19 Februari 2014

MENCARI 'VIDIC' DAN 'FERDINAND' SETERUSNYA

Nemanja Vidic sudah mengumumkan beliau akan meninggalkan Old Trafford hujung musim ini selepas bersama kelab selama lapan musim. Pengunduran Vidic saya jangkakan turut bakal disertai Rio Ferdinand yang juga rakan gandingannya di benteng pertahanan United. Vidic sudah sah akan meninggalkan kelab manakala masa depan Ferdinand pula masih menjadi tandatanya. Jika Ferdinand mengikut jejak langkah Vidic dengan menjadikan musim ini sebagai musim terakhirnya di Old Trafford, kelab akan kehilangan secara serentak dua pemain paling berpengaruh di barisan belakang. Walaupun sering dikritik sejak akhir-akhir ini, gandingan Vidic dan Ferdinand masih lagi saya anggap antara yang terbaik di Liga Perdana Inggeris. Mereka membuktikan mengapa gandingan mereka masih perlu dihormati apabila tenang mengemudi benteng pertahanan United ketika menangani asakan Arsenal di Stadium Emirates dalam perlawanan liga Khamis lalu. Permintaan gaji yang tinggi di samping sering dilanda kecederaan antara penyebab mengapa Vidic tidak ditawarkan kontrak baru, manakala Ferdinand pula sedang memutuskan kemungkinan mahu menggantung boot kerana kurang diberikan peluang tampil dalam kesebelasan utama United musim ini. Kehilangan dua pemain pertahanan berpengaruh serentak sudah tentu situasi yang cuba dielak oleh mana-mana pengurus atau jurulatih, tetapi saya yakin United memiliki barisan pemain pertahanan yang pada bila-bila masa boleh menggantikan tempat Vidic atau Ferdinand dalam satu-satu perlawanan. 

Bagaimanapun sepertimana yang pernah saya sebutkan sebelum ini, mengharapkan Jones atau Smalling sebagai rakan gandingan Evans sepanjang musim adalah satu perjudian besar, jadi Moyes perlu mendapatkan sekurang-kurangnya seorang pemain pertahanan tengah baharu musim panas nanti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Vidic dan Ferdinand. Anda boleh katakan apa saja tentang sumbangan Vidic dan Ferdinand musim ini, tetapi ketiadaan mereka nanti tetap saya anggap satu kehilangan yang besar buat kelab. Mereka adalah pemimpin sebenar dan ketiadaan dua pemain ini akan mengwujudkan ruang besar di benteng pertahanan United musim depan di mana Moyes perlu mengisinya dengan pengganti sesuai dan setaraf. Selama ini kelab sudahpun dikaitkan dengan beberapa nama besar sebagai pengganti berpotensi buat Vidic dan Ferdinand namun selepas pasaran perpindahan musim sejuk ditutup Moyes masih kekal dengan barisan belakang sedia ada yang diwarisinya dari Sir Alex Ferguson. Jika sebelum ini penyokong-penyokong lebih gemar bercakap tentang siapa yang akan dibeli Moyes bagi menguatkan jentera tengah, pengumuman Vidic bahawa ini adalah musim terakhirnya bersama kelab menyebabkan tumpuan (penyokong-penyokong) beralih ke barisan belakang dan mereka mula bercakap siapa paling layak mengisi ruang kosong yang ditinggalkan Vidic dan Ferdinand nanti. Ezequiel Garay merupakan nama paling lama dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford namun hingga sekarang masih belum menjadi kenyataan dan sudah tentu saya meletakkan warga Argentina yang bermain untuk Benfica ini di tangga teratas pertahanan yang mungkin di buru Moyes nanti. Selain Garay ada beberapa pemain pertahanan lagi yang dikatakan cukup berpotensi menyarung jersi United musim depan. Berikut adalah calon-calon yang saya fikirkan berkemungkinan besar diburu Moyes bagi menggantikan tempat Vidic dan Ferdinand musim depan:

Ezequiel Garay

Pada usia 27 tahun, tidak syak lagi bahawa Garay adalah pemain pertahanan yang matang dan cukup berpengalaman baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Sepanjang dua tahun terakhir, nama Garay sering dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford tetapi entah apa sebabnya kelibat bintang Argentina itu masih belum mampu kita saksikan di Theatre of Dreams. Dengan ketinggian 1.9m, Garay memiliki fizikal lengkap sebagai pemain pertahanan tengah dan seperti juga Vidic, dia cukup kuat ketika situasi perebutan bola di udara. Bukan sekadar memiliki kualiti bertahan yang bagus, Garay juga dikenali kerana kemampuannya membuka permainan dalam situasi offensive menerusi kawalan bolanya yang menarik. Selepas terpaksa bergelut merebut tempat dalam kesebelasan utama Real Madrid sepanjang tiga musim di Santiago Bernabeu (2008-2011), Garay bangkit kembali membuktikan bahawa dia antara pemain pertahanan tengah terbaik di dunia ketika ini sebaik berpindah ke Benfica. Selain bagus ketika bersama kelab, Garay juga pilihan utama Alejandro Sabella membarisi benteng pertahanan tengah Argentina bersama Federico Fernadez. Saya tidak tahu adakah United masih berminat membawa pemain ini beraksi di England, tetapi dengan segala kualiti dan kemampuan yang dimilikinya, Garay adalah pemain setaraf dan sesuai untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Vidic atau Ferdinand.

Dante

Bukan rahsia lagi bahawa selain Toni Kroos, Dante juga antara pemain Bayern Munich yang menarik minat Moyes. Menyertai Bayern dari Borussia Monchengladbach dua tahun lalu dengan nilai perpindahan hanya €4.7 juta, warga Brazil ini muncul watak utama di benteng pertahanan Bayern di sebalik kejayaan skuad kendalian Jupp Heynkes meraih empat kejuaraan besar musim lalu. Pada usia 30 tahun, Dante merupakan pemain yang cukup berpengalaman untuk memimpin barisan pertahanan United tetapi dia bukanlah pengganti jangka panjang buat Vidic mahupun Ferdinand. Saya tidak fikir kelab perlu membelanjakan sehingga €17 juta untuk mendapatkan seorang pemain sudah berumur seperti Dante. Jika Moyes ingin melakar rancangan jangka pendek dengan mendapatkan seorang pemain pertahanan berpengalaman bagi menampung kekosongan yang ditinggalkan Vidic dan Ferdinand, Dante adalah jawapannya. Kontrak Dante bersama Bayern akan berakhir pada 2016 dan perpindahan pemain ini ke England boleh direalisasikan jika dia inginkan gaji lebih tinggi berbanding apa yang diterimanya sekarang. Dante sudahpun mengumumkan bahawa dia gembira berada di Allianz Arena di samping berdepan prospek melalui musim-musim gemilang di bawah kendalian Pep Guardiola selepas ini. Tidak keterlaluan juga jika saya katakan bahawa status Bayern sekarang meletakkan mereka sebagai kelab utama Eropah, mungkin mengatasi Real Madrid, Barcelona dan United sendiri. Jadi adakah Dante memiliki kekuatan untuk meninggalkan kelab terbaik di Eropah semata-mata mahu menyertai kelab yang sedang bergelut dalam saingan domestik dan mungkin sekadar beraksi di Liga Europa musim depan?

Eliaquim Mangala

Baru berusia 22 tahun tetapi Mangala sudahpun diiktiraf antara pemain pertahanan terbaik di Eropah ketika ini. Selain Garay, Mangala juga antara pemain pertahanan yang kerap dikaitkan dengan minat United kerana kemampuan yang sudah ditunjukannya bersama FC Porto. Kelmarin Moyes dikhabarkan menghantar skuad pemantaunya ke Portugal bagi menyaksikan aksi pertahanan ini ketika pasukannya berdepan Gil Vincente dalam saingan di Premeira Liga. Minat yang ditunjukkan Moyes terhadap Mangala (jika benar) tidak menghairankan saya kerana pemain pertahanan ini sudah digembar-gemburkan berada dalam radar buruan kelab sejak era Sir Alex Ferguson lagi. Bukan sahaja memiliki ketinggian hampir sama dengan Vidic, corak permainan Mangala juga mirip dengan lagenda United itu selain antara pemain pertahanan yang perlu diberikan perhatian ketika berada di kawasan penalti lawan. Dua gol dari 15 penampilan liga saya kira satu statistik cukup bagus buat seorang pemain pertahanan. Dengan perkhabaran bahawa Manchester City juga meletakkan pemain ini dalam radar mereka, tugas Moyes membawa Mangala ke Old Trafford cukup sukar tambahan pula dengan reputasi Porto sendiri yang kerap menjual pemain mereka dengan harga tinggi.

Mats Hummels

Tidak dinafikan bahawa gandingan Mats Hummels dan Neven Subotic akan menjadi aset berharga di bahagian pertahanan buat mana-mana kelab besar Eropah. Gandingannya bersama Subotic menyaksikan Borussia Dortmund mencipta rekod baru Bundesliga musim 2010-11 sebagai kelab paling kurang dibolosi (22 gol) dalam semusim. Pada usia 25 tahun, Hummels sedang memasuki gerbang puncak kariernya sebagai pemain apabila muncul tonggak pertahanan bersama kelab dan juga skuad kebangsaan Jerman. Hummels juga dikenali sebagai pemain serba boleh kerana selain mampu mengemudi benteng tengah, pemain ini juga boleh diletakkan sebagai pemain tengah bertahan (defensive midfielder). Tidak dinafikan bahawa Hummels antara pemain pertahanan yang saya impikan akan menyarung jersi United satu hari nanti. Bagaimanapun kita perlu sedar bahawa bukan mudah mahu mendapatkan pemain Jerman dengan kualiti seperti Hummels, tambahan pula reputasi Bayern Munich sendiri selaku gergasi domestik yang gemar mengumpul pemain-pemain terbaik negara itu dalam skuad mereka. United ketika di bawah kendalian Sir Alex dikhabarkan pernah cuba mendapatkan Hummels pada Januari tahun lalu namun Dortmund yang sudah melepaskan Shinji Kagawa tujuh bulan sebelum itu tidak bersedia kehilangan seorang lagi bintang mereka kepada kelab yang sama. Dengan perkhabaran bahawa Jurgen Klopp cuba membawa kembali Kagawa ke Signal Iduna Park, apakah akan berlaku plan pertukaran pemain membabitkan kedua-dua kelab ini pada musim panas nanti?

Mehdi Benatia

Moyes pernah diberitakan cuba mendapatkan Benatia ketika dia masih bersama Udinese musim panas lalu namun tindakan perlahan beliau di pasaran perpindahan pemain menyebabkan AS Roma berjaya menyambar pemain antarabangsa Maghribi ini. Tidak dinafikan penghijrahannya ke AS Roma menjadikan Benatia pemain yang lebih bagus dan antara pertahanan paling cemerlang di Serie A. Sebagai pemain pertahanan, Benatia tidak bersandarkan semata-mata kepada kekuatan merebut bola dan melakukan terjahan tetapi dia juga memiliki kualiti hantaran yang bagus sekaligus mengingatkan saya kepada tempoh-tempoh gemilang Ferdinand bersama kelab. Bukan hanya sekadar beroperasi di kawasan sendiri, Benatia juga memiliki naluri pembunuh ketika berada di kawasan bahaya lawan. Buktinya musim ini Benatia bukan sahaja memiliki reputasi 'kejam' di benteng pertahanan Roma tetapi dia juga sudah menghasilkan lima gol dari 25 perlawanan untuk skuad kendalian Rudi Garcia itu. Satu statistik mengagumkan buat seorang pemain pertahanan yang beraksi di Serie A, liga di mana kelab-kelabnya meletakkan kualiti di barisan belakang sebagai asas penting kekuatan mereka. Saya tidak yakin Roma sedia melepaskan tonggak pertahanan mereka ini apatah lagi jika mereka beraksi di Liga Juara-Juara musim depan, jadi sebarang usaha Moyes memancing pemain ini bolehlah saya anggap sebagai hanya membuang masa.

Selain lima pemain yang saya senaraikan di atas ada beberapa pemain pertahanan muda atau lebih tepatnya pengganti jangka panjang kepada Vidic dan Ferdinand yang diberitakan sedang diperhatikan pencari bakat United. Fabian Schar (FC Basel) umpamanya baru berusia 22 tahun, diiktiraf antara pemain muda berbakat di Eropah. Selain Mohammed Salah (kini berhijrah ke Chelsea), Schar juga antara bintang paling menyinar buat kelab dari Switzerland itu. Di Bundesliga, Kyriakos Papadopoulos juga sudah mula menarik perhatian kelab-kelab utama Eropah hasil penampilan cemerlangnya bersama Schalke 04. Papadopoulos dikatakan 'cermin' kepada Vidic kerana memiliki kekuatan fizikal ketika menyekat gerakan penyerang lawan. Liverpool hampir sahaja menandatangani pemain ini musim panas lalu namun hasrat The Reds terbantut kerana Papadopoulos mengalami kecederaan lutut. Begitu juga dengan Jonathan Tah yang beraksi untuk Hamburg SV. Pada usia hanya 17 tahun, Tah sudahpun berjaya menembusi skuad utama Hamburg dan disebut-sebut sebagai prospek masa depan pertahanan Jerman. Aymeric Laporte pemuda Perancis yang memulakan kariernya bersama akademi Baskonia milik Athletic Bilbao turut mencuri perhatian. Pada usia hanya 19 tahun, Laporte sudah mula menarik minat kelab-kelab kelas atas Eropah hasil penampilan cemerlangnya bersama Bilbao. United juga tidak terkecuali kerana diberitakan sudah beberapa kali Moyes menghantar pencari bakatnya untuk meninjau aksi remaja ini di La Liga. Inigo Martinez juga tidak kurang hebatnya hasil penampilan cemerlang bersama Real Sociedad. Walaupun sekadar memiliki ketinggian 1.81m, agak mengejutkan melihat kekuatan Martinez dalam situasi perebutan bola di udara. Barca dan Manchester City antara kelab yang dikatakan berminat membawa pemain ini keluar dari San Sebastian jadi bukanlah satu tugas mudah juga untuk mendaratkan pemain ini di Old Trafford. 

Vidic dan Ferdinand adalah ikon pertahanan United, menguasai barisan belakang selama hampir lapan musim dan sudah membentuk kombinasi terbaik pernah disaksikan sejak berakhirnya era Steve Bruce dan Gary Pallister, jadi sudah tentu kehilangan mereka nanti amat dirasai. Pemain manapun yang didatangkan sebagai pengganti, saya hanya mengharapkan mereka mampu mengisi ruang kosong yang ditinggalkan dua lagenda ini. Tidak semestinya pemain memiliki reputasi besar dengan harga yang tinggi perlu diburu Moyes bagi menguatkan barisan belakang United musim depan kerana Sir Alex sudah membuktikannya ketika beliau menandatangani Vidic dari Spartak Moscow lapan tahun lalu. Saya yakin tidak ramai penyokong-penyokong United mengenali Vidic sebelum Sir Alex mendapatkan tandatangannya. Tetapi dengan nilai hanya £7 juta yang dibelanjakan, Vidic membuktikan bahawa pelaburan yang dilakukan ke atasnya jauh dari berbaloi. Adakah salah seorang pemain yang saya sebutkan di atas akan menyarung jersi United musim depan atau ada pemain lain yang Moyes fikirkan sesuai untuk menggantikan tempat Vidic dan Ferdinand? Jika Moyes masih kekal di kerusi pengurus musim panas ini, saya berharap beliau tidak melakukan kesilapan sama seperti yang dilakukannya sepanjang tempoh perpindahan pemain musim panas lalu. Mencari pengganti Vidic dan Ferdinand bukan tugas mudah, jadi saya berharap Moyes juga memiliki naluri setajam Sir Alex dalam mengesan bakat-bakat paling sesuai untuk diletakkan sebagai pengganti dua lagenda pertahanan ini. Paling penting bukan sebanyak mana wang yang dibelanjakan tetapi kualiti dan sumbangan yang mampu diberikan pemain terhadap kelab. Dengan hanya membelanjakan wang sebanyak £7 juta, Sir Alex berjaya menjadikan Vidic seorang lagenda kelab dan kini tugas berat menanti Moyes untuk mencari 'Vidic' dan 'Ferdinand' seterusnya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

11 Februari 2014

MOYES...PILIHAN TEPAT ATAU SATU KESILAPAN?




Berdepan Fulham, United hanya mampu seri di Old Trafford. Jika anda berpuas hati dengan keputusan 2-2 yang dicapai ketika berdepan Fulham semalam terutamanya selepas melihat statistik menarik yang dicipta United, saya pula berpendapat sebaliknya. Anda boleh berikan alasan bahawa United bermain cukup baik walaupun sekadar memungut satu mata dengan menjadikan statistik selepas perlawanan sebagai rujukan. Ya memang benar United menguasai segenap penjuru padang cuma di akhir perlawanan mereka tidak bernasib baik apabila Darren Bent menyamakan kedudukan pada saat akhir perlawanan. Dalam situasi di mana pemain sendiri meletakkan sasaran untuk berada di kelompok empat teratas penghujung musim nanti, satu mata yang diraih semalam adalah keputusan yang cukup mengecewakan apatah lagi United bermain di gelanggang sendiri. Tolak ketepi segala statistik perlawanan yang menyebelahi United kerana yang penting buat kelab ialah meraih tiga mata demi mengejar slot beraksi di Liga Juara-Juara musim depan. Saya pernah sebutkan sebelum ini bahawa Liga Europa bukanlah pentas sebenar buat kelab besar seperti United dan kedudukan tangga ke-7 seolah-olah jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Fulham sebelum kunjungan mereka ke Old Trafford tidak pernah menang dalam tiga perlawanan liga terakhir mereka termasuk tewas 0-3 kepada Southampton di gelanggang sendiri minggu lalu. Jadi sekali lagi saya katakan bahawa kita tidak sepatutnya sekadar berpuashati melihat statistik perlawanan sedangkan peluang beraksi di gelanggang sendiri sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk meraih tiga mata penuh. Melihat statistik memang menggerunkan di mana kubu The Cottagers dihujani dengan 81 hantaran lintang dari kedua-dua sayap kanan dan kiri United sepanjang 90 minit permainan sedangkan lawan hanya mampu mencipta 4 hantaran dari sebelah tepi. Jadi mengapa United masih gagal meraih kemenangan sedangkan mereka menguasai perlawanan secara total?

Pengurus Fulham, Rene Meulensteen sudahpun memberikan jawapan kepada soalan ini ketika diwawancara selepas tamat perlawanan. Permainan United mudah dibaca, tiada kelainan ketika menyerang dengan terlalu bersandar kepada hantaran-hantaran lintang dari sebelah kanan dan kiri. Untuk mematahkan gerakan-gerakan United dari sebelah tepi, Meulensteen hanya perlu meletakkan barisan pemainnya di kawasan petak penalti manakala Martin Stekelenburg pula perlu memastikan dia tidak terkeluar dari posisinya. Mudah bukan taktikal yang digunakan Meulensteen? Jangan salahkah corak bertahan yang diamalkan Fulham kerana mana-mana pasukan pun akan melakukan perkara yang sama jika beraksi di gelanggang lawan, apatah lagi jika mereka sedang mendahului. Moyes menggunakan formasi tradisi 4-4-1-1, meletakkan Michael Carrick dan Darren Fletcher di tengah manakala pembelian bernilai £37 juta (Juan Mata) bergerak di sebelah kanan serta Ashley Young di sebelah kiri. Memang jelas bahawa Moyes sejak mula lagi mahu United menggunakan kedua-dua bahagian sayap ketika menyerang sambil meletakkan Robin Van Persie dan Wayne Rooney selaku penggempur. Tiada salahnya dengan formasi ini cuma keputusan Moyes menggunakan Mata sebagai sayap kanan agak mengecewakan sedangkan kita tahu bekas pemain Chelsea itu lebih berkesan sebagai perancang di bahagian tengah. Formasi sama (4-4-1-1) juga digunakan Moyes ketika United tewas kepada Stoke City minggu lalu (meletakkan Mata di sebelah kanan dan Young di sebelah kiri), jadi tidak hairanlah mengapa ada pihak melabelkan Moyes sebagai terlalu konservatif.

Selepas kegagalan di Stadium Britannia, saya dan mungkin anda juga tertanya-tanya mengapakan Moyes begitu cenderung untuk terus menggunakan formasi tradisi ini sedangkan Meulensteen dan barisan pemain-pemainnya sepatutnya diberikan kejutan menerusi perubahan taktikal dan formasi permainan. Meulensteen kenal benar dengan karakter dan keupayaan sebahagian besar pemain-pemain United kecuali Mata, jadi agak merugikan apabila Moyes tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan pemain itu sebagai elemen kejutan. Pemilihan pemain seperti biasa sudah boleh dijangka kerana sepertimana minggu lalu, Moyes nampaknya lebih gemar memberikan peluang buat Ashley Young terus beraksi di sebelah kiri. Selepas melihat anak-anak buahnya bergelut memecah benteng pelawat, barulah beliau melakukan perubahan dengan membawa masuk Adnan Januzaj dan Antonio Valencia manakala Mata pula 'ditolak' ke bahagian tengah. Perubahan taktikal yang dilakukan Moyes akhirnya memberikan hasil apabila gol penyamaan berjaya dijaringkan Van Persie (minit ke-78) sebelum dua minit kemudian Carrick pula meletakkan United di hadapan. Dengan adanya Mata manakala Van Persie dan Rooney pula kembali cergas, sudah tibalah saatnya di mana Moyes sepatutnya lebih berani melakukan perubahan kepada formasi pemain serta mempelbagaikan taktikal permainan. Saya ingin benar melihat Rooney, Januzaj dan Mata diletakkan sebaris di belakang Van Persie manakala Carrick serta Fletcher bergerak di belakang trio ini dalam formasi 4-2-3-1. Bagaimanapun dalam masa yang sama saya juga kurang pasti adakah Moyes memiliki cukup keberanian untuk melakukan perubahan ini daripada terus cenderung menggunakan formasi tradisi 4-4-1-1. Dalam situasi sekarang Moyes harus berani melakukan perjudian dengan meletakkan prinsip di tempat kedua kerana sebarang keputusan buruk yang dicapai kelab pada perlawanan-perlawanan berikutnya akan hanya menyebabkan jawatannya berada dalam kedudukan bahaya.

Saya tidak yakin pihak pengurusan masih mampu bersabar jika kedudukan United terus terperosok ke tangga lebih bawah, manakala kebanyakkan penyokong-penyokong pula sudah lama hilang sabar. Sudah kerap kali dilaungkan bahawa Moyes perlu diberikan masa dan peluang untuk membentuk permainan United mengikut acuannya sendiri tetapi prestasi barisan pemain-pemainnya di Stadium Britannia minggu lalu dan di gelanggang sendiri semalam sukar untuk saya terima. Satu mata dari dua perlawanan terakhir menentang kelab kelas pertengahan seperti Stoke City dan Fulham yang kini berada di dasar liga pada pandangan saya adalah satu kegagalan serius. Jika anda mengatakan Moyes mewarisi skuad pincang dengan kebanyakkan pemain sudah berada di penghujung karier saya berpendapat sebaliknya. Barisan United musim ini saya yakini bukanlah terlalu teruk untuk kita labelkan sebagai pincang kerana saya masih percaya dengan senarai pemain yang ada di tangan Moyes, United sepatutnya berada pada kedudukan lebih baik berbanding sekarang. Moyes bukan saja perlu berani melakukan perubahan pada formasi dan taktikal permainan United tetapi beliau juga perlu berani melakukan perubahan pada kesebelasan utama dalam satu-satu perlawanan. Saya tidak nafikan Patrice Evra masih lagi bek kiri terbaik yang dimiliki kelab tetapi prestasinya semalam jelas agak mengecewakan. Kedua-dua gol pelawat yang dijaringkan Steve Sidwell dan Darren Bent berpunca dari kealpaan dan kelewataan Evra menutup ruang hingga menyebabkan dua gol itu terhasil. Dengan usia yang sudah menjangkau 32 tahun Evra sudah hilang kepantasan dan saya fikir mungkin sudah tiba masanya untuk Evra tidak lagi dibebani dengan aksi setiap minggu.

Jika perlawanan semalam dijadikan kayu ukur, Moyes sepatutnya sudah punya senarai pemain mana yang patut di letakkan dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Evra pada perlawanan menentang Arsenal nanti. Jika diambilkira situasi semasa, tiada apa yang saya harapkan ketika Moyes membawa barisan pemainnya ke Stadium Emirates Khamis ini. Jika anda beranggapan inilah masa terbaik untuk berdepan Arsenal hanya disebabkan mereka mengalami kejutan besar akibat tragedi Anfield (tewas 1-5 kepada Liverpool), anda sebenarnya silap. Arsenal bersama tiga lagi pasukan (Chelsea, Man City dan Liverpool) sedang bersaing merebut kejuaraan liga, jadi Arsene Wenger tidak boleh melihat skuadnya tewas buat kali kedua dalam tempoh lima hari ataupun sekadar mencatat keputusan seri ketika berdepan United. Mereka sebolehnya akan berusaha mencari kemenangan, maka atas sebab itulah saya katakan bahawa ini bukan waktu terbaik untuk berdepan The Gunners. Menang, seri atau tewas Khamis nanti tidak akan mengubah kedudukan United dalam carta liga. Jika kejutan berlaku dan Arsenal berjaya ditewaskan, saya sekurang-kurangnya masih boleh memasang impian untuk melihat United beraksi di Liga Juara-Juara musim depan. Jika seri atau tewas pula, saya sepatutnya sudah boleh melupakan terus segala impian ingin menyaksikan United berada di kelompok empat teratas sebaik musim 2013-14 berakhir. Artikel kali ini bukan bertujuan mahu menghentam Moyes kerana saya bukanlah anti individu yang menggantikan Sir Alex Ferguson itu. Sir Alex memilih Moyes sebagai penggantinya tetapi itu bukan bermakna bekas pengurus Everton itu individu yang sempurna.

Sir Alex walaupun sudah menghadiahkan deretan kejuaraan untuk kelab tetap bukan seorang individu yang sempurna. Mungkin juga pemilihan Moyes satu kesilapan, mungkin juga tidak, tetapi sejak tiba di Old Trafford Jun lalu sudah banyak kesilapan yang dilakukan Moyes ketika mengendalikan kelab. Saya meminati United bukan disebabkan Sir Alex atau deretan trofi yang dihadiahkan beliau sepanjang mengendalikan kelab kerana saya sudah mula jatuh cinta kepada United ketika Liverpool masih lagi kuasa dominan bolasepak England. Tiada masalah buat saya menerima hakikat jika United gagal memenangi sebarang trofi selama empat atau lima musim sekalipun, cuma apa yang saya mahukan ialah kelab seperti Manchester United lebih dihormati pesaing-pesaing mereka, bukan seperti sekarang. Saya tidak ambil peduli jika pengurus kelab-belab besar seperti Jose Mourinho, Arsene Wenger atau Manuel Pellegrini memperlekehkan kemampuan United, tetapi jika pengurus seperti Gustavo Poyet sudah berani buka mulut itu tandanya kelab bawahan seperti Sunderland pun sudah tidak lagi menghormati The Red Devils. Seperti yang saya katakan tadi pemilihan Moyes mungkin satu kesilapan, mungkin juga tidak. Jika pemilihan Moyes satu kesilapan saya berharap pihak pengurusan tidak perlu menunggu masa terlalu lama untuk mencari pengganti lebih berkaliber dan membiarkan 'kerosakan' lebih besar berlaku. Jika memang benar Moyes pengganti paling tepat untuk jawatan pengurus United, masa dan peluang patut diberikan kepada beliau sepertimana yang pernah diberikan kepada Sir Alex walaupun kita mungkin terpaksa melihat United tidak beraksi di Liga Juara-Juara musim depan. Saya amat tertarik dengan kata-kata Shebby Singh dalam rancangan Formasi Ekstra beberapa hari lalu bahawa kesilapan paling besar dilakukan Moyes ialah menerima jawatan pengurus Manchester United. Benarkah begitu? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

09 Februari 2014

BERAKHIRNYA SEBUAH ERA


Teka teki tentang masa depan Nemanja Vidic akhirnya terjawab apabila pemain itu mengumumkan bahawa musim 2013-14 adalah musim terakhirnya di Old Trafford. Tiadanya sebarang pertemuan bagi membincangkan lanjutan kontrak yang dilakukan kedua-dua pihak (pihak pengurusan United dan agen Vidic) menyebabkan spekulasi tentang masa depan bintang antarabangsa Serbia itu di Old Trafford mula dibahaskan sejak penghujung tahun lalu lagi. Seperti yang anda tahu, kontrak Vidic akan berakhir Jun nanti, jadi pengumuman Vidic bahawa ini adalah musim terakhirnya di Old Trafford yang disiarkan menerusi laman rasmi kelab (manutd.com) menamatkan segala teka-teki berhubung masa depan bintang pertahanan itu. Bagi penyokong-penyokong yang meminati gaya permainan keras Vidic, anda bolehlah menggunakan baki saingan musim ini untuk menikmati sepuas-puasnya aksi pemain ini dengan jersi merah The Red Devils kerana mulai musim depan tiada lagi kelibat sang kapten mengetuai benteng pertahanan United di atas padang. Selama lapan musim di Old Trafford, Vidic dan Rio Ferdinand membentuk gandingan ampuh di benteng pertahanan United hingga pernah diiktiraf antara pasangan pertahanan tengah terbaik di dunia. Lapan musim, 15 trofi kejuaraan, 284 penampilan dan 19 gol yang dijaringkannya sudah cukup menggambar betapa besarnya sumbangan Vidic kepada kelab. Dan selepas lapan musim menyaksikan Vidic mengetuai benteng pertahanan dengan gaya permainan kerasnya, kita akhirnya terpaksa mengakui bahawa zaman kegemilangan 'Penyembelih Balkan' itu di Old Trafford sudahpun berakhir.

Mungkin juga selepas menyedari bahawa rombakan besar-besaran bakal dilakukan David Moyes musim depan, Vidic mengambil keputusan mencari haluan dan cabaran baru dengan Itali disebut-sebut sebagai destinasi seterusnya yang bakal dituju Vidic. Vidic ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Spartak Moscow pada Januari 2006 melibatkan nilai perpindahan berjumlah £7 juta, melakukan penampilan sulung pada 25 Januari selaku pemain gantian pada perlawanan menentang Blackburn Rovers dalam saingan Piala Liga 2006. Kelibat Vidic bersama Spartak Moscow menarik minat Sir Alex yang ketika itu sedang mencari pasangan sesuai buat Rio Ferdinand di benteng pertahanan tengah dan biarpun Fiorentina turut cuba bersaing mendapatkan khidmatnya, Vidic akhirnya tidak mampu menolak tarikan yang ada pada United selaku kelab besar dengan memilih Old Trafford sebagai destinasi seterusnya. Selepas lapan musim menabur bakti bersama kelab, perkhabaran bahawa musim ini adalah musim terakhir Vidic di Old Trafford merupakan satu berita yang menyedihkan. Sepanjang lapan musim mana mungkin kita boleh melupakan terjahan-terjahan kerasnya ke atas penyerang lawan, kelantangannya memberikan arahan kepada rakan ketika menyusun benteng pertahanan, aksi-aksinya di udara bagi menyambut hantaran rakan dalam situasi bola mati dan sudah tentu perseteruan epiknya dengan Didier Drogba akan dikenang sampai bila-bila. Pada usia 32 tahun, Vidic sebenarnya pada pandangan saya masih mampu memberikan sumbangan besar kepada benteng pertahanan biarpun dalam tempoh dua musim terakhir beliau terpaksa berjuang dengan kecederaan lutut yang berulang-ulang.

Saya sebenarnya masih menaruh harapan agar Vidic mampu mengembalikan semula prestasi terbaiknya tetapi berita ini (Vidic akan meninggalkan kelab) menamatkan segala impian saya yang mahu melihat beliau menamatkan kariernya di Old Trafford. Keputusan Vidic mahu meninggalkan kelab menyebabkan timbul persoalan tentang masa depan dua lagi pemain yang pernah memberikan pengaruh besar di bahagian belakang. Dua pemain yang saya maksudkan ialah Patrice Evra dan Rio Ferdinand. Ferdinand di bawah kendalian Moyes sudah jarang mendapat peluang tampil dalam kesebelasan utama malah ada khabar mengatakan hubungan mereka berdua kini semakin tegang. Ferdinand sepertimana beberapa musim terakhir sering dihantui dengan masalah kecederaan hingga membataskan penampilannya bersama skuad utama dan saya yakin sama seperti Vidic, musim  ini juga akan menjadi musim terakhir beliau menyarung jersi United. Evra pula meskipun sudah menjangkau usia 32 tahun, tetapi masih lagi terus dibebani dengan tugas mengawal bahagian sebelah kiri benteng pertahanan dan antara pemain senior United yang hampir setiap minggu dikerah beraksi. United ketika di bawah kendalian Sir Alex sudah beberapa kali cuba merekrut pemain-pemain muda sebagai pengganti jangka panjang Evra namun sehingga kini baik Fabio da Silva mahupun Alexander Buttner nampaknya belum sedia mengisi kekosongan di bahagian kiri pertahanan jika warga Perancis itu meninggalkan Old Trafford. Vidic, Ferdinand dan Evra sudah membentuk gandingan di bahagian belakang kelab selama lapan musim dengan kemuncak kegemilangan trio ini ialah pada musim 2007-08 di mana mereka berjaya membantu kelab menjulang trofi Liga Juara-Juara. Penghijrahan, pengunduran atau persaraan salah seorang dari mereka bolehlah saya anggap sebagai berakhirnya era penuh gemilang trio ini di Old Trafford.

Pengumuman Vidic mungkin satu tamparan buat Moyes kerana ramai pihak menjangkakan bintang Serbia itu akan kekal di Old Trafford sekurang-kurang untuk tempoh semusim lagi. Perginya Vidic akan meninggalkan ruang besar di benteng pertahanan ketika masa depan Ferdinand dan Evra juga sudah mula dibahaskan pemerhati bolasepak dan penyokong-penyokong United sendiri. Jika pengunduran Vidic dituruti kemudiannya oleh Ferdinand dan Evra, ini bermakna sudah tibalah masanya buat generasi baru diketuai Jonny Evans, Chris Smalling, Phil Jones, Michael Keane, kembar Rafa dan Fabio serta mungkin juga Tom Thorpe mengisi kekosongan yang ditinggalkan trio lagenda ini. Pemergian Vidic juga saya yakin akan memaksa Moyes membabitkan diri dengan lebih serius sepanjang pasaran perpindahan musim panas nanti dengan keutamaan harus diberikan bagi mencari pemain yang mampu menggantikan tempat Vidic dan Ferdinand selaku pemimpin di benteng pertahanan. Bukan mudah menggantikan seorang pemain yang memiliki kualiti seperti Vidic dan Ferdinand kerana kelab sebenarnya bukan sahaja kehilangan khidmat mereka tetapi dalam masa yang sama hilang sentuhan seorang pemimpin di atas padang. Jadi sudah pasti juga bukan tugas mudah buat Moyes mencari pengganti kedua-dua mereka sepanjang musim panas nanti kerana hanya Evans satu-satunya pertahanan tengah berpengalaman yang dimiliki Moyes, manakala Jones dan Smalling pula memerlukan beberapa musim lagi sebelum muncul pemain yang lebih matang.

Sejak ditandatangani dari Spartak Moscow lapan tahun lalu, Vidic adalah jantung pertahanan United dan masih lagi saya anggap pemain tonggak kelab serta antara pertahanan tengah terbaik dunia, jadi tidak hairanlah mengapa kelab besar seperti Inter Milan diberitakan paling serius memburu khidmatnya. Selepas berakhirnya era Steve Bruce/Gary Pallister, kita terpaksa menunggu beberapa tahun hinggalah munculnya gandingan Vidic/Ferdinand. Saya akui bahawa Jaap Stam antara pertahanan tengah terbaik pernah beraksi untuk United namun agak malang beliau hanya sempat menyarung jersi kelab selama tiga musim sebelum konfrontasi dengan Sir Alex mengakibatkan pertahanan Belanda itu 'dipaksa' meninggalkan Old Trafford pada 2001. Dalam tempoh tiga musim Stam juga sering bertukar-tukar pasangan di benteng tengah bersama Ronny Johnsen, Mikel Silvestre (Silvestre juga boleh bermain sebagai bek kiri), Henning Berg dan juga Wes Brown. Penantian sejak sekian lama untuk melihat kembali bayangan gandingan Bruce/Pallister berakhir apabila Sir Alex akhirnya berjaya menemui pasangan sesuai buat Ferdinand dengan kehadiran Vidic pada Januari 2006. Walaupun pada mulanya ramai meragui keputusan Sir Alex menandatangani Vidic, pengkritik akhirnya terpaksa menelan semula segala kritikan mereka apabila pertahanan itu pantas menyesuaikan diri dengan kehidupan dan corak bolasepak Inggeris untuk membentuk kombinasi ampuh bersama Ferdinand di benteng tengah United selama lapan musim. Sudah tentu kita tidak akan dapat menyaksikan lagi gandingan Vidic/Ferdinand mengawal benteng pertahanan United musim depan sebaik sahaja beliau (Vidic) mengesahkan bahawa ini adalah musim terakhirnya bersama kelab.

Ketika Vidic sudah mengesahkan masa depannya, Ferdinand pula masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan tetapi saya yakin beliau juga akan mengikut jejak Vidic. Cuma apa yang menjadi tandatanya sekarang ialah sama ada Ferdinand memilih persaraan sebagai jalan keluar atau kembali semula ke pangkuan bekas kelab yang pernah mencungkil bakatnya iaitu West Ham. Pengumuman yang dilakukan Vidic turut menandakan bahawa berakhirlah era lapan musim beliau membentuk gandingan kebalnya bersama Ferdinand di barisan belakang United. Persoalannya sekarang mampukah pemain generasi baru seperti Evans, Jones dan Smalling mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Vidic dan (kemungkinan besar juga Ferdinand)? Jika anda tanyakan soalan ini kepada saya, sudah tentu jawapan saya ialah “Ya” tetapi dengan syarat musim panas nanti Moyes perlu mendapatkan seorang pertahanan kelas dunia sebgai pemimpin dan pengganti kekosongan yang ditinggalkan Vidic. Evans pemain pertahanan yang bagus tetapi tiada jaminan beliau mampu memberikan aksi konsisten setiap minggu, tambahan pula dengan masalah kecederaan yang sering membelenggu kariernya. Jones dan Smalling pula seperti yang saya sebutkan tadi perlukan tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lagi untuk mencapai tempoh matang sebagai seorang pemain sebelum benar-benar bersedia diletakkan tanggungjawab sepenuhnya mengemudi benteng pertahanan United. Jadi siapakah pemain pertahanan tengah yang bakal diletakkan dalam radar kelab untuk diburu musim panas nanti? Anda mungkin sudah mencongak nama-nama yang bakal diburu Moyes dan saya juga ada beberapa calon difikirkan sesuai yang saya jangkakan akan cuba ditandatangani kelab musim panas nanti (akan menyusul pada artikel akan datang). Glory Glory Manchester United!!! – A.J