01 Ogos 2012

UNITED PERLUKAN `TENAGA' DI BAHAGIAN TENGAH


Selepas kegagalan di peringkat Eropah dan domestik musim lalu, kini timbul keraguan di kalangan penyokong Manchester United sama ada Sir Alex Ferguson akan diberikan dana yang cukup untuk membeli pemain baru musim panas ini. Langkah pemilik kelab untuk mengapungkan saham United di Bursa Saham New York terus mendapat perhatian di mana rancangan mereka (keluarga Glazer) telah menimbulkan kemarahan terbaru di kalangan penyokong-penyokong United. Timbul desas desus mengatakan hasil keuntungan dari penyenaraian itu akan digunakan untuk melunaskan hutang yang ditanggung keluarga Glazer, di mana hanya separuh keuntungan akan disalurkan kepada Ferguson manakala selebihnya masuk ke dalam poket Glazer. Walaupun Ferguson sering menegaskan bahawa pemilik kelab sentiasa menyokongnya dalam pasaran perpindahan pemain, namun kegagalan bersaing dengan pencabar lain seperti Chelsea dan Manchester City dalam mendapatkan pemain terbaik terus menimbulkan persoalan. United berjaya mengekalkan tempat mereka sebagai kelab terkaya di dunia namun mereka tewas dalam perebutan mendapatkan pemain-pemain yang menjadi sasaran sepanjang tiga musim terakhir seperti Samir Nasri, Karim Benzema dan Eden Hazard. Owen Hargreaves yang diharapkan mampu memberikan dimensi baru di bahagian tengah selepas persaraan Roy Keane tidak mampu bertahan lama apabila mengalami masalah kecederaan lutut yang serius. Meskipun berjaya memberikan impak pada musim pertamanya hingga berjaya membantu United menang Liga Juara-Juara pada 2008, bekas pemain Bayern Munich itu akhirnya terpaksa mengalah dengan masalah lututnya. Darren Fletcher secara perlahan-lahan berjaya memainkan peranan sebagai peneraju di bahagian tengah namun masalah jangkitan usus menyebabkan dia diketepikan sepanjang musim lalu hingga mungkin boleh menggugat kariernya. Musim lalu, United tampak terlalu bergantung kepada dua pemain veteran, Michael Carrick dan Paul Scholes di bahagian tengah, manakala Ryan Giggs yang sudah menjangkau usia 38 tahun kadangkala dijadikan alternatif mengisi posisi tersebut jika Scholes tidak diturunkan, menunjukkan lagi kekurangan yang ada dalam skuad The Red Devils.

Victor Wanyama (jersi belang)
Kepulangan Tom Cleverley dari kecederaan diharapkan mampu memberikan lebih ransangan tetapi pemain berusia 22 tahun itu perlu lebih kreatif musim hadapan, manakala Anderson pula perlu lebih konsisten biarpun dia memang diakui seorang pemain tengah yang berbakat dan cukup rajin ketika di padang. Rekrut baru musim panas ini, Shinji Kagawa telah menunjukkan tanda-tanda dia boleh disandarkan harapan menjelang saingan musim hadapan apabila berjaya mempamerkan prestasi terpuji dalam perlawanan-perlawanan pra-musim United setakat ini. Kagawa memberikan harapan kepada penyokong-penyokong bahawa dia mampu menambah elemen tambahan kepada permainan menyerang United, tetapi kelab sebenarnya masih memerlukan seorang pemain yang boleh berperanan seperti Roy Keane atau Eric Cantona selaku jeneral di bahagian tengah. United kerap dikaitkan dengan Axel Witsel dari Benfica sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi tiada sebarang perbincangan lanjutan untuk membawa pemain tengah antarabangsa Belgium itu ke Old Trafford. Terdapat laporan mengatakan harga pemain itu menjangkau hingga 31 juta Pound, manakala Real Madrid juga dikatakan mula meningkatkan minat mereka terhadap Witsel. Terbaru muncul pula nama Victor Wanyama, pemain Glasgow Celtic yang dikaitkan dengan United. Wanyama dikatakan menjadi alternatif terbaru Ferguson memandangkan harga pemain itu yang lebih munasabah berbanding sasaran-sasaran sebelumnya seperti Lucas Moura dan Witsel. Pemain Kenya itu bagaimanapun tidak pernah bermain di peringkat tertinggi dan jika berhijrah ke Old Trafford, dia perlu menyesuaikan dirinya dengan kehidupan di Theatre of Dreams yang tentunya jauh berbeza dari Celtic Park. Ferguson boleh terus bercakap tentang pasaran perpindahan pemain yang semakin gila akibat nilai pemain yang melambung tinggi, tetapi sehingga United tidak berjaya mendapatkan pemain yang mampu memberikan `tenaga' dalam pasukan sepertimana yang pernah dilakukan Roy Keane, maka The Red Devils mungkin akan sekali lagi berada di belakang `jiran yang bising', Manchester City. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan