Dengan kempen Piala Dunia 2014 kian menuju
kepenghujung manakala perlawanan pra musim akan berlangsung tidak sampai dua
minggu, Manchester United nampaknya terus bernafsu mengejar nama-nama besar jika
diambil kira spekulasi-spekulasi yang dimainkan media sejak kebelakangan ini.
Sepertimana yang saya sebutkan pada artikel sebelum ini, Herrera dan Shaw
bukanlah pemain terakhir yang ditandatangani United kerana saya yakin
sekurang-kurangnya tiga lagi pemain baharu bertaraf dunia akan di bawa masuk
untuk menguatkan pasukan. Herrera di tandatangani dari Athletic Bilbao dengan
tujuan menyelesaikan masalah di bahagian tengah tetapi dalam masa yang sama
kelab berpendapat mereka masih memerlukan seorang lagi midfielder yang mampu membantu pemain Sepanyol itu. Jika benar apa
yang dikatakan ramai pihak bahawa Marouane Fellaini tidak lagi diperlukan Louis
Van Gaal dalam skuadnya musim hadapan, maka keperluan untuk mendapatkan seorang
lagi pemain tengah bagi menggantikan tempat Fellaini tetap satu keutamaan. Atas
sebab itulah mengapa nama Arturo Vidal semakin kerap disebut-sebut menjadi
pemain seterusnya yang bakal menyertai United selepas Herrera dan Shaw. Jamie
Jackson (The Guardian) dalam
tulisannya mengatakan bahawa perpindahan Vidal dari Turin ke Old Trafford boleh
direalisasikan andainya United bersetuju membayar £40 juta disamping Nani
sebagai pertukaran. Nani memang sudah lama kita ketahui menjadi sasaran
Juventus dan berdasarkan kepada sumbangan pemain Portugal itu musim lalu, saya
yakin Nani antara pemain yang akan dilepaskan kelab musim panas ini. Jika
Juventus mahukan Nani, itu bukanlah masalah besar buat United untuk melepas
pemain sayap ini tetapi £40 juta adalah nilai yang bagi saya agak besar untuk dibelanjakan
ke atas Vidal. Walau bagaimanapun jika Van Gaal melihat kehadiran Vidal mampu
mencetuskan impak ke atas skuadnya, tidak mustahil pihak pengurusan United akan
menganggap wang sebanyak itu berbaloi untuk dibelanjakan bagi membawa Vidal beraksi
di Liga Perdana.
Vidal membuktikan betapa pentingnya peranan
beliau bersama skuad kebangsaan Chile di Piala Dunia dan di Turin pula beliau
adalah sensasi buat Juventus dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Jika
gagal mendapatkan Vidal, Van Gaal memiliki pilihan lain dan sudah tentu pemain
yang saya maksudkan ialah Kevin Strootman. Bukan rahsia lagi bahawa Van Gaal
cukup meminati gaya permainan Strootman dan sumbangan berkesan yang
diberikannya ketika bersama AS Roma sebelum ditimpa kecederaan panjang.
Bagaimanapun Strootman hanya dijangka pulih Disember nanti dan masalah
kecederaan yang membelenggu pemain Belanda itu mungkin menjadi penghalang
kepada usaha United mendapatkan khidmatnya. Jika harga Vidal terlalu mahal
manakala Strootman pula masih bergelut untuk pulih dari kecederaan, bagaimana
pula dengan pemain tengah muda Portugal, William Carvalho? Menurut Paul Handler
dari Manchester Evening News,
rundingan antara United dan Sporting Lisbon masih berjalan di mana kelab cuba
mendapatkan tandatangan pemain berusia 22 tahun itu pada harga dibawah £37
juta. Nilai £37 mungkin agak tinggi bagi pandangan sesetengah pihak tetapi
itulah harga yang terpaksa dibayar oleh mana-mana kelab gergasi bagi
mendapatkan khidmat bakat muda terbaik di seluruh dunia. Selepas melakukan
kesilapan besar dengan melepaskan Paul Pogba, pihak pengurusan kelab kini
terpaksa mengakui bahawa bukan mudah buat mereka mencari pengganti bintang muda
Perancis itu, jadi Carvalho adalah pilihan paling hampir. Jika Carvalho mampu
terus meningkat dan berkembang secara konsisten, ramai pihak percaya beliau
akan muncul antara nama besar dalam dunia bola sepak suatu hari nanti.
Pada pandangan saya, Vidal, Strootman dan
Carvalho adalah pemain tengah paling berpotensi ditandatangani United musim
panas ini manakala impian menyaksikan Toni Kroos atau Marco Reus menyarung
jersi kelab sukar memandangkan minat besar yang ditunjukkan Real Madrid ke atas
Kroos manakala Reus pula dikhabarkan akan terus kekal di Signal Iduna Park buat
tempoh semusim lagi. Jika Van Gaal berjaya mendapatkan pemain tengah yang
sesuai dengan strategi dan perancangannya, bagaimana pula dengan masalah di
bahagian benteng pertahanan selepas pemergian Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic?
Dalam hal ini saya agak terkejut apabila nama Thomas Vermaelen tiba-tiba
dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford selain bakal muncul pemain kedua
Arsenal dalam tempoh dua tahun menyertai United selepas perpindahan Robin Van
Persie pada musim 2012-13. Vermaelen mungkin pemain paling hampir yang mampu
digapai United sekiranya mereka mahu mencari pemain pertahanan baharu selepas
pemergian Ferdinand dan Vidic, tambahan pula nilai pemain itu dianggarkan
sekitar £10 juta sahaja. Saya tidak nafikan bahawa Vermaelen merupakan pemain
pertahanan tengah yang cukup berpengalaman dan sudah memainkan peranan yang
besar di benteng The Gunners sejak
menyertai kelab tersebut dari Ajax Amsterdam pada 2009. Bagaimanapun siri-siri
kecederaan yang menghantui pemain antarabangsa Belgium itu sejak kebelakangan
ini patut diberikan perhatian apatah lagi beliau sendiri hanya tampil selama 30
minit di pentas Piala Dunia kali ini buat negaranya. Musim lalu pula, bermula
dari kecederaan belakang yang dialami beliau di awal musim hinggalah kepada
kecederaan lutut menyebabkan Vermaelen hanya mampu melakukan penampilan
sebanyak 14 perlawanan buat Arsenal. Vermaelen mungkin pilihan kedua atau
ketiga sekiranya kelab gagal menandatangani Mats Hummels, Bruno Martins Indi
atau Stefan de Vrij tetapi pengalaman lima musim beliau beraksi di Liga Perdana
sepatutnya tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Atau mungkin juga Vermaelen akan berguna dalam
sistem penggiliran pemain yang bakal digunakan Van Gaal di benteng pertahanan kerana
di posisi tersebut beliau sudahpun memiliki pemain-pemain seperti Phil Jones,
Jonny Evans dan Chris Smalling. Jika Vermaelen mampu keluar dari masalah
kecederaannya, kapten Arsenal itu akan menjadi sebahagian dari revolusi Van
Gaal di Old Trafford dan sudah tentu juga nilai £10 juta itu agak berbaloi
untuk dibelanjakan ke atas pemain berpengalaman seperti beliau. Jika anda
tanyakan kepada saya siapakah pemain pertahanan yang saya harapkan akan
menggantikan tempat Rio Ferdinand atau Nemanja Vidic, sudah tentu pilihan saya
ialah Mats Hummels. The Daily Express mendakwa
bahawa United sedia menawarkan £20 juta bagi menguji kesediaan Jurgen
Klopp melepaskan pemain antarabangsa
Jerman itu dari Signal Iduna Park. Bagaimanapun dalam masa yang sama, saya juga
perlu mengakui bahawa tugas mendapatkan pemain terbaik Jerman bukanlah mudah,
tambahan pula kebanyakkan mereka lebih senang beraksi di Bundesliga atau jika
mahu mencari angin baharu, mereka akan memilih Sepanyol sebagai destinasi
seterusnya. Jika memang benar United berminat mendapatkan khidmat Hummels
seperti apa yang dilaporkan The Daily
Express, mereka perlu serius dan bertindak agresif sepertimana ketika
mereka memenangi perebutan mendapatkan Luke Shaw walaupun cuba disaingi Chelsea.
Bintang muda itu juga pada awalnya dikatakan lebih cenderung memilih Stamford
Bridge memandangkan The Blues adalah kelab impiannya sejak kecil. Melihat
kepada prestasi Hummels di Piala Dunia kali ini, saya yakin ramai
penyokong-penyokong United memasang impian untuk melihat pemain ini mengetuai
benteng pertahanan kelab selepas berakhirnya era Ferdinand dan Vidic. Hummels memang
diakui khalayak peminat bolasepak dunia antara pemain pertahanan yang cukup
mempesona menerusi gaya permainannya ketika bertahan mahupun ketika menyerang.
Beliau bukan sahaja memiliki kekuatan dalam menyekat kemaraan penyerang lawan
tetapi turut memiliki kawalan bola menarik, kuat di udara dan pakar situasi
bola mati sepertimana yang beliau buktikan ketika menentang Perancis tempohari.
Musim lalu Hummels mencatatkan purata 2.5 ball interceptions dalam satu perlawanan
pada saingan Bundesliga. Untuk pemain berusia 25 tahun, memiliki 35 caps
antarabangsa bersama skuad kebangsaan negaranya dan sudah bermain di pentas
tertinggi hampir sedekad, apa salahnya jika kelab berbelanja lebih sedikit bagi
mendapatkan khidmatnya. Jika kena dengan harga serta gaji yang ditawarkan,
tidak mustahil Hummels mampu dibawa ke Old Trafford. Seperti yang saya katakan
tadi, tugas mendapatkan Hummels agak sukar tetapi jika berjaya ditandatangani,
beliau akan menjadi tenaga penting di bahagian belakang United untuk musim
hadapan. Sekiranya Hummels sukar dan gagal ditandatangani, bagaimana pula
dengan pilihan lain seperti Bruno Martins Indi dan Stefan de Vrij, dua pemain
muda yang diketengahkan Van Gaal bersama skuad Belanda di Piala Dunia kali ini.
Ketika Van Gaal diumumkan sebagai pengurus United yang baharu, saya sebenarnya
sudah bersedia untuk melihat beberapa pemain dari Belanda menyertai Robin Van
Persie di Old Trafford. Jadi, saya juga tidak terkejut apabila mendengar tentang
spekulasi sejak akhir-akhir ini yang mengatakan bahawa United berminat
mendapatkan Martins Indi dan de Vrij. Kedua-dua pemain ini baru berusia 22
tahun, tetapi sudah diberikan kepercayaan oleh Van Gaal bermain di kejohanan
penting seperti Piala Dunia. Kedua-duanya juga antara tonggak utama Feyenoord
ketika membantu kelab tersebut menduduki tangga kedua Eredivisie musim lalu. Kelebihan
yang dimiliki Martins Indi ialah menerusi keupayaan beliau melakukan hantaran
tepat ke hadapan serta hantaran silang dan sering juga digunakan Fred Rutten
(pengurus Feyenoord) sebagai 'ball holder'
untuk pasukannya. Bagaimanapun selaku pemain pertahanan, Martins Indi perlu
memperbaiki lagi teknik beliau ketika melakukan tackle, aspek yang dilihat ramai pihak sebagai kelemahan utama
pemain ini. Sepertimana Martins Indi, de Vrij juga tonggak untuk kelabnya
Feyenoord dan kini antara nama penting di bahagian belakang Oranje selepas beliau berjaya membentuk
kombinasi mantap ketika digandingkan bersama Ron Vlaar selaku bek tengah.
Faktor Van Gaal sudah tentu mampu mendorong de
Vrij menolak perpindahan ke Lazio jika benar United mahu mendapatkan
pemain ini dengan nilai £7 juta sepertimana yang dilaporkan media. Berbanding
dengan Martins Indi, kekuatan de Vrij ialah menerusi terjahan-terjahan kemasnya
di mana beliau melakukan purata 1.81 (tackle)
dalam setiap perlawanan sepanjang
musim lalu selain bijak membaca permainan. Di Brazil, peranan yang dimainkan de
Vrij di barisan belakang Belanda menarik perhatian ramai pihak, apatah lagi ini
merupakan penampilan pertama pemain muda ini di Piala Dunia. Ketenangan yang
ditunjukkan de Vrij di benteng Oranje
mengingatkan saya kepada lagenda pertahanan United, Gary Pallister. Saya tidak
yakin Van Gaal akan memborong dua pertahanan Feyenoord ini sekaligus tetapi
jika beliau mengambil keputusan menandatangani salah seorang daripadanya
(Martins Indi atau de Vrij) dan United pula hanya perlu membayar di bawah £10
juta kepada kelab mereka, sudah tentu ini adalah satu pelaburan yang berbaloi
berdasarkan prestasi terkini mereka. Saya tidak risau dengan kekuatan penggempur
United kerana kita memiliki dua pemain kelas dunia (Wayne Rooney dan Robin Van
Persie) yang mampu menjaringkan gol dalam pelbagai situasi. Apa yang perlu
dilakukan sekarang ialah menambah kreativiti di bahagian tengah manakala
pengganti Ferdinand dan Vidic perlu segera dicari. Jika Van Gaal sudah menemui
pemain-pemain yang beliau fikirkan sesuai dengan perancangan serta strategi
permainannya, percayalah pencabar-pencabar di Liga Perdana akan kembali
menggeruni United. Jika diberikan pilihan, sudah tentu saya mahu melihat
Hummels dan de Vrij ada di benteng pertahanan manakala Vidal pula memperkuatkan
bahagian tengah United musim hadapan. Siapakah seterusnya selepas Herrera dan
Shaw? Adakah Vermaelen, de Vrij, Hummels, Martins Indi, Vidal, Kroos, Carvalho
atau Juan Cuardado? Atau mungkinkah ada kejutan yang lebih besar? Segalanya
berkemungkinan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan