Wayne Rooney kembali meletakkan namanya sebagai penjaring utama buat Manchester United apabila berjaya meledak dua gol disebalik kemenangan 3-1 pasukannya ke atas Aston Villa awal pagi tadi. Rooney membuka tirai jaringan seawal minit ke-2 selepas menerima hantaran jauh Edwin Van der Sar dan penyerang England itu mudah menewaskan Brad Friedl di gawang Villa. Di penghujung babak pertama, Rooney menjaringkan gol keduanya buat United apabila mudah menolak masuk umpanan silang Nani di depan gawang lawan. Dua gol jaringan Rooney pagi tadi menyaksikan dia menambah koleksi jaringannya musim ini kepada enam gol. Rooney juga berharap agar kejayaannya itu bakal menyuntik kembali keyakinan dirinya dalam menghasilkan gol buat pasukannya. "Saya gembira dengan prestasi saya dan ingin menjaringkan lebih banyak gol lagi. Sebagai penyerang, anda tentunya ingin menjaringkan gol. Saya berpuashati dengan prestasi saya kecuali ketika pertemuan dengan Blackpool minggu lepas", ujar Rooney.
Rooney turut melemparkan pujian ke atas penjaga gol United, Edwin Van der Sar dan Nani yang bertindak cemerlang disebalik kejayaannya menjaringkan dua gol. "Saya jarang memperolehi peluang itu dari Edwin. Saya harus berterima kasih kepadanya. Begitu juga dengan umpanan Nani, dia begitu hebat ketika melakukan hantaran silang. Apabila dia masuk ke kawasan penalti memang sukar untuk menghentikannya". Selepas mendahului 2-0 di separuh masa pertama, pelawat merapatkan jurang menerusi jaringan Darren Bent diminit ke-58. Bagaimanapun lima minit selepas itu, Nemanja Vidic menutup terus impian pelawat untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata di Old Trafford apabila merembat kencang bola tolakan Rooney sekaligus memastikan tiga mata penuh buat skuad The Red Devils. Kemenangan ke atas Villa menyaksikan United terus melebarkan rekod tanpa kalah mereka musim ini kepada 24 perlawanan dan menerajui tangga teratas liga dengan 54 mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan