26 Mei 2009

Pertembungan Hebat Para Gladiator



Pep Guardiola menanti detik perlawanan akhir Liga Juara Juara dengan penuh debar. Pengendali Barcelona itu memang terkenal sebagai individu yang cukup obsesi dengan tugasnya dan menjelang pertembungan dengan Manchester United, waktu tidur Guardiola semakin terhad. Hanya satu perkara saja yang sentiasa bermain di fikirannya iaitu, Barca akan berdepan dengan Manchester United, kelab terbaik dunia dan juara bertahan Liga Juara Juara. Bagi Guardiola, United memiliki pemain terbaik dunia disetiap posisi dengan Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand di benteng, Cristiano Ronaldo dan Michael Carrick di bahagian tengah serta Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov selaku penggempur. Tidak hairanlah selepas bergelar juara La Liga, Guardiola tidak memberi tumpuan kepada baki perlawanan Barca dengan pasukan Catalan itu tumpas dua pelawanan terakhir mereka kepada Real Mallorca dan Ossasuna.

Di kem United pula, Sir Alex Ferguson tampak lebih santai dan masih sempat menyusun strategi ketika United bertandang ke Hull serta meraih tiga mata di sana. Satu-satunya perkara yang merisaukan Fergie ialah kecederaan tonggak pertahanannya, Rio Ferdinand. Kedua-dua pengendali punya pendekatan berbeza dengan Fergie yang punya pengalaman luas tahu bagaimana mengatasi tekanan menjelang pertembungan ini dan Guardiola dengan status rookie pula masih banyak yang perlu dipelajari dalam menghadapi situasi sebegini. Tidak banyak perang psikologi dimainkan oleh kedua-dua pengendali menjelang perlawanan ini dan masing-masing secara terbuka menghormati kemampuan lawan. Ramai pemerhati berpendapat peluang Barca meraih trofi akan ditentukan bagaimana Guardiola mampu menampung kekurangan di benteng akibat kehilangan Eric Abidal, Rafael Marquez dan Daniel Alves.
Guardiola dijangka meletakkan Carles Puyol di sebelah kanan dan Silvinho di sebelah kiri manakala Gerard Pique dan Yaya Toure mengemudi bahagian tengah benteng.

United pastinya mengharapkan persembahan luar biasa dari Patrice Evra bagi menyekat kelincahan Lionel Messi disebelah kiri. Yang pastinya sayap lincah Barca itu akan bertindak secara bersendirian tanpa sokongan Daniel Alves apabila berhadapan dengan Evra kelak. United boleh mengambil pengajaran dari apa yang dilakukan oleh Chelsea semasa menangani Barca pada peringkat separuh akhir tempohari. Barca tidak langsung memperolehi banyak peluang sepanjang hampir 90 minit di Stamford Bridge apabila gerakan-gerakan yang dilancarkan berjaya dikekang dengan cukup berdisiplin oleh barisan Guus Hiddink itu. Bagi sesetengah pendapat pula, final kali ini akan menjadi mimpi buruk buat Barca dengan United sepertimana lazimnya akan menyerap tekanan dan melancarkan serang balas pantas ke pintu gol lawan. Porto dan Arsenal sudah menerima pengajaran berguna serta tahu apa yang mampu dilakukan oleh skuad Red Devils itu dan taktik yang sama dijangka akan digunakan oleh Fergie dalam perlawanan ini.

Di bahagian tengah, Barca mempunyai dua perancang kreatif yang cukup berkebolehan, Andres Iniesta dan Xavi Hernandez. Manakala United pula mengharapkan kepakaran Michael Carrick membaca tempo permainan sambil dibantu aksi agresif tanpa mengenal penat dari Anderson untuk menguasai posisi itu. Guardiola dikhabarkan tidak mempunyai strategi khas di bahagian serangan dan pastinya akan menurunkan Thierry Henry dan Samuel Eto'o dalam kesebelasan utama. Apa yang menjadi persoalan adalah sejauh mana tahap kecergasan Henry bagi menghadapi perlawanan ini memandangkan penyerang antarabangsa Perancis itu baru pulih dari kecederaan dan ini adalah penampilan pertamanya selepas pulih. Bagi Ferguson, beliau mempunyai dua opsyen iaitu memberikan kesempatan kepada Park Ji Sung turun dalam kesebelasan permulaan dengan formasi 4-5-1 dengan Rooney sebagai penggempur tunggal atau menggunakan formasi 4-3-3 menggunakan trio Rooney, Berbatov dan Ronaldo di barisan serangan. Glory Glory Manchester United!!!

Kesebelasan Kemungkinan Yang Akan Diturunkan:

MU (4-5-1):
Edwin Van Der Sar, John O’Shea, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Ryan Giggs, Michael Carrick, Anderson, Wayne Rooney, Park Ji Sung & Cristiano Ronaldo


Barcelona (4-3-3):
Victor Valdes, Carles Puyol, Yaya Toure, Gerard Pique, Silvinho, Xavi Hernandez, Sergio Busquets, Andres Iniesta, Lionel Messi, Samuel Eto’o & Thierry Henry

Tiada ulasan:

Catat Ulasan