Sir Alex Ferguson memuji barisan Manchester United yang memungut mata penuh ketika mengalahkan CSKA Moscow awal pagi tadi. Kemenangan itu meletakkan United selesa di tangga teratas Kumpulan B dengan sembilan mata mengatasi juara Jerman, Wolfsburg dengan empat mata ditangga kedua. Kemenangan ini juga meletakkan United menyamai pencapaian Ajax Amsterdam dengan rekod empatbelas kemenangan berturut-turut di tempat lawan dalam saingan peringkat Eropah. Gol kemenangan United dijaringkan oleh bintang antarabangsa Ecuador, Luis Antonio Valencia, empat minit sebelum masa sebenar permainan tamat. Walaupun hanya menang tipis 1-0, Ferguson gembira melihat pasukannya berjaya menangani tekanan tuan rumah melalui corak permainan yang cukup tenang dan penuh kesabaran, dibantu pengalaman bersaing di peringkat tertinggi Eropah sejak sekian lama. "Tidak mudah bermain di sini dan kami telah bermain di stadium-stadium utama selama bertahun-tahun. Itu banyak membantu kami", kata Ferguson.
"Kami telah menunjukkan kematangan melalui perlawanan ini. Kami menunjukkan kesabaran dan ketenangan sepanjang perlawanan serta menguasai bola dengan baik. Ini merupakan kunci utama kejayaan kami pada malam ini", tambahnya lagi. Beraksi di atas padang rumput tiruan, kedua-dua pasukan dilihat agak berhati-hati sepanjang perlawanan dengan United sukar menembusi benteng lawan manakala tuan rumah kurang memberi ancaman. "Kami memperolehi banyak ruang di sebelah kanan tetapi kami sepatutnya lebih kerap membawa bola ke petak penalti mereka. Kami hanya perlukan satu gol sahaja. Saya rasa keadaan padang tidak memberi kelebihan kepada kedua-dua pasukan tetapi itu bukan halangan buat pemain-pemain saya. Itu bukanlah sesuatu yang terlalu buruk", kata Ferguson lagi. Kemenangan ini meletakkan United semakin hampir melayakkan diri ke peringkat saingan kalah mati selepas selesa mendahului kumpulan dengan kelebihan lima mata ditangga teratas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan