04 Julai 2013

BAGAIMANA SITUASI UNITED TANPA ROONEY?


Nampaknya sudah ramai yang meramalkan masa depan Wayne Rooney di Old Trafford kian menuju detik-detik terakhir. Situasi Rooney sebenarnya membingungkan ramai pihak terutamanya penyokong-penyokong Manchester United selepas Sir Alex Ferguson pada Mei lalu mendedahkan penyerang antarabangsa England itu meminta supaya dia dijual musim panas ini. Walau bagaimanapun selepas itu media melaporkan beberapa siri penafian dari Rooney (bahawa dia mahu meninggalkan United) hingga menimbulkan lebih banyak tanda tanya terhadap masa depan pemain itu. Sky Sports melaporkan bahawa satu pertemuan empat mata antara Rooney dan pengurus baru United, David Moyes sudah berlaku semalam namun hingga kini masih tiada sebarang perkembangan diperolehi. Mungkin juga dalam tempoh terdekat, kita akan mengetahui apakah pemain yang yang ditandatangani Sir Alex pada 2004 itu akan terus bermain untuk United musim depan atau memilih jalan keluar. Selepas berada di Old Trafford selama lapan tahun, Rooney berkemungkinan besar ingin menguji kemampuannya di tempat lain dan jika situasi ini berlaku, United akan berdepan masalah tetapi tidaklah sampai berlakunya krisis dalam pasukan. Reaksi Rooney dan bahasa tubuhnya semasa upacara penyampaian pingat kejuaraan liga seolah-olah menggambarkan bahawa musim lalu adalah musim terakhirnya bersama United. Komentar yang dilemparkan penyokong-penyokong United berikaitan isu masa depan Rooney di media-media sosial agak pedas, tetapi itu merupakan perkara biasa selepas mereka merasa seolah-olah dikhianati oleh pemain yang mereka puja selama ini. Namun sebelum kita terus mengecam Rooney, kita sepatutnya lebih berlembut dan melihat sumbangan yang diberikan pemain itu selama berada di Old Trafford. Dalam tempoh lapan tahun, Rooney memainkan peranan penting disebalik kejayaan United meraih 12 kejuaraan (lima trofi Liga Perdana, dua trofi Piala Liga, tiga trofi Perisai Komuniti, satu trofi Liga Juara-Juara dan satu trofi kejuaraan Kelab Dunia). Neymar yang baru menyertai Barcelona sudah disebut-sebut antara pemain terbaik dalam dunia bolasepak ketika ini, tetapi Rooney sudah membuktikan siapa dirinya yang sebenar di atas padang. Jika Rooney nekad meninggalkan United, ini adalah satu pukulan yang besar bukan sahaja terhadap pasukan tetapi juga penyokong-penyokong. Dalam dekad terakhir, Rooney muncul sebagai pemain terbaik England dan dalam tempoh tersebut juga, United boleh berbangga kerana memiliki pemain terbaik berbangsa Inggeris dalam skuad mereka. Musim lalu bolehlah dianggap sebagai musim paling suram buat Rooney jadi tidak hairanlah jika dia agak kecewa. Walau bagaimanapun peranan baru yang dimainkannya di bahagian tengah sebagai pengumpan buat Robin Van Persie sebenarnya satu tugas yang cukup besar. Peranan baru yang dimainkannya musim lalu bukan sahaja memerlukan Rooney berada bersama-sama Van Persie ketika menyerang tetapi dia juga membantu Michael Carrick di bahagian tengah dalam situasi defensif mahupun ofensif. Peranan ini sebenarnya menyebabkan Rooney lebih banyak terlibat dengan pertempuran di kawasan tengah padang dan sering digunakan bagi merampas bola ketika pasukan dalam situasi bahaya hingga memudahkan Carrick merancang permainan dan kembali membuka ruang untuk menyerang.

Mari kita kembali semula kepada isu jika Rooney mengambil keputusan meninggalkan United. Musim lalu, penampilan Shinji Kagawa terganggu berikutan masalah kecederaan hingga menjejaskan penampilan pertamanya di England. Posisi dan peranan yang cukup digemari Kagawa ialah berada di belakang penyerang tengah, tempat yang mana kebanyakkannya diisi Rooney musim lalu. Di awal musim, Kagawa sering diletakkan sedikit ke belakang hingga menjejaskan kemampuan dan daya kreativitinya ketika menyerang tetapi beralih peranan ke sebelah kiri ketika saingan liga menuju penghujung musim. Rooney tidak gembira memainkan peranan sebagai pembantu dan dia mahu diletakkan semula di posisi asalnya sebagai penyerang utama. Jika Moyes tidak dapat memberikan sebarang jaminan untuk meletakkan Rooney di posisi asalnya semula, kemungkinan untuk Rooney berhijrah ke kelab lain cukup besar. Jika perkara itu berlaku, ia merupakan berita baik buat Kagawa dan dia boleh memainkan semula peranan yang pernah dimainkannya ketika bersama Borussia Dortmund dulu. Jika Kagawa diletakkan kembali di posisi kegemarannya (di belakang penyerang tengah), kita bakal menyaksikan semula bakat kreatif yang ada pada permainannya hingga diiktiraf sebagai pemain terbaik Bundesliga musim 2011/12. Di kejohanan Piala Konfederasi, Kagawa memainkan peranannya dengan cukup berkesan bersama-sama skuad kebangsaan Jepun dan antara pemain terbaik sepanjang saingan peringkat kumpulan. Penampilan Kagawa ketika menentang Itali cukup menarik perhatian di mana dia berjaya menenggelamkan nama-nama besar dalam skuad Azzuri sepanjang 90 minit permainan. Jika tidak kerana kealpaan saat akhir dan kegagalan barisan hadapan menyempurnakan peluang, Blue Samurai hampir sahaja melakar kejutan ke atas gergasi bolasepak dunia itu. Persembahan baik Kagawa sepanjang Piala Konfederasi memberikan petanda cukup bagus buat United. Jika perpindahan Thiago Alcantara ke Old Trafford menjadi kenyataan, posisi di sebelah kiri yang ditinggalkan Kagawa akan diisi oleh pemain yang benar-benar ingin bermain di posisi tersebut. Akhirnya anda akan melihat Moyes memiliki line up menyerang yang mampu menyaingi mana-mana pasukan musim hadapan. Walau dalam keadaan apa sekalipun dan selepas melihat sumbangan yang diberikan Rooney sepanjang lapan tahun berada di Old Trafford, saya tetap berharap agar Moyes mampu mengekalkan bekas anak didiknya itu. Jika Rooney tetap bertegas dan ingin berhijrah, kita masih memiliki pemain lain yang berpotensi menggantikan tempatnya pada bila-bila masa. Kita juga memiliki barisan pemain-pemain berpengalaman seperti Ryan Giggs, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Michael Carrick yang mampu memberikan dorongan kepada pemain-pemain muda United. Rooney adalah pemain hebat dan antara yang terhebat pernah dimiliki United tetapi kehilangannya bukanlah satu bencana besar buat kelab. Kita pernah kehilangan pemain hebat seperti Eric Cantona, David Beckham, Roy Keane dan Cristiano Ronaldo tetapi dominasi United tidak pernah luntur selepas pemergian mereka. Pemain bertaraf bintang atau hero datang dan pergi tetapi lagenda tetap kekal selamanya kerana lagenda itu sendiri adalah MANCHESTER UNITED!!! Glory Glory Manchester United – A.J 

02 Julai 2013

JULAI...BERMULALAH LANGKAH MOYES


Semalam (1 Julai) David Moyes tiba di pejabat barunya buat pertama kali, sekaligus menandakan peralihan kuasa dan era yang baru sejak Sir Alex Ferguson mengambilalih tampuk pengurusan dari Ron Atkinson 27 tahun yang lalu. Tanpa berlengah, Moyes bergegas ke padang latihan United di Carrington untuk memulakan misi penting meneruskan kesinambungan kejayaan Sir Alex di Old Trafford. Dalam tempoh hanya beberapa jam selepas mengambilalih secara rasmi jawatan pengurus Manchester United, Moyes memulakan langkah awal dengan mengumumkan Steve Round sebagai penolongnya, Chris Woods sebagai jurulatih penjaga gol dan Jimmy Lumsden sebagai jurulatih skuad utama. Mengulas tentang pemilihan ketiga-tiga individu tersebut sebagai pembantunya di Old Trafford, Moyes berkata; “Saya telah bekerja dengan Steve, Chris dan Jimmy dalam tempoh beberapa tahun dan saya gembira mereka memutuskan untuk menyertai saya di kelab besar ini”. Meskipun saingan Liga Perdana akan hanya bermula pada bulan Ogos nanti, kerja-kerja Moyes dalam tempoh sebulan pertamanya di Old Trafford pasti akan diperhatikan dengan penuh teliti. Sebelum mengatur taktikal di tengah padang, kredibeliti pengendali itu akan dinilai bermula dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini, kemudian di padang latihan dan akhir sekali perlawanan-perlawanan pra musim. Jadi sudah pasti, Moyes akan berdepan jadual cukup padat sepanjang bulan ini. Menurut Daily Mail, tugas pertama yang akan dilakukan Moyes ialah bagaimana mencari jalan penyelesaian berkaitan masa depan Wayne Rooney. Sky Sports pula melaporkan bahawa kedua-dua pihak (United dan Rooney) akan hanya mencapai kata putus berkaitan spekulasi membabitkan karier pemain itu di Old Trafford selewat-lewatnya esok (3 Julai). Moyes bukan sahaja terpaksa berdepan dengan isu masa depan Rooney, tetapi beliau juga terpaksa menangani situasi yang sama membabitkan Patrice Evra, Nani dan Anderson yang turut dikaitkan akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini. Apakah bulan Julai bakal menyaksikan detik di mana Moyes mengumumkan bahawa Rooney, Evra, Nani dan Anderson akan menyertai pasukan baru? Jika ada pemain yang pergi, tentunya Moyes mahu mendapatkan pemain baru sebagai pengganti. Berita-berita sensasi tentang perpindahan beberapa pemain terkemuka dunia ke Old Trafford sudah hangat dimainkan media sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Ada beberapa pemain yang anda sendiri sudah tentu tahu diberitakan semakin hampir menyertai United. Jadi ada kemungkinan juga, Moyes akan mengumumkan nama baru yang akan menyertai United sebelum beliau membawa skuadnya ke jelajah pra-musim di Asia dan Australia. Esok akan bermulalah tugas Moyes di padang latihan selepas kesemua pemain-pemain dari skuad utama melapor diri bagi menghadapi perlawanan-perlawanan pra-musim.

Moyes akan berdepan perlawanan pertamanya 13 Julai ini selaku pengendali United apabila dijadualkan menentang Singha All Stars XI yang dikelolakan Dr Vichit Yamboonruang, Pengarah Liga Perdana Thailand dan dilatih bekas penyerang handalan mereka, Piyapong Pue-On yang menjaringkan 103 gol untuk negaranya dari tahun 1981 hingga 1997. Selepas aksi di Bangkok, Moyes akan membawa skuadnya terbang pula ke Australia bagi meneruskan jelajah pra-musim mereka, kali ini berdepan dengan skuad A-League All Stars yang turut dibarisi Brett Emerton, Nikoloai Topor-Stanley dan Thomas Brioch. Selesai tugasan di Australia, Moyes dan anak-anak buahnya akan berdepan tiga perlawanan di Asia Timur bermula menentang kelab J-League, Yokohama F-Marinos (23 Julai), Cerezo Osaka (26 Julai) di mana Shinji Kagawa akan beraksi menentang bekas kelabnya dan akhir sekali di Hong Kong menentang Kitchee FC (29 Julai). Sebaik sahaja berakhir jelajah pra-musim di Asia, Moyes sudah pasti memiliki senarai barisan pemain di tangannya yang akan memperkuatkan The Red Devils musim hadapan. Perlawanan menentang kelab Sweden, AIK Fotboll (juara Allsvenskan 2009) di Stockholm pada 6 Ogos akan menjadi perlawanan terakhir pra-musim United sebelum Moyes berdepan perlawanan kompetitif pertamanya. Apakah ketika itu nama-nama yang ketika ini dikaitkan dengan United seperti Thiago Alcantara, Kevin Strootman, Cristiano Ronaldo dan Ezequiel Garay sudah berada dalam skuad Moyes? Perlawanan testimonial Rio Ferdinand pada 9 Ogos menentang Sevilla pula bakal menyaksikan Moyes duduk di bangku pengurus buat pertama kalinya di Old Trafford. Akhir sekali, seminggu sebelum sepak mula Liga Perdana berlangsung, Moyes akan berdepan perlawanan kompetetif pertamanya apabila memimpin barisan pemain-pemain United berdepan juara Piala FA, Wigan Athletic bagi merebut trofi Perisai Komuniti di Wembley. Ini adalah kesempatan terbaik buat Moyes menjulang trofi dalam kariernya sebagai pengurus sejak kali pertama dan terakhir melakukannya bersama Preston North End pada musim 1999/2000 (menang kejuaraan Liga Divisyen 2). Selepas aksi di Wembley, Moyes akan melakukan debut bersama United dalam saingan liga pada 17 Ogos berdepan Swansea City di gelanggang lawan. Moyes boleh menggunakan sepenuhnya kesempatan jelajah pra-musim untuk mula membentuk skuadnya bagi menghadapi saingan musim hadapan. Meskipun jelajah pra-musim tampak seperti acara tahunan buat kelab-kelab besar Eropah seperti United sebelum menghadapi musim baru, perlawanan-perlawanan seperti ini sebenarnya boleh membantu Moyes dan pemain-pemainnya menanamkan rasa percaya antara satu sama lain sebelum berdepan misi mempertahankan kejuaraan liga. Moyes tidak akan membawa United menang apa-apa kejuaraan pada bulan pertamanya, tetapi tempoh sebulan ini amat penting kerana ia merupakan langkah pertama beliau selaku pengendali United. Pepatah Inggeris ada mengatakan, “Langkah pertama mencerminkan langkah seterusnya. Jika langkah pertama sumbang, usah harap anda mampu berlari dengan baik”. Glory Glory Manchester United!!! – A.J.

28 Jun 2013

LUPAKAN BAINES DAN GUNAKAN SAJA FABIO


Dalam tempoh dua tahun terakhir, nama Leighton Baines sering disebut-sebut sebagai pengganti kepada Patrice Evra dan spekulasi ini semakin hangat diperkatakan selepas David Moyes diumumkan pihak pengurusan Manchester United menggantikan Sir Alex Ferguson yang mengumumkan persaraannya Mei lalu. Bagaimanapun, tempohari Bil Kenwright (pengerusi Everton) dan pengganti Moyes di Goodison Park, Roberto Martinez menegaskan bahawa Baines tidak akan kemana-mana musim panas ini. Mungkin juga spekulasi yang dimainkan media ini disebabkan kebanyakkan pengurus yang berpindah ke kelab lain lazimnya akan berusaha membawa bersama seorang atau dua bekas pemain mereka. Kini semuanya terpulang kepada diri Moyes sendiri, sama ada beliau memang mahukan Baines menyertai United atau beliau boleh menggunakan pemain muda sedia ada hasil ‘asuhan’ Sir Alex. Jika mahu mengambilkira prospek jangka panjang, bagi saya Baines bukanlah pilihan tepat kerana Moyes sebenarnya sudah memiliki pemain berpotensi yang sedia menggantikan tempat Evra satu hari nanti. Siapa yang saya maksudkan? Sudah tentu pemain itu ialah Fabio da Silva yang menghabiskan musim lalu sebagai pemain pinjaman bersama Queens Park Rangers. Berbanding kembarnya, Rafael yang memperolehi peluang keemasan tampil dalam kesebelasan utama berikutan persaraan Gary Neville, Fabio pula berdepan kesukaran merebut slot di bahagian kiri pertahanan United berikutan penguasaan Evra yang begitu dominan di posisi tersebut sejak ditandatangani dari AS Monaco pada 2006. Fabio masih muda dan dengan bakat serta potensi yang ada dalam dirinya, pemain berusia 22 tahun itu memiliki masa depan yang cukup cerah dalam kariernya. Tidak hairanlah mengapa Les Kershaw (pencari bakat United) terpikat dengan penampilan Fabio dan kembarnya Rafael ketika kali pertama menyaksikan mereka beraksi untuk Fluminense pada 2005. Kesepakatan akhirnya dicapai untuk membawa kembar Da Silva ke Old Trafford pada 2007 tetapi mereka hanya menandatangani kontrak secara rasmi pada Februari 2008. Walau bagaimanapun kedua-dua kembar ini tidak boleh didaftarkan dan bermain hinggalah umur mereka genap 18 tahun pada 9 Julai 2008. Apa yang menarik ialah tentang pandangan yang diberikan Kershaw terhadap Fabio ketika kali pertama beliau memantau aksinya. Menurut penilaian Kershaw ketika itu, Fabio memiliki kebolehan dan bakat yang lebih bagus berbanding kembarnya Rafael, tetapi beliau tetap mencadangkan agar Sir Alex membawa kedua-duanya sekali ke Old Trafford. Kedua-dua kembar ini memang diakui memiliki kebolehan dan kepantasan ketika menyerang ataupun bertahan, aset yang amat diperlukan buat seorang bek dalam era bolasepak moden. Walaupun Kershaw berpendapat Fabio lebih bagus tapi akhirnya tuah milik Rafael sebaik sahaja era penguasaan selama 11 tahun Gary Neville berakhir pada 2011.

Rafael tidak melepaskan peluang keemasan yang diperolehinya dan pantas membuktikan kemampuannya selaku pewaris posisi bek kanan untuk tempoh jangka panjang dari Neville. Musim lalu Rafael mempamerkan aksi yang cukup menakjubkan disebalik kejayaan United menjulang trofi liga buat kali ke-20. Okey, kita kembali semula kepada Fabio yang tampil sebanyak 21 perlawanan liga bersama QPR musim lalu. Bukan rahsia lagi bahawa Harry Redknapp cukup meminati gaya permainan Fabio bersama QPR hingga menyebabkan bekas pengendali Tottenham Hotspurs itu berusaha mendapatkan khidmatnya secara tetap namun ditolak Sir Alex. Anda juga jangan lupakan bahawa Fabio menjadi pilihan Sir Alex untuk mengisi posisi bek kanan pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara edisi 2011 menentang Barcelona di Wembley. Apakah Fabio pilihan lebih baik untuk menggantikan tempat Evra berbanding Baines? Ramai penyokong-penyokong United masih percaya, Evra adalah nama wajib dalam kesebelasan utama United walaupun tempoh keemasan pertahanan antarabangsa Perancis itu semakin berada di penghujung. Evra masih lagi antara bek kiri terbaik di Liga Perdana dan dunia, tetapi kita juga perlu mengakui dia semakin perlahan akibat faktor usia. Adakalanya Evra mudah terperangkap dengan kepantasan pemain sayap lawan ketika bertahan tetapi dia masih lagi yang terbaik ketika menyerang terutamanya dengan empat gol yang dihasilkannya dalam saingan liga musim lalu. Memang tidak adil buat Fabio untuk kita membandingkan pencapaiannya di QPR dengan apa yang telah dilakukan Evra bersama United. Status dua kelab ini sendiri ibarat langit dengan bumi tetapi mari kita lihat statistik yang dicatatkan kedua-dua pemain ini dalam saingan liga sepanjang musim lalu:

Fabio:
Penampilan liga: 21
Terjahan: 49 (2.3/perlawanan)
Memenangi perebutan bola: 33 (1.6/perlawanan)
Kekasaran: 23 (1.1/perlawanan)
Kejayaan perangkap offside: 3 (0.1/perlawanan)
Clearance: 55 (2.6/perlawanan)
Dribbled: 11 (0.5/perlawanan)
Hadangan: 6 (0.3/perlawanan)
Gol: -
Assist: -
Percubaan: 3 (0.1/perlawanan)
Hantaran: 376 (17.9/perlawanan)
Ketepatan hantaran: 276 (73.4%)
Hantaran lintang: 30
Hantaran jauh: 27

Evra:
Penampilan liga: 34
Terjahan: 82 (2.4/perlawanan)
Memenangi perebutan bola: 51 (1.5/perlawanan)
Kekasaran: 34 (1/perlawanan)
Kejayaan perangkap offside: 4 (0.1/perlawanan)
Clearance: 165 (4.9/perlawanan)
Dribbled: 22 (0.6/perlawanan)
Hadangan: 13 (0.4/perlawanan)
Gol: 4
Assist: 5
Percubaan: 22 (0.6/perlawanan)
Hantaran: 1,421 (41.8/perlawanan)
Ketepatan hantaran: 1,238 (87.1%)
Hantaran lintang: 87
Hantaran jauh: 62

Spekulasi terbaru yang mengaitkan minat bekas kelabnya, AS Monaco untuk membawa Evra pulang semula ke Perancis menyebabkan nama Baines disebut-sebut sebagai pengganti. Bagaimanapun kita semua yakin Moyes seorang pengurus yang bijak dan beliau sebenarnya tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak semata-mata mahu membawa Baines ke Old Trafford. Selain Fabio, Moyes turut memiliki pilihan lain dalam pasukan sekiranya Evra memutuskan menyertai Monaco. Siapa lagi kalau bukan Alexander Buttner yang juga memiliki potensi besar untuk mengambilalih posisi bek kiri United dari Evra. Apakah yang ada dalam fikiran Sir Alex ketika menandatangani Buttner dari Vittese Arnhem tahun lalu? Adakah disebabkan beliau melihat Buttner sebagai pengganti jangka panjang Evra ataupun sebagai pelapis selepas Fabio dipinjamkan ke QPR untuk menimba lebih pengalaman. Fabio memiliki lebih banyak pengalaman beraksi di Liga Perdana berbanding Buttner, jadi pada pandangan saya dia adalah pilihan utama bagi menggantikan tempat Evra. Berbanding kembarnya Rafael, Fabio dilihat lebih fleksibel kerana mampu bermain di kedua-dua posisi (bek kiri dan kanan). Apapun kesudahan spekulasi yang mengaitkan Evra dengan Monaco, Moyes harus memberikan kesempatan kepada Fabio dan menggilap bakat serta potensi yang ada dalam dirinya berbanding membawa Baines ke Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

24 Jun 2013

KAGAWA BAKAL MENJADI PEMAIN PENTING UNITED MUSIM HADAPAN


Musim panas tahun lalu, laporan-laporan media dibanjiri dengan segala macam berita tentang potensi kedatangan pemain tengah antarabangsa Jepun dan Borussia Dortmund, Shinji Kagawa ke Old Trafford. Meskipun gagal mendapatkan Eden Hazard yang memilih Stamford Bridge sebagai destinasinya, penyokong-penyokong Manchester United akhirnya menerima khabar gembira selepas Sir Alex Ferguson berjaya menandatangani Kagawa dari Dortmund dengan nilai 17 juta Pound. Musim pertama di Old Trafford, Kagawa hanya bermain sebanyak 20 perlawanan liga dan menjaringkan 6 gol di sebabkan masalah kecederaan. Pencapaian Kagawa bersama United sepanjang musim lalu bolehlah dianggap sederhana, perkara biasa yang dialami oleh pendatang baru sepertinya. Selain masalah kecederaan yang menganggu penampilan pertamanya di England, corak aksi Liga Perdana yang lebih fizikal juga memberikan kesan bukan sedikit kepada gaya permainan Kagawa di atas padang. Walau bagaiamanpun selepas pulih dari kecederaan dan kembali bermain, Kagawa memberikan aksi terpuji buat The Red Devils sekaligus membuktikan bahawa dia memang layak menyarung jersi United. Persembahan kelas dunia yang dipamerkan Kagawa ketika detik genting kempen musim lalu membantu United menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20. Selepas Park Ji-Sung tampil pemain Asia pertama yang menjulang kejuaraan Liga Perdana, kini giliran Kagawa pula merasainya. Tidak seperti Ji-Sung yang hanya merasai nikmat menjulang trofi Liga Perdana pada musim keduanya, pencapaian bintang Jepun ini lebih baik apabila berjaya memenangi pingat kejuaraan (liga) pada penampilan pertama di England. Kalau itu masih tidak cukup positif buat penyokong-penyokong United, anda perlu melihat kerja-kerja yang dilakukan Kagawa di atas padang ketika menentang Itali dalam saingan Piala Konfederasi tempohari. Kagawa yang sering bergerak dari sebelah tepi dan kadangkala menyusup ke bahagian tengah padang ternyata menyukarkan bek kanan Itali, Christian Maggio yang akhirnya terpaksa digantikan Ignazio Abate diminit ke-59. Jadi tidak hairanlah jika lagenda yang juga merupakan tonggak tengah Itali, Andrea Pirlo memberikan pujian diatas persembahan hebat yang dipamerkan Kagawa. Jika tidak kerana kegagalan pemain-pemain hadapan Jepun menyempurnakan peluang-peluang yang terhidang di depan pintu gol lawan, sudah pasti Itali akan dimalukan wakil Asia itu.

Agak malang selepas bermain dengan cukup cemerlang dan menjaringkan gol menerusikan sepakan voli kaki kiri yang menarik, Kagawa terpaksa akur melihat negaranya tewas 3-4 kepada gergasi bolasepak dunia itu menerusi jaringan lewat permainan Sebastian Giovinco. Apa yang dipamerkan Kagawa dalam perlawanan itu merupakan berita gembira buat David Moyes, dan beliau sepatutnya berterima kasih kepada Sir Alex kerana membawa bintang Asia itu ke Old Trafford musim lalu. Dengan berita Thiago Alcantara semakin hampir menuju ke Old Trafford (harap-harap begitulah), membuatkan kita sangat teruja menanti bermulanya saingan musim baru sambil mula memikirkan gandingan Kagawa, Thiago dan Robin Van Persie dalam kesebelasan utama United. Itu belum lagi mengambilkira kelibat Wayne Rooney dalam pasukan meskipun masa depannya di Old Trafford terus menjadi persoalan. Jadi cuba anda bayangkan buat seketika apa yang mampu dilakukan kuartet ini jika mereka berada dalam satu pasukan musim hadapan? Jika Wazza memilih kekal di Old Trafford, kita pasti akan dapat menyaksikan corak permainan lebih offensive bakal disajikan The Red Devils berikutan kualiti menyerang milik keempat-empat mereka. Lebih penting untuk melihat bagaimana agaknya Moyes menggunakan sepenuhnya kelebihan milik Thiago dan Kagawa dalam lineup dan taktikal pasukan. Dengan Michael Carrick yang sudah pasti akan terus memainkan peranannya sebagai pemain tengah bertahan, Kagawa dan Thiago bakal menikmati kebebasan untuk bergerak lebih jauh ke hadapan, Jika Moyes gagal mendapatkan Thiago sekalipun, kita masih memiliki Tom Cleverley yang sudah menunjukkan bahawa dia mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan berkesan terutamanya dalam tempoh dua musim terakhir. Apapun yang berlaku dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini (sama ada United berjaya mendapatkan Thiago atau tidak), Kagawa akan menjadi pemain penting untuk United musim hadapan. Buat waktu ini, kita perlu mengakui bahawa United agak kekurangan kualiti di bahagian tengah (apatah lagi selepas persaraan Paul Scholes), dan Kagawa yang sudah memiliki pengalaman Liga Perdana pertamanya musim lalu pastinya lebih bersedia kali ini. Lebih penting, inilah kesempatan terbaik untuknya membuktikan mengapa Sir Alex sanggup berusaha keras membawanya keluar dari Signal Iduna Park musim panas lalu. Tidak mustahil jika warga Jepun ini muncul antara tenaga penting buat United musim hadapan dan bukan sesuatu yang mustahil juga jika dia muncul top assister di Liga Perdana. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

22 Jun 2013

DAPATKAN ALCANTARA...LANGKAH PERTAMA YANG BIJAK


Antara pemain berprofil tinggi yang dikaitkan bakal menyertai Manchester United musim panas ini, nama Thiago Alcantara pastinya berada di kedudukan teratas senarai pemain yang ingin diburu David Moyes. Moyes sendiri dikatakan begitu agresif dalam usahanya membawa Alcantara keluar dari Nou Camp meskipun mendapati dirinya bakal disaingi seteru domestik mereka Chelsea. Selepas berjaya ‘merampas’ John Obi-Mikel dan Eden Hazard, Chelsea di bawah kendalian pengurus baru mereka, Jose Mourinho nampaknya sedia mengecewakan United sekali lagi dalam pasaran perpindahan pemain musim panas. Laporan Jacob Steinberg dari The Guardian mengatakan bahawa tawaran sebanyak 17 juta Pound akan dimajukan kepada Barca bagi mendapatkan tonggak tengah skuad U-21 Sepanyol itu yang baru-baru ini berjaya menjulang trofi Euro U-21. Perpindahan Alcantara ke Old Trafford dilihat amat penting bagi kedua-dua pihak (United & Alcantara). Moyes memburu pemain tengah berkaliber bagi menampung kekurangan kualiti di bahagian tersebut berikutan persaraan Paul Scholes dan masalah kesihatan berpanjangan yang dialami Darren Fletcher, manakala Alcantara pula perlu segera keluar dari bayang-bayang Andres Iniesta dan Xavi Hernandez dalam skuad Blaugrana. Bukan rahsia lagi bahawa Alcantara begitu kecewa berada di belakang dua perancang tengah itu (Iniesta dan Xavi), selain terpaksa bersaing dengan Cecs Fabregas dalam tempoh dua musim terakhir, hingga menyebabkan dia menimbang keputusan drastik meninggalkan Nou Camp. Berbanding Fabregas (yang turut hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford), peluang United untuk mencapai kesepakatan dengan Alcantara dikatakan jauh lebih besar. Selain kecewa kerana gagal bersaing dengan senior-seniornya dalam skuad Barca, peluang menyertai kelab besar seperti United dan bermain di Liga Perdana adalah sesuatu yang pastinya sukar ditolak Alcantara. Klip video selama 9 saat yang menunjukkan Alcantara menandatangani jersi United yang dimuat naik seorang penyokong dari Israel seolah-olah memberikan petanda awal hala tuju pemain itu musim hadapan. Persaraan Scholes bukan saja meninggalkan ruang besar di bahagian tengah United malah memberikan peluang buat Moyes memulakan eranya sendiri selepas persaraan Sir Alex Ferguson.

Pembelian Alcantara selain sasaran yang diletakkannya ke atas bintang muda Belanda, Marco Van Ginkel dilihat ramai pihak sebagai usaha Moyes untuk keluar dari bayang-bayang Sir Alex yang begitu sukses memimpin United selama 26 tahun. Bukan rahsia lagi bahawa kekurangan tenaga di bahagian tengah merupakan masalah utama yang perlu segera diselesaikan Moyes, jadi tidak hairanlah jika anda mendapati mengapa Alcantara, Fabregas dan Van Ginkel berada dalam senarai sasaran musim panas ini. Jika laporan Steinberg tepat dan menjadi kenyataan, Moyes nampaknya sudah mula memandang jauh ke hadapan bagi membentuk legasinya sendiri. Alcantara sudah menunjukkan kualitinya yang tersendiri ketika mengetuai barisan Matador menjulang trofi Euro U-21 dan menjaringkan hatrik di perlawanan akhir. Pemain berusia 21 tahun itu jelas berada selangkah di hadapan dan bukan tandingan buat lawan-lawan seangkatannya sepanjang kejohanan peringkat umur itu berlangsung. Menyertai United bukan sahaja satu langkah besar dalam kariernya, tetapi itu juga bererti dia bakal menikmati peranan lebih besar berbanding apa yang di laluinya bersama Barca ketika ini. Dengan skil kawalan bola yang menarik selain bijak membaca permainan, Alcantara adalah ancaman kepada mana-mana benteng pertahanan lawan ketika menyerang. Selain fungsi utamanya sebagai pemain tengah, Alcantara juga sering digunakan Julian Lopetegui (pengendali skuad U-21 Sepanyol) untuk naik ke atas ketika penggempurnya berdepan kesulitan menembusi benteng pertahanan lawan. Ini adalah permulaan era baru yang sempurna di Old Trafford jika Moyes berjaya mendapatkan Alcantara. Pemain dengan kebolehan seperti Alcantara sebenarnya boleh membarisi kesebelasan utama untuk mana-mana kelab besar. Cuma nasibnya di Nou Camp agak kurang baik kerana Tito Vilanova sudahpun memiliki Xavi dan Iniesta, dua perancang tengah yang dianggap terbaik di dunia ketika ini. Mendapatkan Alcantara adalah langkah pertama yang bijak buat Moyes kerana kebolehan dimilikinya selain prospek jangka panjang buat The Red Devils. Semasa di Goodison Park, Moyes diberikan peruntukkan terhad tetapi berjaya membina kekuatan Everton berteraskan bakat-bakat muda yang dimilikinya, jadi dengan limpahan wang yang diperuntukkan kepadanya oleh pihak pengurusan United, apakah tugas Moyes akan menjadi lebih mudah? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

19 Jun 2013

BERIKAN PELUANG PADA COLE


Melihat kepada aksi yang dipamerkan Larnell Cole sepanjang musim lalu terutamanya selepas membantu skuad U-21 Manchester United memenangi Piala FA (Remaja) pada 2011, adakah dia midfielder yang dicari-cari bagi mengisi kekosongan di bahagian tengah skuad utama? Musim lalu Cole bermain lebih 30 perlawanan dan merupakan penjaring terbanyak skuad U-21 United selepas menyumbangkan 13 gol walaupun dia merupakan pemain tengah. Prestasi cemerlang yang ditunjukkan di peringkat kelab membolehkan namanya disenaraikan bersama-sama rakan sepasukan yang lain seperti Sam Johnstone dan Tom Thorpe ke dalam skuad U-20 England ke kejohanan Piala Dunia U-20 di Turki. Cole melakukan debut buat untuk skuad U-20 England pada perlawanan pemanas badan menentang Uruguay kelmarin. Dalam perlawanan itu Cole hanya memerlukan tempoh tujuh minit untuk membuktikan mengapa namanya layak disenaraikan ke kejohanan Piala Dunia U-20 apabila gerakan bijaknya membolehkan Luke Williams menjaringkan gol pertama England. Ini adalah satu permulaan yang baik buat Cole, sekaligus bakal menjadi pilihan Peter Taylor untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama pada perlawanan pembukaan menentang Iraq nanti. Seperti kebanyakkan perantis dari Akademi Manchester United yang lain, Cole sudah bersama kelab sejak berusia tujuh tahun lagi.

Selepas bersama kelab untuk tempoh yang panjang, Cole akhirnya mula menunjukkan potensi yang ada pada dirinya dan apa yang lebih penting dia semakin mahir dengan gaya permainan United. Walaupun memiliki fizikal yang agak kecil, Cole dianugerahkan dengan teknik dan visi permainan yang sangat baik bagi membolehkannya memainkan peranan dengan cukup berkesan di bahagian tengah. Kekuatan utama Cole tentunya menerusi visi dan kreativitinya, walaupun dengan tubuh yang kecil tetapi mampu ‘memegang’ bola, satu aspek yang memang diperlukan oleh seorang pemain tengah. Dalam formasi 4-2-3-1, Cole digunakan sama ada sebagai attacking midfielder ataupun penyerang. Kombinasinya bersama seorang lagi perantis, Jesse Lingard adalah faktor penting di sebalik kejayaan menjulang Piala FA (Remaja) pada 2011. Walaupun beberapa  nama besar seperti Thiago Alcantara, Kevin Strootman dan Cesc Fabregas sudah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford bagi menguatkan jentera tengah, adalah sesuatu yang merugikan jika peluang tidak diberikan kepada Cole tampil lebih kerap bersama skuad utama. Jika Cole mampu menyinar pada kejohanan Piala Dunia U-20 di Turki, tidak mustahil dia bakal diberikan penampilan pertama pada aksi Liga Perdana oleh David Moyes musim hadapan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

18 Jun 2013

KELAB MANA PILIHAN VAN GINKEL?


Manchester United dikatakan sedang mengatur langkah besar bagi mendapatkan beberapa bintang kelas dunia musim panas ini, tetapi pembelian bintang muda Belanda (jika ianya berlaku), Marco Van Ginkel adalah langkah kecil tetapi berbaloi untuk jangka masa panjang. Spekulasi media mengatakan bahawa kelab masih dalam proses perbincangan untuk membawa kembali Cecs Fabregas beraksi di England, Cristiano Ronaldo pula ada kemungkinan besar meninggalkan Santiago Bernabeu untuk kembali ke Old Trafford manakala peluang mendapatkan Robert Lewandowski pula agak cerah berdasarkan perkembangan terkini penyerang itu. Berdasarkan reputasi mereka, pemain yang disebutkan di atas bukan saja mampu membantu United mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi musim lalu tetapi menjadikan The Red Devils pasukan digeruni dalam saingan Liga Juara-Juara. Dalam deretan nama-nama besar yang dikaitkan dengan United setakat ini, tiba-tiba muncul Marco Van Ginkel, pemuda berusia 20 tahun dari Belanda. Menurut John Drayton dari Daily Mail, United dikatakan berminat dan bakal bersaing dengan Chelsea untuk mendapatkan pemain tengah Vitesse Arnhem itu. Minat United terhadap pemain muda itu dibuktikan apabila pencari bakat kelab, Jim Lawlor dihantar ke Israel bagi memantau perkembangan Van Ginkel ketika pemain itu beraksi dalam Kejohanan Euro U-21. Minat pengurus baru United, David Moyes terhadap Van Ginkel sebenarnya bukanlah baru kerana beliau sudahpun memantau midfielder itu sepanjang musim lalu ketika masih mengendalikan Everton. Van Ginkel diakui antara pemain yang cukup cemerlang ketika membantu Vitesse menduduki tangga keempat Eredivisie musim lalu. Sumbangan lapan golnya untuk kelab membolehkan pemain itu berada di tangga ketiga penjaring terbanyak pasukan. Pada usia 20 tahun, Van Ginkel memiliki 1 caps untuk skuad kebangsaan, bintang untuk kelab serta skuad U-21 dan antara pemain muda yang dijangka bakal muncul pemain terkemuka dunia satu hari nanti.

Jadi tidak hairanlah jika kelab besar seperti United dan Chelsea menunjukkan minat mereka mahu menandatangani pemain berbakat sepertinya. Berita baiknya ialah Van Ginkel sudahpun menyatakan secara terbuka tentang hasratnya mahu menyertai Liga Perdana dalam satu wawancara dengan Sky Sports biarpun tidak menyebut sebarang komitmen (kelab mana yang ingin disertainya). “Liga Perdana adalah liga terbaik, saya rasa setiap pemain muda ingin bermain di sana. Saya tahu apa yang mereka mahu, tetapi saya tidak akan bercakap apa-apa tentang itu sekarang. Saya perlu memberi tumpuan kepada kejohanan ini (Euro U-21). Selepas itu barulah saya akan memikirkan masa depan saya”, kata Van Ginkel. Selepas skuad U-21 Belanda tersingkir, kini tibalah masanya untuk Van Ginkel memikirkan masa depannya dan pasukan mana yang ingin disertainya. Bersama United, Van Ginkel mungkin beroleh kesempatan diserapkan dalam skuad utama memandangkan Moyes berdepan masalah kekurangan pemain di bahagian tengah. Mungkin juga sukar buat Van Ginkel menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama United dalam masa terdekat, tetapi dia boleh belajar banyak perkara dari senior-senior yang lain di padang latihan untuk menjadi pemain lebih baik di masa hadapan. Dalam tempoh setahun atau dua, Van Ginkel akhirnya boleh menjadi salah seorang pemain penting dalam pasukan selepas bintang-bintang United yang ada sekarang berada di penghujung karier mereka. Tanda harga 15 juta Pound yang disebut-sebut diletakkan ke atas Van Ginkel mungkin sedikit tinggi, tetapi jika dia memenuhi jangkaan penganalisa yang diletakkan ke atasnya, itu merupakan satu pelaburan yang berbaloi. Glory Glory Manchester United!!! – A.J