15 Julai 2014

HUMMELS, KUALITINYA DIPERLUKAN UNITED

Selepas dilanda demam selama sebulan, akhirnya tamat sudah cerita Piala Dunia 2014. Jerman membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik di dunia ketika ini apabila muncul pasukan Eropah pertama menjuarai Piala Dunia di bumi Amerika Selatan. Walaupun pada awalnya Jerman bukanlah pilihan utama untuk keluar sebagai juara pada edisi Piala Dunia kali ini berbanding Sepanyol dan Brazil, anak-anak buah Joachim Loew membuktikan bahawa kerjasama berpasukan, bergerak dalam satu unit baik ketika menyerang mahupun bertahan dan tidak bergantung kepada kekuatan pemain-pemain tertentu akhirnya membolehkan mereka mencipta sejarah di bumi Brazil. Kejayaan Jerman memenangi Piala Dunia buat kali keempat bukanlah terlalu mengejutkan berbanding kekalahan besar Sepanyol kepada Belanda, kemampuan pasukan kerdil seperti Costa Rica menyingkirkan England serta Itali (di peringkat kumpulan), prestasi James Rodriguez yang begitu menonjol untuk Colombia dan paling mengejutkan sudah tentulah tragedi “Pembantaian Brazil” di separuh akhir. Kejayaan Jerman menjulang Piala Dunia kali ini juga sebenarnya banyak dibantu oleh prestasi baik yang dipamerkan beberapa pemain utama mereka seperti Toni Kroos, Thomas Muller, Manuel Neuer, Mesut Ozil, Benedikt Howedes, Bastian Schweinsteiger dan Mats Hummels. Sukar untuk memilih siapakah pemain terbaik Jerman sepanjang kejohanan Piala Dunia kali ini tetapi saya cukup tertarik dengan prestasi yang ditunjukkan Hummels di benteng pertahanan Jerman. Hummels adalah sosok penting di benteng pertahanan Die Mannschaft dan Loew sendiri sedar tentang hakikat itu. Hummels pemain pertama yang dikeluarkan Loew saat mesin pembunuh Jerman ghairah membantai Brazil di separuh akhir dan tindakan beliau adalah bukti betapa pentingnya pemain ini ketika tiket ke final sudahpun berada dalam genggaman. Sebarang kecederaan atau layangan kad yang boleh mengakibatkan Hummels terlepas perlawanan akhir adalah bencana yang cuba dielakkan oleh Loew.

Loew menyedari Hummels perlu cergas 100% untuk perlawanan akhir dan kondisi fizikal pertahanan Borussia Dortmund itu memang menjadi perhatian utamanya ketika beliau sudahpun mula berkira-kira siapakah lawan yang bakal dihadapi skuadnya di pentas final. Kebimbangan Loew tentang tahap kecergasan Hummels ada asasnya kerana pemain ini sebenarnya bergelut dengan masalah lutut sepanjang kejohanan Piala Dunia berlangsung dan pernah diketepikan ketika Jerman berdepan Algeria akibat selesema. Untuk rekod, Jerman hanya dibolosi dua gol ketika Hummels diturunkan dan kedua-dua gol tersebut berlaku ketika mereka menentang Ghana. Selainnya, Hummels berjaya mengekalkan rekod bersihnya ketika menentang Portugal, Amerika Syarikat, Perancis dan Brazil (beliau dikeluarkan diminit ke-45 sebelum Oscar membolosi gawang Jerman di minit ke-90). Langkah Loew merehatkan Hummels di separuh masa kedua ketika menentang Brazil tepat apabila pemain ini memainkan peranan penting di benteng Jerman ketika berdepan Argentina di perlawanan akhir. Hummels bijak menyerap asakan-asakan La Albiceleste yang diterajui Lionel Messi sepanjang perlawanan dan adakalanya dilihat membawa bola hingga ke tengah padang untuk diberikan kepada midfielder Jerman. Jika kemampuannya sebagai pemain pertahanan dalam situasi defensif sudah terbukti, bagaimana pula dengan kemampuan Hummels di petak penalti lawan dalam situasi ofensif pula? Hummels antara pertahanan dunia yang cukup pakar dalam menyempurnakan peluang  ketika berdepan situasi bola mati dan di Piala Dunia beliau membuktikannya apabila berjaya menjaringkan dua gol dalam situasi tersebut ketika berdepan Portugal dan Perancis. Prestasi Hummels sudah tentu akan menyebabkan namanya menjadi buruan kelab-kelab utama Eropah musim panas ini dan Manchester United pasti tidak terkecuali.

Setakat ini memang belum kedengaran apa-apa dari mulut Hummels tentang niatnya untuk berpindah, tetapi saya yakin prestasi cemerlangnya di Piala Dunia bakal menyebabkan Jurgen Klopp dihujani pertanyaan dan tawaran dari mana-mana kelab gergasi bagi mendapatkan khidmat tonggak pertahanannya itu.  Bukan rahsia lagi bahawa United antara kelab yang mengagumi kebolehan Hummels sejak sekian lama dan sejak dari era Sir Alex Ferguson lagi pemain ini sering dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford. Pemergian serentak Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic menyebabkan Louis Van Gaal terpaksa melakukan banyak kerja bagi membina semula barisan belakang skuadnya selepas bertahun-tahun dua lagenda ini (Ferdinand dan Vidic) memainkan peranan penting sebagai jantung pertahanan United. Atas sebab itulah mengapa Hummels dilihat sebagai pengganti sempurna kepada kekosongan yang ditinggalkan Ferdinand dan Vidic, bukan hanya semata-mata atas prestasi cemerlangnya di Piala Dunia tetapi juga kerana pengalaman beliau yang sudah bertahun-tahun bermain di pentas tertinggi untuk kelab dan negaranya. Pada 2009, Hummels dan Van Gaal sebenarnya hampir-hampir sahaja bekerjasama tetapi Bayern Munich bertindak melepaskan pemain ini kepada Borussia Dortmund, enam bulan sebelum ketibaan Van Gaal. Bayangkan apa yang mampu dilakukan Van Gaal sekiranya Hummels kekal bersama Bayern jika diambilkira falsafah beliau yang gemar membangunkan skuadnya dari kalangan pemain-pemain muda. Bersama Bayern ketika itu, Van Gaal memberikan peluang kepada dua pemain muda Thomas Muller dan Holger Badstuber tampil dalam skuad utamanya manakala bakat Bastian Schweinsteiger pula diasah sebagai pemain tengah bertahan. Walaupun meletakkan Hummels di bawah asuhan Klopp bukanlah satu idea yang buruk, tetapi bayangkan juga bagaimana beliau mampu berkembang untuk muncul pemain pertahanan terbaik dunia sekiranya berada di bawah kendalian Van Gaal.

Saya akui ketika ini Van Gaal memiliki Chris Smalling dan Phil Jones yang ada potensi besar untuk muncul pemain pertahanan kelas dunia suatu hari nanti tetapi kelab tetap memerlukan seorang pemain berpengalaman sebagai teraju utama di bahagian belakang selepas pemergian Ferdinand dan Vidic. Dengan perpindahan Patrice Evra ke Juventus sudahpun disahkan, Van Gaal mengambil risiko besar jika beliau tidak berbelanja bagi mendapatkan pemain berpengalaman untuk menguatkan benteng pertahanannya. Sejak kebelakangan ini, spekulasi-spekulasi kerap mengaitkan perpindahan beberapa pemain pertahanan Belanda seperi Bruno Martins Indi, Stefan de Vrij dan Ron Vlaar ke Old Trafford tetapi tiada seorangpun dari mereka yang memiliki pengalaman serta bakat setanding Hummels untuk memimpin barisan belakang United. Selain dari Hummels, saya turut meminati gaya permainan pertahanan Argentina, Ezequiel Garay tetapi spekulasi hangat yang mengaitkan pemain ini dengan kelab sejak 2012 mula beransur-ansur padam hingga menyebabkan saya juga semakin melupakan impian mahu menyaksikan beliau menyarung jersi United. Untuk mendapatkan pemain pertahanan dengan kualiti sebagus Hummels atau Garay, kelab perlu berbelanja lebih sedikit sepertimana ketika mereka melakukan pelaburan ke atas Rio Ferdinand, 12 tahun lalu. Bagaimanapun Sir Alex juga pernah membuktikan bahawa kelab tidak perlu 'pecah tabung' bagi mendapatkan pemain berkualiti kerana dengan pelaburan hanya £7 juta, Vidic berjaya didatangkan ke Old Trafford dan kemudiannya diiktiraf antara pertahanan terbaik pernah beraksi untuk United. Saya yakin jika kelab gagal mendapatkan Hummels, Van Gaal pastinya memiliki opsyen lain tetapi buat masa ini kita hanya mampu meneka pemain pertahanan manakah yang bakal beliau tandatangani bagi menggantikan tempat Ferdinand dan Vidic. Persoalannya sekarang siapakah pemain itu jika bukan Hummels? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

12 Julai 2014

SIAPAKAH KAPTEN KE-53 UNITED?

Tugas Louis Van Gaal sebagai pengendali skuad kebangsaan Belanda akan berakhir awal pagi nanti selepas tamatnya perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Brazil di Piala Dunia 2014. Pulang dari Brazil, Van Gaal akan kembali semula menikmati cabaran di peringkat kelab sebagai bos baharu Manchester United sejak kali terakhir beliau mengendalikan Bayern Munich pada 2011. Selepas persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013, saya sebenarnya mengharapkan agar David Moyes mampu kekal lebih lama di kerusi pengurus tetapi prestasi buruk yang dipamerkan United musim lalu menyebabkan beliau dipaksa supaya angkat kaki lebih awal. Van Gaal akan memulakan tugasnya secara rasmi di Old Trafford sebaik skuad kebangsaan Belanda tiba di Amsterdam dan sekaligus muncul pengurus ketiga sejak persaraan Sir Alex (selepas pemecatan Moyes dan perlantikan Ryan Giggs selaku pengendali sementara). Perlantikan Van Gaal sebagai pengendali juga menandakan bahawa era di Old Trafford sekali lagi berubah dan selain dari corak permainan, saya juga tertunggu-tunggu apakah perubahan yang bakal di bawa beliau bagi meletakkan kembali United sebagai kelab paling dicemburui di Liga Perdana. Selain kehadiran bos baharu dan beberapa pemain baharu yang sudah dan bakal dibawa masuk, jangan lupakan juga beberapa pemain yang sudah dan berkemungkinan akan meninggalkan kelab musim panas ini. Setakat ini kita sudahpun kehilangan Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Alexander Buttner manakala perpindahan Patrice Evra ke Juventus diberitakan semakin hampir menjadi kenyataan. Pemergian Vidic ke Giuseppe Meazza bukan sahaja meninggalkan ruang besar di benteng pertahanan tetapi beliau juga meninggalkan jawatannya sebagai kapten pasukan yang perlu diisi. United tidak pernah ketandusan pemain-pemain yang boleh memikul tanggungjawab sebagai pemimpin di tengah padang dan ketika ini terdapat beberapa pemain senior yang boleh diberikan kepercayaan mewarisi lilitan lengan ketua pasukan daripada Vidic.

Jika diambilkira faktor senioriti, pengaruh dalam pasukan dan pengalaman, Wayne Rooney adalah calon terbaik dilantik selaku kapten pasukan ke-53 dalam sejarah kelab. Rooney sudah berada di Old Trafford selama sedekad sejak beliau memutuskan meninggalkan Goodison Park pada 2004 dan sudah tentu juga selepas melihat segala pencapaian serta sumbangan yang diberikannya kepada kelab sepanjang termpoh tersebut, jawatan ketua pasukan adalah ganjaran terbaik bagi mengiktiraf jasanya selama ini. Pada usia 28 tahun, Rooney sudah mencapai tempoh matang sebagai seorang pemain dan saya percaya beliau mampu mengikut jejak Sir Bobby Charlton, Bryan Robson, Eric Cantona dan Roy Keane  sebagai kapten paling sukses dalam sejarah kelab. Walaupun mengalami tempoh turun naik sepanjang beberapa tahun terakhir selain diselubungi dengan isu kontroversi ancamannya yang ingin meninggalkan kelab pada 2010 dan tahun lalu, Rooney bagi saya masih antara pemain penting dalam perancangan kelab buat tempoh beberapa tahun akan datang. Selain dari Rooney sebagai calon utama, kelab juga memiliki beberapa pemain senior yang boleh dipertimbangkan menggalas tugas sebagai ketua pasukan musim hadapan seperti Michael Carrick, Patrice Evra (jika beliau kekal bersama kelab) dan Darren Fletcher. Selain dari pemain-pemain senior United yang saya sebutkan tadi, peluang Robin Van Persie mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Vidic juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Van Persie bukanlah asing dengan tugas sebagai ketua pasukan kerana ketika bersama Arsenal, beliau adalah kapten The Gunners sejak Ogos 2011 sebelum menyertai United. Di peringkat antarabangsa pula, Van Persie diberikan tanggungjawab oleh Van Gaal mengetuai pasukan kebangsaan negaranya bermula pada perlawanan antarabangsa menentang Portugal (14 Ogos tahun lalu) menggantikan penyandang sebelumnya, Wesley Sneijder. Jika Van Gaal boleh menanggalkan lilitan lengan kapten yang di pakai Sneijder dan menyerahkannya kepada Van Persie, saya fikir tidak mustahil perkara yang sama akan beliau lakukan sebaik sahaja pengendali itu memulakan tugasnya secara rasmi di Old Trafford nanti. Jika itu berlaku, saya berharap tiada sebarang konflik, rasa tidak puas hati atau krisis dalaman tercetus (terutamanya daripada Rooney) dan sebarang keputusan yang dibuat Van Gaal haruslah dihormati oleh semua pihak. Walaupun saya secara peribadi sebenarnya berharap agar Rooney dipilih sebagai kapten pasukan United yang baharu, namun Van Persie juga adalah pencabar terkuat untuk jawatan tersebut jika dilihat kepada kebolehannya sebagai pemimpin ketika bersama Arsenal dan skuad Oranje di Piala Dunia. Van Persie sukses mengharungi musim sulungnya bersama kelab apabila berjaya memenangi medal kejuaraan Liga Perdana pertama sepanjang kariernya selain dinobatkan selaku penjaring terbanyak dengan 26 gol. Beliau juga diiktiraf antara pemain paling menyerlah di sebalik kejayaan kelab menjulang trofi liga buat kali ke-20 menerusi gol-gol pentingnya ke gawang lawan sepanjang musim 2012-13.

Bagaimanapun kejayaan yang dicapai pada musim sulungnya di Old Trafford gagal diteruskan selepas kelab yang diterajui David Moyes berdepan prestasi buruk dalam tempoh lebih sedekad hingga menyebabkan The Red Devils menamatkan saingan liga di tangga ketujuh. Hubungan baik yang terjalin antara Van Persie dan Van Gaal selain rasa hormatnya yang begitu tinggi terhadap pengendali berusia 62 tahun jelas terpancar ketika beliau meraikan jaringan penyamaannya ke gawang Sepanyol 14 Jun lalu. Hubungan baik antara Van Persie dan Van Gaal memungkinkan beliau diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan United yang baharu, sekaligus mengetepikan calon-calon yang lain seperti Rooney, Evra, Fletcher dan Carrick. Walaupun baru dua musim berada di Old Trafford, Van Persie antara pemain United yang cukup disenangi dan dipuja oleh penyokong-penyokong, dihormati rakan-rakan sepasukan dan paling penting hubungan baiknya dengan Van Gaal yang bakal menguruskan kelab nanti. Bermula dengan kebolehannya sebagai pemimpin di tengah padang hinggalah kepada kriteria-kriteria yang baru saya sebutkan tadi, adakah Van Persie calon paling tepat menggalas amanah sebagai kapten Manchester United seterusnya? Ataupun lilitan lengan kapten pasukan patut diserahkan kepada Rooney yang sudah menabur baktinya selama sedekad untuk kelab? Atau mungkinkah Van Gaal akan melakukan kejutan dengan menamakan pemain senior United yang lain sebagai ketua pasukan? Isu ini mungkin nampak remeh tetapi perlu ditangani dengan berhati-hati oleh Van Gaal dan selaku pengendali berpengalaman, saya yakin beliau sudah memiliki jawapan dan jalan penyelesaiannya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

10 Julai 2014

SIAPA SETERUSNYA SELEPAS HERRERA DAN SHAW?

Dengan kempen Piala Dunia 2014 kian menuju kepenghujung manakala perlawanan pra musim akan berlangsung tidak sampai dua minggu, Manchester United nampaknya terus bernafsu mengejar nama-nama besar jika diambil kira spekulasi-spekulasi yang dimainkan media sejak kebelakangan ini. Sepertimana yang saya sebutkan pada artikel sebelum ini, Herrera dan Shaw bukanlah pemain terakhir yang ditandatangani United kerana saya yakin sekurang-kurangnya tiga lagi pemain baharu bertaraf dunia akan di bawa masuk untuk menguatkan pasukan. Herrera di tandatangani dari Athletic Bilbao dengan tujuan menyelesaikan masalah di bahagian tengah tetapi dalam masa yang sama kelab berpendapat mereka masih memerlukan seorang lagi midfielder yang mampu membantu pemain Sepanyol itu. Jika benar apa yang dikatakan ramai pihak bahawa Marouane Fellaini tidak lagi diperlukan Louis Van Gaal dalam skuadnya musim hadapan, maka keperluan untuk mendapatkan seorang lagi pemain tengah bagi menggantikan tempat Fellaini tetap satu keutamaan. Atas sebab itulah mengapa nama Arturo Vidal semakin kerap disebut-sebut menjadi pemain seterusnya yang bakal menyertai United selepas Herrera dan Shaw. Jamie Jackson (The Guardian) dalam tulisannya mengatakan bahawa perpindahan Vidal dari Turin ke Old Trafford boleh direalisasikan andainya United bersetuju membayar £40 juta disamping Nani sebagai pertukaran. Nani memang sudah lama kita ketahui menjadi sasaran Juventus dan berdasarkan kepada sumbangan pemain Portugal itu musim lalu, saya yakin Nani antara pemain yang akan dilepaskan kelab musim panas ini. Jika Juventus mahukan Nani, itu bukanlah masalah besar buat United untuk melepas pemain sayap ini tetapi £40 juta adalah nilai yang bagi saya agak besar untuk dibelanjakan ke atas Vidal. Walau bagaimanapun jika Van Gaal melihat kehadiran Vidal mampu mencetuskan impak ke atas skuadnya, tidak mustahil pihak pengurusan United akan menganggap wang sebanyak itu berbaloi untuk dibelanjakan bagi membawa Vidal beraksi di Liga Perdana.

Vidal membuktikan betapa pentingnya peranan beliau bersama skuad kebangsaan Chile di Piala Dunia dan di Turin pula beliau adalah sensasi buat Juventus dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Jika gagal mendapatkan Vidal, Van Gaal memiliki pilihan lain dan sudah tentu pemain yang saya maksudkan ialah Kevin Strootman. Bukan rahsia lagi bahawa Van Gaal cukup meminati gaya permainan Strootman dan sumbangan berkesan yang diberikannya ketika bersama AS Roma sebelum ditimpa kecederaan panjang. Bagaimanapun Strootman hanya dijangka pulih Disember nanti dan masalah kecederaan yang membelenggu pemain Belanda itu mungkin menjadi penghalang kepada usaha United mendapatkan khidmatnya. Jika harga Vidal terlalu mahal manakala Strootman pula masih bergelut untuk pulih dari kecederaan, bagaimana pula dengan pemain tengah muda Portugal, William Carvalho? Menurut Paul Handler dari Manchester Evening News, rundingan antara United dan Sporting Lisbon masih berjalan di mana kelab cuba mendapatkan tandatangan pemain berusia 22 tahun itu pada harga dibawah £37 juta. Nilai £37 mungkin agak tinggi bagi pandangan sesetengah pihak tetapi itulah harga yang terpaksa dibayar oleh mana-mana kelab gergasi bagi mendapatkan khidmat bakat muda terbaik di seluruh dunia. Selepas melakukan kesilapan besar dengan melepaskan Paul Pogba, pihak pengurusan kelab kini terpaksa mengakui bahawa bukan mudah buat mereka mencari pengganti bintang muda Perancis itu, jadi Carvalho adalah pilihan paling hampir. Jika Carvalho mampu terus meningkat dan berkembang secara konsisten, ramai pihak percaya beliau akan muncul antara nama besar dalam dunia bola sepak suatu hari nanti.

Pada pandangan saya, Vidal, Strootman dan Carvalho adalah pemain tengah paling berpotensi ditandatangani United musim panas ini manakala impian menyaksikan Toni Kroos atau Marco Reus menyarung jersi kelab sukar memandangkan minat besar yang ditunjukkan Real Madrid ke atas Kroos manakala Reus pula dikhabarkan akan terus kekal di Signal Iduna Park buat tempoh semusim lagi. Jika Van Gaal berjaya mendapatkan pemain tengah yang sesuai dengan strategi dan perancangannya, bagaimana pula dengan masalah di bahagian benteng pertahanan selepas pemergian Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic? Dalam hal ini saya agak terkejut apabila nama Thomas Vermaelen tiba-tiba dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford selain bakal muncul pemain kedua Arsenal dalam tempoh dua tahun menyertai United selepas perpindahan Robin Van Persie pada musim 2012-13. Vermaelen mungkin pemain paling hampir yang mampu digapai United sekiranya mereka mahu mencari pemain pertahanan baharu selepas pemergian Ferdinand dan Vidic, tambahan pula nilai pemain itu dianggarkan sekitar £10 juta sahaja. Saya tidak nafikan bahawa Vermaelen merupakan pemain pertahanan tengah yang cukup berpengalaman dan sudah memainkan peranan yang besar di benteng The Gunners sejak menyertai kelab tersebut dari Ajax Amsterdam pada 2009. Bagaimanapun siri-siri kecederaan yang menghantui pemain antarabangsa Belgium itu sejak kebelakangan ini patut diberikan perhatian apatah lagi beliau sendiri hanya tampil selama 30 minit di pentas Piala Dunia kali ini buat negaranya. Musim lalu pula, bermula dari kecederaan belakang yang dialami beliau di awal musim hinggalah kepada kecederaan lutut menyebabkan Vermaelen hanya mampu melakukan penampilan sebanyak 14 perlawanan buat Arsenal. Vermaelen mungkin pilihan kedua atau ketiga sekiranya kelab gagal menandatangani Mats Hummels, Bruno Martins Indi atau Stefan de Vrij tetapi pengalaman lima musim beliau beraksi di Liga Perdana sepatutnya tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Atau mungkin juga Vermaelen akan berguna dalam sistem penggiliran pemain yang bakal digunakan Van Gaal di benteng pertahanan kerana di posisi tersebut beliau sudahpun memiliki pemain-pemain seperti Phil Jones, Jonny Evans dan Chris Smalling. Jika Vermaelen mampu keluar dari masalah kecederaannya, kapten Arsenal itu akan menjadi sebahagian dari revolusi Van Gaal di Old Trafford dan sudah tentu juga nilai £10 juta itu agak berbaloi untuk dibelanjakan ke atas pemain berpengalaman seperti beliau. Jika anda tanyakan kepada saya siapakah pemain pertahanan yang saya harapkan akan menggantikan tempat Rio Ferdinand atau Nemanja Vidic, sudah tentu pilihan saya ialah Mats Hummels. The Daily Express mendakwa bahawa United sedia menawarkan £20 juta bagi menguji kesediaan Jurgen Klopp  melepaskan pemain antarabangsa Jerman itu dari Signal Iduna Park. Bagaimanapun dalam masa yang sama, saya juga perlu mengakui bahawa tugas mendapatkan pemain terbaik Jerman bukanlah mudah, tambahan pula kebanyakkan mereka lebih senang beraksi di Bundesliga atau jika mahu mencari angin baharu, mereka akan memilih Sepanyol sebagai destinasi seterusnya. Jika memang benar United berminat mendapatkan khidmat Hummels seperti apa yang dilaporkan The Daily Express, mereka perlu serius dan bertindak agresif sepertimana ketika mereka memenangi perebutan mendapatkan Luke Shaw walaupun cuba disaingi Chelsea. Bintang muda itu juga pada awalnya dikatakan lebih cenderung memilih Stamford Bridge memandangkan The Blues  adalah kelab impiannya sejak kecil. Melihat kepada prestasi Hummels di Piala Dunia kali ini, saya yakin ramai penyokong-penyokong United memasang impian untuk melihat pemain ini mengetuai benteng pertahanan kelab selepas berakhirnya era Ferdinand dan Vidic. Hummels memang diakui khalayak peminat bolasepak dunia antara pemain pertahanan yang cukup mempesona menerusi gaya permainannya ketika bertahan mahupun ketika menyerang. Beliau bukan sahaja memiliki kekuatan dalam menyekat kemaraan penyerang lawan tetapi turut memiliki kawalan bola menarik, kuat di udara dan pakar situasi bola mati sepertimana yang beliau buktikan ketika menentang Perancis tempohari.

Musim lalu Hummels mencatatkan purata 2.5 ball interceptions dalam satu perlawanan pada saingan Bundesliga. Untuk pemain berusia 25 tahun, memiliki 35 caps antarabangsa bersama skuad kebangsaan negaranya dan sudah bermain di pentas tertinggi hampir sedekad, apa salahnya jika kelab berbelanja lebih sedikit bagi mendapatkan khidmatnya. Jika kena dengan harga serta gaji yang ditawarkan, tidak mustahil Hummels mampu dibawa ke Old Trafford. Seperti yang saya katakan tadi, tugas mendapatkan Hummels agak sukar tetapi jika berjaya ditandatangani, beliau akan menjadi tenaga penting di bahagian belakang United untuk musim hadapan. Sekiranya Hummels sukar dan gagal ditandatangani, bagaimana pula dengan pilihan lain seperti Bruno Martins Indi dan Stefan de Vrij, dua pemain muda yang diketengahkan Van Gaal bersama skuad Belanda di Piala Dunia kali ini. Ketika Van Gaal diumumkan sebagai pengurus United yang baharu, saya sebenarnya sudah bersedia untuk melihat beberapa pemain dari Belanda menyertai Robin Van Persie di Old Trafford. Jadi, saya juga tidak terkejut apabila mendengar tentang spekulasi sejak akhir-akhir ini yang mengatakan bahawa United berminat mendapatkan Martins Indi dan de Vrij. Kedua-dua pemain ini baru berusia 22 tahun, tetapi sudah diberikan kepercayaan oleh Van Gaal bermain di kejohanan penting seperti Piala Dunia. Kedua-duanya juga antara tonggak utama Feyenoord ketika membantu kelab tersebut menduduki tangga kedua Eredivisie musim lalu. Kelebihan yang dimiliki Martins Indi ialah menerusi keupayaan beliau melakukan hantaran tepat ke hadapan serta hantaran silang dan sering juga digunakan Fred Rutten (pengurus Feyenoord) sebagai 'ball holder' untuk pasukannya. Bagaimanapun selaku pemain pertahanan, Martins Indi perlu memperbaiki lagi teknik beliau ketika melakukan tackle, aspek yang dilihat ramai pihak sebagai kelemahan utama pemain ini. Sepertimana Martins Indi, de Vrij juga tonggak untuk kelabnya Feyenoord dan kini antara nama penting di bahagian belakang Oranje selepas beliau berjaya membentuk kombinasi mantap ketika digandingkan bersama Ron Vlaar selaku bek tengah.

Faktor Van Gaal sudah tentu mampu mendorong de Vrij menolak perpindahan ke Lazio jika benar United mahu mendapatkan pemain ini dengan nilai £7 juta sepertimana yang dilaporkan media. Berbanding dengan Martins Indi, kekuatan de Vrij ialah menerusi terjahan-terjahan kemasnya di mana beliau melakukan purata 1.81 (tackle) dalam setiap perlawanan sepanjang musim lalu selain bijak membaca permainan. Di Brazil, peranan yang dimainkan de Vrij di barisan belakang Belanda menarik perhatian ramai pihak, apatah lagi ini merupakan penampilan pertama pemain muda ini di Piala Dunia. Ketenangan yang ditunjukkan de Vrij di benteng Oranje mengingatkan saya kepada lagenda pertahanan United, Gary Pallister. Saya tidak yakin Van Gaal akan memborong dua pertahanan Feyenoord ini sekaligus tetapi jika beliau mengambil keputusan menandatangani salah seorang daripadanya (Martins Indi atau de Vrij) dan United pula hanya perlu membayar di bawah £10 juta kepada kelab mereka, sudah tentu ini adalah satu pelaburan yang berbaloi berdasarkan prestasi terkini mereka. Saya tidak risau dengan kekuatan penggempur United kerana kita memiliki dua pemain kelas dunia (Wayne Rooney dan Robin Van Persie) yang mampu menjaringkan gol dalam pelbagai situasi. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah menambah kreativiti di bahagian tengah manakala pengganti Ferdinand dan Vidic perlu segera dicari. Jika Van Gaal sudah menemui pemain-pemain yang beliau fikirkan sesuai dengan perancangan serta strategi permainannya, percayalah pencabar-pencabar di Liga Perdana akan kembali menggeruni United. Jika diberikan pilihan, sudah tentu saya mahu melihat Hummels dan de Vrij ada di benteng pertahanan manakala Vidal pula memperkuatkan bahagian tengah United musim hadapan. Siapakah seterusnya selepas Herrera dan Shaw? Adakah Vermaelen, de Vrij, Hummels, Martins Indi, Vidal, Kroos, Carvalho atau Juan Cuardado? Atau mungkinkah ada kejutan yang lebih besar? Segalanya berkemungkinan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

01 Julai 2014

HERRERA DAN SHAW...SATU PELABURAN BESAR



Louis Van Gaal masih berada di Brazil bersama skuad kebangsaan Belanda di Piala Dunia tetapi dua pemain baharu sudahpun berjaya didatangkan di Old Trafford. Ander Herrera dan Luke Shaw mungkin bukanlah nama besar dalam arena bolasepak dunia ketika ini tetapi kehadiran mana-mana pemain baharu untuk memperkuatkan kelab musim hadapan tetap disambut dengan penuh rasa teruja. Tidak seperti musim lalu, Manchester United kini nampaknya mengorak langkah lebih awal melakukan persiapan dalam misi mereka mengembalikan semula kegemilangan yang hilang selepas aksi buruk dipamerkan sepanjang musim 2013-14. Herrera dan Shaw masing-masing berusia 24 dan 18 tahun, jadi sudah tentulah keputusan pihak pengurusan United menandatangani dua pemain ini merupakan satu pelaburan jangka panjang. Sudah tentu juga kehadiran Herrera dan Shaw hanyalah permulaan kepada usaha United membina semula pasukan selepas kegagalan musim lalu dan saya yakin sekurang-kurangnya tiga lagi pemain baharu akan berjaya ditandatangani musim panas ini. Herrera bukan nama asing buat penyokong-penyokong United kerana bekas pemain tengah Athletic Bilbao itu hampir sahaja menyertai The Red Devils musim lalu, namun kegagalan mendapatkan kata putus berkaitan soal klausa kontraknya menyebabkan beliau kekal semusim lagi di San Mames.

Begitu juga dengan Shaw, salah seorang anggota skuad Three Lions di Piala Dunia 2014 yang penampilannya bersama Southampton menarik minat David Moyes untuk dijadikan pengganti jangka panjang kepada Patrice Evra. Bagaimanapun The Saints berjaya menghalang United dan Chelsea dari terus merapati bintang muda mereka itu apabila Shaw menandatangani kontrak baharu selama lima tahun ketika beliau menyambut ulang tahunnya yang ke-18 untuk terus kekal di St Mary. Rupa-rupanya minat yang ditunjukkan Moyes terhadap dua bintang muda ini diteruskan pula oleh Van Gaal selaku penggantinya dan hasilnya dengan pelaburan mencecah hampir £60 juta, Herrera dan Shaw akhirnya secara rasmi menjadi milik United. Bagi penyokong-penyokong United yang jarang mengikuti perkembangan La Liga dan Athletic Bilbao khasnya mungkin tertanya-tanya apakah istimewanya Ander Herrera hingga menyebabkan pihak pengurusan sanggup membelanjakan £28.5 juta (ada juga versi yang mengatakan £36 juta) bagi mendapatkan tandatangannya dalam dokumen kontrak? Saya harap anda bersabar dan teruskan membaca. Seperti yang saya sebutkan tadi, Moyes pernah cuba mendapatkan Herrera musim lalu tetapi gagal dalam usaha beliau namun pemain kelahiran Basque itu tidak pernah menutup peluangnya untuk menyarung jersi United.

“Ketika datangnya tawaran dari United, saya menyambutnya dengan rasa positif kerana itu bermakna mereka menghargai bakat saya dan itu juga tindak balas dari mereka (United) hasil penampilan saya sejak kebelakangan ini. Saya terharu dengan minat mereka tetapi malangnya kesepakatan tidak berlaku. Saya tetap akan membuka pintu buat mereka. Siapa tahu perjanjian akan berlaku di masa hadapan dan saya akan menjalani ujian perubatan di Old Trafford”, kata Herrera kepada Daily Mail Julai tahun lalu. Misi yang gagal musim lalu (mendapatkan Herrera) diteruskan semula dan akhirnya United berjaya mendapatkan pemain itu manakala impian beliau menyarung jersi The Red Devils akhirnya menjadi kenyataan. Persaraan Paul Scholes meninggalkan ruang besar di bahagian tengah dan meskipun Moyes berjaya mendapatkan Marouane Fellaini serta Juan Mata, kekosongan ditinggalkan lagenda itu tetap gagal ditampung. Meskipun sudah memiliki Fellaini dan Mata, misi mencari pengganti Scholes tetap diteruskan dan kehadiran Herrera yang diberikan kontrak selama empat tahun selain pilihan opsyen setahun diharap mampu menyelesaikan masalah United di bahagian tengah.

Di lahirkan di Bilbo, Herrera memulakan karier profesionalnya bersama Real Zaragoza. Pada musim 2008-09, Herrera diberikan kepercayaan oleh Marcelino Garcia Toral untuk tampil dalam skuad utama Los Blanquillos bagi membantu pasukan itu kembali semula ke La Liga selepas terhumban ke Segunda Division. Musim pertamanya dalam saingan kompetetif di liga domestik Sepanyol, Herrera menjaringkan dua gol dari 30 penampilan tetapi akhirnya memilih berpindah ke Bilbao apabila menandatangani kontrak selama lima tahun pada 2011. Bersama kelab bandar kelahirannya itu, Herrera muncul antara pemain terpenting buat Bilbao di mana beliau berjaya membantu Los Leones mara ke final Liga Europa (musim 2011-12). Dalam laluan ke final anda tentu masih ingat bukan bagaimana mereka melakar kejutan dengan menyingkirkan United di pusingan kalah mati (16 pasukan), kemudiannya Schalke 04 di suku akhir, Sporting Lisbon di separuh akhir dan kemudiannya berdepan kelab senegara Atletico Madrid di kemuncak saingan. Bagaimanapun perjalanan epik mereka di Liga Europa gagal diakhiri dengan catatan lebih gemilang apabila Atletico Madrid yang ketika itu diperkuatkan Radamel Falcao terlalu unggul di pentas final.

Anda juga tentu masih ingat bukan bagaimana liciknya kelibat Herrera menghuru-harakan bahagian tengah United pada perlawanan pertama yang dilangsungkan di Old Trafford hingga membolehkan Bilbao menang 3-2 selain satu assist yang disumbangkan beliau. Pada perlawanan kedua yang dilangsungkan di St Mames pula, bahagian tengah United yang diperkuatkan Ryan Giggs, Park Ji-Sung dan Michael Carrick tidak mempunyai jawapan bagaimana mahu mengimbangi permainan Herrera, hingga akhirnya kita terpaksa akur menyaksikan United tewas 1-2 sekaligus impian mahu melihat kelab bangkit dari kegagalan di Liga Juara-Juara (tersingkir di peringkat kumpulan) lebur. Sejak dari itulah kelibat Herrera mula diperhatikan dengan penuh teliti oleh pasukan pemantau Sir Alex Ferguson kerana pemain itu diletakkan sebagai antara calon pengganti berpotensi buat Scholes yang ketika itu sudah memasuki fasa akhir kariernya sebagai pemain. Bermain di La Liga yang mana corak permainan di sana lebih teknikal menjadikan Herrera pemain tengah yang lebih bagus. Bersama Bilbao, Herrera memang dikenali sebagai pemain tengah yang bijak mengawal tempo permainan selain kemampuan melepaskan percubaan-percubaan tepat dari jarak jauh.

Musim lalu statistik menunjukkan bahawa Herrera mencatatkan purata dua percubaan jarak jauh dalam setiap perlawanan, jumlah yang mengatasi mana-mana pemain tengah di La Liga. Herrera juga mengakhir musimnya di La Liga (musim 2013-14) dengan menjaringkan lima gol dan menyumbang lima assist. Selain dari semua aspek teknikal yang beliau miliki, paling penting ialah kemampuan Herrera melakukan hantaran-hantaran killer pass untuk disudahkan oleh barisan hadapan adalah aset paling berharga yang ada kepada seorang pemain tengah sepertinya. Melihat kepada strategi yang digunakan Van Gaal ke atas skuad Belanda di Piala Dunia, saya percaya Herrera antara pemain yang akan memainkan peranan penting di barisan tengah United musim hadapan. Bukan sahaja purata ketepatan hantaran beliau mencapai 81% dalam setiap perlawanan, pemain yang memiliki ketinggian 1.82m ini juga tidak ragu-ragu melakukan terjahan keras bagi menganggu kelancaran permainan lawan. Corak permainan keras yang dimiliki Herrera menyebabkan beliau sudah mengumpul 4 kad merah sepanjang kariernya dan mencatatkan purata 1 kad kuning dalam setiap tiga perlawanan. Atas semua faktor itu maka tidak hairanlah jika ada pihak yang mengatakan bahawa Herrera adalah jelmaan semula Scholes di Old Trafford.

Jika Herrera dilabel ramai pihak mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Scholes, Shaw pula seperti yang kita maklum dibawa ke Old Trafford sebagai pelapis kepada Patrice Evra. Selepas bertahun-tahun posisi bek kiri dikuasai pemain antarabangsa Perancis itu sejak beliau dibawa masuk oleh Sir Alex Ferguson pada Januari 2006, kini sudah tibalah masanya untuk kelab mencari pelapis paling berpotensi di posisi tersebut apatah lagi usia Evra sendiri sudah mencecah 33 tahun. Selepas Fabio da Silva dan Alexander Buttner gagal menepati ramalan, United akhirnya terpaksa berbelanja sebanyak £30 juta bagi memaksa Southampton melepaskan Shaw. Saya pada mulanya agak sangsi dengan kemampuan kelab mendapatkan khidmat Shaw selepas pemain muda itu secara terbuka mengatakan bahawa menyertai Chelsea adalah impiannya sejak kecil, tambahan pula The Blues turut berminat membawanya beraksi di Stamford Bridge. Bagaimanapun cek bernilai £30 juta yang diletakkan di atas meja Ralph Krueger (pengerusi Southampton) menyebabkan The Saints akhirnya terpaksa melepaskan antara aset paling berharga yang mereka miliki itu biarpun pada awalnya berkeras mengatakan bahawa Shaw tidak akan kemana-mana.

Fabio menyertai Cardiff City ketika jendela perpindahan pemain musim sejuk dibuka Januari lalu manakala Buttner pula terpaksa menerima hakikat kerjayanya di Old Trafford hanya mampu bertahan selama dua musim apabila beliau dilepaskan ke Dynamo Moscow baru-baru ini. Jadi sudah tentulah selepas pemergian dua pemain yang pernah diletakkan harapan mampu mengganti tempat Evra suatu hari nanti, kehadiran Shaw di Old Trafford memang tepat pada waktunya. Shaw hanya berusia 18 tahun tetapi sudah memperlihatkan potensinya sebagai bintang masa hadapan di England dan dengan usianya yang masih muda serta bakat yang dimilikinya, saya percaya beliau akan menguasai posisi bek kiri United untuk satu tempoh yang panjang. Untuk menyaksikan seorang remaja berusia 18 tahun bermain secara konsisten di Liga Perdana adalah sesuatu yang luarbiasa dan Shaw sudah melakukannya sepanjang musim lalu bersama Southampton. Mungkin anda mengatakan bahawa wang £30 juta yang dibelanjakan untuk seorang pemain muda berusia 18 tahun adalah keterlaluan tetapi itulah hakikat yang berlaku sekarang terutamanya di Liga Perdana ketika kelab-kelab gergasi berlumba-lumba memburu bintang-bintang muda terbaik Inggeris.

Berapakah nilai yang terpaksa dibayar United ketika mereka mendapatkan Wayne Rooney dari Everton sepuluh tahun lalu? Sudah tentu ianya juga melibatkan perbelanjaan yang besar kerana jika tidak masakan kening ahli lembaga pengarah United terangkat saat Sir Alex mengajukan permohonannya mahu membawa Rooney keluar dari Goodison Park ketika itu. Adakah £30 juta berbaloi untuk dibayar kepada Southampton? Saya akan katakan “tidak” jika Shaw bukan pemain berdarah Inggeris tetapi nilai sebanyak itu adalah 'harga pasaran semasa' untuk pemain muda berbakat yang dilahirkan di England. Mungkin juga disebabkan ketandusan pemain-pemain muda berbakat, nilai pasaran bagi pemain muda Inggeris yang berjaya mencetuskan impak di Liga Perdana jauh lebih mahal berbanding rakan-rakan mereka dari negara lain. Apapun masih terlalu awal untuk menilai sama ada pembelian yang memecah rekod Rio Ferdinand sebagai pemain pertahanan termahal kelab ini berbaloi ataupun tidak. Jika Shaw mampu meneruskan aksi konsistennya untuk United, membantu kelab beraksi semula di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan (2015-16) dan menjulang trofi kejuaraan liga pada musim pertamanya di Old Trafford, saya percaya tidak akan ada perbalahan tentang nilai £30 juta yang terpaksa di belanjakan United ke atasnya.

Persoalan paling besar ketika ini, adakah kehadiran Shaw menandakan berakhirnya penguasaan Evra di posisi pertahanan kiri United? Ataupun kehadiran Shaw sebagai pengganti, bukannya sebagai pelapis kepada pemain antarabangsa Perancis itu jika diambilkira laporan tentang minat Juventus membawa Evra beraksi di Serie A? Segala persoalan ini akan hanya terjawab sebaik kempen Piala Dunia 2014 berakhir, Van Gaal memulakan tugasnya secara rasmi sebagai pengurus United dan kelab-kelab mula meningkatkan aktiviti mereka dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Seperti yang saya sebutkan mula-mula tadi, Herrera dan Shaw bukanlah bintang besar tetapi pembelian mereka merupakan satu pelaburan besar yang dilakukan kelab untuk masa hadapan. Kehadiran mereka memang amat diperlukan kerana Herrera memiliki potensi besar sebagai pengganti Scholes manakala kehadiran Shaw pula tepat pada waktunya ketika kerjaya Evra bersama kelab kian berada dipenghujung. Jika ada yang datang, sudah tentu juga pasti ada yang akan pergi dan kehadiran mereka berdua akan memaksa United melepaskan beberapa pemain yang tiada dalam perancangan Van Gaal. Buttner bukanlah pemain terakhir yang akan meninggalkan Old Trafford kerana desas-desus mengatakan bahawa Ashley Young, Marouane Fellaini dan Tom Cleverley bakal menyusul menuju pintu keluar. Jika Herrera serta Shaw diletakkan harapan mampu menggantikan tempat Scholes dan Evra, bagaimana pula dengan kekosongan yang ditinggalkan Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic? Glory Glory Manchester United!!! – A.J