31 Ogos 2012

BERBA AKHIRNYA SERTAI FULHAM



Teka teki tentang masa depan Dimitar Berbatov akhirnya terjawab selepas pemain itu menandatangani kontrak secara rasmi bersama Fulham selama dua tahun. Fulham melalui laman sesawang rasmi mereka mengeluarkan kenyataan bahawa bekas pemain antarabangsa Bulgaria itu berhijrah ke Craven Cottage hingga 2014. Berbatov yang pernah bekerja dengan Pengurus Fulham, Martin Jol ketika beliau dilantik sebagai pengurus Tottenham Hotspurs (2004-2007) tidak sabar untuk kembali bekerjasama dengan warga Belanda itu. "Saya gembira kerana menyertai Fulham dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan Martin Jol lagi", kata Berbatov. Sementara itu, Jol yakin kehadiran pemain seperti Berbatov di Craven Cottage akan menyemarakan semangat pemain-pemain The Cottagers selepas berdepan kemelut yang melibatkan Clint Dempsey dan pihak pengurusan kelab. Berbatov menyertai United dari Tottenham Hotspurs pada 2008 dengan reputasi sebagai pemain termahal pernah ditandatangani The Red Devils. Berbatov menjaringkan 48 gol dari 108 penampilan liga untuk United dan pernah muncul penjaring terbanyak liga bersama Carlos Tevez dengan 20 gol pada musim 2010/11. Corak permainan Berbatov yang agak `perlahan' ternyata sudah tidak lagi sesuai dengan tempo permainan pantas yang diterapkan Ferguson. Faktor ini dikatakan menjadi penyebab utama mengapa Berbatov gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama United. Tambah memburukan lagi keadaan, kehadiran Robin Van Persie menyaksikan Berbatov berada di belakang Wayne Rooney, Van Persie, Danny Welbeck dan Javier Hernandez dalam ranking penyerang United. Apapun terima kasih Berba atas sumbangan anda selama empat musim di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!

30 Ogos 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: NANI DAN ANDERSON BAKAL DIJUAL?


Limpahan pemain di bahagian tengah membuatkan persaingan di posisi itu semakin sengit hingga mengakibatkan beberapa midfielder terpaksa memanaskan bangku simpanan. Antara yang terkena impak dari situasi tersebut ialah Anderson dan Nani hingga menyaksikan kedua-duanya bukan lagi pilihan automatik mengisi posisi tersebut. Situasi ini juga dikatakan memaksa Ferguson mempertimbangkan untuk melepaskan kedua-dua pemain ini pergi sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup esok. Menurut berita yang dipetik dari Daily Mail, Ferguson bersedia melepaskan Anderson dan Nani dengan nilai perpindahan sekitar 15 juta Pound dan Spurs muncul kelab yang berminat mendapatkan khidmat kedua-duanya. Selepas kehilangan Luka Modric kepada Real Madrid, Andres Villas-Boas pastinya mahu mencari pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bintang antarabangsa Croatia itu. Spurs sebelumnya dikatakan meletakkan sasaran mendapatkan bintang Porto, Joao Moutinho namun masih gagal mencapai kata sepakat. Selain Spurs, Benfica turut berminat mendapatkan khidmat Anderson namun hanya dengan status pinjaman, tetapi idea itu ditolak United yang berhasrat melepaskan pemain itu dengan kontrak tetap. Sementara itu, Nani pula masih gagal mencapai kata sepakat mengenai kontrak baru bersama United dan sejak kebelakangan ini sering diletakkan di bangku simpanan oleh Ferguson hingga timbul spekulasi mengatakan bahawa pemain itu tidak gembira dan ingin keluar dari Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!

ROONEY TEKAD KEKAL BERSAMA UNITED


Wayne Rooney berikrar untuk terus kekal di Old Trafford, sekaligus menamatkan teka teki tentang masa depannya bersama Manchester United. Media-media di England hujung minggu ini mendedahkan bahawa terdapat ketegangan antara bintang England itu dengan Sir Alex Ferguson semasa persiapan pra-musim hingga menyebabkan Ferguson meletakkan bintang penyerangnya itu di bangku simpanan semasa perlawanan liga hujung minggu lalu. Ferguson dikatakan curiga mengenai perkembangan mutakhir Rooney selepas permulaan yang kurang memberangsangkan buat penjaring terbanyak United musim lalu itu. Bagaimanapun Rooney akhirnya bersuara dan pantas menyanggah laporan-laporan yang ditiupkan media tentang masa depannya di Old Trafford melalui Twitter. "Mendengar apa yang media laporkan sebenarnya adalah sampah", kata Rooney melalui akaun Twitter miliknya. Rooney terpaksa direhatkan selama dua bulan apabila mengalami kecederaan parah di paha selepas masuk sebagai pemain gantian pada perlawanan liga menentang Fulham Sabtu lalu. Ketibaan Robin Van Persie juga bermakna Ferguson mempunyai banyak pilihan menarik di barisan hadapan skuadnya. Selepas pulih dari kecederaan nanti, Rooney perlu bekerja lebih keras untuk memastikan tempatnya dalam kesebelasan utama terjamin, apatah lagi selepas menyaksikan dua bintang baru United, Van Persie dan Shinji Kagawa menemui sentuhan gol hanya pada perlawanan kedua mereka bersama skuad The Red Devils. Selain memiliki Van Persie, Ferguson juga boleh menyandarkan harapan kepada Danny Welbeck dan Javier Hernandez dalam memburu jaringan. Walau bagaimanapun isu penjualan Rooney bukanlah sesuatu yang asing buat penyokong-penyokong setia United dan sering dimainkan media terutamanya dalam tempoh dua tahun terakhir. Semoga Rooney terus kekal di Old Trafford sekaligus memenuhi impiannya untuk memadamkan rekod 207 gol liga milik lagenda United, Sir Bobby Charlton. Glory Glory Manchester United!!!

29 Ogos 2012

FIORENTINA BERMINAT SAMBAR BERBATOV


Harapan Dimitar Berbatov untuk meninggalkan Old Trafford sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup mungkin menjadi kenyataan selepas kelab Serie A, Fiorentina berminat mendapatkan khidmatnya. Fiorentina diberitakan  sudah membuat tawaran sebanyak 5 juta Pound untuk membawa penyerang Bulgaria itu beraksi di Itali. Berbatov yang kian terdesak mencari kelab baru selepas gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama United dilaporkan berminat dengan tawaran tersebut. Musim lalu, Berbatov hanya beraksi sebanyak 11 perlawanan untuk United, dan lima darinya adalah dalam saingan Liga Perdana. Slot selaku penyerang utama kian jauh dari jangkauan Berbatov selepas ketibaan Robin Van Persie yang dibeli dengan harga 24 juta Pound dari Arsenal. Selain Van Persie dan Wayne Rooney, Berbatov juga mendapati beliau kini berada di belakang Javier Hernandez dan Danny Welbeck dalam senarai penyerang United meskipun berjaya menjaringkan 56 gol dari 148 penampilannya untuk United. Kini satu-satunya pilihan yang ada buat Berbatov jika dia mahu bermain dengan lebih kerap ialah menyertai pasukan lain. Berbatov tiba di Old Trafford dari Tottenham Hotspurs pada September 2008 dengan reputasi sebagai pembelian paling mahal pernah dibuat United. Kemuncak prestasi Berbatov tiba apabila dia muncul penjaring terbanyak Liga Perdana bersama Carlos Tevez dua musim lalu. Selepas itu segalanya tidak lagi menyebelahi Berbatov dan detik kejatuhannya bermula apabila dia tidak disenaraikan dalam skuad yang berdepan Barcelona pada final Liga Juara-Juara 2011 di Wembley. Gaya permainan `lesu' Berbatov tidak lagi sesuai dengan corak permainan pantas yang diterapkan Ferguson dilihat menjadi penyebab utama mengapa dia sering memanaskan bangku simpanan United sejak kebelakangan ini. Glory Glory Manchester United!!!

28 Ogos 2012

ROONEY DIJUAL?...SPEKULASI MENGARUT


Spekulasi telah dimainkan oleh media-media di England hujung minggu lalu tentang hasrat Sir Alex Ferguson mempertimbangkan untuk menjual bintang penyerangnya, Wayne Rooney selepas aksi hambar di Goodison Park minggu lalu. Dengan kemasukkan pemain-pemain baru musim panas seperti Robin Van Persie dan Shinji Kagawa serta perpanjangan kontrak Danny Welbeck, media Inggeris dengan pantas menghidupkan spekulasi perpindahan Rooney dari Old Trafford apatah lagi selepas menyaksikan penyerang itu hanya memanaskan bangku simpanan ketika berdepan Fulham, Sabtu lalu. Melihat pada kempen musim lalu, United adalah pasukan yang cukup berbeza dengan ataupun tanpa Rooney. Rooney berjaya memberikan tenaga kepada United dengan segala helah dan sentuhan kelas pertama ketika berada di hadapan gawang lawan, tetapi United jelas agak lesu dan bergelut untuk memecah pertahanan lawan ketika ketiadaan Rooney. Tidak syak lagi bahawa Rooney adalah tenaga penting dalam kempen The Red Devils musim lalu. Memang benar, Rooney kurang menyerlah ketika kempen England di Euro 2012 dan gagal memberikan aksi baik ketika menentang Everton pada perlawanan pertama liga musim ini, namun beliau tetap pemain penting buat United dan pastinya berada dalam perancangan jangka panjang Ferguson. Selepas disahkan terlepas aksi selama dua bulan kerana mengalami luka parah di bahagian paha, United dan penyokong-penyokongnya pasti merindui kelibat bekas pemain Everton itu biarpun ketika ini ruang yang ditinggalkan Rooney akan diisi Van Persie dan juga Kagawa. Van Persie dan Kagawa sudahpun memberikan impak awal kehadiran mereka di Old Trafford apabila masing-masing menjaringkan gol sulung karier mereka bersama United ketika menentang Fulham kelmarin, tetapi kedua-duanya bukanlah galang ganti buat Rooney. 

Tidak dinafikan, Van Persie dan Kagawa akan menjadi tenaga penting dalam usaha United memburu kejuaraan liga ke-20 mereka musim ini terutamanya dalam tempoh dua bulan semasa ketiadaan Rooney. Namun Rooney tetap Rooney, pemain yang sering dilihat berada di segenap penjuru padang membantu rakan sepasukan tanpa rasa penat baik ketika bertahan mahupun ketika menyerang. Adalah diharapkan agar Rooney akan muncul pemain yang lebih kuat berbanding sebelum ini sebaik dia pulih semula dari kecederaan nanti kerana dia tetap pemain penting buat United. Sejak sekian lama muncul pemain penting buat kelab dan skuad kebangsaan, mungkin Rooney membiarkan sikap puas hati merosakkan sedikit aksinya hingga menjejaskan penampilan di awal musim. Walau bagaimanapun dengan beberapa tenaga baru yang tiba di Old Trafford musim panas ini menjadikan tempat Rooney dalam kesebelasan utama United bukan lagi satu jaminan. Semoga situasi ini akan membuatkan Rooney lebih gigih untuk bersaing merebut semula tempatnya dan membuktikan bahawa dia masih yang terbaik untuk United dan nama yang wajib disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan. Percayalah apabila Rooney kembali cergas sepenuhnya, penyerang bertaraf dunia sepertinya akan menjadi nadi penting buat mana-mana pasukan yang diwakilinya dan bakal menjadi faktor yang membezakan United dengan pesaing-pesaing mereka dalam perlumbaan mengejar kejuaraan musim ini. Glory Glory Manchester United!!! 

27 Ogos 2012

ROONEY MUNGKIN TERLEPAS AKSI SELAMA 2 BULAN?


Harapan Wayne Rooney untuk kembali beraksi semula dalam tempoh sebulan selepas mengalami kecederaan teruk di paha ketika menentang Fulham Sabtu lalu agak tipis. Kakitangan perubatan yang menilai tahap kecederaan Rooney mengatakan luka yang dialami penyerang itu agak teruk yang turut membabitkan otot pahanya hingga memerlukan 10 jahitan. Bukan sebulan seperti yang diramalkan Sir Alex Ferguson, tetapi menjangkau hingga dua bulan dan Rooney dijangka turut terlepas aksi 14 perlawanan di peringkat kelab dan juga antarabangsa. Sejurus selepas perlawanan, Ferguson mengatakan kecederaan yang dialami Rooney adalah `sesuatu yang sangat buruk' dan pasukan perubatan yang merawat pemain itu turut terkejut dengan kedalaman luka tersebut. Rooney dibenarkan pulang pada pagi Ahad dan pastinya tidak disenaraikan dalam skuad yang akan berkunjung ke Southampton hujung minggu ini. Agak mengejutkan apabila Ferguson tidak menggandingkan Rooney bersama Robin Van Persie dalam perlawanan menentang Fulham kelmarin selepas prestasi hambar pemain itu di Goodison Park. Bagaimanapun ramai memuji tindakan yang dilakukan Ferguson selepas menyaksikan Shinji Kagawa dan Van Persie menjaringkan gol sulung dalam karier mereka bersama United pada perlawanan itu. Walau bagaimanapun ketiadaan Rooney tetap satu tamparan hebat buat United biarpun keputusan Ferguson meletakkan penyerang antarabangsa England itu di bangku simpanan mengundang spekulasi tentang masa depannya di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!!

26 Ogos 2012

RVP SERASI DENGAN KEHIDUPAN DI MANCHESTER


Anggota baru The Red Devils, Robin Van Persie berjaya menyesuaikan dirinya dengan kehidupan baru di Old Trafford selepas berhijrah dari kelab London, Arsenal. Van Persie meninggalkan kehidupan di kota London selepas lapan tahun bersama The Gunners apabila dia mengambil keputusan drastik enggan menandatangani kontrak baru, dan menyertai Manchester United dengan yuran perpindahan sebanyak 24 juta Pound, 15 Ogos lalu. Van Persie berjaya menjaringkan gol sulungnya buat United  ketika berdepan Fulham dalam perlawanan kedua liga musim ini sekaligus memberikan tiga mata berharga buat kelab barunya itu. Van Persie mengatakan bahawa layanan baik yang diterimanya dari semua pihak membuatkan dia begitu selesa dengan kehidupan di kota Manchester. Selepas gagal menjaringkan gol ketika berdepan Everton pada perlawanan pertama, Van Persie memilih waktu yang tepat dengan merakamkan gol sulungnya bersama United di hadapan penyokong-penyokong sendiri. Gol penyamaan Van Persie diminit ke-10 itu dilihat begitu penting buat United selepas mereka ketinggalan di awal permainan lagi menerusi jaringan Damien Duff di minit ke-3. Biarpun dikawal rapi pertahanan Fulham, Van Persie bijak menyambut hantaran Evra untuk melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan Mark Schwarzer. Penyudah seperti itu sememangnya sudah tidak asing lagi dengan Van Persie dan sering disaksikan peminat ketika dia beraksi bersama Arsenal. Gol sulung untuk kelab baru sememangnya penting buat seorang penyerang bagi mengelakkan tekanan dan Van Persie ternyata lega kerana gol itu akhirnya hadir pada perlawanan keduanya bersama United. Penyerang antarabangsa Belanda itu juga yakin penampilannya bersama United akan bertambah bagus selepas melalui proses menyesuaikan diri dengan corak permainan rakan-rakan sepasukan barunya secara beransur-ansur. "Kami hanya bermain bersama-sama selama seminggu, jadi saya pasti kami akan lebih bagus pada minggu berikutnya. Saya merasa seperti berada dirumah sendiri, semua pihak membantu saya", kata Van Persie. Menyentuh tentang golnya semalam, Van Persie mengakui dia gembira kerana menjaringkan gol sulungnya di hadapan penyokong-penyokong sendiri dan berlaku pula diawal penampilannya bersama United. Glory Glory Manchester United!!!