15 Julai 2014

HUMMELS, KUALITINYA DIPERLUKAN UNITED

Selepas dilanda demam selama sebulan, akhirnya tamat sudah cerita Piala Dunia 2014. Jerman membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik di dunia ketika ini apabila muncul pasukan Eropah pertama menjuarai Piala Dunia di bumi Amerika Selatan. Walaupun pada awalnya Jerman bukanlah pilihan utama untuk keluar sebagai juara pada edisi Piala Dunia kali ini berbanding Sepanyol dan Brazil, anak-anak buah Joachim Loew membuktikan bahawa kerjasama berpasukan, bergerak dalam satu unit baik ketika menyerang mahupun bertahan dan tidak bergantung kepada kekuatan pemain-pemain tertentu akhirnya membolehkan mereka mencipta sejarah di bumi Brazil. Kejayaan Jerman memenangi Piala Dunia buat kali keempat bukanlah terlalu mengejutkan berbanding kekalahan besar Sepanyol kepada Belanda, kemampuan pasukan kerdil seperti Costa Rica menyingkirkan England serta Itali (di peringkat kumpulan), prestasi James Rodriguez yang begitu menonjol untuk Colombia dan paling mengejutkan sudah tentulah tragedi “Pembantaian Brazil” di separuh akhir. Kejayaan Jerman menjulang Piala Dunia kali ini juga sebenarnya banyak dibantu oleh prestasi baik yang dipamerkan beberapa pemain utama mereka seperti Toni Kroos, Thomas Muller, Manuel Neuer, Mesut Ozil, Benedikt Howedes, Bastian Schweinsteiger dan Mats Hummels. Sukar untuk memilih siapakah pemain terbaik Jerman sepanjang kejohanan Piala Dunia kali ini tetapi saya cukup tertarik dengan prestasi yang ditunjukkan Hummels di benteng pertahanan Jerman. Hummels adalah sosok penting di benteng pertahanan Die Mannschaft dan Loew sendiri sedar tentang hakikat itu. Hummels pemain pertama yang dikeluarkan Loew saat mesin pembunuh Jerman ghairah membantai Brazil di separuh akhir dan tindakan beliau adalah bukti betapa pentingnya pemain ini ketika tiket ke final sudahpun berada dalam genggaman. Sebarang kecederaan atau layangan kad yang boleh mengakibatkan Hummels terlepas perlawanan akhir adalah bencana yang cuba dielakkan oleh Loew.

Loew menyedari Hummels perlu cergas 100% untuk perlawanan akhir dan kondisi fizikal pertahanan Borussia Dortmund itu memang menjadi perhatian utamanya ketika beliau sudahpun mula berkira-kira siapakah lawan yang bakal dihadapi skuadnya di pentas final. Kebimbangan Loew tentang tahap kecergasan Hummels ada asasnya kerana pemain ini sebenarnya bergelut dengan masalah lutut sepanjang kejohanan Piala Dunia berlangsung dan pernah diketepikan ketika Jerman berdepan Algeria akibat selesema. Untuk rekod, Jerman hanya dibolosi dua gol ketika Hummels diturunkan dan kedua-dua gol tersebut berlaku ketika mereka menentang Ghana. Selainnya, Hummels berjaya mengekalkan rekod bersihnya ketika menentang Portugal, Amerika Syarikat, Perancis dan Brazil (beliau dikeluarkan diminit ke-45 sebelum Oscar membolosi gawang Jerman di minit ke-90). Langkah Loew merehatkan Hummels di separuh masa kedua ketika menentang Brazil tepat apabila pemain ini memainkan peranan penting di benteng Jerman ketika berdepan Argentina di perlawanan akhir. Hummels bijak menyerap asakan-asakan La Albiceleste yang diterajui Lionel Messi sepanjang perlawanan dan adakalanya dilihat membawa bola hingga ke tengah padang untuk diberikan kepada midfielder Jerman. Jika kemampuannya sebagai pemain pertahanan dalam situasi defensif sudah terbukti, bagaimana pula dengan kemampuan Hummels di petak penalti lawan dalam situasi ofensif pula? Hummels antara pertahanan dunia yang cukup pakar dalam menyempurnakan peluang  ketika berdepan situasi bola mati dan di Piala Dunia beliau membuktikannya apabila berjaya menjaringkan dua gol dalam situasi tersebut ketika berdepan Portugal dan Perancis. Prestasi Hummels sudah tentu akan menyebabkan namanya menjadi buruan kelab-kelab utama Eropah musim panas ini dan Manchester United pasti tidak terkecuali.

Setakat ini memang belum kedengaran apa-apa dari mulut Hummels tentang niatnya untuk berpindah, tetapi saya yakin prestasi cemerlangnya di Piala Dunia bakal menyebabkan Jurgen Klopp dihujani pertanyaan dan tawaran dari mana-mana kelab gergasi bagi mendapatkan khidmat tonggak pertahanannya itu.  Bukan rahsia lagi bahawa United antara kelab yang mengagumi kebolehan Hummels sejak sekian lama dan sejak dari era Sir Alex Ferguson lagi pemain ini sering dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford. Pemergian serentak Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic menyebabkan Louis Van Gaal terpaksa melakukan banyak kerja bagi membina semula barisan belakang skuadnya selepas bertahun-tahun dua lagenda ini (Ferdinand dan Vidic) memainkan peranan penting sebagai jantung pertahanan United. Atas sebab itulah mengapa Hummels dilihat sebagai pengganti sempurna kepada kekosongan yang ditinggalkan Ferdinand dan Vidic, bukan hanya semata-mata atas prestasi cemerlangnya di Piala Dunia tetapi juga kerana pengalaman beliau yang sudah bertahun-tahun bermain di pentas tertinggi untuk kelab dan negaranya. Pada 2009, Hummels dan Van Gaal sebenarnya hampir-hampir sahaja bekerjasama tetapi Bayern Munich bertindak melepaskan pemain ini kepada Borussia Dortmund, enam bulan sebelum ketibaan Van Gaal. Bayangkan apa yang mampu dilakukan Van Gaal sekiranya Hummels kekal bersama Bayern jika diambilkira falsafah beliau yang gemar membangunkan skuadnya dari kalangan pemain-pemain muda. Bersama Bayern ketika itu, Van Gaal memberikan peluang kepada dua pemain muda Thomas Muller dan Holger Badstuber tampil dalam skuad utamanya manakala bakat Bastian Schweinsteiger pula diasah sebagai pemain tengah bertahan. Walaupun meletakkan Hummels di bawah asuhan Klopp bukanlah satu idea yang buruk, tetapi bayangkan juga bagaimana beliau mampu berkembang untuk muncul pemain pertahanan terbaik dunia sekiranya berada di bawah kendalian Van Gaal.

Saya akui ketika ini Van Gaal memiliki Chris Smalling dan Phil Jones yang ada potensi besar untuk muncul pemain pertahanan kelas dunia suatu hari nanti tetapi kelab tetap memerlukan seorang pemain berpengalaman sebagai teraju utama di bahagian belakang selepas pemergian Ferdinand dan Vidic. Dengan perpindahan Patrice Evra ke Juventus sudahpun disahkan, Van Gaal mengambil risiko besar jika beliau tidak berbelanja bagi mendapatkan pemain berpengalaman untuk menguatkan benteng pertahanannya. Sejak kebelakangan ini, spekulasi-spekulasi kerap mengaitkan perpindahan beberapa pemain pertahanan Belanda seperi Bruno Martins Indi, Stefan de Vrij dan Ron Vlaar ke Old Trafford tetapi tiada seorangpun dari mereka yang memiliki pengalaman serta bakat setanding Hummels untuk memimpin barisan belakang United. Selain dari Hummels, saya turut meminati gaya permainan pertahanan Argentina, Ezequiel Garay tetapi spekulasi hangat yang mengaitkan pemain ini dengan kelab sejak 2012 mula beransur-ansur padam hingga menyebabkan saya juga semakin melupakan impian mahu menyaksikan beliau menyarung jersi United. Untuk mendapatkan pemain pertahanan dengan kualiti sebagus Hummels atau Garay, kelab perlu berbelanja lebih sedikit sepertimana ketika mereka melakukan pelaburan ke atas Rio Ferdinand, 12 tahun lalu. Bagaimanapun Sir Alex juga pernah membuktikan bahawa kelab tidak perlu 'pecah tabung' bagi mendapatkan pemain berkualiti kerana dengan pelaburan hanya £7 juta, Vidic berjaya didatangkan ke Old Trafford dan kemudiannya diiktiraf antara pertahanan terbaik pernah beraksi untuk United. Saya yakin jika kelab gagal mendapatkan Hummels, Van Gaal pastinya memiliki opsyen lain tetapi buat masa ini kita hanya mampu meneka pemain pertahanan manakah yang bakal beliau tandatangani bagi menggantikan tempat Ferdinand dan Vidic. Persoalannya sekarang siapakah pemain itu jika bukan Hummels? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan