Dalam tempoh dua tahun terakhir, nama
Leighton Baines sering disebut-sebut sebagai pengganti kepada Patrice Evra dan
spekulasi ini semakin hangat diperkatakan selepas David Moyes diumumkan pihak
pengurusan Manchester United menggantikan Sir Alex Ferguson yang mengumumkan
persaraannya Mei lalu. Bagaimanapun, tempohari Bil Kenwright (pengerusi
Everton) dan pengganti Moyes di Goodison Park, Roberto Martinez menegaskan
bahawa Baines tidak akan kemana-mana musim panas ini. Mungkin juga spekulasi
yang dimainkan media ini disebabkan kebanyakkan pengurus yang berpindah ke
kelab lain lazimnya akan berusaha membawa bersama seorang atau dua bekas pemain
mereka. Kini semuanya terpulang kepada diri Moyes sendiri, sama ada beliau
memang mahukan Baines menyertai United atau beliau boleh menggunakan pemain
muda sedia ada hasil ‘asuhan’ Sir Alex. Jika mahu mengambilkira prospek jangka
panjang, bagi saya Baines bukanlah pilihan tepat kerana Moyes sebenarnya sudah
memiliki pemain berpotensi yang sedia menggantikan tempat Evra satu hari nanti.
Siapa yang saya maksudkan? Sudah tentu pemain itu ialah Fabio da Silva yang
menghabiskan musim lalu sebagai pemain pinjaman bersama Queens Park Rangers.
Berbanding kembarnya, Rafael yang memperolehi peluang keemasan tampil dalam
kesebelasan utama berikutan persaraan Gary Neville, Fabio pula berdepan
kesukaran merebut slot di bahagian kiri pertahanan United berikutan penguasaan
Evra yang begitu dominan di posisi tersebut sejak ditandatangani dari AS Monaco
pada 2006. Fabio masih muda dan dengan bakat serta potensi yang ada dalam
dirinya, pemain berusia 22 tahun itu memiliki masa depan yang cukup cerah dalam
kariernya. Tidak hairanlah mengapa Les Kershaw (pencari bakat United) terpikat
dengan penampilan Fabio dan kembarnya Rafael ketika kali pertama menyaksikan
mereka beraksi untuk Fluminense pada 2005. Kesepakatan akhirnya dicapai untuk
membawa kembar Da Silva ke Old Trafford pada 2007 tetapi mereka hanya
menandatangani kontrak secara rasmi pada Februari 2008. Walau bagaimanapun
kedua-dua kembar ini tidak boleh didaftarkan dan bermain hinggalah umur mereka
genap 18 tahun pada 9 Julai 2008. Apa yang menarik ialah tentang pandangan yang
diberikan Kershaw terhadap Fabio ketika kali pertama beliau memantau aksinya.
Menurut penilaian Kershaw ketika itu, Fabio memiliki kebolehan dan bakat yang
lebih bagus berbanding kembarnya Rafael, tetapi beliau tetap mencadangkan agar
Sir Alex membawa kedua-duanya sekali ke Old Trafford. Kedua-dua kembar ini
memang diakui memiliki kebolehan dan kepantasan ketika menyerang ataupun
bertahan, aset yang amat diperlukan buat seorang bek dalam era bolasepak moden.
Walaupun Kershaw berpendapat Fabio lebih bagus tapi akhirnya tuah milik Rafael
sebaik sahaja era penguasaan selama 11 tahun Gary Neville berakhir pada 2011.
Rafael tidak melepaskan peluang keemasan yang
diperolehinya dan pantas membuktikan kemampuannya selaku pewaris posisi bek
kanan untuk tempoh jangka panjang dari Neville. Musim lalu Rafael mempamerkan
aksi yang cukup menakjubkan disebalik kejayaan United menjulang trofi liga buat
kali ke-20. Okey, kita kembali semula kepada Fabio yang tampil sebanyak 21
perlawanan liga bersama QPR musim lalu. Bukan rahsia lagi bahawa Harry Redknapp
cukup meminati gaya permainan Fabio bersama QPR hingga menyebabkan bekas
pengendali Tottenham Hotspurs itu berusaha mendapatkan khidmatnya secara tetap
namun ditolak Sir Alex. Anda juga jangan lupakan bahawa Fabio menjadi pilihan
Sir Alex untuk mengisi posisi bek kanan pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara
edisi 2011 menentang Barcelona di Wembley. Apakah Fabio pilihan lebih baik
untuk menggantikan tempat Evra berbanding Baines? Ramai penyokong-penyokong
United masih percaya, Evra adalah nama wajib dalam kesebelasan utama United walaupun
tempoh keemasan pertahanan antarabangsa Perancis itu semakin berada di
penghujung. Evra masih lagi antara bek kiri terbaik di Liga Perdana dan dunia,
tetapi kita juga perlu mengakui dia semakin perlahan akibat faktor usia.
Adakalanya Evra mudah terperangkap dengan kepantasan pemain sayap lawan ketika
bertahan tetapi dia masih lagi yang terbaik ketika menyerang terutamanya dengan
empat gol yang dihasilkannya dalam saingan liga musim lalu. Memang tidak adil
buat Fabio untuk kita membandingkan pencapaiannya di QPR dengan apa yang telah
dilakukan Evra bersama United. Status dua kelab ini sendiri ibarat langit
dengan bumi tetapi mari kita lihat statistik yang dicatatkan kedua-dua pemain
ini dalam saingan liga sepanjang musim lalu:
Fabio:
Penampilan liga: 21
Terjahan: 49 (2.3/perlawanan)
Memenangi perebutan bola: 33 (1.6/perlawanan)
Kekasaran: 23 (1.1/perlawanan)
Kejayaan perangkap offside: 3 (0.1/perlawanan)
Clearance: 55
(2.6/perlawanan)
Dribbled: 11
(0.5/perlawanan)
Hadangan: 6 (0.3/perlawanan)
Gol: -
Assist:
-
Percubaan: 3 (0.1/perlawanan)
Hantaran: 376 (17.9/perlawanan)
Ketepatan hantaran: 276 (73.4%)
Hantaran lintang: 30
Hantaran jauh: 27
Evra:
Penampilan liga: 34
Terjahan: 82 (2.4/perlawanan)
Memenangi perebutan bola: 51 (1.5/perlawanan)
Kekasaran: 34 (1/perlawanan)
Kejayaan perangkap offside: 4 (0.1/perlawanan)
Clearance:
165 (4.9/perlawanan)
Dribbled: 22
(0.6/perlawanan)
Hadangan: 13 (0.4/perlawanan)
Gol: 4
Assist:
5
Percubaan: 22 (0.6/perlawanan)
Hantaran: 1,421 (41.8/perlawanan)
Ketepatan hantaran: 1,238 (87.1%)
Hantaran lintang: 87
Hantaran jauh: 62
Spekulasi terbaru yang mengaitkan minat bekas
kelabnya, AS Monaco untuk membawa Evra pulang semula ke Perancis menyebabkan
nama Baines disebut-sebut sebagai pengganti. Bagaimanapun kita semua yakin
Moyes seorang pengurus yang bijak dan beliau sebenarnya tidak perlu
mengeluarkan wang yang banyak semata-mata mahu membawa Baines ke Old Trafford.
Selain Fabio, Moyes turut memiliki pilihan lain dalam pasukan sekiranya Evra
memutuskan menyertai Monaco. Siapa lagi kalau bukan Alexander Buttner yang juga
memiliki potensi besar untuk mengambilalih posisi bek kiri United dari Evra.
Apakah yang ada dalam fikiran Sir Alex ketika menandatangani Buttner dari
Vittese Arnhem tahun lalu? Adakah disebabkan beliau melihat Buttner sebagai
pengganti jangka panjang Evra ataupun sebagai pelapis selepas Fabio dipinjamkan
ke QPR untuk menimba lebih pengalaman. Fabio memiliki lebih banyak pengalaman
beraksi di Liga Perdana berbanding Buttner, jadi pada pandangan saya dia adalah
pilihan utama bagi menggantikan tempat Evra. Berbanding kembarnya Rafael, Fabio
dilihat lebih fleksibel kerana mampu bermain di kedua-dua posisi (bek kiri dan
kanan). Apapun kesudahan spekulasi yang mengaitkan Evra dengan Monaco, Moyes
harus memberikan kesempatan kepada Fabio dan menggilap bakat serta potensi yang
ada dalam dirinya berbanding membawa Baines ke Old Trafford. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan