31 Oktober 2009

United Dilanda Krisis Kecederaan

http://newsimg.bbc.co.uk/media/images/44671000/jpg/_44671782_vidic_ferd170.jpg
Sir Alex Ferguson mengakui pasukannya dilanda krisis kecederaan pemain menjelang pertemuan menentang Blackburn Rovers di Old Trafford awal pagi nanti. Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Gary Neville, Ryan Giggs dan Danny Welbeck menyertai senarai terbaru bilik rawatan United. Tahap kecergasan Vidic dan Ferdinand untuk diturunkan dalam perlawanan hari ini masih belum dapat dipastikan akibat kecederaan betis. Welbeck pula mengalami kecederaan lutut semasa membantu United menewaskan Barnsley dalam kempen Piala Carling Rabu lalu. "Kami agak sangsi menghadapi perlawanan hari ini. Tahap kecergasan Ryan Giggs masih belum meyakinkan tetapi kami berharap dia cukup cergas untuk disenaraikan. Keadaan Ferdinand dan Vidic juga merisaukan kami, tetapi kami akan lihat keadaan mereka hari ini. Mudah-mudahan kami akan dapat menyenaraikan seorang atau dua daripada mereka nanti", kata Ferguson.

Tambah memburukan keadaan, Park Ji Sung yang mengalami kecederaan lutut masih belum sembuh sepenuhnya dan perlu direhatkan untuk beberapa minggu lagi. Sementara itu Darren Fletcher sudah kembali menjalani latihan bersama skuad utama United, tetapi Ferguson tidak akan mengambil risiko dengan menurunkan tonggak tengahnya itu dalam perlawanan hari ini. Ferguson dijangka hanya bersedia menurunkan Fletcher pada perlawanan menentang Chelsea minggu hadapan. Selepas mengalami mimpi buruk di Anfield, Ahad lalu, United harus bangkit semula di Old Trafford hari ini dengan menjadikan kunjungan Blackburn nanti sebagai medan kebangkitan semula skuad Red Devils. Ketika ini United menduduki tangga kedua liga dengan ketinggalan dua mata kepada Chelsea dan perlu menang hari ini untuk terus memberi tekanan kepada anak-anak buah Carlo Ancelotti.

28 Oktober 2009

Piala Carling: United Atasi Barnsley

Manchester United's English forward Danny Welbeck (R) celebrates ...
Manchester United berjaya mengenepikan cabaran pasukan dari Liga Kejuaraan, Barnsley 2-0 dalam perlawanan pusingan keempat Piala Carling awal pagi tadi. Dengan deretan peluang yang terhidang, United yang bertandang ke Stadium Oakland seharusnya mampu menewaskan Barnsley dengan jaringan lebih besar. Gol pembukaan United dijaringkan bintang muda mereka, Danny Wellbeck diminit ke 6. Wellbeck yang menerima umpanan Anderson mudah menanduk masuk ke penjuru kiri pintu gol untuk menewaskan Luke Steele. Gol awal United itu bagaimanapun tidak menenggelamkan semangat melawan tuan rumah, yang sekali sekala mengambil kesempatan dengan melakukan serangan balas pantas ke kubu United. Bagaimanapun Ben Foster yang ditugaskan mengawal gawang terlalu unggul untuk ditembusi penyerang tuan rumah.

Bersambung di babak kedua, United berjaya menambah tekanan buat tuan rumah apabila kali ini giliran Michael Owen pula membocori gawang lawan diminit ke 59. Owen memanfaatkan umpanan Anderson untuk menolak masuk gol kedua buat United. United yang selesa dengan kelebihan dua gol terus menggandakan asakan tetapi gagal membolosi gawang tuan rumah sehinggalah Gary Neville diperintah keluar padang di minit ke 63 kerana mengkasari Adam Hammil. Barnsley kemudian mengambil kesempatan kekurangan United dengan kembali menguasai permainan tetapi masih sukar menembusi benteng pelawat. Kedudukan kekal sehingga tamat permainan dengan United berjaya melangkah ke pusingan kelima kejohanan.

26 Oktober 2009

Ferguson: Segera Lupakan Kekalahan Di Anfield

Yossi Benayoun of Liverpool goes past the challenge of Michael Carrick of Manchester United
Sir Alex Ferguson mahukan agar pemain-pemainnya segera melupakan kekalahan mereka kepada Liverpool malam tadi. United terpaksa akur kepada semangat juang Liverpool di Anfield apabila mereka akhirnya tumpas kepada seteru tradisi itu dengan 0-2. Gol kemenangan Liverpool dihasilkan oleh Fernando Torres diminit ke 65 dan David Ngog di penghujung masa tambahan untuk memberikan kekalahan kedua kepada skuad Sir Alex Ferguson itu. "Kami akan selalu memberikan reaksi dalam apa jua keadaan dan ini merupakan hal yang amat penting bagi kelab ini", kata Ferguson selepas perlawanan itu. "Pemain-pemain memiliki kemampuan untuk bangkit kembali. Sesuatu yang bukan baru buat kami untuk bangkit dari kekalahan. Memang mustahil untuk meraih keputusan positif dalam setiap perlawanan. Musim lepas kami memperolehi keputusan lebih buruk ketika bertemu Liverpool tetapi akhirnya kami menang gelaran liga", tambahnya lagi
Emiliano Insua of Liverpool battles for the ball with Antonio Valencia of Manchester United
Walau bagaimanapun Ferguson sedikit terkilan dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan malam tadi. Ferguson berpendapat Andre Marriner sepatutnya menghadiahkan sepakan penalti buat United ketika Jamie Carragher mengkasari Michael Carrick di dalam petak penalti. United juga terlepas peluang memperolehi sepakan penalti apabila Fabio Aurelio jelas menolak Ryan Giggs dari belakang dalam situasi perebutan bola tinggi di kawasan pintu gol mereka. Marriner yang melayangkan kad merah kepada Nemanja Vidic dan Javier Mascherano tampak sekali lagi bertolak ansur kepada Carragher yang menarik Michael Owen biarpun penyerang United itu berada dalam situasi terbaik untuk menjaringkan gol. Carragher hanya dilayangkan kad kuning selepas insiden itu. "Saya berpendapat penalti seharusnya diberikan ketika Carragher mengkasari Carrick dan dia juga menjatuhkan Owen di kawasan pintu gol mereka", keluh Ferguson.

25 Oktober 2009

Owen Sedia Pikul Tekanan

3848017300_24f34b3f92.jpg Owen image by rizasaputra
Perlawanan antara Manchester United dan Liverpool sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat-peminat kedua-dua pasukan di seluruh dunia. Pertembungan dua kelab paling berjaya dalam sejarah bolasepak England itu sentiasa dipenuhi dengan aksi-aksi dramatik dan adakalanya disudahi dengan keputusan penuh kontroversi dan sensasi. Liverpool membuktikan mereka lebih unggul daripada United musim lalu selepas berjaya mengalahkan Red Devils di Anfield dan Old Trafford, walaupun akhirnya mereka akur kepada United dalam perlumbaan merebut gelaran Liga Perdana Inggeris. Persaingan antara United dan Liverpool musim lalu turut diwarnai dengan perang mulut antara pengurus kedua-dua pasukan, Sir Alex Ferguson dan Rafael Benitez. Malam ini kedua-dua musuh tradisi itu sekali lagi bertembung dan pemain yang pastinya menjadi tumpuan ialah bekas wira di Anfield, Michael Owen. Owen merupakan idola buat peminat-peminat The Kop ketika menabur bakti selama lapan musim buat Liverpool sebelum berhijrah ke Real Madrid dan Newcastle United.
3686170769_c1c4a3078d.jpg Owen image by rizasaputra
Kini penyokong-penyokong Liverpool melihat Owen telah melanggar tradisi bintang-bintang mereka sebelum ini dengan menyertai Manchester United yang merupakan musuh utama mereka. "Cukup menarik untuk melihat reaksi yang bakal diterimanya dari penyokong-penyokong lawan nanti. Hanya terdapat beberapa pemain yang menyertai kedua-dua kelab, Paul Ince menerima layanan buruk dari penyokong-penyokong kami ketika dia menyertai Liverpool dan Owen mungkin menerima nasib yang sama", kata Sir Alex Ferguson. "Owen merupakan pemain yang berpengalaman dan rekodnya ketika di Liverpool membezakannya dengan pemain seperti Ince ketika dia bersama kami. Owen merupakan antara pemain terbaik pernah dilahirkan oleh Liverpool dan itu mungkin membantunya dari menerima ejekan", tambah Ferguson lagi. Ferguson mungkin menurunkan Owen dalam kesebelasan utamanya memandangkan tahap kecergasan Wayne Rooney yang masih diragui akibat kecederaan betis. Owen sendiri sudah bersedia berdepan dengan penyokong-penyokong fanatik Liverpool yang dulu pernah memujanya jika diturunkan oleh Ferguson nanti.

24 Oktober 2009

Nasib Rooney Dan Fletcher Masih Belum Pasti

MANCHESTER, ENGLAND - OCTOBER 03:  Darren Fletcher of Manchester United is tackled by Lee Cattermole of Sunderland during the Barclays Premier League match between Manchester United and Sunderland at Old Trafford on October 3, 2009 in Manchester, England.
Sir Alex Ferguson masih belum memikirkan senarai pemain yang akan diturunkannya ketika berkunjung ke Anfield malam esok, ditambah dengan situasi tidak menentu yang menimpa Wayne Rooney dan Darren Fletcher. Besar kemungkinan Rooney dan Fletcher tidak akan diturunkan malam esok kerana masih belum pulih dari kecederaan. Rooney mengalami kecederaan ketika menentang Ukraine dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia tempohari, manakala Fletcher masih dalam proses meningkatkan kecergasan selepas pulih dari kecederaan. Sekalipun Patrice Evra dan Ryan Giggs sedia untuk diturunkan tetapi Ferguson pastinya tidak mahu mengambil risiko menurunkan kedua-duanya yang berpotensi akan mengalami kecederaan semula jika beraksi dalam tempoh terdekat. Ferguson mungkin berhadapan risiko kecederaan jangka panjang ke atas kedua-dua tonggak utamanya itu jika berhasrat menurunkan mereka malam esok. Evra dan Giggs tidak disenaraikan ketika United berkunjung ke Moscow dalam perlawanan Liga Juara Eropah menentang CSKA Moscow Khamis lalu.

Walaupun Liverpool dibelenggu dengan prestasi tidak menentu sejak kebelakangan ini, Ferguson jelas tidak mahu memandang rendah keupayaan lawan dan sebolehnya beliau mahu menurunkan barisan terbaik di Anfield nanti. Ferguson menghormati Liverpool yang punya tradisi serta sejarah yang hebat dan baginya, prestasi tidak menentu Liverpool lebih merupakan bom jangka buat United. Ferguson tidak mahu Liverpool meledakkan bom itu ketika berhadapan dengan United nanti. "Mengenai kecederaan yang dialami oleh Rooney, saya masih belum dapat memberikan gambaran yang jelas. Terdapat keraguan tentang situasi Rooney dan Fletcher", kata Ferguson. "Saya tidak mahu menyentuh tentang prestasi Liverpool ketika ini kerana saya perlu menumpukan corak permainan yang akan kami terapkan. Kami konsisten dan itu yang penting", tambahnya lagi. Sementara itu nasib Steven Gerrard dan Fernando Torres masih samar dan kemungkinan kedua-duanya tidak akan diturunkan oleh Rafa Benitez malam esok akibat kecederaan.

22 Oktober 2009

Ferguson: Kami Matang dan Tenang

Chidi Odiah (right) of CSKA Moscow vies with Nani of Manchester ...
Sir Alex Ferguson memuji barisan Manchester United yang memungut mata penuh ketika mengalahkan CSKA Moscow awal pagi tadi. Kemenangan itu meletakkan United selesa di tangga teratas Kumpulan B dengan sembilan mata mengatasi juara Jerman, Wolfsburg dengan empat mata ditangga kedua. Kemenangan ini juga meletakkan United menyamai pencapaian Ajax Amsterdam dengan rekod empatbelas kemenangan berturut-turut di tempat lawan dalam saingan peringkat Eropah. Gol kemenangan United dijaringkan oleh bintang antarabangsa Ecuador, Luis Antonio Valencia, empat minit sebelum masa sebenar permainan tamat. Walaupun hanya menang tipis 1-0, Ferguson gembira melihat pasukannya berjaya menangani tekanan tuan rumah melalui corak permainan yang cukup tenang dan penuh kesabaran, dibantu pengalaman bersaing di peringkat tertinggi Eropah sejak sekian lama. "Tidak mudah bermain di sini dan kami telah bermain di stadium-stadium utama selama bertahun-tahun. Itu banyak membantu kami", kata Ferguson.
Tomas Necid (left) of CSKA Moscow vies with Nemanja Vidic of ...
"Kami telah menunjukkan kematangan melalui perlawanan ini. Kami menunjukkan kesabaran dan ketenangan sepanjang perlawanan serta menguasai bola dengan baik. Ini merupakan kunci utama kejayaan kami pada malam ini", tambahnya lagi. Beraksi di atas padang rumput tiruan, kedua-dua pasukan dilihat agak berhati-hati sepanjang perlawanan dengan United sukar menembusi benteng lawan manakala tuan rumah kurang memberi ancaman. "Kami memperolehi banyak ruang di sebelah kanan tetapi kami sepatutnya lebih kerap membawa bola ke petak penalti mereka. Kami hanya perlukan satu gol sahaja. Saya rasa keadaan padang tidak memberi kelebihan kepada kedua-dua pasukan tetapi itu bukan halangan buat pemain-pemain saya. Itu bukanlah sesuatu yang terlalu buruk", kata Ferguson lagi. Kemenangan ini meletakkan United semakin hampir melayakkan diri ke peringkat saingan kalah mati selepas selesa mendahului kumpulan dengan kelebihan lima mata ditangga teratas.

21 Oktober 2009

Tiket Ke Pusingan Kalah Mati Jadi Buruan

Liga Juara Eropah - Kumpulan B

CSKA Moscow lwn Manchester United
(22 Oktober 2009, Stadium Luzhniki, Moscow)

http://soccerlens.com/wp-content/uploads/2008/05/wayne-rooney.jpg
Manchester United akan bertandang ke Stadium Luzhniki awal pagi ini dengan misi memburu tiket ke pusingan kalah mati Liga Juara Eropah. United akan berhadapan CSKA Moscow di stadium yang menyaksikan mereka meraih trofi Liga Juara buat kali ketiga selepas menewaskan Chelsea melalui penentuan sepakan penalti pada tahun 2008. United merupakan pendahulu Kumpulan B setelah berjaya menundukkan Besiktas dan Wolfsburg dari dua perlawanan awal mereka dan mengumpul enam mata maksimum. Walau bagaimanapun misi United pagi ini tampak sukar berikutan kunjungan mereka ke Moscow tanpa disertai kelibat Wayne Rooney, Patrice Evra dan Ryan Giggs akibat kecederaan, tambahan pula CSKA yang dibimbing Juande Ramos menang enam perlawanan peringkat Eropah di tempat sendiri.
Giggs PL trophy.jpg
Bagaimanapun tuan rumah juga sedikit tempang dan akan turun tanpa tonggak mereka Marc Gonzalez dan penyerang Brazil, Guillherme. Nemanja Vidic bakal memperkuatkan kembali pertahanan United selepas tidak diturunkan ketika United menerima kunjungan Bolton Wanderers minggu lalu, dan pertahanan Serbia itu dijangka akan digandingkan bersama Jonny Evans memandangkan prestasi tidak menentu yang menghantui Rio Ferdinand. Sementara itu, Sir Alex Ferguson tidak gusar dengan permukaan rumput tiruan yang digunakan di Stadium Luzhniki. "Kami pernah bermain di Luton dan QPR yang menggunakan rumput tiruan, dan kami memperolehi keputusan hebat dalam perlawanan itu meskipun keadaan padang tidak sebaik seperti di Moscow. Permukaan padang di sini lebih baik, jadi saya tidak gusar dengan situasi ini", jelas Ferguson.