Teka teki tentang masa depan Dimitar Berbatov akhirnya terjawab selepas pemain itu menandatangani kontrak secara rasmi bersama Fulham selama dua tahun. Fulham melalui laman sesawang rasmi mereka mengeluarkan kenyataan bahawa bekas pemain antarabangsa Bulgaria itu berhijrah ke Craven Cottage hingga 2014. Berbatov yang pernah bekerja dengan Pengurus Fulham, Martin Jol ketika beliau dilantik sebagai pengurus Tottenham Hotspurs (2004-2007) tidak sabar untuk kembali bekerjasama dengan warga Belanda itu. "Saya gembira kerana menyertai Fulham dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan Martin Jol lagi", kata Berbatov. Sementara itu, Jol yakin kehadiran pemain seperti Berbatov di Craven Cottage akan menyemarakan semangat pemain-pemain The Cottagers selepas berdepan kemelut yang melibatkan Clint Dempsey dan pihak pengurusan kelab. Berbatov menyertai United dari Tottenham Hotspurs pada 2008 dengan reputasi sebagai pemain termahal pernah ditandatangani The Red Devils. Berbatov menjaringkan 48 gol dari 108 penampilan liga untuk United dan pernah muncul penjaring terbanyak liga bersama Carlos Tevez dengan 20 gol pada musim 2010/11. Corak permainan Berbatov yang agak `perlahan' ternyata sudah tidak lagi sesuai dengan tempo permainan pantas yang diterapkan Ferguson. Faktor ini dikatakan menjadi penyebab utama mengapa Berbatov gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama United. Tambah memburukan lagi keadaan, kehadiran Robin Van Persie menyaksikan Berbatov berada di belakang Wayne Rooney, Van Persie, Danny Welbeck dan Javier Hernandez dalam ranking penyerang United. Apapun terima kasih Berba atas sumbangan anda selama empat musim di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan