28 Mei 2009

Barcelona Juara Di Rome

BARCELONA (2) - MANCHESTER UNITED (0)

Footballers: United
Sir Alex Ferguson mengakui Barcelona lebih baik dan berhak menjulang trofi Liga Juara Juara musim ini. Menurut Fergie pasukannya juga bermain baik namun tidak mampu mempertahankan rentak permainan setelah Samuel Eto'o berjaya membolosi gawang seawal minit ke 10. Pada minit-minit awal, United ternyata menguasai tempo permainan dengan beberapa percubaan bahaya dari Cristiano Ronaldo dan Park Ji Sung namun gol pembukaan Barca itu secara perlahan-lahan membunuh semangat juara Liga Inggeris itu. Selepas gol itu, United jelas hilang konsentrasi terutama di bahagian benteng pertahanan, dan Barca mengambil kesempatan itu untuk membolosi gawang United buat kali kedua melalui tandukan Lionel Messi diminit ke 69. Menurut Ferguson benteng pertahannya tidak mempamerkan aksi seperti sepertimana yang dipamerkan ketika menjulang United meraih gelaran ke 18 Liga Perdana dan kedua-dua gol itu merupakan antara gol terburuk yang dilepaskan oleh benteng pertahanannya.
Footballers: Berbatov fires chance over.
Tonggak pertahanan Rio Ferdinand turut sependapat dengan bosnya itu dan mengakui kelemahan pertahanan merupakan punca utama United tewas dalam perlawanan ini. Begitupun, Ferdinand menganggap kemenangan Barca bukan semata-mata atas kelemahan pertahanan United tetapi kelab Catalan itu memang bermain dengan cukup baik dan berada dalam kelas tersendiri. Benteng pertahanan United diakui merupakan yang terbaik didunia dan beraksi cukup cemerlang sepanjang musim ini namun prestasi mereka dalam perlawanan ini pastinya meninggalkan tandatanya di kalangan penyokong Red Devils. Wayne Rooney menganggap kekalahan ini sesuatu yang amat menyakitkan tetapi mengakui Barca lebih berhak muncul juara. Bagaimanapun Rooney tetap merasa bangga kerana berkesempatan beraksi menentang antara barisan terbaik dunia masakini dan menganggap kegagalan pasukannya menyempurnakan peluang antara punca kekalahan United.

26 Mei 2009

Pertembungan Hebat Para Gladiator



Pep Guardiola menanti detik perlawanan akhir Liga Juara Juara dengan penuh debar. Pengendali Barcelona itu memang terkenal sebagai individu yang cukup obsesi dengan tugasnya dan menjelang pertembungan dengan Manchester United, waktu tidur Guardiola semakin terhad. Hanya satu perkara saja yang sentiasa bermain di fikirannya iaitu, Barca akan berdepan dengan Manchester United, kelab terbaik dunia dan juara bertahan Liga Juara Juara. Bagi Guardiola, United memiliki pemain terbaik dunia disetiap posisi dengan Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand di benteng, Cristiano Ronaldo dan Michael Carrick di bahagian tengah serta Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov selaku penggempur. Tidak hairanlah selepas bergelar juara La Liga, Guardiola tidak memberi tumpuan kepada baki perlawanan Barca dengan pasukan Catalan itu tumpas dua pelawanan terakhir mereka kepada Real Mallorca dan Ossasuna.

Di kem United pula, Sir Alex Ferguson tampak lebih santai dan masih sempat menyusun strategi ketika United bertandang ke Hull serta meraih tiga mata di sana. Satu-satunya perkara yang merisaukan Fergie ialah kecederaan tonggak pertahanannya, Rio Ferdinand. Kedua-dua pengendali punya pendekatan berbeza dengan Fergie yang punya pengalaman luas tahu bagaimana mengatasi tekanan menjelang pertembungan ini dan Guardiola dengan status rookie pula masih banyak yang perlu dipelajari dalam menghadapi situasi sebegini. Tidak banyak perang psikologi dimainkan oleh kedua-dua pengendali menjelang perlawanan ini dan masing-masing secara terbuka menghormati kemampuan lawan. Ramai pemerhati berpendapat peluang Barca meraih trofi akan ditentukan bagaimana Guardiola mampu menampung kekurangan di benteng akibat kehilangan Eric Abidal, Rafael Marquez dan Daniel Alves.
Guardiola dijangka meletakkan Carles Puyol di sebelah kanan dan Silvinho di sebelah kiri manakala Gerard Pique dan Yaya Toure mengemudi bahagian tengah benteng.

United pastinya mengharapkan persembahan luar biasa dari Patrice Evra bagi menyekat kelincahan Lionel Messi disebelah kiri. Yang pastinya sayap lincah Barca itu akan bertindak secara bersendirian tanpa sokongan Daniel Alves apabila berhadapan dengan Evra kelak. United boleh mengambil pengajaran dari apa yang dilakukan oleh Chelsea semasa menangani Barca pada peringkat separuh akhir tempohari. Barca tidak langsung memperolehi banyak peluang sepanjang hampir 90 minit di Stamford Bridge apabila gerakan-gerakan yang dilancarkan berjaya dikekang dengan cukup berdisiplin oleh barisan Guus Hiddink itu. Bagi sesetengah pendapat pula, final kali ini akan menjadi mimpi buruk buat Barca dengan United sepertimana lazimnya akan menyerap tekanan dan melancarkan serang balas pantas ke pintu gol lawan. Porto dan Arsenal sudah menerima pengajaran berguna serta tahu apa yang mampu dilakukan oleh skuad Red Devils itu dan taktik yang sama dijangka akan digunakan oleh Fergie dalam perlawanan ini.

Di bahagian tengah, Barca mempunyai dua perancang kreatif yang cukup berkebolehan, Andres Iniesta dan Xavi Hernandez. Manakala United pula mengharapkan kepakaran Michael Carrick membaca tempo permainan sambil dibantu aksi agresif tanpa mengenal penat dari Anderson untuk menguasai posisi itu. Guardiola dikhabarkan tidak mempunyai strategi khas di bahagian serangan dan pastinya akan menurunkan Thierry Henry dan Samuel Eto'o dalam kesebelasan utama. Apa yang menjadi persoalan adalah sejauh mana tahap kecergasan Henry bagi menghadapi perlawanan ini memandangkan penyerang antarabangsa Perancis itu baru pulih dari kecederaan dan ini adalah penampilan pertamanya selepas pulih. Bagi Ferguson, beliau mempunyai dua opsyen iaitu memberikan kesempatan kepada Park Ji Sung turun dalam kesebelasan permulaan dengan formasi 4-5-1 dengan Rooney sebagai penggempur tunggal atau menggunakan formasi 4-3-3 menggunakan trio Rooney, Berbatov dan Ronaldo di barisan serangan. Glory Glory Manchester United!!!

Kesebelasan Kemungkinan Yang Akan Diturunkan:

MU (4-5-1):
Edwin Van Der Sar, John O’Shea, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Ryan Giggs, Michael Carrick, Anderson, Wayne Rooney, Park Ji Sung & Cristiano Ronaldo


Barcelona (4-3-3):
Victor Valdes, Carles Puyol, Yaya Toure, Gerard Pique, Silvinho, Xavi Hernandez, Sergio Busquets, Andres Iniesta, Lionel Messi, Samuel Eto’o & Thierry Henry

25 Mei 2009

ROME, FINALE 2009



MANCHESTER UNITED
VS
BARCELONA
(Stadio Olimpico, Rome - 28 Mei 2009)

United Akhiri Kempen Dengan 90 Mata

Darron Gibson celebrates after scoring a stunning goal for Manchester United

Manchester United menutup kempen Liga Perdana bagi musim 2008/2009 dengan mengutip tiga mata penuh apabila menewaskan Hull City 1-0 di Stadium Kingston malam tadi. Gol hasil jaringan pemain tengah Darron Gibson dari jarak 25 meter di minit ke 24 sudah cukup menghadiahkan tiga mata buat skuad Red Devils itu. Seperti yang diramalkan, Sir Alex Ferguson merehatkan kesemua pemain utamanya dalam persediaan menjelang final Liga Juara Juara 28 Mei ini. Walaupun menurunkan hampir keseluruhan pemain muda, United tidak menunjukkan tanda-tanda simpati ke atas lawan yang di ambang penyingkiran dari saingan elit liga Inggeris itu. Walaupun pada awalnya Hull seakan-akan tampak akan pulang semula ke Liga Kejuaraan, namun kekalahan Newcastle United dan Middlesbrough masing-masing ditangan Aston Villa dan West Ham akhirnya menyelamatkan anak-anak buah Phil Brown untuk kekal bersaing dalam Liga Perdana sekurang-kurangnya buat semusim lagi. Kekalahan ini juga menutup terus sisa-sisa peluang Newcastle United dan Middlesbrough untuk kekal dalam saingan Liga Perdana dan mereka akan menyertai West Bromwich ke Liga Kejuaraan musim depan. Pada keseluruhan kempen musim ini, United mengutip 90 mata, 4 mata mengatasi saingan terdekat Liverpool di tangga kedua dan kini pastinya tumpuan Red Devils terarah pula ke perlawanan akhir Liga Juara Juara menentang Barcelona di Rome. Selamat Tinggal Musim 2008/2009!!! Glory Glory Manchester United!!!

24 Mei 2009

Ferguson Enggan Layan Karenah Benitez

Rafael Benitez snubs Sir Alex Ferguson after Manchester United's title triumph
Perang mulut antara Sir Alex Ferguson dan Rafael Benitez nampaknya masih belum berkesudahan biarpun perlumbaan merebut gelaran Liga Perdana telah berakhir. Minggu lalu Benitez menghangatkan kembali perseteruannya dengan pengendali United itu apabila enggan mengucapkan tahniah secara peribadi kepada Ferguson setelah United berjaya mempertahankan trofi Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut. Ferguson dalam kenyataan terbarunya bagaimanapun enggan ambil pusing dengan sikap Benitez itu sebaliknya ingin memberikan tumpuan penuh kepada persiapan United dalam menghadapi final Liga Juara Juara 28 Mei ini. Ferguson menyatakan musim ini merupakan salah satu musim terbaik United dan beliau tidak akan terpengaruh dengan satu dua individu yang cuba merosakkan fokusnya terhadap pasukan. Dalam karier panjangnya bersama United, Ferguson cukup berpengalaman menghadapi perang psikologi yang dimainkan pesaing-pesaingnya dalam kancah Liga Perdana. Bermula permusuhannya dengan Kevin Keegan di awal era 90 an hinggalah perseteruan hebatnya dengan Arsene Wenger dan Jose Mourinho, nyata Ferguson cukup masak menangani situasi seperti ini. Pesaing-pesaingnya datang dan pergi tetapi Ferguson tetap kukuh bertahan di Old Trafford malah terus menghadiahkan trofi kejuaraan buat penyokong-penyokong United. Ferguson juga menegaskan telah banyak perubahan berlaku dalam dirinya sejak tiba di Old Trafford dan kesimpulan terbaik ialah menilai bagaimana beliau mengendalikan United ketika ini.

23 Mei 2009

Tiada Ruang Buat Hull City

http://static.guim.co.uk/sys-images/Football/Pix/pictures/2008/05/09/SirAlexFergusonGettyCliveMason2.jpg
Manchester United bertekad mencatatkan kemenangan ke atas Hull City pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris malam esok. United akan bertandang ke Stadium Kingston dan sebarang keputusan tidak akan menjejaskan kedudukan mereka sebagai juara liga namun Hull City amat memerlukan kemenangan untuk kekal bersaing dalam Liga Perdana musim depan. Skuad The Tigers itu tiada pilihan lain selain mengutip tiga mata penuh namun perlu berhadapan tugas getir menewaskan United yang minggu lalu telah mengesahkan kejuaraan Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut. Bagi Sir Alex Ferguson, perlawanan malam ini merupakan medan pemanas badan terbaik buat pemainnya sebelum menghadapi final Liga Juara Juara 28 Mei ini. Meskipun begitu, Ferguson tetap akan merehatkan sebilangan besar pemain bintangnya untuk menghadapi Barca nanti dan Rio Ferdinand yang baru pulih dari kecederaan akan diturunkan Ferguson bagi mengembalikan semula sentuhannya sebelum final Liga Juara Juara. Glory Glory Manchester United!!!

22 Mei 2009

Evra Sedia Pertembungan Dengan Messi

http://actualgamessports.files.wordpress.com/2008/12/patrice_evra_28746t.jpg
Pertahanan kiri Manchester United, Patrice Evra sudah bersedia menyekat Lionel Messi dalam pertembungan final Liga Juara-Juara 28 Mei ini. Pertembungan antara Evra dan sayap kanan Barcelona itu pasti tidak dapat dielakkan namun pertahanan antarabangsa Perancis itu menegaskan tugas menyekat Messi bukan sesuatu yang mudah. Walau bagaimanapun tiada latihan khas baginya untuk menghadapi pertembungan itu memandangkan setiap hari beliau perlu berhadapan dengan Wayne Rooney, Dimitar Berbatov, Carlos Tevez dan Cristiano Ronaldo dalam sesi latihan United. Itu sudah memadai baginya sebagai persediaan apabila berhadapan dengan pemain licik seperti Messi. Messi merupakan pemain penting Barcelona dan untuk itu, Evra mahu memastikan bintang sayap kelab Catalan itu gagal memberikan aksi terbaiknya dalam perlawanan akhir nanti.