Spekulasi telah dimainkan oleh media-media di England hujung minggu lalu tentang hasrat Sir Alex Ferguson mempertimbangkan untuk menjual bintang penyerangnya, Wayne Rooney selepas aksi hambar di Goodison Park minggu lalu. Dengan kemasukkan pemain-pemain baru musim panas seperti Robin Van Persie dan Shinji Kagawa serta perpanjangan kontrak Danny Welbeck, media Inggeris dengan pantas menghidupkan spekulasi perpindahan Rooney dari Old Trafford apatah lagi selepas menyaksikan penyerang itu hanya memanaskan bangku simpanan ketika berdepan Fulham, Sabtu lalu. Melihat pada kempen musim lalu, United adalah pasukan yang cukup berbeza dengan ataupun tanpa Rooney. Rooney berjaya memberikan tenaga kepada United dengan segala helah dan sentuhan kelas pertama ketika berada di hadapan gawang lawan, tetapi United jelas agak lesu dan bergelut untuk memecah pertahanan lawan ketika ketiadaan Rooney. Tidak syak lagi bahawa Rooney adalah tenaga penting dalam kempen The Red Devils musim lalu. Memang benar, Rooney kurang menyerlah ketika kempen England di Euro 2012 dan gagal memberikan aksi baik ketika menentang Everton pada perlawanan pertama liga musim ini, namun beliau tetap pemain penting buat United dan pastinya berada dalam perancangan jangka panjang Ferguson. Selepas disahkan terlepas aksi selama dua bulan kerana mengalami luka parah di bahagian paha, United dan penyokong-penyokongnya pasti merindui kelibat bekas pemain Everton itu biarpun ketika ini ruang yang ditinggalkan Rooney akan diisi Van Persie dan juga Kagawa. Van Persie dan Kagawa sudahpun memberikan impak awal kehadiran mereka di Old Trafford apabila masing-masing menjaringkan gol sulung karier mereka bersama United ketika menentang Fulham kelmarin, tetapi kedua-duanya bukanlah galang ganti buat Rooney.
Tidak dinafikan, Van Persie dan Kagawa akan menjadi tenaga penting dalam usaha United memburu kejuaraan liga ke-20 mereka musim ini terutamanya dalam tempoh dua bulan semasa ketiadaan Rooney. Namun Rooney tetap Rooney, pemain yang sering dilihat berada di segenap penjuru padang membantu rakan sepasukan tanpa rasa penat baik ketika bertahan mahupun ketika menyerang. Adalah diharapkan agar Rooney akan muncul pemain yang lebih kuat berbanding sebelum ini sebaik dia pulih semula dari kecederaan nanti kerana dia tetap pemain penting buat United. Sejak sekian lama muncul pemain penting buat kelab dan skuad kebangsaan, mungkin Rooney membiarkan sikap puas hati merosakkan sedikit aksinya hingga menjejaskan penampilan di awal musim. Walau bagaimanapun dengan beberapa tenaga baru yang tiba di Old Trafford musim panas ini menjadikan tempat Rooney dalam kesebelasan utama United bukan lagi satu jaminan. Semoga situasi ini akan membuatkan Rooney lebih gigih untuk bersaing merebut semula tempatnya dan membuktikan bahawa dia masih yang terbaik untuk United dan nama yang wajib disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan. Percayalah apabila Rooney kembali cergas sepenuhnya, penyerang bertaraf dunia sepertinya akan menjadi nadi penting buat mana-mana pasukan yang diwakilinya dan bakal menjadi faktor yang membezakan United dengan pesaing-pesaing mereka dalam perlumbaan mengejar kejuaraan musim ini. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan