Dua gergasi England, Manchester United dan Arsenal diberitakan sedang bersaing bagi mendapatkan tandatangan pemain tengah Glasgow Celtic, Victor Wanyama. Wanyama merupakan pemain serba boleh kerana selain boleh diletakkan di bahagian tengah, pemain antarabangsa Kenya itu juga boleh berfungsi di bahagian pertahanan. Penampilan Wanyama bersama Celtic dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara menentang Cadiz di Celtic Park, Khamis ini bakal dipantau penuh teliti oleh wakil kedua-dua kelab (United dan Arsenal). Pemain berusia 21 tahun itu muncul antara tonggak utama Celtic disebalik kejayaan kelab itu muncul juara Liga Perdana Scotland musim lalu. Wanyama menjadi perhatian United dan Arsenal selepas mempamerkan prestasi cemerlang biarpun baru semusim bersama Celtic selepas berpindah dari kelab Belgium Beerschot AC dengan nilai 900,000 Pound musim panas lalu. Bersama-sama Celtic, Wanyama sering diletakkan di posisi pertahanan tengah (centre back) biarpun dia sebenarnya lebih gemar bermain di posisi kegemarannya iaitu selaku pemain tengah bertahan (defensive midfielder). Wanyama menjaringkan gol pertamanya bersama Celtic menerusi jaringan cantik dari jarak 25 meter ketika menentang Hearts di Celtic Park pada 10 Disember lalu. Persembahan cemerlang pemain muda itu sepanjang bulan Disember membolehkan Wanyama dianugerahkan pemain terbaik bulanan Liga Perdana Scotland. Selain United dan Arsenal, satu lagi kelab Liga Perdana England, Queens Park Rangers turut dikatakan berminat mendapatkan khidmat Wanyama. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan