Sir Alex Ferguson mahukan agar pemain-pemainnya segera melupakan kekalahan mereka kepada Liverpool malam tadi. United terpaksa akur kepada semangat juang Liverpool di Anfield apabila mereka akhirnya tumpas kepada seteru tradisi itu dengan 0-2. Gol kemenangan Liverpool dihasilkan oleh Fernando Torres diminit ke 65 dan David Ngog di penghujung masa tambahan untuk memberikan kekalahan kedua kepada skuad Sir Alex Ferguson itu. "Kami akan selalu memberikan reaksi dalam apa jua keadaan dan ini merupakan hal yang amat penting bagi kelab ini", kata Ferguson selepas perlawanan itu. "Pemain-pemain memiliki kemampuan untuk bangkit kembali. Sesuatu yang bukan baru buat kami untuk bangkit dari kekalahan. Memang mustahil untuk meraih keputusan positif dalam setiap perlawanan. Musim lepas kami memperolehi keputusan lebih buruk ketika bertemu Liverpool tetapi akhirnya kami menang gelaran liga", tambahnya lagi
Walau bagaimanapun Ferguson sedikit terkilan dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan malam tadi. Ferguson berpendapat Andre Marriner sepatutnya menghadiahkan sepakan penalti buat United ketika Jamie Carragher mengkasari Michael Carrick di dalam petak penalti. United juga terlepas peluang memperolehi sepakan penalti apabila Fabio Aurelio jelas menolak Ryan Giggs dari belakang dalam situasi perebutan bola tinggi di kawasan pintu gol mereka. Marriner yang melayangkan kad merah kepada Nemanja Vidic dan Javier Mascherano tampak sekali lagi bertolak ansur kepada Carragher yang menarik Michael Owen biarpun penyerang United itu berada dalam situasi terbaik untuk menjaringkan gol. Carragher hanya dilayangkan kad kuning selepas insiden itu. "Saya berpendapat penalti seharusnya diberikan ketika Carragher mengkasari Carrick dan dia juga menjatuhkan Owen di kawasan pintu gol mereka", keluh Ferguson.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan