia untuk turun semula ke padang. Fletcher bagaimanapun tidak akan disenaraikan dalam skuad yang akan turun menentang Australia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang dijadualkan pada Rabu depan. Menurut pengurus Scotland, Craig Levein, pemain berusia 28 tahun itu tidak akan diturunkan menentang Australia memandangkan Fletcher baru pulih dan sudah terlepas aksi kompetetif sejak 22 November lalu. Kali terakhir Fletcher beraksi bersama United ialah pada 22 November lalu ketika menentang Benfica dalam saingan Liga Juara-Juara. Bulan lalu, Sir Alex Ferguson berkata United mungkin tidak dapat menggunakan khidmat Fletcher dalam saingan awal kempen Liga Perdana namun akan memberikan peranan alternatif kepada pemain tengah itu. Berita ini tentunya memberikan kelegaan kepada penyokong-penyokong United selepas kapten pasukan, Nemanja Vidic turut disahkan semakin pulih dari kecederaan lutut. Vidic menyertai skuad The Red Devils dalam jelajah pra-musim mereka di Norway dan dijangka turun memperkuatkan semula benteng pertahanan pada perlawanan pembukaan tirai saingan Liga Perdana menentang Everton, 18 Ogos ini. Glory Glory Manchester United!!!
07 Ogos 2012
06 Ogos 2012
UNITED BERADA DI LANDASAN TEPAT MILIKI RVP
Manchester United berada di landasan tepat dalam usaha mereka membawa penyerang Arsenal, Robin Van Persie ke Old Trafford. Van Persie yang genap berusia 29 tahun hari ini merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana England musim lalu, hampir pasti meninggalkan Stadium Emirates selepas beliau mengambil keputusan tidak mahu menandatangani kontrak baru bersama Arsenal. United, Manchester City dan Juventus adalah tiga kelab yang berada di barisan hadapan dalam usaha mendapatkan tandatangan Van Persie tetapi masalah kewangan dijangka menyebabkan Juventus menarik diri. Manakala bos Manchester City, Roberto Mancini pula sudah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak fikir Van Persie akan menyertai juara Liga Perdana England itu. "Van Persie? Tidak, saya tidak fikir dia akan datang ke sini", kata Mancini kepada Sky Sport Italia. Selepas menyaksikan skuadnya seri tanpa jaringan pada perlawanan jelajah pra-musim menentang Valerenga di Oslo semalam, media-media di England menyebut bahawa usaha Ferguson mendapatkan Van Persie sudah semakin hampir. Malahan sudah terdapat laporan di England yang mengatakan bahawa Van Persie akan menandatangani kontrak secara rasmi bersama United minggu ini dengan nilai perpindahan 20 juta Pound. Isu tentang gaji tidak mungkin dapat menghentikan Van Persie dari menandatangani kontrak bersama United, namun masih terdapat persoalan sama ada pemain yang dianggap lagenda Arsenal itu sanggup merosakkan reputasinya di mata penyokong-penyokong Gunners dengan menyertai United, musuh paling dibenci mereka. Glory Glory Manchester United!!!
05 Ogos 2012
SPEKULASI PERPINDAHAN
UNITED SIAP PINTAS ARSENAL UNTUK NURI SAHIN
Manchester United berharap mereka dapat menggagalkan hasrat Arsenal meminjam pemain tengah Nuri Sahin dari Real Madrid. Diberitakan bahawa kem United sudah bersedia memajukan tawaran pembelian Sahin kepada juara La Liga itu. Kegagalan Sahin menyinar musim lalu menyebabkan Jose Mourinho berhasrat meminjamkannya ke kelab yang mampu mengembalikan semula potensi pemain berusia 23 tahun itu yang menyertai Real dari Borussia Dortmund musim lalu. Arsenal sudah bersedia menawarkan tempat buat Sahin secara pinjaman selama setahun namun United tiba-tiba muncul dalam pemburuan itu dan sedia membawa Sahin ke Old Trafford dengan kontrak tetap. Sahin sendiri dikatakan mengakui tertarik untuk berhijrah ke Old Trafford namun Real tampak keberatan menjual pemain itu yang gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama Mourinho. Mourinho dan presiden kelab, Florentino Perez masih berharap Sahin akan kembali semula ke Santiago Bernabeu musim panas akan datang sebagai pemain yang lebih matang dan sedia bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad. Mungkin faktor Luka Modric boleh mengubah keputusan Real tentang masa depan Sahin, kerana jika mereka (Real) berhasil mendapatkan tandatangan bintang Croatia itu, besar kemungkinan Sahin akan dijual.
UNITED BURU BINTANG MUDA SEPANYOL
Sir Alex Ferguson meneruskan usaha untuk membangunkan semula skuadnya dengan mendapatkan pemain-pemain muda. Terbaru, Ferguson dilaporkan menjadikan bintang muda Sepanyol dan Malaga, Isco sebagai sasaran seterusnya selepas Shinji Kagawa dan Nick Powell. Pemain sayap berusia 20 tahun itu adalah anggota skuad Matador yang beraksi di sukan Olimpik London 2012. United diberitakan sudahpun memajukan tawaran kepada Malaga untuk mendapatkan pemain itu. Isco yang masih mempunyai baki kontrak selama empat tahun dan memiliki klausa pelepasan kontrak bernilai 20 juta Pound, menyebabkan United terpaksa mengeluarkan dana besar jika berhajat membawanya ke Old Trafford.
UNITED DAPATKAN LEWANDOWSKI?
Media di Itali melaporkan bahawa Manchester United sudah mencapai kesepakatan dengan Borussia Dortmund berkaitan soal perpindahan penyerang Poland, Robert Lewandowski. Tuttomercato melaporkan bahawa Lewandowski akan berhijrah ke Old Trafford musim panas ini namun tidak menyatakan berapakah nilai perpindahan pemain itu yang dipersetujui kedua-dua kelab. Setakat ini United mahupun Dortmund masih belum mengesahkan perkara ini. Prestasi mantap yang dipamerkan Lewandowski bersama Dortmund dan skuad kebangsaan Poland menyebabkan namanya mula dikaitkan dengan United sebaik musim 2011/12 berakhir. United dikatakan berjaya menyingkirkan Real Madrid dan Juventus dalam usaha mereka mendapatkan tandatangan Lewandowski. Jika benar laporan ini, Lewandowski menjadi pemain kedua Dortmund selepas Shinji Kagawa yang menyertai United musim panas ini.
03 Ogos 2012
VALENCIA BERSEMANGAT HADAPI MUSIM BARU
Pemain sayap Manchester United, Luis Antonio Valencia sudah tidak sabar menanti aksi musim baru, apatah lagi selepas beliau diberi kepercayaan menyarung jersi keramat nombor 7 The Red Devils. Pemain antarabangsa Ecuador itu telah diundi sebagai pemain terbaik United oleh penyokong-penyokong dan rakan sepasukan selepas mempamerkan prestasi mengagumkan sepanjang musim lalu. Prestasi Valencia sepanjang musim lalu menyebabkan Sir Alex Ferguson tanpa ragu-ragu memberikan kepercayaan kepadanya untuk mewarisi jersi nombor 7 itu dari Michael Owen. Meskipun sedar ia satu tanggungjawab besar apabila diberikan kepercayaan menggunakan nombor yang pernah digunakan lagenda-lagenda United seperti George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo, Valencia sebaliknya lebih bersikap optimis dan bersemangat menghadapi musim baru. Menurut Valencia, beliau cukup bertuah apabila diberi kepercayaan menggunakan nombor 7 musim depan dan menghormati nombor keramat itu kerana punya sejarah dan tradisi tersendiri buat kelab dan penyokong. Ini merupakan tanggungjawab baru dan Valencia menegaskan beliau tetap tenang sebagai pewaris seterusnya nombor keramat itu. Glory Glory Manchester United!!!
UNITED TINGKATKAN USAHA DAPATKAN MOURA
Manchester United dilaporkan meningkat usaha mereka untuk menandatangani bintang muda Brazil, Lucas Moura. Daily Mail melaporkan bahawa United nampaknya masih belum berputus asa membawa bintang muda itu ke Old Trafford musim panas ini biarpun tawaran pertama sebanyak 26 juta Pound ditolak kelab pemain itu, Sao Paulo. United dikatakan kembali dengan tawaran kedua sebanyak 30 juta Pound selepas mendapati kelab Perancis, Paris St Germain turut cuba mendapatkan khidmat pemain berusia 19 tahun itu yang ketika ini sedang beraksi bersama skuad kebangsaan Brazil di sukan Olimpik London 2012. Menguatkan lagi spekulasi tentang minat mendalam United terhadap Moura, Sir Alex Ferguson dikatakan hadir menyaksikan aksi Moura ketika Brazil menentang New Zealand kelmarin. Menurut Daily Mail, pihak pengurusan United berharap dapat mengadakan perbincangan lanjut dengan Sao Paulo dalam usaha mereka memuktamadkan perjanjian. Minggu lalu, Moura menegaskan bahawa beliau akan hanya memutuskan tentang masa depannya sebaik temasya sukan Olimpik berakhir. Sementara itu, Real Madrid telah dikaitkan dengan tawaran sebanyak 19 juta Pound untuk mendapatkan pemain sayap United, Nani. Masa depan pemain sayap Portugal itu di Old Trafford terus mencetuskan spekulasi apabila beliau diberitakan masih belum menandatangani kontrak baru. Jika usaha United mendapatkan Moura berhasil, ada kemungkinan Nani bakal meninggalkan Old Trafford musim panas ini, apatah lagi tiada jaminan tempat untuknya dalam kesebelasan utama selepas Antonio Valencia muncul pilihan utama mengisi posisi sayap kanan. Glory Glory Manchester United!!!
02 Ogos 2012
SPEKULASI PERPINDAHAN: UNITED DAN ARSENAL BERSAING DAPATKAN WANYAMA
Dua gergasi England, Manchester United dan Arsenal diberitakan sedang bersaing bagi mendapatkan tandatangan pemain tengah Glasgow Celtic, Victor Wanyama. Wanyama merupakan pemain serba boleh kerana selain boleh diletakkan di bahagian tengah, pemain antarabangsa Kenya itu juga boleh berfungsi di bahagian pertahanan. Penampilan Wanyama bersama Celtic dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara menentang Cadiz di Celtic Park, Khamis ini bakal dipantau penuh teliti oleh wakil kedua-dua kelab (United dan Arsenal). Pemain berusia 21 tahun itu muncul antara tonggak utama Celtic disebalik kejayaan kelab itu muncul juara Liga Perdana Scotland musim lalu. Wanyama menjadi perhatian United dan Arsenal selepas mempamerkan prestasi cemerlang biarpun baru semusim bersama Celtic selepas berpindah dari kelab Belgium Beerschot AC dengan nilai 900,000 Pound musim panas lalu. Bersama-sama Celtic, Wanyama sering diletakkan di posisi pertahanan tengah (centre back) biarpun dia sebenarnya lebih gemar bermain di posisi kegemarannya iaitu selaku pemain tengah bertahan (defensive midfielder). Wanyama menjaringkan gol pertamanya bersama Celtic menerusi jaringan cantik dari jarak 25 meter ketika menentang Hearts di Celtic Park pada 10 Disember lalu. Persembahan cemerlang pemain muda itu sepanjang bulan Disember membolehkan Wanyama dianugerahkan pemain terbaik bulanan Liga Perdana Scotland. Selain United dan Arsenal, satu lagi kelab Liga Perdana England, Queens Park Rangers turut dikatakan berminat mendapatkan khidmat Wanyama. Glory Glory Manchester United!!!
01 Ogos 2012
UNITED PERLUKAN `TENAGA' DI BAHAGIAN TENGAH
Selepas kegagalan di peringkat Eropah dan domestik musim lalu, kini timbul keraguan di kalangan penyokong Manchester United sama ada Sir Alex Ferguson akan diberikan dana yang cukup untuk membeli pemain baru musim panas ini. Langkah pemilik kelab untuk mengapungkan saham United di Bursa Saham New York terus mendapat perhatian di mana rancangan mereka (keluarga Glazer) telah menimbulkan kemarahan terbaru di kalangan penyokong-penyokong United. Timbul desas desus mengatakan hasil keuntungan dari penyenaraian itu akan digunakan untuk melunaskan hutang yang ditanggung keluarga Glazer, di mana hanya separuh keuntungan akan disalurkan kepada Ferguson manakala selebihnya masuk ke dalam poket Glazer. Walaupun Ferguson sering menegaskan bahawa pemilik kelab sentiasa menyokongnya dalam pasaran perpindahan pemain, namun kegagalan bersaing dengan pencabar lain seperti Chelsea dan Manchester City dalam mendapatkan pemain terbaik terus menimbulkan persoalan. United berjaya mengekalkan tempat mereka sebagai kelab terkaya di dunia namun mereka tewas dalam perebutan mendapatkan pemain-pemain yang menjadi sasaran sepanjang tiga musim terakhir seperti Samir Nasri, Karim Benzema dan Eden Hazard. Owen Hargreaves yang diharapkan mampu memberikan dimensi baru di bahagian tengah selepas persaraan Roy Keane tidak mampu bertahan lama apabila mengalami masalah kecederaan lutut yang serius. Meskipun berjaya memberikan impak pada musim pertamanya hingga berjaya membantu United menang Liga Juara-Juara pada 2008, bekas pemain Bayern Munich itu akhirnya terpaksa mengalah dengan masalah lututnya. Darren Fletcher secara perlahan-lahan berjaya memainkan peranan sebagai peneraju di bahagian tengah namun masalah jangkitan usus menyebabkan dia diketepikan sepanjang musim lalu hingga mungkin boleh menggugat kariernya. Musim lalu, United tampak terlalu bergantung kepada dua pemain veteran, Michael Carrick dan Paul Scholes di bahagian tengah, manakala Ryan Giggs yang sudah menjangkau usia 38 tahun kadangkala dijadikan alternatif mengisi posisi tersebut jika Scholes tidak diturunkan, menunjukkan lagi kekurangan yang ada dalam skuad The Red Devils.
![]() |
| Victor Wanyama (jersi belang) |
Kepulangan Tom Cleverley dari kecederaan diharapkan mampu memberikan lebih ransangan tetapi pemain berusia 22 tahun itu perlu lebih kreatif musim hadapan, manakala Anderson pula perlu lebih konsisten biarpun dia memang diakui seorang pemain tengah yang berbakat dan cukup rajin ketika di padang. Rekrut baru musim panas ini, Shinji Kagawa telah menunjukkan tanda-tanda dia boleh disandarkan harapan menjelang saingan musim hadapan apabila berjaya mempamerkan prestasi terpuji dalam perlawanan-perlawanan pra-musim United setakat ini. Kagawa memberikan harapan kepada penyokong-penyokong bahawa dia mampu menambah elemen tambahan kepada permainan menyerang United, tetapi kelab sebenarnya masih memerlukan seorang pemain yang boleh berperanan seperti Roy Keane atau Eric Cantona selaku jeneral di bahagian tengah. United kerap dikaitkan dengan Axel Witsel dari Benfica sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi tiada sebarang perbincangan lanjutan untuk membawa pemain tengah antarabangsa Belgium itu ke Old Trafford. Terdapat laporan mengatakan harga pemain itu menjangkau hingga 31 juta Pound, manakala Real Madrid juga dikatakan mula meningkatkan minat mereka terhadap Witsel. Terbaru muncul pula nama Victor Wanyama, pemain Glasgow Celtic yang dikaitkan dengan United. Wanyama dikatakan menjadi alternatif terbaru Ferguson memandangkan harga pemain itu yang lebih munasabah berbanding sasaran-sasaran sebelumnya seperti Lucas Moura dan Witsel. Pemain Kenya itu bagaimanapun tidak pernah bermain di peringkat tertinggi dan jika berhijrah ke Old Trafford, dia perlu menyesuaikan dirinya dengan kehidupan di Theatre of Dreams yang tentunya jauh berbeza dari Celtic Park. Ferguson boleh terus bercakap tentang pasaran perpindahan pemain yang semakin gila akibat nilai pemain yang melambung tinggi, tetapi sehingga United tidak berjaya mendapatkan pemain yang mampu memberikan `tenaga' dalam pasukan sepertimana yang pernah dilakukan Roy Keane, maka The Red Devils mungkin akan sekali lagi berada di belakang `jiran yang bising', Manchester City. Glory Glory Manchester United!!!
Langgan:
Catatan (Atom)









