Manchester United dikatakan sedang mengatur
langkah besar bagi mendapatkan beberapa bintang kelas dunia musim panas ini,
tetapi pembelian bintang muda Belanda (jika ianya berlaku), Marco Van Ginkel
adalah langkah kecil tetapi berbaloi untuk jangka masa panjang. Spekulasi media
mengatakan bahawa kelab masih dalam proses perbincangan untuk membawa kembali
Cecs Fabregas beraksi di England, Cristiano Ronaldo pula ada kemungkinan besar
meninggalkan Santiago Bernabeu untuk kembali ke Old Trafford manakala peluang
mendapatkan Robert Lewandowski pula agak cerah berdasarkan perkembangan terkini
penyerang itu. Berdasarkan reputasi mereka, pemain yang disebutkan di atas
bukan saja mampu membantu United mempertahankan kejuaraan liga yang mereka
menangi musim lalu tetapi menjadikan The
Red Devils pasukan digeruni dalam saingan Liga Juara-Juara. Dalam deretan
nama-nama besar yang dikaitkan dengan United setakat ini, tiba-tiba muncul
Marco Van Ginkel, pemuda berusia 20 tahun dari Belanda. Menurut John Drayton
dari Daily Mail, United dikatakan
berminat dan bakal bersaing dengan Chelsea untuk mendapatkan pemain tengah
Vitesse Arnhem itu. Minat United terhadap pemain muda itu dibuktikan apabila pencari
bakat kelab, Jim Lawlor dihantar ke Israel bagi memantau perkembangan Van
Ginkel ketika pemain itu beraksi dalam Kejohanan Euro U-21. Minat pengurus baru
United, David Moyes terhadap Van Ginkel sebenarnya bukanlah baru kerana beliau
sudahpun memantau midfielder itu
sepanjang musim lalu ketika masih mengendalikan Everton. Van Ginkel diakui antara
pemain yang cukup cemerlang ketika membantu Vitesse menduduki tangga keempat
Eredivisie musim lalu. Sumbangan lapan golnya untuk kelab membolehkan pemain
itu berada di tangga ketiga penjaring terbanyak pasukan. Pada usia 20 tahun,
Van Ginkel memiliki 1 caps untuk skuad kebangsaan, bintang untuk kelab serta skuad
U-21 dan antara pemain muda yang dijangka bakal muncul pemain terkemuka dunia
satu hari nanti.
Jadi tidak hairanlah jika kelab besar seperti
United dan Chelsea menunjukkan minat mereka mahu menandatangani pemain berbakat
sepertinya. Berita baiknya ialah Van Ginkel sudahpun menyatakan secara terbuka
tentang hasratnya mahu menyertai Liga Perdana dalam satu wawancara dengan Sky Sports biarpun tidak menyebut
sebarang komitmen (kelab mana yang ingin disertainya). “Liga Perdana adalah
liga terbaik, saya rasa setiap pemain muda ingin bermain di sana. Saya tahu apa
yang mereka mahu, tetapi saya tidak akan bercakap apa-apa tentang itu sekarang.
Saya perlu memberi tumpuan kepada kejohanan ini (Euro U-21). Selepas itu
barulah saya akan memikirkan masa depan saya”, kata Van Ginkel. Selepas skuad
U-21 Belanda tersingkir, kini tibalah masanya untuk Van Ginkel memikirkan masa
depannya dan pasukan mana yang ingin disertainya. Bersama United, Van Ginkel
mungkin beroleh kesempatan diserapkan dalam skuad utama memandangkan Moyes
berdepan masalah kekurangan pemain di bahagian tengah. Mungkin juga sukar buat
Van Ginkel menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama United dalam masa
terdekat, tetapi dia boleh belajar banyak perkara dari senior-senior yang lain
di padang latihan untuk menjadi pemain lebih baik di masa hadapan. Dalam tempoh
setahun atau dua, Van Ginkel akhirnya boleh menjadi salah seorang pemain
penting dalam pasukan selepas bintang-bintang United yang ada sekarang berada
di penghujung karier mereka. Tanda harga 15 juta Pound yang disebut-sebut
diletakkan ke atas Van Ginkel mungkin sedikit tinggi, tetapi jika dia memenuhi
jangkaan penganalisa yang diletakkan ke atasnya, itu merupakan satu pelaburan
yang berbaloi. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan