Manchester United melangkah ke pusingan kelima Piala FA Inggeris selepas berjaya menundukkan Southampton 2-1 di gelanggang lawan awal pagi tadi. Biarpun ketinggalan 0-1 di babak pertama hasil jaringan Richard Chaplow, United bingkas bangkit di babak kedua perlawanan hasil sentuhan pemusnah Michael Owen dan Javier Hernandez. Tempo perlawanan agak seimbang di separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan dilihat menghadapi kesukaran memecah pertahanan lawan masing-masing. Gandingan Owen-Hernandez yang menjadikan sandaran Ferguson untuk memburu gol dalam perlawanan ini menghadapi kesukaran memecah kubu lawan dan gagal memberikan ancaman serius kepada pertahanan tuan rumah. Anders Lindegaard yang diberikan peluang oleh Ferguson melakukan penampilan pertamanya kurang diberikan ancaman oleh penyerang tuan rumah. Walau bagaimanapun di penghujung babak pertama, tuan rumah akhirnya berjaya memecah kebuntuan hasil rembatan cantik Chaplow dari sebelah kanan yang gagal diselamatkan Lindegaard. .
Di separuh masa kedua, Ferguson melakukan sedikit perubahan taktikal dengan mengeluarkan Fabio da Silva dan memasukkan Wes Brown. United dilihat serius memadam kelebihan lawan apabila Ferguson mengambil keputusan mengeluarkan Darron Gibson serta Anderson dan memasukkan Ryan Giggs dan Nani lima minit selepas itu. Keputusan Ferguson ternyata berbaloi apabila United mula mendominasi permainan dan memaksa tuan rumah terus bertahan. Gol penyamaan yang dicari akhirnya tiba diminit ke-66 melalui tandukan Owen dari jarak dekat. Owen memanfaatkan hantaran lintang Gabriel Obertan dari sebelah kanan yang terkena pertahanan lawan sebelum bekas penyerang Liverpool itu mudah menanduk masuk. gol penyamaan United terus meningkatkan tekanan kepada skuad The Saints dan sepuluh minit selepas itu, giliran Hernandez pula merakam nama sebagai penjaring. Hernandez berjaya melepasi barisan pertahanan lawan dan mudah menolak masuk sekaligus memberikan United slot di pusingan kelima kejohanan kalah mati tertua di dunia itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan